Segera baiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam

August 23, 2008 at 3:13 am | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

 

TREN tidak mengikut jadual, lewat, sesak dan tidak selesa adalah antara himpunan masalah yang terpaksa ditempuh setiap hari oleh pengguna perkhidmatan rel di ibu kota.

Masalah-masalah tersebut semakin ketara apabila tiba hujung minggu di mana perkhidmatan komuter yang bermula di Seremban selalunya padat dengan penumpang terutamanya warga asing yang ingin melepaskan lelah di ibu kota.

Saya sendiri pernah menaiki komuter di hentian UKM Bangi semasa cuti sempena Thaipusam dan mengalami kejutan apabila tren yang ditunggu bukan sahaja lewat malah sesak sehingga penumpang terpaksa berdiri dalam keadaan berhimpit-himpit sepanjang perjalanan ke stesen KL Sentral.

Masalah tersebut diburukkan lagi dengan gelagat pengguna di Malaysia yang tidak mahu beratur jauh sekali memberi laluan kepada warga emas atau wanita yang membawa anak- anak kecil.

Kesemuanya itu menjadi penyumbang kepada perkhidmatan rel yang disimpulkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai tidak sistematik, jadual ketibaan tidak teratur, gerabak tidak mencukupi dan liputan laluan tidak meluas.

Hakikatnya ada lagi masalah yang mesti ditangani selain apa yang disenaraikan oleh Perdana Menteri sepanjang beliau membuat tinjauan perkhidmatan pengangkutan awam.

Perkhidmatan sokongan yang tidak cekap termasuk bas perantara yang tidak meluas serta tambang teksi tinggi di sesetengah tempat menjadikan pengangkutan awam pilihan terakhir.

Ambil kawasan Bandar Baru Bangi sebagai contoh. Oleh kerana tempat letak kereta di stesen komuter UKM terhad, pengguna terpaksa menaiki teksi yang bayaran wajib dikenakan adalah sebanyak RM10, biar pun jarak rumah dengan hentian komuter hanya lima kilometer.

Tambang komuter dari stesen UKM ke KL Sentral kira-kira RM2.80 manakala tambang teksi dari KL Sentral ke Sg. Besi pula kira-kira RM10 (mengikut kupon). Maknanya untuk perjalanan sehala dari Bangi ke Sg. Besi menuntut perbelanjaan sebanyak RM22.80, jika dua hala RM45.60.

Tentulah tidak berbaloi jika penumpang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak itu semata-mata untuk mengurangkan kesesakan di bandar raya Kuala Lumpur dan melakukan penjimatan berikutan kenaikan harga minyak.

Itu belum dikira kerugian masa akibat menunggu tren yang sering tidak menepati jadual selain masalah-masalah lain termasuk gangguan seksual di dalam tren.

Sebab itu langkah segera membetulkan segala kekurangan yang telah bertahun-tahun membelenggu pengangkutan awam di negara ini mesti dilaksanakan.

Perkhidmatan komuter dan transit aliran ringan (LRT) juga perlu dipanjangkan ke kawasan yang kini kepadatan penduduknya amat tinggi seperti di Puchong, Gombak, Kepong dan Selayang.

Penduduk di kawasan seperti itu amat memerlukan perkhidmatan komuter dan LRT untuk membolehkan mereka berulang alik ke tempat kerja dengan cara lebih menjimatkan.

Lebih penting lagi, kecekapan perkhidmatan bas perantara mesti ditambah bukan sahaja dari segi kekerapannya malah liputan kawasan yang lebih meluas.

Hanya dengan peningkatan kecekapan dari pelbagai sudut, pengangkutan awam akan menjadi pilihan di kalangan warga kota yang seboleh-bolehnya tidak mahu memandu masuk ke ibu kota yang sesak dengan kenderaan. Lebih daripada itu, pengangkutan awam yang sering menjadi pilihan golongan berpendapatan rendah sewajarnya diberi keutamaan dari segi penambahbaikan.

Buangkan amalan jika sesuatu perkhidmatan atau kemudahan itu untuk golongan bawahan maka ia dibuat secara lepas tangan sehingga kadangkala boleh saja mengundang kemalangan.

Contoh terbaik ialah pembinaan rumah-rumah kos rendah yang tidak dihiraukan kualiti serta kemasannya kerana pembelinya adalah kumpulan miskin, manakala projek rumah mewah jika boleh mahu saja disadur dengan emas bagi menampakkan kehebatannya.

Selain pengangkutan rel, perkhidmatan bas awam dan teksi yang digunakan oleh penduduk di pinggir bandar untuk datang bekerja di ibu kota juga mesti diberi perhatian.

Masih banyak masalah yang membelenggu perkhidmatan bas dan teksi mesti segera diselesaikan kerana ia berkait rapat dengan keselesaan pengguna yang rata-rata terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian serius untuk mengatasi masalah yang telah acap kali dibangkitkan ini namun sehingga kini penyelesaiannya masih terlalu lemah.

Mungkin Bajet 2009 yang akan dibentangkan 29 Ogos ini membawa perkhabaran gembira untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam di negara ini.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com. | The Pool Theme.
Entries and comments feeds.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: