Archive for the ‘PENGUMUMAN’ Category
Arak kepala lembu bantah pindah kuil (Penjelasan YB Khalid Samad)
Berikut merupakan penjelasan YB Khalid Samad berkaitan dengan isu pembinaan kuil Hindu di Shah Alam.
1. Persoalan Kuil di Sek 19 dan Tindakan Pewaris
[update 11/1/09] the English translation and review by AirKosong: An incident of how UMNO goons intend to destabilise society
Kerajaan BN telah meninggalkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh kerajaan PR selepas kami mengambil alih. Selain dari penyelewengan dan salah guna kuasa yang menjadi bagaikan ‘signiature’ BN, terdapat juga persoalan projek-projek terbengkalai, projek-projek di lereng bukit yang tidak patut diluluskan tetapi diluluskan, penduduk rumah setinggan, kemiskinan bandar dan ‘lain-lain’. Di antara yang ‘lain-lain’ itu adalah persoalan kuil-kuil yang bertaburan yang telah tidak diurus dengan baik apatah lagi bertanggung jawab oleh BN.
Kebanyakan dari kuil-kuil ini merupakan kuil yang telah dibina semasa tempat berkenaan merupakan estet getah pada tahun-tahun sebelum Malaya merdeka. Apabila estet itu diambil-alih untuk dijadikan kawasan perumahan, pada tahun-tahun selepas merdeka, pekerja-pekerja ladang dipindahkan tetapi kuil mereka dibiarkan di tempat asal. Ianya tidak dipindahkan bersama penduduknya. Akhirnya penduduk asal terus mengunjungi kuil tersebut sambil kawasan persekitaran dibangunkan. Kuil mereka juga terus dibangunkan mereka.
Kesudahannya adalah seperti apa yang terdapat di Seksyen 19, Shah Alam! Rumah-rumah yang didiami orang Melayu berhampiran dan berhadapan kuil. Keadaan ini lebih merumitkan apabila penduduk memberitahu bahawa semasa membeli rumah-rumah mereka, PKNS telah menjamin bahawa kuil berkenaan tidak akan lagi berada disitu apabila rumah mereka siap. Namun, di bawah BN, janji seperti biasa tinggal sebagai janji. Masalah ini telah wujud selama 20 tahun lebih dan apabila PR mengambil alih, kami terpaksa menyelesaikan masalah yang diwujudkan BN ini. BN hanya pandai menimbulkan masalah tetapi buntu untuk mencari penyelesaian.
Dasar kerajaan PR adalah mudah. Pertama, kuil-kuil yang lama ini perlu dipindahkan ke satu tempat yang lebih sesuai. Tempat perlu dikenal pasti oleh PBT dan semestinya dipersetujui oleh pengguna kuil berkenaan. PBT perlu mengambil kira segala permasalahan yang akan dihadapi oleh pengguna kuil hasil dari pemindahan tersebut. Sambil itu, pembinaan kuil baru, selain dari hasil perpindahan, juga dihentikan.
Pada Khamis 8hb Januari, sambil saya menghadiri mesyuarat berhubung penduduk Rimba Jaya yang telah dirobohkan rumah-rumah mereka oleh kerajaan BN (masalah yang diwarisi lagi!), saya mendapat maklumat dari seorang penduduk Melayu Seksyen 19 bahawa ada sekumpulan Melayu telah datang untuk menimbulkan ketegangan di kuil tersebut. Selepas mesyuarat berkenaan saya bergegas ke sana dan mendapati sekumpulan orang, kebanyakan mereka orang luar, berkumpul berhampiran kuil tersebut. Mereka ingin membina ‘gelanggang silat’ di tepi kuil dan akan mengadakan kenduri untuk merasmikan pembukaan gelanggang tersebut pada hari Sabtu 10hb ini. Untuk kenduri itu mereka akan tumbangkan 2 ekor lembu! Seterusnya mereka akan menjamu penduduk dan orang ramai di depan kuil berkenaan. Gelanggang mereka akan dibina tanpa membuat apa-apa permohonan kepada phak berkuasa kerana kata mereka, kuil tersebut juga tidak mendapat kebenaran!
Orang yang mengetuai kumpulan tersebut datangnya dari Melaka! Dia menyatakan dia ‘mewakili rakyat’ dan tindakan ini terpaksa mereka ambil melalui persatuan NGO mereka yang bernama ‘PEWARIS’ kerana kerajaan PR masih berhoneymoon. Dia berkata penduduk sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan dan oleh itu penduduk memanggil mereka turun. Amat jelas, soal gelanggang silat dan sebagainya hanya satu helah. Sebenarnya mereka mahu provoke pihak kuil berkenaan.
Saya menyatakan ‘wakil rakyat’ di sini adalah saya, bukan dia (mungkin dia ingat dia masih di Melaka). Sekiranya dia ingin mewakili rakyat, dia patut turun bertanding dalam PRU yang akan datang. Saya juga memberitahunya bahawa yang ‘berhoneymoon’ selama 50 tahun adalah BN! Saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang menguruskan perkara ini dan kita harus diberi masa. Kalau BN tak dapat buat apa-apa dalam tempoh 20 tahun lebih, semenjak rumah-rumah mula didiami, takkanlah saya tidak boleh diberi tempoh setahun, kata saya lagi. Malahan, tambah saya, pada bulan 5 atau 6 tahun lepas, saya telah bertemu dengan penduduk di dewan Masjid Sek. 19 dan berbincang dengan mereka dan memohon tempoh setahun. Mereka telah bersetuju.
Orang Melaka ini terus menuduh bahawa PR mendiamkan diri bila orang India membina kuil-kuil baru di merata Shah Alam. Saya nyatakan tiada kuil baru dibina dan dia gelakkan saya. Saya beritahu dia, “tunjuk saya di mana kalau kamu bercakap benar!” Dia pun terus ke keretanya, minta saya ikut di belakang sambil dengan penuh keyakinan mengatakan, “mari, saya tunjuk awak”! Maka saya mengekorinya; hai orang Melaka ini yang menganggap dirinya lebih tahu Shah Alam dari orang Shah Alam. Akhirnya dia bawa saya ke sebuah kuil di tepi landasan keretapi di Seksyen 15. Saya beritahu dia kuil itu telah ada di situ “sebelum kamu dilahirkan ke dunia ini”. Dia diam dan terus kembali ke kuil Seksyen 19.
Tidak puas hati lagi dia mencabar saya sebaik sahaja kita sampai di Seksyen 19, “awak orang Melayu, orang Islam, kenapa awak sibuk sangat nak membela kuil ini”? Saya jawab, “kerana Islam mengajar saya supaya bertindak adil terhadap semua manusia. Mereka, walaupun bukan Islam, ada hak dan Islam menuntut kita menghormati hak mereka”. Dia diam. Seterusnya dia berkata dia tak tahu sangat soal agama ini.Saya menambah lagi, “kita marah bila Israel mengasari ummat Islam di Gaza, jangan kita pula mengikut perangai Israel”.
Melihat dia mula teragak-agak saya pun menyatakan bahawa saya tahu Pewaris dan Pekida adalah NGO yang adik beradik. Penaung Pekida adalah PM maka semestinya begitu juga Pewaris. Kedua-dua NGO ini dikuasai oleh ahli UMNO. Saya tahu juga bahawa tindakan mereka ini, pada masa ini, ada hubung kait dengan PR kecil KT. Mereka ingin menimbulkan ketegangan dan masalah kaum supaya dengan itu mereka boleh menjaja keseluruh negara bahawa PR telah gagal menyelesaikan masalah ini di Selangor; dan Selangor sekarang ada masalah perkauman. Dia diam dan selepas itu dia menegur saya kerana buruk sangka, tetapi dia tidak menafikannya.
Dengan itu saya berundur. Saya memberitahu pegawai Polis dan juga pihak penguatkuasa MBSA yang berada di sana bahawa ini tugas mereka. Mereka kena menjaga keselamatan dan keamanan. Saya difahamkan walaupun gelanggang tidak dibina, namun mereka ingin teruskan kenduri mereka. Mereka kata mereka akan menjemput saya sekali. Saya menjawab, ikut undang-undang. Kalau pembinaan gelanggang dapat kelulusan MBSA, saya datang.
Kalau tidak, program Aman Palestine di stadium Melawati pada 10hb jam 10 pagi adalah tempat yang lebih afdal bagi saya untuk hadir, begitu juga dia!
WalLahu ‘Alam
NOTA PENTING: Minta disebarkan perkara ini kerana dijangka provokasi yang sedemikian rupa akan digunakan lebih kerap lagi menjelang PRK-KT, maka harus sentiasa berwaspada. Jangan kita terpedaya!
sumber: YB Khalid Samad
2. Respon Pengunjung: Persoalan Kuil Seksyen 23
Terima kasih diucapkan atas komen-komen yang terima, termasuk yang menolak dan mempertikaikan tulisan saya. Isu yang dibincang memang ‛sensitif’, kerana dijadikan sensitif. Lebih-lebih lagi bila ada tukang perhangat. Namun perbincangan rasional perlu untuk menyelesaikan masalah yang diwarisi.
[Update 21/8/09 Peta Seksyen 23 Shah Alam, ihsan anak_perelih]
Ada beberapa point yang perlu saya respon dan jelaskan di sini seperti berikut:-
1. Public Hearing / Pertemuan dengan penduduk
Seperti yang dijelaskan, pertemuan dengan penduduk akan diadakan. Status isu ini buat masa ini masih merupakan cadangan. Namun cadangan ini merupakan cadangan yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk dikemukakan. Ini adalah seperti yang saya jelaskan kepada penduduk di Surau Seksyen 23 beberapa bulan dahulu. Ya, saya pernah berjumpa dengan mereka. Pada masa itu cadangan lokasi baru hendak disampaikan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan. Saya telah nyatakan bahawa sekiranya ianya diluluskan, maka saya akan bertemu dengan penduduk untuk mendapat pandangan dan feedback. Sekiranya tidak diluluskan, nak bincang buat apa?
Dulu pernah diluluskan cadangan di kawasan lain di Seksyen 23 juga, tengah-tengah kawasan Industri. Selepas itu diadakan pertemuan dengan pengilang-pengilang. Atas faktor keselamatan, disebabkan lalu lalang container dan fork-lift yang beroperasi tak tentu waktu. Dikhuatiri nanti ada pula wanita dan kanak-kanak yang akan kesitu, maka cadangan itu dibatalkan.
Ada yang bertanya “Bukankah untuk menukar tanah industri kepada tanah komersial memerlukan public hearing”?
Sebenarnya kalau “dari sudut undang-undang, public hearing tidak perlu”. Itu undang-undang sekarang yang sedia wujud dan ianya belum lagi ditukar. Namun, amalan Kerajaan PR ialah amalan mendengar pandangan rakyat. Oleh itu, seperti yang disebut, public hearing tetap akan diadakan dengan penduduk Seksyen 23. InsyaAllah selepas Permatang Pasir saya akan turun bersama YB Roziah. Tiada apa-apa kerja yang telah dimulakan, berhubung pembinaan kuil ini, maka tak perlu disegerakan sangat. Hanya dihangatkan oleh golongan tertentu sehingga turunnya Noh Omar. Kenapa dia tak turun ke Sek 19 dulu?
Sambil kami mendengar pandangan dan pendapat penduduk Seksyen 23, kami harap mereka juga akan mendengar penjelasan kami. Biarlah 2-way dan kedua-dua pihak datang dengan pemikiran yang terbuka. Ada yang berkata “apa guna pertemuan, kerajaan tidak mahu dengar pandangan kami!” Begitulah juga sebaliknya. Oleh itu sama-sama bersikap terbuka dan dengar hujah dan penerangan masing-masing. Pada masa yang sama, kita sama-sama mencari penyelesaian yang terbaik.
2. Kawasan majoriti Hindu
Ada pula yang bijak pandai berkata “Majoriti penduduk di seksyen 19 dan 23 adalah Islam. Kuil tak sepatutnya berada dikawasan tersebut. Pindahkan saja ke kawasan penduduk majoriti Hindu di kawasan lain”.
Hakikatnya tiada kawasan di Shah Alam yang mana masyarakat Hindu majoriti. Oleh itu, kuil ini akan memenuhi keperluan untuk Seksyen 19, 20 dan 23. Keseluruhannya saya dimaklumkan melebihi 1,000 penganut Hindu. Ada yang kata dah banyak kuil di Seksyen 19, 20 dan 23. Mereka berbohong. Hanya ada satu sahaja dan ianya di Seksyen 19. Dan kuil inilah yang ingin dipindahkan. Dasar kerajaan PR, ‛Tiada kuil baru dan tiada kuil yang diroboh’.
Ada juga yang menyatakan ada kuil hanya 1 km dari Seksyen 23, iaitu di Sri Muda. Kuil Sri Muda terletak 3 km dari lokasi berkenaan. Bukan 1 km, harap maaf ya.
Ada pula yang menambah Seksyen 22 adalah tapak cadangan kerajaan BN dulu, majoriti masyarakat Hindu. Hakikatnya tapak cadangan BN adalah kawasan kilang, jauh dari mana-mana penduduk, Muslim mahupun Hindu. Terlalu jauh dan amat tidak sesuai. Kalau betul ingin membantu, biarlah ikhlas, biarlah adil.
Cadangan tapak di Seksyen 23 terhasil bukan kerana ikut cakap ataupun telunjuk sesiapa, hanya kami semua berusaha mencari penyelesaian yang wajar untuk semua pihak.
Adakah sekiranya mereka minoriti, maka bererti mereka tidak ada hak untuk beramal dengan agama mereka? Tidak boleh adakan kuil? Dasar sebegini adalah tidak wajar. Cubalah merantau sedikit dan tinjau di negara-negara yang orang Islamnya adalah minoriti. Sebaliknya, kaedah satu kuil untuk beberapa ratus orang penganut seperti yang dicadangkan adalah lebih wajar. Inilah yang sedang diusahakan.
Ada yang bertanya “Apakah YB sendiri ingin mendera, menyeksa ataupun menderhaka pula kepada penduduk seksyen 23?” Hakikatnya, kalau dicadangkan letak depan rumah macam di Seksyen 19, bolehlah dituduh mendera, menyeksa ataupun derhaka. Itu yang UMNO buat selama ini. Tetapi yang dicadangkan adalah 200 meter dari rumah dan 200 meter juga dari Surau.
Di seksyen 16, kuil Hindu hanya 200 meter dari Masjid Jami’ Tun Raja Uda. 50 meter sahaja rasanya dari Flat yang majoritinya orang Melayu. Pada masa itu tiada pula ‘hero Melayu’ datang membantah. Maklumlah, BN punya kerja. Pada masa itu lain cakapnya. Kami sebagai pembangkang dulu pun tidak membantah. Kerana kami faham, masyarakat Hindu pun ada hak untuk mengamalkan agama mereka. Inilah yang dikatakan pembangkang yang bertanggung jawab. Bukan macam sekarang. Nak perhangat tanpa memikirkan penyelesaian bagi ummat Islam di Seksyen 19 dan keperluan masyarakat Hindu secara menyeluruh.
3. Masalah pembinaan kuil di merata tempat
Masalah yang disebut berhubung pembinaan kuil secara ‛pacak sahaja’ memang diatasi dengan adanya garis panduan yang jelas. Berdasarkan garis panduan inilah kuil yang sedia ada ingin dipindahkan. Ianya bukan kuil baru dan ianya bukan melalui dasar ‛pacak sahaja’. Satu kuil ini adalah untuk kegunaan penganut Hindu dari Seksyen 19, 20 dan 23 yang dimaklumkan jumlahnya melebihi 1,000 orang.
Ada pula yang berkata “Kebelakangan ini kita dapat melihat pelanggaran-pelanggaran undang-undang yang telah wujud dan didapati sesuai dengan semua rakyat berhubung dengan pembinaan Masjid, Surau serta rumah-rumah ibadat yang lain”.
Hmmm, mungkin yang menulis ini lupa Seksyen 19 kut? Oleh kerana tiada garis panduan yang jelas pada zaman dulu (BN) maka suasana ini terhasil. Harap ingat, kita nak selesaikan masalah yang sedia wujud. Begitu juga dengan beberapa kuil yang lain yang menanti penyelesaian.
4. Masalah sosial masyarakat India
Ada yang timbulkan isu masalah sosial dan jenayah yang membabitkan masyarakat India. Kata mereka, “Kami peniaga dan dalam satu tahun ditimpa kes rompakan berparang. Cara mereka masuk, terus serang dan tetak. Selama 10 tahun, kaum ini lah yang membuat kawasan kami tidak aman”.
Persoalannya, sekiranya benar sekalipun, bagaimana mahu selesaikan masalah ini kalau tidak melalui mengukuhkan aspek moral dan keagamaan mereka? Kerajaan PR memilih pendekatan bersepadu, sambil ditingkatkan kemudahan persekolahan mereka (di mana bantuan tidak disonglap MIC), dibantu aspek ekonomi mereka dan sambil itu juga aspek sosial mereka, persoalan moral dan keagamaan (kuil) tidak dinafikan. Barulah wajar untuk diharapkan perubahan.
Kalau pendekatan sebaliknya diusahakan, seperti amalan BN selama ini yang membuncitkan golongan tertentu sahaja, adakah akan berlaku perubahan?
5. Teguran terhadap diri saya dll.
Ada yang komen, “satu lagi, selama 25 tahun duduk di shah alam ini saya belum ada dengar cerita org bantah nak buat kuliyyah..so, kenyataan YB tu saya sanggah lah..kalau setakat hearsay tu YB..buang je lah berita tu..tapi kalau tempat lain selain drp Shah ALam yg aman damai ni YB..saya tak tahu lah…”.
Eh, tuan tak dengar ke? Bukan sekadar kuliyyah dibantah, SURAU DI KUNCI oleh puak-puak tu! Surau Seksyen 8 dikunci, selama 9 bulan bermula 3 hari sebelum bulan puasa tahun 2007. Para penceramah disenarai hitamkan, termasuklah Dato’ Dr. Haron Din.
Ada juga yang sebut “tapi saya rasa YB lebih hebat lagi sebab membenarkan kalimah ALLAH digunakan utk penganut kristian. Jangan lah YB salahkan UMNO pulak sebab penganut kristian guna kalimah ALLAH..”
Apa nak buat tuan, bukannya saya sendiri yang reka, Al-Quran sendiri sebut “Dan berkata orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kami ini anak Allah dan kekasihNya..” (Al-Maaidah 18). Yang jelas menunjukkan nama Allah digunakan oleh orang kristian. Harap bacalah penerangan saya dalam artikel yang bertajuk Ismu Allah.
Akhirnya, komen seorang lagi pengunjung, “sementara kita ada kuasa ni..bantulah org melayu..shah alam bandar melayu..kerana gaji yang seciput tu..janganlah kita hina agama kita..haram kita makan gaji yang tak halal…darah daging kita pun haram..juga daging anak2 kita…satu peringatan jangan sampai Allah butakan mata hati kita..tak sempat bertaubat nanti…tapi nampaknya perbuatan kamu lebih kepada menghina agama kau sendiri”.
Inilah sedih bila kita baca. Bukan kerana teguran keatas diri saya ini. Tetapi, sedih kerana apabila kita ingin zahirkan keadilan Islam yang membela semua manusia, kita dibelenggu oleh kefahaman Islam tajaan UMNO selama ini. Islam adalah Melayu. Perjuangan Islam adalah perjuang untuk orang Melayu. Sampai bila kita akan terperangkap dengan fahaman yang sebegini. Adakah dengan membantu kaum lain yang beragama lain maka kita menghina Islam? Bukankah Islam itu menuntut keadilan. Bukankah adil itu lebih hampir kepada keTaqwaan? Mungkin inilah sebabnya mengapa selama ini Islam tidak menawan hati manusia lain di Malaysia ini. Kita hendak Islam untuk Melayu sahaja dan tidak mahu menzahirkan keadilan Islam itu sendiri.
Zahirkan keadilan Islam! Yang lemah dibela, samada Muslim dan bukan Muslim. Hak dipenuhi, Muslim dan bukan Muslim. Mengajak, mempelawa dan menarik bukan melawan dan menentang memanjang. InsyaAllah manusia lain akan tertarik. Kalau tak bersama Islam sekalipun, sekurang-kurangnya tidak menentang Islam.
Satu hari kelak, insyaAllah saya akan ceritakan pula kisah Saidina Umar Al Khattab semasa di Palestine.
WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD
sumber: YB Khalid Samad
Pendirian Terhadap Replika DS Najib dan Jawapan Terhadap PKR
Saya yang berada di luar negara baru tahu tentang replika itu, walaupun PKR telah menempelak saya seperti yang disebut dalam Malaysiakini kerana tidak membantah. Saya konsisten menyatakan seperti mana replika DS Anwar tidak patut didirikan, maka begitu juga replika DS Najib. Selain daripada ia berunsur berlebih-lebihan memuja pemimpin atau mengampu, ia juga tidak memberikan apa-apa kekuatan kepada politik seseorang.

Pemimpin dinilai pada pemikiran, sikap dan kerjanya, bukan pada besar kecil patungnya. Apabila saya menegaskan konsistensi saya dalam perkara ini, saya ini melihat sejauh mana konsistensi pihak yang membolehkannya dahulu. Malaysiakini melaporkan bahawa PKR ingin mendengar pendirian saya, maka ini pendirian saya.
Saya pula ingin melihat pendirian mereka yang dahulu membolehkannya. Sepatutnya, mereka yang mempertahankannya untuk DS Anwar Ibrahim, mereka juga kena mempertahankannya kali ini. Mengapa ia berubah-ubah jika untuk orang lain, dan hanya dibolehkan untuk pemimpin sendiri sahaja. Itulah politik. “Haram itu untuk musuh, halal itu untuk diri sendiri, musuh semua salah, diri sendiri semua betul”.
Alhamdulillah, generasi muda mulai sedar, kebanyakan permainan politik ini hanya memperbodohkan masyarakat. Ramai anggota PKR datang dari lubuk yang sama, iaitu BN. Nama berbeza, mentaliti dan sikap belum tentu?!
-dr mohd asri, lampeter, uk.
Sumber: Dr MAZA
Konvensyen Sunnah Ke 4 Di Melaka

Konvensyen Sunnah Ke 4
Tajuk: Ahlus Sunnah Wal Jamaah- Hubungan Sesama Mereka Dan Hubungan Dengan Masyarakat
28 Disember 2008/ 30 Zulhijjah 1429
Kampus UNIKL, Taboh Naning,
78000 Alor Gajah
Melaka
ATUR CARA
08.00 pagi : Pendaftaran Peserta
08.30 – 08.40 pagi : Ucapan Alu-AluanPengerusi Majlis
Ustaz Hidayat Bin Shafie
08.40 – 08.50 pagi : Ucapan Pengerusi Badan Kebajikan IBH
08.50 – 09.00 pagi : Ucapan Wakil UniKL
09.00 – 10.30 pagi : Taa’ruf
· Ucapan Wakil Negeri Perak
· Ucapan Wakil Negeri Selangor
· Ucapan Wakil Wilayah Persekutuan
· Ucapan Wakil Negeri Sembilan
· Ucapan Wakil Negeri Pahang
· Ucapan Wakil Negeri Johor
· Ucapan Wakil Negeri Perlis
· Ucapan Wakil Negeri Kelantan
· Ucapan Wakil Negara Singapura
· Ucapan Wakil Negeri Pulau Pinang
· Ucapan Wakil Wilayah Selatan Thai
· Ucapan Wakil Institut Imam Shafie
· Ucapan Wakil Negeri Terengganu
10.30 – 11.00 pagi : Rehat
11.00 – 12.45 pagi :
PEMBENTANGAN KERTAS KERJA KONVENSYEN SUNNAH KE 4
Ahlussunah Wa al-Jamaah
(Hubungan Sesama Mereka dan Hubungan Dengan Masyarakat)
Oleh
Ustaz Fathul Bari
12.45 – 02.00 petang : Makan Tengahari & Solat Zohor
02.00 – 04.00 petang :
Foram & Sesi Soal Jawab
Pengerusi : Ustaz Asyraf Mukhlis Minghat
Ahli Panel : 1. Dr Abdullah bin Yasin
(Pensyarah IPTIPS)
2. Ustaz Muhammad Adli Musa
(An-Nidaa’)
3. Ustaz Minghat Mahmut
(Penasihat IBH)
04.00 – 04.30 petang : Minum Petang
04.30 – 05.00 petang : Solat Asar
05.00 – 06.00 petang : Tazkirah
Ustaz Ghazali bin Tahir
(Institut Tahfiz Al-Quran Al-Mizan)
06.00 – 09.00 malam : Solat Maghrib/Makan/Solat Insya’
09.00 – 11.00 malam :
Ucaptama & Penutup
Ybhg Dr Azwira Abdul Aziz
JAZAKALLAH KHAIRA KATIRA
Arah ke UNIKL Melaka dari Tol Simpang Ampat/Tol Alor Gajah Dari Tol Simpang Empat, terus ke bulatan–> Di bulatan ambil kanan (pukul 3)–> Teruskan perjalanan dan jangan belok ke mana-mana hingga bertemu papan tanda menunjukkan UNIKL Micet di sebelah kiri anda–> Belok ke kiri dan teruskan hingga bertemu simpang tiga–> Belok kiri. Peta boleh dilihat di sini
View Larger Map
View Larger Map Peta ke UNIKL Micet Dari Tol Simpang Empat
Sebarang persoalan, sila hubungi
Setiausaha Institut Ibnu Hajar (IBH)
Abdul Karim Bin Abdul Rahman
016-6186310
Untuk sumbangan kewangan: Institut Ibnu Hajar 554110100995 Maybank
Cara Pemilihan Perdana Menteri-Pandangan Dr Mohd Asri
Mungkin sudah sampai masanya untuk rakyat Malaysia memikirkan kaedah pemilihan Perdana Menteri negara ini dengan cara yang membabitkan setiap individu rakyat.
Sistem yang digunapakai di Amerika, mungkin boleh difikirkan disamping beberapa pengubahsuaian berdasarkan kepada keperluan negara ini.
Kelebihan pemilihan terbuka yang seperti itu boleh dilihat kepada beberapa perkara berikut;
- Pemilihan seperti itu akan benar-benar mewakili keredhaan majoriti rakyat.
- Cara pemilihan yang sebegini, dengan diberi peluang yang adil bagi setiap calon akan menghasilkan tokoh kepimpinan yang lebih berkarisma, berkemampuan dan telus.
- Kewibawaan atau kesetiaan rakyat untuk taat kepada sesiapa yang dipilih menjadi Perdana Menteri lebih nyata disebabkan setiap warga diberi peluang yang sama dalam pemilihan.
- Cabaran atau ugutan penentang Perdana Menteri yang dipilih tidak boleh menggugat kewibawaan seseorang Perdana Menteri kerana dia benar-benar dipilih oleh majoriti rakyat.
- Mereka yang tidak berwibawa atau bermasalah akan bimbang untuk menawarkan diri dalam pemilihan yang terbuka seperti itu.
- Kesedaran umat Islam tentang perpaduan dan ukhuwwah islamiyyah demi survival mereka akan meningkat.
Namun cadangan ini jika hendak dilaksanakan hendaklah benar-benar dihalusi agar lebih mendekati maksud sistem syura yang dinyatakan oleh Islam.
Penegakan akhlak islamiyyah dalam pemilihan calon dan kempen hendaklah dijadikan asas yang membawa kepada keharmonian pemilihan.
sumber: http://drmaza.com/home/?p=518
Sang Murobbi akan ke Malaysia!
Menasabkan Anak Kepada Suami Ibu Sekalipun Perkahwinan Kurang Daripada Enam Bulan
Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin yang bermesyuarat pada September 2008 telah memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibubapanya kurang daripada enam bulan seperti berikut;
“Anak yang lahir kurang daripada 6 bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”
Keputusan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn DYMM Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.
Maksud Fatwa:
Seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang kurang daripada tempoh 6 bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya.
Senario:
Di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di ‘bin’ kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam ertikata lain anak tersebut dianggap ‘anak luar nikah’.
Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut.
Pihak ibubapa pula, amat sukar untuk menerangkan masalah tersebut kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka ‘aib yang telah cuba ditutup. Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibubapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga. Atas keadaan tersebut maka, isu ini dibincangkan dalam Fatwa Negeri Perlis. Setelah meneliti dalil-dalil syarak dan alasan-alasan para sarjana yang berbagai, maka keputusan tersebut dibuat.
Antara Asas Alasan:
Dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi s.a.w.: “Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini disebutkan oleh Nabi s.a.w apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya. Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah. Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi s.a.w, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d. Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam’ah dengan bersabda: “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut) ”.
Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah s.a.w memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina. Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi s.a.w yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas. Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti berbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga. Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.
Bahkan di kalangan sarjana Islam ada yang berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya. Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain seperti dalam kes hadis di atas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim”. (lihat: islamonline.net).
NAMUN: Keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan, dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.
Kebaikan Fatwa Ini:
Menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat.
Menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurang tempoh perkahwinan.
Membantu ibubapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.
Kesannya:
Pihak pendaftaran hendaklah memberikan hak berbinkan suami ibu (bapa) kepada anak yang lahir sama ada kurang atau lebih daripada enam bulan tempoh perkahwinan ibunya, dengan syarat si suami tidak membantah.
Yang benar,
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
(Mufti Kerajaan Negeri Perlis)
sumber: http://drmaza.com/home/?p=488#more-488
Kem Remaja Bestari Solat keArah Bina Insan Bertaqwa
DARUL QURAN BANDAR SUNWAY
- Program Musim Cuti Sekolah -
Mempersilakan Tuan/Puan untuk memenuhkan musim cuti remaja dengan
“Kem Bestari Solat keArah Bina Insan Bertaqwa”
KONSEP BERASRAMA DAN SEPENUH MASA BERIBDAT
TARBIAH ISLAM AM UNTUK REMAJA
(UMUR: 10 TAHUN HINGGA 15 TAHUN)
ASRAMA DI SEDIAKAN TERMASUK MAKAN MINUM
PROGRAM
- Qiamullail
- Bimbingan Solat, Latihan Azan/Iqqamat/Jadi Imam – Sessi kaunseling – Asas Fardu Ain – Kisah Anbia – Tajwid Al Quran – Tafsir Al Quran – Sunnah Nabi
Matalamat: 1. Menanam ruh solat dan pengaruh dalam kehidupan harian 2. Meninggkat kan insan robanni
Tarikh: 28 November 2008 hingga 30 November, 2008
Tempat:Darul Quran, Bandar Sunway,
Selangor No. 14A, Jalan PJS 10/32
Bandar Sri Subang 46000 Petaling Jaya
(Belakang Masjid Bandar Sunway bertentangan dengan Sunway Lagoon)
Yuran:RM 120.00 (Makan,Minum,Nota dll)
Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
- Ustaz Ismail Tel: 012-3617494,019-2662771
- Ustaz Nik Tel: 016-3558053, 012-2219811
Email: Ustaz
(TOLONG HEBAH KAN KEPADA KENALAN ANDA)
sumber: http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=128224
Kembara Ahli Hadith Silam – Satu Penelitian Ilmiah
Dijemput datang untuk perkongsian ilmu….
Tajuk: Kembara Ahli Hadith Silam – Satu Penelitian Ilmiah
Oleh: Adlan Bin Abd. Aziz
Tarikh: 6 November 2008 (Khamis)
Masa: 8.00 malam

Tempat: Islamic Info And Services (IIS), Tingkat 5 (atas Saba Islamic Media), Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa.
….Kita akan melihat dengan lebih dekat realiti sebenar ‘Kembara Ahli Hadith Silam’ dengan menumpukan kepada :
1- Bagaimana ia dilakukan,
2 – Kenapa ia dilakukan,
3- Faedah dan manfaat ilmiah,
4- Kepentingan aspek ini dalam kajian hadith moden.
Insya Allah…
Kenali Sejarah Ulama Silam, Hargai Sumbangan Mereka Untuk Islam…













