GAZA: Masihkah Ada Peluang?

February 9, 2008 at 7:39 pm | Posted in PALESTIN | Leave a comment

Gaza: Peluang Masih Ada

Ketika lebih 2000 orang para aktivis politik dan juga ahli parlimen sayap kiri dari Israel bertumpu ke Gaza membawa bekalan perubatan, makanan dan juga barang-barang keperluan untuk rakyat Gaza, Husni Mubarak telah mengerahkan tenteranya untuk menangkap para demonstran di Kaherah. Para demonstran yang terdiri dari kalangan para aktivis politik tersebut telah keluar untuk membantah tindakan Israel menutup penyaluran minyak, bahan makanan dan juga bekalan ubatan ke Gaza. Kepungan yang disifatkan oleh pengarah UNRWA sebagai bakal menyaksikan krisis kemanusiaan yang akan membawa kepada malapetaka. Kepungan tersebut dikenakan di sempadan timur dan selatan Gaza yang bersempadan dengan Israel dan juga jalan laut ke Gaza. Sempadan Gaza-Mesir pula, rejim Zionis hanya menyerahkannya kepada Husni Mubarak untuk berkhidmat bagi pihak mereka.

Keadaan sempadan Gaza-Mesir (Rafah) telah menyebabkan Mubarak bertambah bingung. Selepas ianya diletupkan seraya membuka laluan kepada ratusan ribu rakyat Gaza untuk mendapatkan secebis kehidupan mereka. Mubarak terpaksa membiarkan lebih 350,000 penduduk Gaza memasuki Rafah sebelah Mesir untuk mendapatkan barang keperluan harian mereka seperti yang telah ditayangkan di semua kaca televisyen di serata dunia. Tindakan Mubarak tersebut dilihat sebagai sesuatu di luar kerelaannya agar tidak disalahkan dunia jika beliau mengambil sikap yang keras. Malang sekali, keesokan hari pula, beliau telah mengarahkan agar tentera-tenteranya mengasari rakyat Palestin dan menutup segera sempadan tersebut. Peluru hidup telah dilepaskan dan mencederakan puluhan rakyat Gaza. Apabila gambar tentera Mesir mencederakan dan mengganasi rakyat Palestin tersebar ke seluruh dunia, beliau mengizinkan kembali sempadan itu dibuka.

Seperti kebanyakan diktator rejim-rejim lain di timur tengah, beliau tersepit di antara dua tekanan. Tekanan dari rakyat yang telah mula memprotes sikap rejim-rejim tersebut yang membisu dan menyepi, dan juga tekanan dari AS yang bersenjatakan ugutan untuk memutuskan bantuan kewangan kepada rejim-rejim berkenaan. Bak kata Dr Azzam Tamimi lewat wawancara beliau di rancangan Hard Talk di stesen televisyen BBC, bantuan 2 bilion tersebut bukanlah sampai kepada rakyat Mesir, tetapi diagih-agihkan dahulu oleh sang diktator dan konco-konco beliau. Maka, jika bantuan tersebut dihentikan, merekalah yang paling merana, rakyat tidak akan terjejas. Pada hari Jumaat (25 Januari 2008) yang lalu, kesemua ibu kota negara-negara di timur tengah telah menyaksikan protes rakyat yang mendesak AS agar menghentikan sekatan ekonomi tersebut. Mereka juga mendesak agar para diktator mereka juga melakukan sesuatu. Stesen televisyen al-Jazeera (Arab) tidak cukup tangan untuk melaporkan kesemua demonstrasi tersebut.

Malangnya, sehingga kini, tiada lagi inisiatif yang seirus selain dari kutukan semata-mata dari rejim-rejim tersebut. Malah presiden PA yang didokongi rejim Zionis Israel, Mahmud Abbas pun sekadar mengutuk sahaja tindakan Israel tersebut. Lebih menarik, beliau dijadualkan untuk bertemu rakan karibnya, PM rejim Zionis, Ehud Olmert untuk membincangkan strategi untuk menghancurkan kerajaan pilihan rakyat Palestin di Gaza. Mungkin tahap kesedaran yang ada pada aktivis pertubuhan pro-kedamaian Yahudi (Gush Shalom), iaitu Uri Avnery lebih tinggi berbanding para diktator yang wujud itu. Persoalan lain yang timbul juga ialah kelesuan OIC. Para menteri luar negara-negara Islam hanya akan bertemu pada 3 Februari 2008, lebih tiga minggu selepas keadaan kemanusiaan di Gaza semakin meruncing. Pelawaan Iran yang bersikap pro-aktif tidak mendapat layanan. Persidangan itu hanya akan diadakan di Jeddah, Arab Saudi. Setakat ini hanya kutukan dan gesaan sahaja yang kedengaran.

Tidak banyak yang dapat diharapkan melalui pertemuan menteri-menteri luar tersebut. Seperti kebiasaannya, peluang bertemu itu hanya akan menjadi peluang untuk mereka makan angin dan kemudiannya bertikam lidah. Hanya retorik tanpa tindakan. Resolusi-resolusi yang lepas pun hanya menjadi catatan tanpa apa-apa tindakan yang konkrit. Maka, apakah yang boleh dilakukan oleh rakyat? Tidakkah mereka boleh melakukan sesuatu yang lebih agresif dan melampaui sikap retorik semata-mata?

Sehingga kini, OIC masih lagi tidak mengiktiraf kerajaan pilihan rakyat di Gaza. Mereka juga tidak mengadakan apa-apa hubungan diplomatik dan hubungan dagang dengan Gaza. Apakah dengan kutukan-kutukan mereka, rejim Zionis akan segera tunduk?

Jikalaulah para aktivis isu Palestin dari kalangan warga Israel boleh bangkit menghulurkan bantuan makanan ke sempadan Gaza, umat Islam boleh melakukan lebih daripada itu. Sementara sempadan Rafah (Gaza-Mesir) masih terbuka, eloklah tindakan segera untuk menghantarkan bantuan diusahakan. Selain dari bantuan minyak, bahan keperluan asasi dan ubat-ubatan yang boleh dihulurkan, negara-negara OIC juga boleh menghantar pemerhati mereka untuk memastikan agar tentera-tentera Mesir tidak mengasari rakyat Gaza yang melalui sempadan Rafah. Mereka juga boleh menghantar para pemerhati keselamatan untuk berada di Gaza agar pihak rejim Zionis tidak sewenang-wenang memasuki Gaza untuk membunuh rakyat seperti yang telah mereka lakukan sebelum ini. Sudah sampai masanya juga untuk negara-negara OIC yang mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Zionis untuk memutuskannya. Bagi para doktor dan badan-badan sukarelawan, inilah masanya untuk mereka mengambil peluang ke sana dan menghulurkan bantuan.

Anda pula bagaimana? Hulurkan bantuan!

oleh: ustaz mazslee malik 

sumber: http://maszleemalik.blogspot.com/search?updated-max=2008-01-31T03%3A04%3A00-08%3A00&max-results=7

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: