Manfaatkan dialog untuk dakwah

February 20, 2008 at 5:20 pm | Posted in BERITA | Leave a comment

ba_01_big.jpg

Abd. Aziz Mohd. Zain.

Islam adalah agama yang bersifat universal. Ia diturunkan kepada seluruh umat manusia tidak kira warna kulit atau pun bahasa pertuturan.

Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah, Dan tidaklah kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekelian alam. (al-anbiya’: 107)

Dalam hidup masyarakat majmuk seperti Malaysia, sudah pasti tugas berdakwah ini bukan hanya terbatas kepada sesama Muslim tetapi juga kepada bukan Islam.

Bagi mencapai persefahaman, tentulah dialog atau majlis perbincangan keagamaan diperlukan sebagai medium berdakwah khasnya kepada bukan Muslim.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ROY AZIZ ABD. AZIZ menemu bual pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya, Prof. Dr. Abd. Aziz Mohd. Zain bagi mengupas isu ini.

Mega: Apakah konsep hidup dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia?

DR. ABD. AZIZ: Konsep hidup Islam dalam masyarakat majmuk ialah ingin mempengaruhi orang lain. Satu cara utama mencapainya ialah menunjukkan cara hidup yang berkualiti.

Inilah juga maksud sebenar syahadah kita iaitu menyaksikan bahawa orang Islam itu menganut agama yang berkualiti dan benar yang telah dipersaksikan melalui kehidupan yang berkualiti.

Dalam masyarakat majmuk, setiap orang Islam hendaklah bersaksi dalam erti kata menghayati dan menganuti agama Islam yang tinggi mutunya. Inilah konsep sebenar dakwah.

Sebabnya, umat yang lemah tidak akan dapat mempengaruhi orang lain. Sebaliknya umat yang berkualiti dan kuat boleh berbuat demikian.

Dalam Perjanjian Hudaibiah misalnya, kita dapat lihat bagaimana ketinggian budi pekerti baginda s.a.w berjaya menarik hati kaum Musyrikin Mekah.

Walaupun baginda dan rombongan dihalang mengerjakan umrah pada tahun tersebut, baginda tidak membantah. Dengan sebab itu, masyarakat Mekah merasakan tidak terpaksa menerima baginda sebab ada kalanya Rasulullah s.a.w melayan kehendak mereka.

Pendek kata, toleransi kalau boleh mendatangkan natijah yang baik, merapatkan hubungan, menghapus curiga, prejudis dan kegelisahan maka ia disuruh.

Kesimpulannya, konsep hidup Islam ialah menonjolkan kualiti hidup untuk mempengaruhi orang lain.

Satu daripada cara memberi pemahaman kepada bukan Muslim ialah melalui dialog keagamaan. Namun, bagaimana memastikan keberkesanannya di samping memastikan tidak wujud unsur pluralisme sehingga mengatakan semua agama itu baik dan benar?

DR. ABD. AZIZ: Dialog itu bagus dan perlu. Namun asasnya ialah Islam itu perlu diterima dengan jelas. Untuk itu, Islam harus dikemukakan dengan sebaik-baiknya. Malah dalam al-Quran ada sekurang-kurangnya lima ayat yang menceritakan keperluan memperincikan Islam dengan jelas dan nyata atau Balaghul Mubin.

Antaranya firman Allah, Dan tugas kami (Rasul) hanyalah menyampaikan perintah Allah dengan cara jelas dan nyata. (Yasin: 17)

Dakwah ini tidak boleh dipaksa. Kalau dipaksa akan berlaku pemberontakan dari dalam diri seseorang itu. Islam juga tidak memaksa sesiapa pun masuk Islam. Ini dijelaskan oleh Allah, Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dan jalan yang salah…(al-Baqarah: 256)

Antara tugas dakwah ialah memberi penjelasan yang nyata supaya jelas dan mudah difahami perkara yang baik dan yang batil.

Salah satu caranya adalah melalui dialog, perbincangan atau perbahasan dakwah. Namun, dalam berdialog ini kita perlu berpegang kepada tiga asas utama iaitu hikmah atau bijaksana, nasihat yang baik dan dialog yang terbaik. Ini dijelaskan menerusi firman Allah, Berdakwahlah kepada jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan berbahaslah (berdialog) dengan mereka dengan cara yang terbaik…(an-Nahl: 125)

Apabila berdialog, kita boleh menentukan mana yang baik dan boleh diterima. Melalui perbincangan dua hala itu juga kita dapat melihat mana yang lebih berkualiti, sesuai dan tidak sesuai.

Dalam dialog itu juga mesti menjaga beberapa adab antaranya jangan merendahkan pihak lain atau menghina tuhan orang lain. Sebabnya dialog bertujuan mencari kebenaran, kualiti dan titik pertemuan bukannya membakar lagi perseteruan.

Contohilah kaedah yang ditunjukkan oleh Allahyarham Ahmad Deedat dalam berdialog dengan golongan Kristian. Walaupun bukan semua yang mendengar dialog itu memeluk Islam tetapi ramai yang berbuat demikian selepas beberapa ketika hasil dialog tersebut.

Dengan kita yakin Islam ada asal-usul yang jelas, berkualiti dan sesuai dengan semua masa dan keadaan setempat untuk kebaikan dunia dan akhirat kenapa kita harus bimbang masuk gelanggang?

Ada yang merujuk kepada surah Hud ayat 118 jika dikehendaki Allah maka nescaya seluruh manusia akan jadi umat yang satu menyebabkan ada berpendapat tidak perlu berdakwah kepada bukan Islam. Benarkah pandangan begini?

DR. ABD. AZIZ: Kita boleh bahagikan bab ini kepada dua iaitu akidah dan perbuatan. Kita memang disuruh serah segala-galanya kepada Allah.

Cuma dari sudut amalan, Tuhan ciptakan kita di dunia ini supaya beramal soleh. Antara amal soleh yang paling utama ialah memandu orang kepada kebaikan. Kita orang baik dan ajak orang lain turut sama buat kebaikan.

Jadi, dalam bab amalan kita buat sahaja apa yang Allah perintah. Ini ada kaitan dengan qada dan qadar. Jangan dipersoalkan perintah solat, puasa, haji dan sebagainya. Jika ingkar kita derhaka.

Bagaimanapun, kepercayaan dan perbuatan ini tidak bertembung. Ia boleh berlaku serentak. Contohnya, fikiran kita melayang mengenangkan kampung halaman tetapi jasad kita masih ada di pejabat.

Barangkali inilah yang menyebabkan dakwah kita lebih tertumpu kepada yang dah Islam dan bukannya yang belum Islam?

DR. ABD. AZIZ: Ada dua pandangan dalam hal ini. Pertama, kita tidak galakkan dakwah keluar iaitu kepada bukan Islam selagi tidak selesaikan masalah dalaman yang melibatkan umat Islam sendiri.

Hujah mereka, orang Islam masih ada masalah bagaimana kita nak buka kepada yang bukan Islam. Kalau berjaya pun, hasilnya bukan terbaik. Ada juga kewajaran hujah ini. Mungkin itulah juga sebab dakwah sekarang kurang berkesan.

Pandangan kedua, mahu usaha dakwah kepada umat Islam dan bukan Islam berjalan serentak. Hujah mereka, kalau nak tunggu masalah dalaman umat Islam selesai, ia tidak akan selesai. Inilah kaedah yang terbaik.

Apakah masa depan Malaysia sebagai negara Islam moden dan sederhana dalam menjadi model kepada lain-lain negara Muslim yang masih mundur?

DR. ABD. AZIZ: Melihat kepada pencapaian negara dan persepsi orang luar terutama orang Arab, kita rasa bangga. Sebabnya, kepada Malaysia mereka menaruh harapan tinggi setelah mereka sendiri merasakan tidak ada jalan bagi mereka membaiki mutu orang Islam.

Pada masa yang ada juga kebimbangan. Sebabnya masih ada kelemahan tertentu yang terpaksa dihadapi. Antaranya jurang pencapaian spiritual dan material yang agak besar. Kalau dibiarkan lama kelamaan ia boleh meruntuhkan pencapaian material.

Kalau kita ingin melihat Malaysia capai kemajuan yang berterusan dan jadi contoh kepada negara lain adalah bijak usaha ditumpukan kepada cara menangani perkara yang boleh membawa masalah ini.

Kita mesti ada jati diri dan kalau masalah spiritual atau keruntuhan akhlak ini boleh dikurangkan ia boleh memberi harapan yang besar kepada masa depan negara.

Mana-mana pencapaian yang membanggakan negara itu perlu diteruskan supaya melonjak lebih laju manakala segala kebimbangan itu hendaklah cuba ditangani supaya berkurangan.

Kedua-dua elemen iaitu pembangunan luaran dan pembangunan dalam adalah diperlukan untuk memacu kemajuan negara.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: