3 Tanda Kemanisan Iman

March 31, 2008 at 5:16 pm | Posted in ARTIKEL | 8 Comments

Kemanisan Iman

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik ra)

Berdasarkan hadis ini, ada tiga sifat yang jika ada pada seseorang maka orang itu akan berasakan manisnya iman. Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah, ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.

Al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata, “Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah berkata: “Pengungkapan dengan lafaz ‘manis’ kerana Allah mengumpamakan iman seperti pohon, seperti di dalam firman-Nya bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik.” (Surah Ibrahim, ayat 24)

Kalimat yang baik adalah kalimat ikhlas, kalimat tauhid, sedangkan pohon adalah pokok daripada keimanan, cabangnya adalah menjalankan perintah dan menjauhi larangan, daun-daunnya adalah segala amal kebaikan yang harus diperhatikan seorang mukmin, dan buahnya adalah tingkatan Ihsan dalam kerja-kerja amal yang dilakukan yang dirasai di sebaliknya pemerhatian Allah .

Manisnya buah pula amat dirasai ketika buah sudah cukup tua bersedia untuk dinikmati.

Mencintai Allah mestilah melebihi cintanya kepada orang lain seperti orang tua, anak, diri sendiri dan sesiapa saja yang dekat dengan kita. Beriman kepada Allah memiliki rasa manis yang tidak mungkin dinikmati, kecuali oleh orang yang beriman dengan sebenar-benar keimanan, penuh keikhlasan dan ilmu.

Oleh kerana itu, tidak semua orang yang mengatakan dirinya Muslim atau mukmin secara automatik dapat berasakan manisnya iman. Iman bukan cukup hanya dengan angan-angan, tetapi wajib dimantapkan dalam hati, dikuatkan dengan perkataan dan perbuatan yang dijiwai sepenuh hati. Kata kunci segala permasalahan ini adalah ikhlas, dan ikhlas pula adalah hadian dianugerahi pada hamba yang bersih hatinya.

Mengikut Ibrahim al-Khawas , proses pembersihan hati berlaku melalui langkah-langkah berikut :

– Membaca al-Quran dengan merenungkan dan memahami maknanya.

– Qiyamullail .

– banyak beristighfar .

– Berkawan dengan orang yang jujur mencintai Allah dan orang salih.

– Kurangkan makan .

Mencintai Rasulullah SAW yang menyusul selepas mencintai Allah adalah ciri terpenting yang harus dimiliki siapa saja yang ingin berasakan kelazatan iman.

dalam sebuah hadith yang sahih Saidina Umar al-Faruq pernah berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu apa pun, kecuali diriku.” Maka Nabi SAW menjawab, “Bukan begitu, demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri.” Maka Umar menjawab, “Demi Allah, sesungguhnya engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Maka Nabi SAW menjawab, “Sekarang Umar, (telah sempurna imanmu).”

Al-Syaikahani meriwayatkan dari Anas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman salah seorang di antara kalian, sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia.”

menurut Dr Aish al-Qarniy dalam kitabnya Rahmatan Lil Alamin, antara cara mencintai Nabi SAW:

– Beriman bahawa Muhammad SAW adalah utusan Allah, yang diutus kepada seluruh umat manusia, sebagai pemberi peringatan dan khabar gembira, sebagai penyeru ke jalan Allah dengan pembawa cahaya kebenaran.

– Menjalankan perintah Baginda dan menjauhi larangannya.

– Memperjuangkan sunnahnya, mengamalkan dan menyebarkan

– Banyak berselawat dan bersalam kepada Rasulullah SAW.

– Mencintai sahabat dan kaum kerabat Baginda dan membela mereka.

– Mengkaji perjalanan hidup dan sirah Baginda

Mencintai seseorang kerana Allah maksudnya menjaga hubungan kasih sayang antara seorang Muslim dengan saudaranya atas landasan iman kepada Allah SWT dan amal soleh.

Kita mencintai saudara kita bukan kerana keuntungan kebendaan atau harta, kita membencinya atau menjauhinya bukan kerana kemiskinan atau tidak memperoleh manfaat dunia darinya. Ukuran kecintaan kita kepadanya adalah atas dasar iman dan amal salih.Tanda mencintai seseorang muslim juga ialah menolongnya pada saat dia memerlukan bantuan, tidak membuka aib, tidak membenci, tidak iri dan dengki terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada saudara kita.

Selain itu kita juga hendaklah mendoakan buat saudara kita tanpa pengetahuannya dan mengucapkan salam jika bertemu, bertanya khabar keadaannya, tidak berkelakuan sombong kepadanya.

sumber: http://www.zahazanmohamed.blogspot.com/

NASIHAT BERGUNA BUAT KHALAF DAN SALAF

March 31, 2008 at 7:04 am | Posted in SOAL JAWAB | Leave a comment

( Diterbitkan oleh METRO AHAD, 24 Dis 06 dengan versi artikel)

 Oleh : Ust Zaharuddin Abd Rahman ( dengan sedikit tambahan)

SOALAN 

soalan saya ustaz, ilmuan kaum tua dan kaum muda sekarang masih lagi berbeda pendapat hatta pada masalah yang furu’. mereka masih berfikiran sempit dan tidak mahu mengambil pengajaran atas dasar taqlid yang pernah dianuti masyarakat islam dahulu. bagaimana ustaz peranan para ilmuan muda ini untuk mendapat tempat dalam bidang intelektual sekarang? -hidayah-

 JAWAPAN

Sedar atau tidak sedar, perselisihan dan perbezaan pendapat antara golongan yang mengkaji dan mengamalkan agama Islam di Malaysia menjadi semakin hangat. Ia semakin mendapat perhatian ramai apabila muncul di akhir-akhir ini golongan kelas pertengahan dari masyarakat yang suka mendapatkan sesuatu hukum beserta dengan dalil-dalilnya, tanpa hanya mendengar ‘halal’ atau ‘haram’ dan kemudian menurutinya dengan selesa. Dengan pertambahan golongan masyarakat yang sebegini, maka pendapat mazhab Syafie yang sudah biasa didengari dan dikuti tanpa banyak soal sejak turun termurun sudah mula dibuka untuk perbandingan dengan pandangan-pandangan lain, demi mendapatkan satu hukum yang benar-benar selesa dipegang oleh golongan ini. Secara tidak lansgung, tindakan ini dilihat amat negatif oleh sebilangan golongan dan kelompok masyarakat yang lain, iaitu dalam keadaan mereka sudah amat selesa dengan satu pegangan itu sejak sekian lama tiba-tiba muncul perbincangan terhadap pegangannya. Hal seperti ini menjadikan perang mulut berlaku dan ‘perdebatan dari jauh’ dan dekat juga tidak kurang banyaknya. Hasil tinjauan dan pengamatan sederhana saya,  mendapati adakalanya perdebatan ini bertukar kepada perdebatan sihat kepada yang sebaliknya. Hasil dari itu, saya ingin mengambil peluang di ruang ini bagi berkongsi nasihat yang ebrguna buat sahabat-sahabat dari kedua-dua aliran. Diharap mereka sudi untuk membacanya tanpa prejudis. Bagi saya, peranan golongan ilmuan muda hari ini antaranya :-  

a) Tidak cepat menghukum sebaliknya perlulah memahami perjuangan kedua-dua kumpulan dengan baik  

b) Menjaga asas dan adab serta bersabar dalam perdebatan dan perbincangan.

c) Memahami hujjah, kondisi, kesediaan masyarakat setempat.

d) Merujuk sesuatu isu dari sumber rujukan samada kitab yang benar-benar mewakili mazhab itu. Jika mazhab Syafie, maka perlulah dirujuk kitab utama yang telah disepakati oleh ribuan ulama Syafie silam seperti Ar-Rawdah, Al-Majmu’, Nihayatul Muhtaj, Tuhfatul Muhtaj, Mughni al-Muhtaj, Fath al-‘Aziz dan Al-Umm. Ini antara kitab utama yang mesti dipastikan rujukan bagi mendapatkan satu fatwa yang mewakili mazhab Syafie.

e) Bersikap terbuka dan beradab dalam menilai pandangan-pandangan ulama lain dan dalil bagi setiap fatwa mereka. Dan banyak lagi peranan lain yang tidak mampu saya nyatakan di ruangan kecil ini. Justeru, eloknya ilmuan muda dan dewasa meneliti di mana punca temu dan tembung antara dua aliran ini.

Jika diteliti, kita akan dapati kedua-dua mereka bertemu dalam banyak perkara, terutamanya,  bertemu dalam niat baik yang ingin disumbangkan kepada masyarakat.. Kaum Muda yang di namakan juga ‘salafi’, ‘tajdid’, ‘sunnah’ atau dicop juga sebagai ‘wahabi’ pada hemat saya menginginkan seluruh masyarakat lebih ‘selamat’ dan hampir kepada Al-Quran & as-Sunnah (pada hemat dan penelitian mereka) ; iaitu  dengan cara membawa mereka kepada pegangan Aqidah dan Ibadat yang dipaku dengan dalil sohih tanpa hanya terikat dan taqlid kepada satu aliran atau pendapat saja. Ia satu niat yang amat baik dengan mengembalikan fungsi aqal yang dikurniakan Allah SWT serta memurnikan ibadat dari rekaan-rekaan yang dijangkakan boleh menghilangkan sasaran pahala yang diletakkan oleh Rasulullah SAW. Kaum Tua atau dikenali sebagai ‘Khalafi’ yang berpegang dengan umum mazhab Syafie pula berhasrat memudahkan orang awam yang dirasakan kebanyakannya kurang mampu untuk mengikuti kaedah tadi, lalu mereka mempopularkan cara taqlid (ikutan tanpa kajian terperinci) sebagai medium penyatuan dalam masyarakat dan juga ibadah, selain menganugerahkan kemudahan buat masyarat yang majoritinya tidak punyai kemampuan untuk mengkaji secara mendalam hingga ke tahap dalil bagi sesuatu ibadat.

Selain itu, mereka juga risau akan munculnya individu yang tidak berkelayakan lalu menggunakan kaedah rujukan dalil tadi sehingga menyeleweng, menurut mereka lebih baik bertaqlid kepada satu mazhab (Syafie) berbanding silap menyeleweng atau lebih baik pegang pendapat ulama syafie dari pegang pendapat sendiri yang amat tidak ‘alim. Niat mereka ini lebih elok jika kita sedari dari asyik berbicara tentang perselisihan mereka. Selain itu, akibat peselisihan yang semakin buruk, muncul tuduhan dari kedua-dua kumpulan bahawa orang sana tidak lain hanya ingin menyesatkan dan memecah belahkan orang ramai. Masing-masing menuduh antara satu sama lain sebagai punca masalah tanpa sedar lagi kemungkinan dirinya adalah silap. Justeru, kita dapat lihat inilah perjuangan mereka semua niat adalah baik, cuma mereka berbeza dalam target bentuk pergerakan, penentuan keutamaan dan pendekatan.

Peranan Penyokong

Malangnya dengan di’api’kan oleh penyokong masing-masing yang kurang ‘ilmu’ dan penghayatan, maka pertembungan menjadi serius, titik selisih menjadi utama menenggelamkan hasrat murni dan titik persamaan. Hinggakan guru-guru kedua kumpulan yang pada asalnya cukup lunak dan berbaik, menjadi keras, tuduh menuduh berlaku, remeh meremeh, balas membalas, lebih amat malangnya banyak pula si ‘guru’ yang bertindak balas bukan dalam isu yang sebenar, tapi hanya akibat mainan mulut si anak murid atau penyokong yang suka menokok tambah bagi menyedapkan perisa, kononnya orang sana menyebut itu ini. Suka saya nasihatkan si murid agar mengingati kembali bab ‘An-Namimah’ iaitu mengadu domba yang amat dicela oleh Islam. Guru mana yang tidak ‘marah’ apabila dilaporkan oleh si anak murid bahawa orang sana mengatakannya mengajar ajaran yang tidak benar, sesat, hujah cetek, menolak Usul Fiqh, tak mengetahui hadith dan lain-lain. Malah lebih buruk apabila kritikan hujjah merebak kepada kritikan peribadi, rupa wajah dan lain-lain.

Nabi SAW bersabda : ‏لا يدخل الجنة ‏ ‏نمام Ertinya : Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba ( Riwayat al-Bukhari)

Huraian ringkas berkenaan tajuk yang disebut dalam kitab “Al-Halal Wal Haram” oleh Dr Yusof Al-Qaradawi sangat baik dibaca oleh ilmuan dan para pengaji agar tidak tergolong dalam kumpulan pengadu domba yang memburukkan keadaan, memutuskan ikatan kasih antara muslim dengan berselindung di balik ‘niat baik’ kononnya untuk meluruskan orang yang sedang menyeleweng. Saya kerap berjumpa, pertempuran hujjah si ‘guru’, tetapi ia sebenarnya adalah hasil ‘mulut’ si anak murid, maka bertempurlah si ‘guru’ tanpa fakta yang sebenar tentang pihak sebelah sana, amat malang dan membuang masa. Inilah akibat kesimpulan sendiri dari kedua-dua belah pihak, sehingga mengadakan perkara yang tiada.

Peranan Syaitan

Dalam keghairahan menegakkan hujjah, pendekatan, keutamaan yang diletak oleh kumpulan dan perjuangan masing-masing, ramai yang tidak sedar bahawa Syaitan bertapak semakin hebat dalam diri. Sedarkah kita bahawa Syaitan pasti melontarkan rasa keakuan, ego, sombong, rasa diri ‘alim kerana hujjah mantap?. Ketika itu, secara sedar atau tidak, sekiranya hujjah di pihak lain adalah benar sekalipun , ianya tetap akan dilihat salah, sekaligus menolaknya dengan pantas, sambil merujuk ke guru masing-masing untuk mencari hujjah tambahan. Kerap juga saya dengari di kalangan penyokong-penyokong ini merujuk kepada guru mereka sambil berkata “Ust , bagaimana saya nak jawab hujjah mereka yang ini, yang itu dan lain-lain” . Sedarkah kita bahawa kemungkinan hujjah itu benar?. Tetapi dalam hal ini, si penyokong seolah-olah sudah pasti ianya salah, cuma mereka kurang mahir menacri hujah menolaknya sahaja. Sang guru pula akan rasa tercabar apabila hujjahnya dipatahkan lalu dengan begitu bersemangat pula membawa ‘buah’ baru untuk dilontarkan kepada ‘orang sana’. Jika ini berlaku, tiada lagi usaha mencari kebenaran tulen, yang ada hanyalah usaha menunjukkan ke’alim’an masing-masing. Adakalanya, belum pun sesuatu hujah ‘orang sana’ diamati sehingga habis ayat-ayatnya, telah digelengkan kepala, ditertawakan, diberikan senyuman sumbing tanda hinaan terhadap hujah orang lain.  

Nabi SAW menyebut : الكبر بطر الحق وغمط الناس  ” Takabbur itu adalah menolak kebenaran dan memperlekehkan manusia” ( Riwayat Muslim)

Berkata Syeikh Abu Raghib akan erti “Batar” dalam hadith di atas :- “Rasa ‘ujub’ atau keajaiban diri yang menyelubungi individu ketika diseliputi nikmat ( termasuk nikmat ilmu)” Inilah yang pasti berlaku dalam pertempuran hujjah yang diapikan oleh para penyokong ini. Perlekehan akan berlaku, lalu timbulah ayat-ayat seperti ” tak habis mengaji lagi tu” , ” hidung masih berhingus nak berhujjah”. ” ni mesti tak faham bahasa arab dengan baik ni” , “depa ni bukan reti ilmu hadith” dan banyak lagi dari kedua-dua belah. Sihatkah ini? Benarkah perjuangan kebenaran yang didokongi atau telah terseleweng sedikit demi sedikit?. Semoga Allah memberi rahmat buat kita semua dan mengampunkan saya dalam kesilapan pengamatan saya yang amat sederhana. Maaf buat semua jika ia mengguris anda tanpa hak.

www.zaharuddin.net

Tragedi hidup Sufiah

March 31, 2008 at 3:51 am | Posted in BERITA | Leave a comment

LONDON 30 Mac – Sufiah Yusof, seorang kanak-kanak pintar matematik yang pernah menggemparkan dunia apabila layak memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun, tidak putus-putus ditimpa nasib malang.

Selepas bapanya, Yusof Farooq dipenjara atas kesalahan melakukan serangan seksual ke atas dua gadis berusia 15 tahun yang mengikuti tuisyen matematik di rumahnya, Sufiah pula kini dilaporkan menjadi pekerja seks.

Tragedi yang melanda kanak-kanak genius itu dibongkar oleh wartawan News of the World yang menyamar sebagai pelanggan, di flat murah yang didiaminya di belakang lorong di Salford, Manchester.

Sufiah dikatakan terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu, untuk menyara hidupnya sejak beberapa tahun lalu.

Entah di mana silapnya, gadis dengan senyuman menawan itu yang kehebatannya sepatutnya menjadikan dia wanita kaya, terpaksa memilih jalan itu untuk terus hidup.

Menurut akhbar itu, Sufiah dilaporkan mengiklankan ‘khidmatnya’ melalui Internet dengan tawaran 130 pound (RM830) untuk setiap sesi.

Dengan memakai nama samaran Shilpa Lee, dia antara lain menggambarkan dirinya sebagai ‘pelajar bijak dan seksi’ yang menyediakan perkhidmatan setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 8 malam.

Dalam iklannya, menurut tabloid tersebut, Sufiah juga menyatakan dia lebih gemarkan ‘lelaki tua yang budiman’. Seorang bekas rakannya menyifatkan tindak-tanduk gadis itu sebagai: ‘‘Sesuatu yang sungguh menyedihkan.’’

“Dengan otak luar biasa yang dimilikinya, dia tidak mempunyai masalah untuk mendapat wang, sebaliknya hidup dia musnah dan menjadi tidak terkawal,” kata bekas rakannya lagi.

Selepas tiga tahun belajar di Universiti Oxford, pada usia semuda 15 tahun, Sufiah mencetuskan kegemparan apabila menghilangkan diri.

Dalam e-mel kepada keluarganya, dia menyifatkan hidup dengan bapanya ‘umpama dalam neraka’.

Ibu Sufiah, Halimahton berasal dari Muar, Johor manakala bapanya, Yusof berasal dari Pakistan.

Sufiah hanya ditemui dua minggu kemudian di sebuah kafe Internet di Bournemouth dan bekerja sebagai pelayan hotel.

Dia enggan kembali ke pangkuan keluarga dan diletakkan di bawah jagaan sebuah badan sosial sebelum kembali ke Oxford untuk menyelesaikan pengajian matematik peringkat sarjana.

Dia berkahwin pada 2004 ketika berusia 19 tahun dengan peguam pelatih, Jonathan Marshall, 24, tetapi rumah tangganya hanya mampu bertahan selama setahun.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

MIC branch dissolved, members become PAS supporters

March 30, 2008 at 4:23 pm | Posted in BERITA | Leave a comment

pict0571.jpg

Sunday March 30, 2008

TAIPING: The Kampung Jebong MIC branch in Simpang here was officially dissolved when 110 of its members quit the party to become members of “Kelab Penyokong PAS” (PAS Supporters Club).

Branch chairman M. Muninathan, accompanied by committee members, submitted their application forms to Bukit Gantang MP Roslan Shaharom at a village temple here on Saturday night.

Roslan said the welfare of the former MIC branch members and members of the Indian community would be taken care of.

“We will take care of you because any problems affecting the Indian community will also affect members of the other communities,” he said.

Roslan said he was indebted to the Indian community here as more than 95% of Indian voters within the Bukit Gantang parliamentary constituency had voted for him in the recently-concluded general election.

He said members of the community had every reason to rejoice as two of the three state seats in the constituency had been won by Barisan Rakyat, and the victors — Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) and Tai Sing Ng (Kuala Sepetang) — had been appointed exco members of the new Perak state government.

source: http://www.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/3/30/nation/20080330183441&sec=nation

Idris, Ahmad berpelukan

March 30, 2008 at 2:55 pm | Posted in BERITA | Leave a comment
Mar 30, 08 1:19pm
Bekas menteri besar Terengganu Datuk Idris Jusoh hadir di majlis angkat sumpah penggantinya Datuk Ahmad Said pagi ini.

Kedua-duanya juga berdakapan selepas acara itu – menjelaskan lagi kenyataan Ahmad kelmarin bahawa beliau tidak bermusuh dengan Idris.

Semua 22 wakil-wakil rakyat lain BN, awalnya menentang pelantikan Ahmad, menghadiri majlis angkat sumpah.

Majlis itu diadakan di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Krisis pelantikan menteri besar negeri itu mula menunjukkan tanda utama penyelesaian apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno memperakui pelantikan Ahmad yang dilantik istana, sekali gus menolak Idris yang didukung Perdana Menteri.

Upacara turut disaksikan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Shah.

Wakil-wakil rakyat PAS, yang diketuai presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut menghadiri majlis. Abdul Hadi, wakil Rhu Rendang, sebelum ini ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

Selepas MT membuat keputusan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN, termasuk Idris, akur dengan arahan perdana menteri  agar menerima pelantikan Ahmad.

Ahmad menerima watikah pelantikan daripada MPPR minggu lalu tetapi majlis angkat sumpahnya ditangguh selepas semua wakil BN memulaukan majlis tersebut.

Beliau semalam berkata senarai exco negeri akan dilantik lebih kurang seminggu lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, setiausaha badan perhubungan Umno, Datuk Rosol Wahid, berkata tiada usul undi tidak percaya akan dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap Ahmad.

Beliau berkata krisis pelantikan jawatan itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat negeri itu dan ada tanggapan kini sedang wujud perebutan jawatan dalam Umno, lapor Bernama.

“Kita boleh beri jaminan tidak akan ada apa-apa masalah selepas ini, sebab yang mendukung kita sekarang ialah rakyat. Jadi kita nampak, tidak perlu lagi timbul isu-isu yang meresahkan rakyat,” beliau dipetik sebagai berkata.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, beliau berkata:

“Jadi saya yakin (persidangan) dewan DUN nanti akan berjalan dengan lancar dan baik kerana matlamat kita adalah rakyat…”

sumber: http://www.malaysiakini.com/news/80595

Impian rakyat adalah melihat keadilan dan kesaksamaan

March 30, 2008 at 2:52 pm | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

pena-mufti-logo5.jpg

RAKYAT bukan mengharapkan dari pemimpin untuk menunjuk-nunjuk kemewahan diri seperti peraga fesyen mempamerkan gaya dan keranggian pakaian mereka di atas pentas.

Apa yang rakyat harapkan adalah pemimpin melakukan keadilan dan kesaksamaan. Rakyat akan bangga melihat pemimpin mereka adil, amanah terhadap harta negara.

Rakyat tidak bangga untuk mendengar cerita pemimpin mereka mewah dengan penuh tanda tanya tentang hartanya dan berjalan dengan penuh kebongkakan seakan dia ialah maharaja yang tidak boleh dikalahkan atau dipersalahkan. Seseorang pemerintah dibangga dan dikasihi oleh rakyatnya apabila terserlah keadilannya.

Khalifah Umar bin al-Khattab pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai manusia dengarlah!” Tiba-

tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar.” Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: “Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai.” Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman.”

Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: “aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”. Jawabnya: Ya! Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar.” (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).

Maka kita tidak peliklah mengapa umat ini sepanjang sejarahnya amat merindui dan mencintai pemerintahan al-khulafa al-rasyidin terutama Khalifah Umar bin al-Khattab ini. Beliau pernah berkata kepada gabenor yang dilantiknya iaitu Abu Musa al-‘Asy‘ari: “Wahai Abu Musa! Sesungguhnya engkau hanyalah salah seorang dari orang ramai, melainkan Allah menjadikan engkau yang paling berat menanggung beban antara mereka.”

Justeru itulah al-‘Adl wa al-Musawah (keadilan dan kesaksamaan) adalah teras kepada pemerintahan dalam Islam. Disebabkan keadilan yang pernah ditunjukkan oleh para khalifah yang adil dalam sejarah merekalah maka ribuan manusia menganut Islam atau ingin berlindung di bawah pemerintahan Islam. Namun, apabila umat Islam gagal mempamerkan sistem dan pelaksanaan pemerintahan yang adil lagi saksama, maka bukan muslim bukan sahaja tidak mahu menerima Islam, bahkan tidak memandang hormat kepada Islam. Lebih memalukan jika mereka pula lebih bermoral daripada kita dalam menguruskan harta rakyat mereka.

Lihatlah Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, ketika beliau berkuasa sebagai khalifah lalu berselisih dengan seorang Yahudi yang merupakan rakyat negaranya mengenai kuda Yahudi berkenaan yang hendak dijual. ‘Umar mencubanya sehingga cacat.

Umar berkata kepada Yahudi berkenaan: “Carilah seorang yang dapat memutuskan kes ini.” Kata yahudi berkenaan: “Aku reda dengan Shuraih al-‘Iraqi sebagai hakim.” Shuraih yang merupakan seorang muslim yang bertakwa lagi bijak dalam penghakiman. Apabila diangkat kes ini kepada Shuraih dia berkata kepada Umar yang merupakan seorang khalifah yang berkuasa: “Engkau telah mengambilnya dalam keadaan elok, maka engkaulah penjaminnya maka hendaklah engkau pulangkan semula dalam keadaan yang elok dan tidak cacat.”

Kerana kes itu, Shuraih dilantik menjadi hakim besar oleh ‘Umar. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqq‘in, 1/109). Ini keadilan dan keinsafan. Seseorang yang adil lagi berkelayakan itu ditabalkan, bukan dipecat. Sekalipun keadilan itu terpaksa dirasai kepedihannya oleh pemerintah sendiri.

Prinsip

Prinsip kesaksamaan ini ditegaskan oleh banyak nas-nas Islam. Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan.

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13). Sabda Nabi s.a.w pula: Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam).

Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas a‘jam (yang bukan Arab), atau a‘jam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan (riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani). Inilah dasar Islam yang agung. Menghapus kebongkakan atas nama keturunan atau puak, kerana manusia semuanya sama di sisi Tuhan.

Islam agama yang memusuhi sistem kasta yang membeza-beza manusia disebabkan keturunannya. Islam tidak pernah menyatakan keturunan semata mewarisi kemuliaan, tetapi nilai dan sikap seseorang yang memastikan sama ada dia mulia atau sebaliknya.

Justeru itu, manusia tidak menjadi mulia disebabkan pangkat yang dia ditabalkan. Tetapi ketakwaannya. Maka ketakwaan seorang pemimpin adalah apabila dia amanah dan adil terhadap rakyat bawahan. Tidak menyalahgunakan kuasa dan mengambil harta yang bukan haknya. Jika itu berlaku, maka dia adalah pemimpin yang mulia.

Jika tidak, dia seorang yang memecahkan amanah lagi hina. Sekalipun orang memberikan pangkal namanya dengan pelbagai gelaran; Yang Berhormat atau Yang Amat Berhormat. Namun tiada kehormatan untuknya di sisi Allah jika dia merompak harta rakyat secara senyap atau terang-terangan. Ramai pemimpin yang dari jenis ini, apabila kekuasaannya hilang orang kelilingnya juga pun ‘terbang’. Hilang tak berbayang.

Terbukti bahawa yang bersorak ketika dia berkuasa hanya mengharapkan habuan istimewa yang sebahagiannya adalah harta rakyat jelata. Namun jika pemimpin adil dan berjasa, sehingga hari dia hilang kuasa, rakyat akan terus mengingati dan mengenangnya.

Sekalipun dia tidak lagi dijemput ke majlis-majlis rasmi, namun budinya tetap tersemat di hati. Lebih penting, pemerintahan yang adil itu adalah ibadah yang agung yang bakal dibawa olehnya bertemu Allah pada hari kiamat kelak. Dengarlah apa yang Allah ingatkan Nabi Daud tentang kekuasaan.

Firman Allah: (maksudnya) Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka berhukumlah antara manusia dengan yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya mereka yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu (surah Sad: 26).

Ketegasan terhadap keadilan adalah prinsip dan syiar pemerintahan Islam. Jangan sampai seseorang pemerintah atau pemimpin menjadikan kuasa jawatannya untuk kepentingan suku sakat atau anak pinak atau sahabat handainya. Sehingga kaum keluarga atau kroninya mendapat keistimewaan apa yang tidak diperoleh oleh rakyat biasa. Surah al-Nisa ayat 135: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-

orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya.

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Janganlah pula kebenciannya kepada sesuatu puak atau golongan menyebabkan dia tidak berlaku adil sedangkan Allah berfirman: (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.

Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Inilah impian setiap rakyat. Sebab itu maka setiap individu yang berada di bawah naungan kerajaan muslim yang sebenar berasa aman, terbela dan tidak dianiayai. Namun, jika pemerintah mula campur tangan dalam sistem pelaksanaan qada’ (kehakiman) maka keadilan akan menjadi mangsa. Inilah yang diucapkan oleh Khalifah Abu Bakr al-Siddiq apabila memegang tampuk kuasa: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu.

Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-Allah.

Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan Allah dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku.” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361). Memberikan kesaksamaan dan keadilan untuk semua adalah teras pemerintahan Islam.

kerajaan

Saya kurang setuju jika seseorang memikirkan yang dikatakan kerajaan Islam yang adil itu perkara pertama yang terbayang dalam kepalanya ialah memotong tangan pencuri. Walaupun nas itu ada dalam al-Quran, namun ianya hanya jalan ke arah memastikan keamanan dan ketenteraman, bukan teras asas pemerintahan. Teras pemerintahan Islam adalah seperti firman Allah: (maksudnya): Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil.

Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat (surah al-Nisa: 58).

Jelas dari ayat ini menegakkan keadilan di kalangan manusia, memberikan hak kepada yang berhak, amanah terhadap kuasa dan harta yang dipertanggungjawabkan, selalu mengingati Allah dalam melaksanakan kepimpinan adalah asas kerajaan Islam yang adil. Mengapakah kita suka menonjolkan hukum, bukan menonjolkan kerahmatan sistem Islam itu terlebih dahulu?.

Saya amat hiba apabila membaca kisah Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah. Beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik menanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Katanya: “Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang pelbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang dijauh, orang tua yang uzur, orang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara.

Aku tahu Tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis.” (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya min Qada al-Islam, 144). Betapalah saya hiba menterjemahkan perkataan Umar bin Abd al-Aziz ketika menulis rencana ini.

Terasa kerinduan yang amat dalam untuk melihat dan memiliki kepimpinan yang penuh dengan keikhlasan seperti itu. Aduhai indahnya dunia ini, jika pemerintah jujur lagi takutkan Allah seperti Umar. Maka terpeliharalah kebajikan rakyat dan tersebarlah keadilan untuk semua. Tidaklah lagi kita akan terus mendengar cerita harta negara menjadi warisan keluarga atau sanak saudara, atau sahabat setia.

Bayangkanlah ungkapan ‘Umar dengan sesetengah manusia yang ketika rakyatnya sedang menderita, atau ditimpa kesusahan, dia masih lagi punyai masa bersuka ria bersama keluarga.

Jika pemimpin menangis mengenangkan nasib mereka di akhirat. Mudah-mudahan rakyat mereka akan tersenyum gembira di dunia dan mereka pula tidak akan menangis lagi pada hari akhirat kelak.

Namun, jika pemimpin asyik ketawa besar di dunia sedangkan rakyat ramai yang menangis derita, pemimpin jenis ini dibimbangi akan menangis besar di hari akhirat.

Wahai para pemimpin, kami sekalian rakyat merindui keadilan, kejujuran dan kesaksamaan dalam pemerintahan kalian. Kami mempunyai hak di dunia untuk bertanya dan memintanya, juga hak di hari akhirat untuk mendakwa dan menuntutnya.

* Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza.com/

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

SALAH FAHAM TERHADAP IBN KHUZAIMAH DAN BUKUNYA ‘SAHIH IBN KHUZAIMAH’

March 29, 2008 at 4:20 pm | Posted in HADIS | 1 Comment

               Artikel ini bukanlah sebuah artikel yang akan memperincikan tentang biodata Ibn Khuzaimah dan juga bukunya Sahih Ibn Khuzaimah. Ini kerana AAN sedang dalam proses pengumpulan artikel-artikel ringkas biodata beberapa muhaddith lain berserta metodologi buku-buku mereka.             

 Artikel ini berfokus pada salah faham terhadap Ibn Khuzaimah – terhadap bukunya dan terhadap dirinya. Salah faham ini berpunca daripada sikap sebahagian penuntut ilmu (terutama berkaitan hadith) yang tidak bersungguh-sungguh mencari maklumat berdasarkan fakta yang diyakini. Sebaliknya mereka suka mendengar cakap-cakap orang atau huraian-huraian ringkas lalu menganggapnya sebagai satu kepercayaan yang perlu dianuti tanpa soal.

             Salah faham yang dimaksudkan ialah tentang diri Ibn Khuzaimah yang dianggap ‘mutasaahil’ iaitu bermudah-mudah dalam menerima hadith. Salah faham ini menggambarkan bahawa Ibn Khuzaimah tidak menapis hadith dengan syarat-syarat yang ketat seperti al-Bukhari atau Muslim lalu beliau dengan mudahnya menerima hadith-hadith yang dhaif atau palsu sebagai sahih.            

            Salah faham ini juga melibatkan buku beliau iaitu Sahih Ibn Khuzaimah. Apabila seeorang itu meyakini bahawa Ibn Khuzaimah tidak begitu ketat dalam menapis hadith, sudah pasti buku yang ditulis oleh Ibn Khuzaimah juga akan diragui. Sudah pasti kita sukar menerima buku itu kerana penulisnya telah kita anggap sebagai ‘bermudah-mudah’ atau tidak ketat dalam menapis hadith.

             Sayangnya ini adalah satu salah faham yang besar. Lebih malang lagi ia tetap dianuti dan diyakini oleh sebahagian penuntut ilmu hadith. Sedangkan di antara mereka ada yang langsung tidak pernah membaca walau sehelai muka surat buku Sahih Ibn Khuzaimah! Bahkan jika ditanya kepada mereka tentang masa atau zaman hidupnya Ibn Khuzaimah juga pasti mereka akan terkial-kial menjawabnya! Apatah lagi kalau ditanya tentang guru-gurunya atau muridnya! Kalau dah tak kenal, pasti tak cinta!

             Cukup saya katakan dengan ringkas bahawa Ibn Khuzaimah adalah tokoh hadith salaf yang hebat. Beliau berguru dengan tokoh-tokoh hadith terkemuka seperti Ishaq Ibn Rahuyah/Rahawaih, al-Bukhari dan Muslim. Beliau dianggap oleh muridnya (Ibn Hibban – 354H) sebagai ahli hadith paling hebat pernah ditemuinya. Syarat-syarat penerimaan hadith sahih yang beliau gunakan adalah menyamai manhaj ahli hadith sebelumnya daripada kalangan salaf. Beliau meninggal pada tahun 311H. Tidak cukupkah maklumat ringkas ini untuk para pembaca membayangkan kehebatan beliau? Saya tidak perlu memberikan rujukan dari manakah pendapat ini saya ambil. Kalau tak percaya, boleh rujuk sendiri di dalam buku Sahih Ibn Khuzaimah atau buku-buku tentang metodologi penulisan buku-buku hadith terkemuka.

             Cukup juga saya katakan bahawa buku beliau yang dikenali dengan Sahih Ibn Khuzaimah atau nama sebenar buku itu – Mukhtasor al-Mukhtasor…(panjang lagi namanya seperti yang disebut oleh Ibn Khuzaimah sendiri dalam buku itu), adalah antara buku yang menjadi rujukan utama sepanjang zaman. Di dalamnya dimuatkan hadith-hadith yang dipilih oleh Ibn Khuzaimah bertujuan untuk mengumpulkan hadith-hadith sahih. Beliau juga berkata bahawa beliau sekali-kali tidak akan menyebut hadith yang dhaif tanpa memberitahu kedhaifannya. Itu adalah salah satu daripada banyak ciri metodologi penulisan buku beliau yang tidak diketahui oleh mereka yang asyik memandang rendah kepada beliau dan bukunya itu!

             Tahukah anda bahawa buku Sahih Ibn Khuzaimah yang dicetak dan wujud sehingga ke hari ini hanyalah satu perempat daripada buku yang asal? Allah SWT telah mentaqdirkan buku itu hilang sejak zaman berzaman dan apa yang ada hanyalah satu perempat dan jumlah hadith-hadithnya adalah sekitar 3000 hadith.

             Namun begitu, tahukah anda bahawa dalam sejumlah 3000 hadith yang dikumpulkan dan ditemui dalam buku Sahih Ibn Khuzaimah itu, hanya sekitar 200 – 300 hadith dikritik oleh ulama moden berdasarkan kajian mereka. Di antara mereka ialah Dr. Mustafa al-A’zhami dan juga Syeikh al-Albani. Apa maksud statistik ini? Bagaimanakah kita ingin menterjemahkan keadaan ini? 200 daripada 3000?

             Pertama sekali, ia menggambarkan bahawa jumlah hadith yang dikritik sebagai dhaif oleh ulama moden itu hanyalah sekitar 7%! adakah statistik ini menggambarkan Ibn Khuzaimah seorang yang bermudah-mudah, mutasaahil dan tidak ketat syaratnya? Tidakkah jumlah ini memberi petunjuk bahawa beliau adalah seorang imam dalam hadith? 7%, bukannya 70%!

             Perkara kedua, adakah kita yakin bahawa semua kajian Dr. Al-A’zhami dan Syeikh al-Albani adalah 100% tepat? Mungkin mereka tersilap. Kenapa tidak? Mereka tidak sehebat Ibn Khuzaimah dan mereka hanyalah pengkaji moden dan bukannya mujtahid mutlaq dalam hadith! Walaupun begitu, sekiranya kita menerima kajian mereka bulat-bulat (seperti yang selalu dilakukan oleh ahli hadith Malaysia!), ia masih berada dalam jumlah 7%!

             Perkara ketiga, tahukah anda bahawa Ibn Khuzaimah sendiri mengakui bahawa beliau ada menyebut hadith-hadith yang tidak sahih dalam bukunya itu di atas banyak sebab. Namun begitu, sekadar mengulangi ayat sebelum ini, Ibn Khuzaimah telah menyatakan dengan jelas dan terang di dalam bukunya itu bahawa beliau sama sekali tidak akan menyebut hadith yang dhaif tanpa penjelasan. Apa maksud kata-kata beliau ini?

Berikut dihuraikan maksud kata-kata itu:

a)      Ibn Khuzaimah kadangkala menyebutkan hadith dhaif dalam bukunya itu di atas sebab-sebab tertentu. Ia kadangkala disebutkan sekadar memberi peringatan kepada pembaca bukunya, atau sebagai maklumat sampingan. Ia tidak dianggap sahih oleh beliau. Ia berlaku pada beberapa keadaan dan tidaklah menjejaskan kedudukan buku Sahih Ibn Khuzaimah.

 b)      Ketika menyebut hadith-hadith dhaif itu, Ibn Khuzaimah akan memberikan isyarat berbentuk penjelasan bahawa hadith itu dhaif. Penjelasan dan isyarat ini berlaku dalam keadaan tersurat bahkan juga dalam keadaan tersirat. Ia perlukan kepada kepakaran seorang ahli hadith untuk membaca dan memahaminya.

 c)      Ini bermakna terdapat hadith-hadith yang didhaifkan oleh ulama selepas beliau sebenarnya telah pun beliau sendiri dhaifkan. Maka di manakah kehebatan kita untuk menyatakan Ibn Khuzaimah bermudah-mudah?   Secebis maklumat yang saya kemukakan ini bertujuan untuk memberi nasihat kepada segolongan peminat ilmu hadith yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan pendapat terutama ketika memberi penilaian terhadap seorang tokoh hadith seperti Ibn Khuzaimah.

 Semoga kita dikurniakan Allah SWT sifat rajin dan berhati-hati dalam usaha kita untuk mempelajari ilmu tentang hadith. Semua orang dipersilakan belajar asalkan ada kemampuan dan mengikuti jalan yang betul. Bukan terus melompat dan tiba-tiba berada di atas puncak yang tinggi lantas mampu menilai…ini ok, ini tak ok, buku ini boleh baca, buku ini tak boleh baca, ini sahih, ini dhaif, ini bermudah-mudah, ini keras! Sedarlah wahai insan kerdil di mana kedudukanmu di sisi para imam salaf. Wallahu a’lam.  

alitantawi

Ketua Penyelaras Jabatan Hadis

www.al-ahkam.net 

Mahathir gesa umat Islam seluruh dunia pulau produk Belanda

March 29, 2008 at 3:14 pm | Posted in BERITA | Leave a comment
29/03/2008 8:10pm

KUALA LUMPUR 29 Mac — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru umat Islam di seluruh dunia memulaukan produk Belanda sebagai satu bantahan berkesan berikutan sebuah filem Belanda, Fitna, yang mengkritik Al-Quran yang disiarkan di Internet.

Beliau berkata pemulauan itu boleh menyebabkan Belanda lumpuh kerana umat Islam meliputi sebahagian besar penduduk dunia yang kaya dan juga pengimport terbesar.

Bagaimanapun, semua 1.3 bilion umat islam di dunia mestilah bersatu dan meletakkan kepentingan Islam dan umat Islam daripada keperluan individu jika mahukan pemulauan ini berkesan.

“Kalau orang Islam bersatu kita mudah saja ambil tindakan. Kalau kita pulau barangan dari Belanda dia tutup negeri, pasal yang beli banyak sekali, yang kaya sekali di dunia ini adalah orang Islam.

“Kalau semua 1,300 juta orang Islam kata kami tidak kan beli barang dari Belanda, maka barulah berkesan.

“Kalau nak pulau buatlah betul-betul. Tapi orang kita kata, dia (Belanda) pun berniaga dengan kita juga, kalau kita tahan dia, dia rugilah. Jadi (kalau begini) kita tak fikir sebagai orang Islam, kita fikir untuk kepentingan diri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-46 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Filem Fitna itu, selama 15 minit yang disiarkan dalam sebuah laman web pada 27 Mac yang mengkritik Islam, yang menunjukkan surah Al-Quran dengan berlatar belakangkan imej keganasan akibat serangan pengganas.

Ahli majlis perundangan Belanda Geert Wilders menerbitkan filem itu, yang menunjukkan kenyataan daripada paderi yang radikal dan menyebut surah Al-Quran dengan diselitkan imej serangan 11 Sept terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, pengeboman kereta api penumpang di Madrid, Sepanyol pada 2004 dan pembunuhan pengelur filem Belanda Theo van Gogh di Amsterdam street pada akhir tahun itu.

Sebelum itu, Dr Mahathir berkata filem tesebut disiarkan berikutan salah faham dan “sudah pasti ada motif kritikal”. “Mereka akan terus berbuat demikian sehingga kita menunjukkan Islam itu satu agama yang baik, kita bukan orang yang ganas, bahawa kita tidak berbohong kepada orang ramai…tetapi ini mesti ditunjukkan dalam amalan oleh masyarakat Islam ,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim, berkata adalah penting bagi pertubuhan itu memberikan tanggapan yang betul mengenai Islam dan bukan Islam supaya tidak berlaku ketidak salah faham mengenai agama Islam yang boleh membawa kepada kebimbangan, curiga atau pertentangan terhadap Islam.

— BERNAMA

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_05.htm

Next Page »

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.