“Melayu Kaum Yang Gagal?”

March 1, 2008 at 9:38 pm | Posted in FIKRAH ajimoni | Leave a comment

Selaku warga Malaysia, semua sedia maklum bahawa bangsa melayu merupakan kaum yang mempunyai komposisi bilangan yang teramai. Lebih separuh daripada penduduk Malaysia merupakan kaum melayu dan selebihnya terdiri daripada kaum lain seperti kaum Cina dan India. Walaupun melayu merupakan kaum majoriti dari segi kauntiti, tetapi hanya mereka hanya mampu menjadi minoriti dalam banyak bidang strategik. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pemerintah dalam menangani hal ini, tetapi hasil yang boleh dikategorikan sebagai berjaya amatlah sukar untuk dilihat.  

Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Perlaksanaan DEB bertujuan untuk mengimbangi kedudukan ekonomi kaum melayu dan kaum lain yang mana kaum lain menguasai hampir keseluruhan ekonomi pada suatu ketika dahulu. Ini mungkin disebabkan oleh faktor dasar penjajah British yang meletakkan kaum tertentu pada bidang ekonomi tertentu. Ini menyebabkan kaum melayu terus menjadi golongan bawahan yang mana hanya bekerja sebagai petani atau nelayan. Adapun melayu yang boleh dikategorikan sebagai berjaya hanya mereka yang bekerja sebagai penjawat awam sahaja. Walaupun DEB ini berlangsung dengan niat yang baik, tetapi seakan ada yang tidak kena terhadap perlaksanaannya. Pelbagai pihak mempertikaikannya perlaksanaan dasar ini dengan alasan dasar ini hanya akan mengkayakan golongan atasan, manakala golongan bawahan akan terus berada dikelompok bawahan. Sasaran utamanya ialah untuk mencapai pegangan ekuiti ekonomi 30% bagi golongan bumiputera. Pada awal tahun 90-an, sasaran ini seakan menampakkan kejayaannya apabila pegangan ekuiti kaum melayu melepasi angka 20%, tetapi pada tahun 2004, pegangan ini mula menurun ke angka 18.9%. Kaum lain terutamanya kaum cina dilihat konsisten dalam mengekalkan peranannya sebagai kuasa ekonomi. Pelbagai pihak mula menuding jari menyalahkan pihak lain. Antara mangsa utama kesalahan ini dipalitkan ialah kegagalan syarikat GLC dalam membantu kaum melayu meningkatkan penguasaan dalam bidang perniagaan. Selaku syarikat yang berstatus berkepentingan kerajaan didalamnya, ianya dilihat harapan didalam membantu meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera. Walaupun ada usaha yang dilakukan kearah itu, tetapi hasil kepada usaha itu amat mengecewakan kerana hasil yang dilihat amat minimum. Sehingga saat ini, menurut perangkaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pada tahun 2004 Bumiputera memiliki 16.4 peratus bidang pertanian, 12.3 peratus perlombongan, 8.1 peratus pembuatan, 6.3 peratus utiliti, 35.2 peratus pembinaan, 20.4 peratus perdagangan borong dan runcit, 26.7 peratus pengangkutan, 12.5 peratus kewangan dan 18.7 peratus perkhidmatan. Walaupun begitu, saya tidak melihat perkara ini sebagai kegagalan DEB, tetapi mungkin hanya sebagai kurang berjaya disebabkan oleh pelbagai sebab yang saya rasakan rasional. Antara sebab utama masalah ini ialah kegagalan pihak yang dipertanggungjawabkan membantu masyarakat bumiputera meningkatkan ekonomi dan keegoan segelintir usahawan Melayu berjaya yang lupa daratan dengan tidak membantu usahawan Melayu yang baru ingin memulakan perniagaan. Seharusanya setiap dari mereka mencontohi keperibadian Tan Sri Mokhtar Al-Bukhary yang sanggup mengorbankan hartanya sebanyak RM 2 billion dalam membantu masyarakat peniagaan yang lain semasa krisis ekonomi tahun 1997.     

Melayu dan Rasuah

Secara jujur, apabila kita berada dikelompok masyarakat awam, mereka mempunyai satu jenis tanggapan yang negatif pada golongan “pihak berkuasa”. Mereka akan beranggapan bahawa pihak ini amat mudah dirasuah. Pekerjaan yang berstatus “pihak berkuasa” ini seperti kita sedia maklum merupakan tempat bagi kaum melayu “cari makan”. Tanggapan ini ada benarnya apabila kita melihat sebuah kajian yang dijalankan oleh Transparency International Malaysia mengenai isu ini. Menurut kajian itu, golongan berpendapatan bulanan RM5,000 ke atas didapati paling ramai memberi rasuah iaitu 52%, diikuti kumpulan berpendapatan bulanan RM3,001 hingga RM5,000 (40%), RM1,501 – RM3,000 (31%) dan kurang RM1,500 (18%) (Berita Harian 6 Mac 07). Fakta ini dikuatkan lagi dengan pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang kekecewaan masyarakat bukan Melayu terhadap segelintir pemimpin Melayu yang tidak telus dan terlibat dengan gejala rasuah. Apabila aktiviti rasuah melibatkan agensi yang berkait rapat dengan pemberian kontrak-kontrak kerajaan, ianya pasti merugikan kaum melayu. Walaupun ada peruntukan khas bagi kaum bumiputera dalam hal pemberian kontrak-kontrak kerajaan, tetapi apabila gejala rasuah ini menular pada agensi terbabit, pemberian kontrak akan terhala kepada pihak yang banyak melobi orang atasan sahaja. Oleh itu pembangunan untuk melahirkan lebih ramai usahawan melayu dan usahawan melayu yang berdaya saing akan terganggu kerana masalah rasuah ini. Isu ini bertambah serius apabila berlaku ketirisan dalam projek yang telah diberikan kepada kontraktor melayu. Hal ini diakui sendiri oleh Y.A.B Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Bin Ahmad badawi. Segelintir golongan melayu ini akan mengambil langkah mudah dengan menjual kembali kontrak yang telah diterima kepada syarikat lain terutamanya mereka yang bijak dalam mengambil peluang pada sikap “nak cepat kaya” ini. Walaupun majoriti melayu adalah beragama islam, tetapi apa yang digambarkan kini seolah-olah islam tidak mengharamkan gejala rasuah ini bahkan menggalakkannya. Masalah ini bukan sahaja berlaku pada masyarakat melayu islam, tetapi juga pada masyarakat islam yang lain. Lihat sahaja indeks rasuah yang bagi tahun 2007. Negara Malaysia hanya mampu menduduki tempat ke 43 daripada 180 buah negara. Negara islam yang terbaik dari segi indeks rasuahnya ialah Qatar dengan menduduki tempat ke 32, manakala negara bukan islam menerajui semua tempat teratas.   

Juara Masalah Sosial

Dewasa ini, kita lihat pelbagai masalah sosial melanda umat Melayu. Daripada isu mat rempit hinggalah ke pelbagai jenis jenayah berat yang majoritinya dilakukan oleh kaum Melayu. Mungkin ada benarnya apabila didatangkan kepada kita hujah bahawa memang menjadi lumrah sesuatu kaum, apabila ia menjadi majoriti dari segi kuantiti bilangannya dalam sesebuah negara, ianya juga akan menjadi majoriti dalam isu-isu yang lain. Tetapi apabila kita bercakap dalam konteks masyarakat Melayu Islam, ianya menjadi amat rumit. Apabila islam menjadi agama rasmi pada kaum itu, amatlah pelik dan hairan apabila kaum itu menjuarai banyak masalah sosial. Ini kerana Islam terkenal dengan penekanan nilai-nilai murni pada penganutnya. Apabila berlaku sesuatu seperti yang sedang berlaku kini, ianya melambangkan kegagalan segelintir dari Melayu islam dalam menerapkan apa yang sebenarnya diajarkan oleh islam seperti mana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W dan para salaf. Apa yang lebih mengecewakan ialah pembangunan yang disalurkan tidak mengikut tingkat keutamaan. Baru-baru ini dalam akhbar ada melaporkan tentang pembinaan sebuah masjid baru di Putrajaya yang dianggarkan kosnya mencecah RM 180 juta. Membina masjid memang bagus dan tiada salahnya, tetapi apabila masjid yang sedia ada pun tidak digunakan sepenuhnya, bukankah itu satu pembaziran? Apa yang menyedihkan, apabila ada pihak menaja beberapa bekas “mat rempit” untuk melakukan beberapa aktiviti yang sihat, banyak pihak mengecam mereka dengan mengatakan ianya merupakan satu projek yang membazir. Saya tidak bersetuju untuk mengatakan projek itu sebagai pembaziran. Saya melihat itu sebagai satu pelaburan untuk remaja di luar yang terlibat dengan pelbagai aktiviti yang tidak sihat. Apa yang saya faham dengan projek ini ialah, mereka sedang cuba mewujudkan ikon perubahan dikalangan remaja dalam bentuk yang realistik tanpa mewujudkan ikon kata-kata yang hanya wujud di dalam dunia penulisan. Pelaburan dalam bentuk modal insan sebeginilah yang diperlukan agar kita tidak perlu lagi menjadi juara masalah sosial. Dalam RMK-9, tumpuan yang lebih besar disasarkan untuk membangunkan modal insan yang holistik, lengkap dengan pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai moral dan etika yang utuh. Selain itu, pelaburan dalam bentuk menggalakkan lebih ramai remaja Melayu terlibat dalam bidang keusahawanan adalah wajar sekali. Kita dapat melihat ramai remaja Melayu yang meminati bidang ini, buktinya kita dapat lihat banyak gerai-gerai kecil di tepi jalan yang diusahakan oleh remaja Melayu. Mungkin kerana kurang pendedahan tentang peluang yang lebih luas, mereka kekal meneruskan perniagaan mereka dalam bentuk sedia ada. Oleh itu menjadi kewajipan pihak bertanggungjawab mendekati golongan ini bagi memberi mereka peluang menjadi penyumbang sama didalam penambahan pegangan ekuiti bumiputera.               

Melayu Berjaya Mustahil?

Tiada apa yang mustahil untuk kita jayakan. Semuanya bergantung pada usaha dan kegigihan kita. Janganlah hanya kerana status kita sebagai bumiputera dan “islam”, kita akan beranggapan bahawa kerajaan dan Allah akan sentiasa membantu kita. Allah adalah sangat adil. Dia akan membantu hambanya yang berusaha, lihatlah mereka yang bukan islam, disebabkan usaha mereka yang gigih, Allah tetap memberi mereka kejayaan. Tiada kejayaan tanpa usaha.  

“Untuk merancang masa hadapan, kita perlu menoleh ke belakang dahulu supaya kita tahu dari mana kita datang. Jika kita tidak tahu dari mana kita datang , kita mungkin menuju ke belakang walaupun kita percaya kita sedang maju ke hadapan”                                                                                      

(Tun Dr Mahathir Mohammad) 

 -ajimoni-

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: