Jom Heboh di Perlis, Mufti hantar surat bantahan

April 30, 2008 at 7:36 pm | Posted in BERITA | Leave a comment
Azamin Amin
Wed | Apr 30, 08 | 7:17:53 am MYT
perlis malaysia youngest mufti mohd asri zainul abidin 241106

 

KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) – Mufti Perlis, Dato’ Dr Asri Zainul Abidin telah menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri supaya mengambil perhatian serius berhubung penganjuran Karnival Jom Heboh yang bakal diadakan pada 3 dan 4 Mei akan datang di Perlis.Kata Dr Asri, surat tersebut telah dihantar seminggu yang lalu menyarankan supaya kerajaan negeri melarang sebarang unsur-unsur atau program negatif yang bercanggah dengan agama yang diadakan dalam karnival tersebut.

“Saya tidak mengganggap Karnival Jom Heboh itu haram kerana terdapat juga program dan aktivitinya yang baik seperti pameran penerangan, pendidikan dan urusan perniagaan,” katanya yang berbeza pendapat dengan Mufti Perak yang mengeluarkan fatwa haram umat Islam menghadiri karnival tersebut.

“Tetapi jika ada program yang mengandungi unsur-unsur negatif dan bertentangan dengan agama, saya sarankan tidak perlulah penduduk negeri Perlis menghadirinya,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily semalam.

Dalam pada itu beliau menjelaskan bantahan tersebut bermakna Islam melarang sama sekali program berunsur hiburan seperti konsert yang ada antaranya mengajak masyarakat berhibur secara matang dan bukannya menjerumuskan diri kepada gejala yang tidak sihat.

“Kita suka hiburan yang matang dan bukan bermakna kita ‘banned’ semua hiburan atau hanya tertumpu kepada nasyid semata-mata.

“Anda boleh jemput kumpulan Kopratasa, penyanyi Shuhaimi Mior Hassan atau Ramli Sarip yang boleh mengajak generasi muda berhibur secara matang,” katanya yang turut membantah kehadiran Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh akan datang.

Kata Dr Asri penyanyi berkenaan telah dibuktikan mempunyai rekod dan identiti yang kurang baik yang tidak wajar dicontohi oleh masyarakat umum khususnya para remaja.

Ditanya sama ada surat tersebut memberi kesan dan akan diberi perhatian oleh kerajaan Perlis, beliau berharap agar kerajaan baru ini dapat menghormati suara rakyat dan kelompok agama yang mahu memastikan umat Islam terhindar dari gejala negatif yang jelas bertentangan dengan agama.

“Kerajaan baru ini belum teruji lagi dengan isu-isu seperti ini dan beri peluang untuk mereka menanganinya,” katanya.

Sebelum ini Dr Asri turut menghantar surat bantahan yang sama kepada kerajaan negeri bagi melarang umat Islam terlibat dalam Pesta Songkran atau Pesta Air yang menjadi salah satu perayaan masyarakat Thai yang disambut pada 13 April setiap tahun.

Pesta Songkran yang diamalkan sejak berkurun lamanya dikatakan bermula dengan majlis memandikan patung Buddha bagi mendapatkan berkat di samping memandikan golongan warga tua dengan air bunga pada sebelah pagi.

Penggunaan air dan wangi-wangian sebagai lambang kemaafan menyebabkan pesta Songkran sering dianggap sebagai ‘Pesta Air’ lebih-lebih lagi anak muda akan menggunakan peluang pada hari tersebut untuk menyimbah air kepada rakan-rakan untuk berseronok. – mks.

sumber gambar: malaysiakini.com

sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=14177&Itemid=28

 

Advertisements

JH-MANHAJ-002- Jangan Terperangkap Dalam Istilah

April 30, 2008 at 7:23 pm | Posted in HADIS | Leave a comment

Setiap cabang ilmu mempunyai istilah-istilah yang tertentu dan khusus. Ianya difahami oleh mereka yang dianggap ahli atau pakar dalam ilmu tersebut. Begitu juga ilmu kajian hadith. Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa untuk menjadi seorang pengkaji yang berjaya, pengkaji hadith perlu menguasai beberapa kemahiran termasuklah kemahiran mengenal pasti maksud sesuatu istilah yang digunakan dalam ilmu kajian hadith.

Perkara sebegini bukanlah mudah seperti yang disangka oleh sebahagian penuntut ilmu. Ada yang merasakan bahawa ia semudah mengambil mana-mana buku ‘Mustolah al-Hadith’ lalu membacanya atau mempelajarinya bersama seorang guru yang mahir lalu setelah buku itu di’khatam’kan, maka dia telah pun tahu semua istilah dengan maksudnya yang tepat. Alangkah baiknya kalau ia semudah itu! Namun hakikatnya tidak sebegitu.

Kekeliruan boleh berlaku pada diri seorang pengkaji terutamanya jika pembacaannya terhad kepada beberapa buah buku atau beberapa orang guru sahaja. Ini adalah perkara lumrah termasuklah ilmu-ilmu Islam yang lain bahkan termasuk juga ilmu keduniaan.

Kegagalan memahami sesuatu istilah dengan maksudnya yang sebenar bakal menjatuhkan seorang pengkaji ke dalam lembah kesilapan dan salah faham, ada yang serius dan ada yang tidak. Misalnya, jika seorang pengkaji hadith bertemu dengan istilah yang digunakan oleh imam-imam salaf pada kurun awal seperti Ali Ibn al-Madini atau Ahmad Ibn Hanbal, lalu ditafsirkan istilah tersebut berdasarkan penggunaannya pada kurun-kurun selepas itu contohnya menurut penggunaan al-Iraqi atau Ibn Hajar al-‘Asqalani, di sana ada 2 kemungkinan – 1- Mungkin istilah itu sama sahaja pada penggunaan mereka, 2 – Mungkin istilah itu telah melalui proses perubahan berdasarkan zaman menjadikannya dua istilah yang berbeza. Maka di sini ada kemungkinan kajian pengkaji ini tidak tepat seperti yang disangka.

Itu secara teori. Mari kita lihat beberapa contoh ringkas yang sememangnya berlaku dalam alam realiti.

Pertama, istilah ‘thiqah’ yang sering ditafsirkan sebagai ‘seorang periwayat yang diterima agamanya dan juga diterima hafazannya atau pemeliharaannya terhadap hadith itu’. Atau dalam erti kata lain, dia seorang yang ‘adl’ dan ‘dhobit’. Itu yang kita fahami pada masa kini. Tahukah anda bahawa penggunaan istilah ‘thiqah’ dalam kalangan ulama sejak zaman salaf tidak hanya terhad pada maksud yang dinyatakan tadi? Terdapat ulama hadith yang menggunakan istilah ‘thiqah’ dengan maksud periwayat itu baik agamanya tanpa mengira hafazannya terhadap hadith. Ada ulama lain pula yang menggunakannya dengan maksud periwayat itu hadir dalam majlis pembacaan hadith walaupun dia tidak ‘adl’ dan tidak ‘dhobit’!

Kedua, istilah ‘hadith hasan’ yang sering dikaitkan pada zaman ini seiringan dengan ‘hadith sahih’ dengan maksud keduanya adalah istilah bagi hadith yang diterima dan diyakini datangnya dari Rasulullah SAW. Sedangkan istilah ‘hadith hasan’ digunakan oleh ulama hadith sepanjang zaman dengan pelbagai maksud. Terdapat ulama yang menggunakan istilah ‘hasan’ untuk hadith yang sahih dan tiada beza antara ‘hadith hasan’, ‘hadith sahih’ dan ‘hadith hasan sahih’ seperti yang kita lihat dalam buku-buku al-Tirmidzi dan juga pendapat al-Bukhari dan lain-lain lagi. Terdapat juga yang menggunakannya dengan maksud hadith yang mana kedudukannya tidak sekuat ‘hadith sahih’. Malah terdapat juga yang menggunakan istilah ‘hasan’ untuk hadith-hadith yang mana maksudnya baik dan indah tetapi ‘dhaif’ bahkan ‘palsu’! Maka seorang pengkaji harus berhati-hati apabila melihat istilah ‘hadith hasan’ digunakan oleh ulama hadith.

Di sini kita dapat lihat – dengan penerangan yang ringkas ini – bagaimana perlunya seorang pengkaji hadith berhati-hati ketika bertemu dengan istilah:

1- Dia perlu memastikan siapakah ulama hadith yang menggunakan istilah tersebut lalu dikaji tentang diri ulama itu, apakah corak penggunaan istilah tersebut di sisi beliau.

2- Dia perlu membuat perbandingan antara ulama yang menggunakan istilah yang sama agar dapat dilihat adakah di sana ada persamaan atau perbezaan.

3- Membaca dan meneliti banyak buku Mustolah al-Hadith sejak dahulu hingga kini untuk mendapat penjelasan tentang penggunaan istilah. Buku yang saya cadangkan antaranya ialah Syarh ‘Ilal al-Tirmidzi karya Ibn Rajab al-Hanbali dan buku al-Nukat ‘Ala Ibn al-Solah karya Ibn Hajar al-Asqalani. Manakala buku moden pula, saya cadangkan agar pembaca yang berminat boleh membeli atau muat turun buku-buku berikut untuk mendapat gambaran yang lebih jelas:

 – Al-Manhaj al-Muqtarah – Dr. Hatim al-Syarif

 – Ulum al-Hadith Fi Dhau’ Tatbiqat al-Muhaddithin al-Nuqqad – Dr. Hamzah al-Malibari

http://saaid.net/book/open.php?cat=91&book=671

 – Syarh Lughat al-Muhaddith – Abu Mu’adz Toriq Ibn ‘Awadhillah

 – Al-Tabayun al-Manhaji – Abdullah al-Sa’d

http://www.almeshkat.net/books/open.php?cat=32&book=1524

wallahu a’lam..

alitantawi 

(Ketua Penyelaras Jabatan Hadis Al-Ahkam.Net)

sumber: http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=85361

Ia bukan seperti berlaku di Parlimen Taiwan: Pandikar Amin

April 30, 2008 at 7:19 pm | Posted in BERITA | Leave a comment

KUALA LUMPUR: Bersyukur kepada Tuhan, ia bukannya seperti yang berlaku di Parlimen Taiwan.

Begitulah gambaran yang diberikan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengenai persidangan Dewan Rakyat hari ini yang menyaksikan beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan Barisan Nasional (BN) bertikam lidah dan mengganggu persidangan awal hari ini.

Parlimen Taiwan terkenal dengan tingkah laku Ahli Parlimen yang tidak mengikut peraturan Parlimen apabila ada yang terbabit dalam tindakan seperti melontar buku dan kerusi terhadap satu sama lain.

 

“Jika mereka tidak dapat mengawal diri mereka, mengeluarkan perkataan-perkatan tidak mengikut peraturan Parlimen, akan berlaku seperti yang terjadi di Taiwan,” katanya kepada pemberita pada akhir hari pertama persidangan Dewan Rakyat di pejabatnya di Parlimen di sini.

Pandikar Amin berkata persidangan hari ini benar-benar menguji kesabarannya dan memberi amaran kepada semua Ahli Parlimen supaya tidak mengulangi kelakuan sedemikian kerana beliau tidak suka menggantung sesiapa pun di antara mereka.

“Tidak terfikir di fikiran saya. Kalau dibuat (tindakan mengantung) seolah-olah tak cukup kesabaran. Tapi kalau betul-betul ada langgar peraturan dan terus menerus menegakkan benang yang basah, tindakan akan dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu beliau amat berharap semua Ahli Parlimen akan memberikan kerjasama mereka dengan mematuhi arahannya supaya beliau dapat menjalankan tugasnya semasa persidangan dijalankan.

“Apa kebaikan dalam sistem demokrasi berparlimen kecuali kalau kita mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya. – Bernama

sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20080430194156/Article/index_html

Kenyataan Media Tentang ‘Jom Heboh’

April 30, 2008 at 7:15 pm | Posted in PENGUMUMAN | Leave a comment

“ISLAM ADALAH CARA HIDUP”                          MUFTI.Ps./AM.3/014(79)
                                                                                          30 April 2008

KEPADA SESIAPA YANG BERKENAAN

Assalamualaikum wr. Wbth.,

Tuan

KENYATAAN MEDIA JABATAN MUFTI PERLIS MENGENAI JOM HEBOH

Pada dasarnya, Jabatan Mufti Perlis tidak mengharamkan Program Jom Heboh anjuran Stesyen TV3, akan tetapi pihak Jabatan Mufti dukacita dengan nilai-nilai negatif yang terselit bersama dengan program Jom Heboh tersebut.

2. Pihak Jabatan Mufti mencadangkan garis panduan berikut sebagai panduan pelaksanaan program Jom Heboh di Negeri Perlis:

i. Program Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan sekiranya hendak dilaksanakan di Negeri Perlis

ii. Jika disertai dengan program konsert, ia hendaklah terkawal dan berdisiplin

iii. Artis-artis yang menimbulkan contoh-contoh yang buruk seperti Faizal Tahir atau aliran artis lain dari aliran rock, dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan gelagat-gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh dibenarkan

iv. Maka artis-artis yang hendak dibawa masuk hendaklah artis yang telah dirujuk persetujuan dari Jabatan Mufti, secara umumnya dicadangkan artis-artis puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip dan Suhaimi Mior Hassan ataupun kumpulan-kumpulan nasyid di tanahair.

v. Sebarang aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan nilai-nilai kebodohan yang seakan-akan memperlekehkan akal dan pemikiran rakyat adalah tidak boleh dibenarkan

vi. Unsur-unsur khurafat seperti penampilan kepercayaan-kepercayaan misteri dan karut tidak dibenarkan. Demikian juga jualan barang-barangan khurafat dan tahyul seperti kayu koka tidak dibenarkan

vii. Penganjur Jom Heboh hendaklah menghormati sensitiviti orang-orang Islam seperti tidak menguatkan bunyian-bunyian pada waktu solat sehingga kelihatan seperti tidak menghormati agama.

Sekian , terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA”

Saya yang menjalankan tugas,

( DR. MOHD. ASRI BIN ZAINUL ABIDIN )
Mufti,
Kerajaan Negeri Perlis.

sumber: http://drmaza.com/

Disiplin Islam Ketika Bercerai

April 29, 2008 at 6:44 pm | Posted in SOAL JAWAB | Leave a comment

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Soalan

Minta jasa baik ustaz untuk menerangkan tentang displin penceraian dalam Islam. Satu lagi, sekarang ini biasa berlaku di tempat kita, bila bercerai isteri akan balik rumah ibu bapanya. Saya ada dengar ia tidak dibolehkan, benarkah?

 

 

Jawapan UZAR

Mengulas persoalan talaq atau penceraian dalam Islam memerlukan huraian yang panjang lebar dan boleh mencecah tahap sebuah buku. Justeru, saya hanya akan memetik beberapa bahagian sahaja.

Penceraian adalah jalan terakhir yang disediakan Islam bagi pasangan suami isteri yang menghadapi masalah sama ada ketidakserasian atau juga masalah lain berkait dengan zalim, tidak tunai tanggung jawab dan lainnya.

Terdapat ulama yang menyatakan talaq ini sebenarnya amat dibenci sehingga sampai tahap dilarang dan ia hanya diharuskan apabila cukup syarat dan sebabnya atas nama ‘keringanan’ atau ‘rukhsah’.

Nabi s.a.w bersabda :-

أبغض الحلال إلى الله الطلاق

Ertinya : “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah Talaq ( penceraian suami isteri)”( Riwayat Abu Daud, Al-Hakim ; As-Suyuti, Ibn ‘Adiyy : Sohih ; Al-Munawi, tidak sohih )

Namun pendapat ini tidaklah kuat kerana Nabi sendiri pernah menjatuhkan talaq ke atas hafsah Bt Umar Al-Khattab dan kemudian ruju’ kembali. Kesimpulannya ia hanyalah makruh. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Nailul Awtar, 6/247 )  

Ini bertepatan dengan sabda baginda s.a.w : –

“Saya tidak suka kepada laki-laki yang suka kawin cerai dan perempuan yang suka kawin cerai.” (Riwayat Thabarani dan Daraquthni)

Dan sabdanya pula:

إن الله لا يحب الذواقين والذواقات

Ertinya : “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada laki-laki yang suka kawin cerai dan perempuan-perempuan yang suka kawin cerai.” (Riwayat Thabarani dengan sanad Dhoif kata Al-Munawi)

Namun demikian, talaq yang hendak dijatuhkan mestilah mengikut tatacara dan displin yang ditentukan Islam seperti berikut : –

1)      Jangan Dicerai Ketika Isteri Haid & Nifas.

Haram dan berdosa hukumnya seorang suami menjatuhkan talaq isterinya dalam keadaan isterinya dalam keadaan :

  • haid
  • nifas
  • setelah disetubuhi waktu suci isteri kecuali sudah jelas wanita itu mengandung.

Justeru, bagi suami yang ingin menceraikan isterinya, pastikan bukan dan tiga situasi tersebut.

Ini adalah tanda fitrahnya (bertepatan dengan naluri manusiawi yang normal) hukum Islam, kerana dalam keadaan haid, termasuk juga nifas, seorang suami wajib menjauhi isterinya. Barangkali karena terhalangnya dan tketidakmampuannya mengawal nafsunya itu yang mendorong untuk menjatuhkan talaq.

Ia juga mungkin terdorong oleh perilaku isteri sewaktu haid. Sedangkan diketahui mental dan mood sang isteri tidak stabil diwaktu haid dan nifas terutamanya. Justeru tidak wajar sama sekali dibenarkan penceraian di waktu itu jika terdorong dek rasa marah dan tidak puas hati itu.

Syeikh Al-Qaradawi berkata :

“Sebagaimana diharamkannya mencerai isteri di waktu haid, begitu juga diharamkan menceraikannya sewaktu suci sesudah bersetubuh. Sebab siapa tahu barangkali si perempuan itu memperoleh benih dari suaminya pada kali ini, dan barangkali juga kalau si suami setelah mengetahui bahawa isterinya hamil kemudian dia akan merubah niatnya, dan dia dapat hidup senang bersama isteri karena ada janin yang dikandungnya.” ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam )

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dikisahkan, bahwa Abdullah bin Umar Ibnul-Khattab pernah mencerai isterinya waktu haid. Kejadian ini sewaktu Rasulullah s.a.w. masih hidup. Maka bertanyalah Umar kepada Rasulullah s.a.w., maka jawab Nabi kepada Umar:

ً

Ertinya : “Suruhlah dia (Abdullah bin Umar) supaya ruju’ kembali, kemudian jika dia mahu, cerailah sedang isterinya itu dalam keadaan suci sebelum disetubuhinya. Itulah yang disebut mencerai pada iddah, sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam firmanNya: Hai Nabi! Apabila kamu hendak mencerai isterimu, maka cerailah dia pada iddahnya. Yakni menghadapi iddah, yaitu di dalam keadaan suci.”

Di satu riwayat disebutkan:

Ertinya : “Perintahlah dia (Abdullah bin Umar) supaya kembali, kemudian cerailah dia dalam keadaan suci atau mengandung.” (Riwayat Bukhari)

JIKA DIJATUHKAN KETIKA HAID, ADAKAH SAH ?

Menurut pendapat majoriti mazhab Islam, talaq itu tetap sah, tetapi si pelakunya berdosa. Ia berdalilkan sebuah hadis Abdullah Ibn Umar tadi, apabila menceraikan isterinya dalam keadaan haid, nabi mengarahkannya agar segera ruju’ kembali. Ini bererti talaqnya jatuh cuma berdosa. (Al-Mughni, 7/99 ; Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, hlm 225 )

Sementara kumpulan minoriti ulama berpendapat talaq tidak jatuh dan tidak sah, sebab talaq itu samasekali tidak menurut aturan syara’ dan tidak dibenarkan. Oleh karena itu bagaimana mungkin dapat dikatakan berlaku dan sah?

Namun, pendapat yang lebih kuat adalah sah dan jatuh talaqnya.

2)      Perempuan yang Dicerai Tetap Tinggal di Rumah Suami Selama dalam Iddah

Perempuan yang dicerai wajib tetap tinggal di rumah suaminya selama dalam ‘iddah. Dia diharamkan keluar rumah, dan suami diharamkan mengeluarkan bekas isterinya itu dari rumah tanpa suatu alasan yang dapat dibenarkan.

Hal ini disebabkan suami, selama dalam ‘iddah, masih diperkenankan merujuk dan mengembalikan isteri kepada perlindungan perkawinan untuk sekali lagi –apabila talaq ini baru satu atau dua kali.

Seorang isteri yang masih tinggal bersama di dalam rumah suami membuka ruang untuk membangkitkan perasaan suami dan mengingat-ingat serta berfikir sebelum habis ‘iddah itu, dan sebelum berakhirnya bulan-bulan ‘iddah dimana perempuan diperintahkan supaya menunggu agar yakin akan bersihnya rahimnya dari benih suami serta melindungi hak suami dan kehormatan isteri. Sebab hati selalu berubah, fikiran selalu baru, seorang yang sedang marah kadang-kadang menjadi rela, orang yang naik pitam kadang-kadang menjadi dingin dan orang yang benci kadang-kadang menjadi cinta.

Sehubungan dengan persoalan perempuan yang dicerai ini, Allah s.w.t. telah berfirman dalam al-Quran sebagai berikut:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاء فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَلِكَ أَمْرًا

 

Ertinya : “Dan takutlah kamu kepada Allah, Tuhanmu. Jangan kamu usir mereka itu dari rumah-rumah mereka dan jangan sampai mereka itu keluar rumah, kecuali apabila mereka berbuat kejahatan yang terang-terangan; dan yang demikian itu adalah batas-batas ketentuan Allah, dan barangsiapa melanggar batas-batas ketentuan Allah, maka sungguh dia telah berbuat zalim pada dirinya sendiri; kamu tidak tahu barangkali Allah akan mengadakan hal baru sesudah itu.”(at-Thalaq: 1)

3) Talaq Mesti Dijatuhkan Mengikut Aturan Kiraan

Islam memberikan kepada seorang muslim tiga talaq untuk tiga kali, dengan suatu syarat tiap kali talaq dijatuhkan pada waktu suci, dan tidak disetubuhinya. Kemudian ditinggalkannya isterinya itu sehingga habis iddah. Kalau nampak ada keinginan merujuk sewaktu masih dalan ‘iddah, maka dia boleh merujuknya.

Sekiranya dia tetap tidak merujuknya sehingga habis ‘iddah, dia masih boleh untuk kembali kepada isterinya itu dengan aqad dan mahar (maskawin) baru. Dan kalau dia tidak lagi berhasrat untuk kembali, maka si wanita boleh berkahwin dengan orang lain.

Jika si laki-laki tersebut kembali kepada isterinya sesudah talaq satu, tetapi tiba-tiba terjadi suatu peristiwa yang menyebabkan jatuhnya talaq yang kedua, si lelaki masih boleh ruju’ semula dalam tempoh ‘iddah.

Dan kalau suami kembali dan menceraikan isterinya buat kali ketiga, maka ini merupakan suatu bukti nyata, bahwa perceraian antara keduanya itu harus dikukuhkan, sebab persesuaian antara keduanya sudah tidak mungkin.

Oleh karena itu dia tidak boleh kembali lagi, dan si perempuan pun sudah tidak lagi halal buat si laki-laki tersebut, sampai dia kawin dengan orang lain secara syar’i. Bukan sekedar menghalalkan si perempuan untuk suaminya yang pertama tadi. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

TALAQ TIGA SEKALI LAFAZ?

Menjatuhkan talaq tiga dengan satu kali ucapan, adalah salah di sisi Islam.

Para ulama berbeza pendapat berapa talakkah yang jatuh sekiranya ia dilakukan juga seperti berikut :-

Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali : Jatuh talaq tiga sekaligus. ( Al-Mughni, 7/104 ; Hasyiah Ad-Dusuqi, 2/385 )

Ibn Taimiah & Ibn Qayyim : jatuh satu Talaq sahaja ( Zad Al-Ma’ad, 4/67 )

Apapun, di Malaysia pendapat majoriti mazhab adalah terpakai, ini bermakna sesiapa yang menyebut cerai talaq tiga dalam satu lafaz, jatuhlah talaq tiga.

Kes Zakaria Talib lwn Norziah Ahmad [2005] 1 CLJ (Sya) 132 adalah contoh dimana suami menlafazkan talak tiga sekali gus melalui surat dan hakim berpendapat bahawa talak tiga telah jatuh kerana lafaz telah jelas dan niat tidak perlu dibuktikan.

Hasilnya, suami tidak boleh rujuk atau nikah semula dengan isterinya kecuali setelah isterinya berkawhin dengan lelaki lain, cerai dan tamat iddahnya.

Namun, walalupun jatuh talaq tiga itu, Ia dikira satu kesalahan spiritual dari sudut Islam . Satu ketika Rasulullah s.a.w. diberitahu tentang seorang laki-laki yang mencerai isterinya tiga talaq sekaligus. Kemudian Rasulullah berdiri dan marah, sambil bersabda:

أيُلعبُ بكتابِ اللَّه عزَّ وجلَّ وأنا بينَ أظهُرِكم حتى قامَ رجلٌ فقال يا رسولَ الله أَلاَ أقتُله   

Ertinya : “Apakah dia mahu mempermainkan kitabullah, sedang saya berada di tengah-tengah kamu? Sehingga berdirilah seorang laki-laki lain, kemudian dia berkata: Ya Rasulullah! apakah tidak saya bunuh saja orang itu!” (Riwayat Nasa’i, 2/349 )

Tebus Talak

 

 

Seorang perempuan apabila tidak suka kepada suaminya tidak sanggup bergaul bersama, maka dibolehkan menebus dirinya dan membeli kemerdekaannya dengan mengembalikan harta yang pernah diberikan oleh suami kepadanya berupa maskawin, atau hadiah dengan sedikit berkurang atau lebih menurut kesepakatan bersama.

Akan tetapi yang lebih baik si laki-laki tidak mengambil lebih dari apa yang pernah diberikan.

Firman Allah:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ يُقِيمَا حُدُودَ اللّهِ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللّهِ فَلاَ تَعْتَدُوهَا

Ertinya : “Jika kamu kawatir mereka berdua tidak dapat menegakkan batas-Batas ketentuan Allah, maka tidak dosa atas keduanya tentang sesuatu yang ia menebus dengannya.” (al-Baqarah: 229)

Isteri Tsabit bin Qais pernah datang kepada Nabi s.a.w. mengadukan:

“Ya Rasulullah! Sesungguhnya Tsabit bin Qais tidak saya cela budi dan agamanya, tetapi saya tidak tahan marahnya. Kemudian Nabi bertanya tentang apa yang pernah dia ambil dari suaminya itu. Ia menjawab: Kebun. Lantas Nabi bertanya lagi., Apakah kamu mau mengembalikan kebun itu kepadanya? Ia menjawab: Ya. Maka bersabdalah Nabi kepada Tsabit: Terimalah kebun itu dan cerailah dia.” (Riwayat Bukhari dan Nasa’i)

Namun demikian, seorang isteri tidak dibenarkan cepat-cepat minta cerai tanpa alasan yang dapat dibenarkan dan tanpa suatu pendorong yang dapat diterima yang kiranya bisa membawa kepada perceraian antara keduanya. Sebab Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagai berikut:

قال رسول الله أيما امرأة سألت زوجها الطلاق من غير بأس حرم الله عليها أن تريح رائحة الجنة

Ertinya : “Siapa saja perempuan yang minta cerai kepada suaminya tanpa suatu sebab yang dapat dibenarkan, maka dia tidak akan mencium bau syurga.” (Riwayat Abu Daud, Al-Hakim, 2/218 ; At-Tirmizi, 3/493 ; Al-Hakim : Sohih dengan syarat Bukhari & Muslim ; At-Tirmidizi : Hadis Hasan)

 

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

24 April 2008

17 Rabiul Akhir 1428 H

CERAMAH PERDANA OLEH SS DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

April 29, 2008 at 6:27 pm | Posted in PENGUMUMAN | Leave a comment

Image

JAKIM Berpendapat Cadangan Maklum Keluarga Masuk Islam Tidak Perlu

April 29, 2008 at 8:15 am | Posted in BERITA | Leave a comment

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) — Ahli-ahli Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil kali ke-18 sebulat suara berpendapat tidak perlu bagi seseorang individu yang ingin memeluk Islam memaklumkan hasratnya itu terlebih dahulu kepada keluarga mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dalam kenyataannya hari Isnin berkata tiada nas yang mensyaratkan supaya pemakluman kepada keluarga dibuat sebelum seseorang itu memeluk agama Islam.

“Peruntukan undang-undang sedia ada mengenai kemasukan Islam dan perkara berkaitan dengannya adalah mencukupi dan amalan sedia ada diteruskan. Kaedah pendaftaran, penjagaan dan pengajaran mualaf perlu digubal dengan mantap dan berkesan.

“Berdasarkan Hukum Syarak juga, kewajipan dan tanggungjawab terhadap ibu dan bapa yang tidak memeluk agama Islam adalah tidak terhenti meskipun seseorang itu telah memeluk Islam,” kata Wan Mohamad yang mempengerusikan persidangan tersebut, di sini hari ini.

Katanya ahli-ahli persidangan yang terdiri daripada Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Mufti-mufti Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Hakim Syarie Negeri serta Pengarah Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri-negeri juga berpendapat bahawa pemakluman ini perlu diserahkan kepada kebijaksanaan orang yang ingin memeluk Islam.

Langkah itu bertujuan memberikan ruang kepada individu yang memeluk agama Islam menentukan cara dan masa yang sesuai untuk memaklumkan kepada keluarga masing-masing.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan bercadang melaksanakan peraturan mewajibkan orang bukan Islam yang ingin memeluk Islam memaklumkan kepada keluarga mereka mengenai status agama mereka.

Perdana Menteri berkata langkah itu bertujuan mengelak berbangkitnya masalah apabila mereka yang telah memeluk Islam itu meninggal dunia kelak.

Dengan adanya peraturan baru itu, kata beliau, orang bukan Islam yang memeluk Islam perlu mempunyai dokumen yang menunjukkan keluarganya telah dimaklumkan mengenai agama barunya. — BERNAMA

kredit: http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=84954

Mencari Rahmat Ilahi: Apa yang perlu diucapkan jika kita terlupa sesuatu?

April 29, 2008 at 7:54 am | Posted in ARTIKEL | Leave a comment
Written by kadir   
Friday, 18 April 2008

 

Image

Kita sering mendengar dan melihat sebahagian orang apabila terlupakan sesuatu dan dia ingin mengingatinya semula, dia akan berselawat kepada Nabi saw. Apakah amalan ini sandarannya daripada sunnah atau apakah ada sebarang bacaan lain ketika kita terlupa?

Sebenarnya tidak ada sebarang bacaan yang khusus apabila kita terlupakan sesuatu dan kita berusaha mengingatnya semula. Sebaliknya bagi setiap muslim sepatutnya dia memohon pertolongan daripada Allah swt dengan berdoa kepada-Nya supaya diingatkan kembali perkara yang dilupainya itu. 

 

Para ulama menyebut dua perkara yang bermanfaat diketikamana kita terlupa:

 

1.      Mengingati Allah, dengan membanyakkan bertahlil, bertasbih atau bertakbir atau sebarang zikir yang lain. Ini kerana lupa itu adalah daripada syaitan, manakala mengingati Allah dengan berzikir berperanan sebagai pengusir syaitan. Para ulama membina pendapat mereka ini  berdasarkan dalil daripada al-Quran, firman Allah swt:

 

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَدًا إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَى أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا

 

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: “sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi.” Kecuali dengan menyebut insyaallah, dan ingatlah kepada Tuhan-mu jika kamu lupa dan katakanlah: mudah-mudahan Tuhan-ku akan memberi petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada yang ini.” (al-Kahf: 23-24)

 

Para ulama ini berkata firman Allah ( وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ : dan ingatlah kepada Tuhan-mu jika kamu lupa) membawa maksud jika kamu terlupa sesuatu, maka ingatilah Allah dengan berzikir kepada-Nya, Allah akan mengingatkan kamu perkara yang kamu lupakan itu.

 

Antara para ulama yang menyatakan pandangan ini ialah al-Mawardi (الماوردي) di dalam al-Naktu wa al-‘Uyun (النكت والعيون), demikian juga dengan al-Qurtubi di dalam tafsir dan Ibn al-Jauzi di dalam Zad al-Masir (زاد المسير).

 

Al-Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti di dalam kitab tafsirnya Adwa’ al-Bayan berkata:

 

“Pada ayat yang mulia ini (ayat di atas) terdapat dua pandangan ulama tafsir yang diketahui:

 

Pertama: ayat yang mulia ini berkaitan dengan ayat sebelumnya  dengan maksud apabila kamu berkata, esok aku akan melakukan sedemikian, sedangkan kamu lupa untuk mengatakan insyaallah, kemudian kamu teringat (utk mengatakan insyaallah) maka katakanlah insyaallah. Pendapat ini yang zahir, kerana beedasarkan firman Allah:

 

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَدًا إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ

 

Maksudnya: Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: “sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi.” Kecuali dengan menyebut insyaallah” (al-Kahf:23)

 

Inilah pandangan kebanyakan ulama (jumhur), antara yang mengatakannya ialah Ibn ‘Abbas, al-Hasan al-Basri, Abu al-‘Aliyah dan selain mereka.

 

Kedua: (berpendapat) ayat itu tidak berkait dengan ayat sebelumnya, sebaliknya maknanya ialah, jika kamu terlupa sesuatu, maka ingatilah Allah (dengan berzikir kepada-Nya), kerana lupa itu adalah daripada syaitan, berdasarkan firman Allah swt kepada pemuda bersama Nabi Musa:

 

 

 وَمَآ أَنْسَانِيهُ إِلاَّ الشيطان أَنْ أَذْكُرَهُ 

 

 

Maksudnya: “Dan tidaklah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan.”

 

Demikian juga dengan firman Allah swt:

 

 

 استحوذ عَلَيْهِمُ الشيطان فَأَنسَاهُمْ ذِكْرَ الله 

 

Maksudnya: “Syaitan telah menguasai mereka, lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah.” (al-Mujadilah: 19) dan firman Allah:

 

وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ الشيطان فَلاَ تَقْعُدْ بَعْدَ الذكرى مَعَ القوم الظالمين

 

Maksudnya: “dan jika syaitan menjadikan kamu lupa (akan larangan itu), maka jangan kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat.” (al-An’am: 68)

  

Maka mengingati Allah itu boleh mengusir syaitan, ini dikuatkan dengan petunjuk daripada firman Allah swt:

 

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرحمن نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَاناً فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpaling dari mengingati al-rahman (tuhan yang maha pemurah), kami akan adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (al-Zukhruf: 36)

 

Firman Allah taala lagi:

 

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الناس مَلِكِ الناس إله الناس مِن شَرِّ الوسواس الخناس

 

Maksudnya: “Katakanlah aku berlindung kepada tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia, raja manusia, sembahan manusia, dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi..”

 

Iaitu bisikan ketika lalai dari megingati Allah, apabila syaitan diusir maka hilanglah lupa. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pernah ditanya dengan soalan di bawah:

 

“Apakah dibenarkan seseorang jika dia terlupa sesuatu, dia mengingati Allah (dengan berzikir) dalam bentuk yang tidak dikhususkan, seperti dia mengucapkan:

 

         Lailaha illalaah (لا إله إلا الله)

         Astaghfirullah (أستغفر الله)

         (لا إله إلا الله والله أكبر ، لا إله إلا الله ولا حول ولا قوة إلا بالله)

 

Kemudian dia mengucapkan:

 

عسى ربي أن يهديني لأقرب من هذا رشدا

 

Maksudnya: “mudah-mudahan Tuhan-ku akan memberi petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada yang ini.”

 

Sebagai mengikuti apa yang terdapat di dalam surah al-Kahf, firman Allah:

 

وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَى أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا

 

 

Maksudnya: dan ingatlah kepada Tuhan-mu jika kamu lupa dan katakanlah: mudah-mudahan Tuhan-ku akan memberi petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada yang ini.” (al-Khaf: 24)

 

Atau apakah ayat ini khusus berkait dengan ayat sebelumnya?

 

Jawapan al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin adalah seperti berikut:

 

‘Jika seseorang lupakan sesuatu hajat, maka hendaklah dia memohon kepada Allah taala untuk menginagtkannya semula dengan berkata/berdoa:

 

 

 

 

 اللّهُمَّ ذَكِّرْنِيْ مَا نَسِيْتُ ، وَعَلِّمْنِيْ مَا جَهِلْتُ

 

 

 

 

Maksudnya: ‘Ya Allah, ingatkanlah aku apa yang telah aku lupa dan ajarkanlah daku, apa yang aku tidak ketahui.” Atau apa-apa bacaan/doa yang seumpama dengannya.

 

Adapun tentang bentuk zikir (tertentu) ketika lupa yang boleh mengingatkan semula (perkara tersebut), aku (al-Syeikh Muhammad bin soleh al-‘Uthaimin) tidak mengetahui tentangnya. Dan ayat yang disebut itu ada mengandungi maksudnya: ingatlah Tuhan kamu jika kamu terlupa, kerana Allah taala berfirman:

 

وَلا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَداً . إِلاَّ أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ

 

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: “sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi.” Kecuali dengan menyebut insyaallah, dan ingatlah kepada Tuhan-mu jika kamu lupa” (al-Kahf: 23-24)

  Yakni kecualikan dengan kamu menyebut: “Melainkan jika dikehendaki oleh Allah,” jika kamu lupa mengatakannya (insyaallah)  ketika mengucapkan: sesungguhnya aku akan mengerjakan perkara itu esok pagi.” (Sila lihat Fatwa Nur ‘Ala al-Darb) 

2.      Selawat ke atas Nabi saw

 

Terdapat hadith yang menyebut perkara ini, namun hadith itu sangan lemah (ضعيف جدا), maka tidak boleh beramal dengannya. Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madiniy (أبو موسى المديني), dan al-Hafidz Ibn al-Qayyim menyebutnya di dalam kitab Jala’ al-Afham di tempat ke-32 dari tempat selawat ke atas Nabi saw: Jika terlupa sesuatu dan hendak mengingatnya semula, dengan berkata:

 

“Abu Musa al-Madiniy menyebut, dia riwayatkannya dari sanad Muhammad ‘Uttab al-mauwazi (محمد بن عتّاب المروزي), menceritakan kepada kami Sa’dan bin Ubadah Abu Said al-Marwazi, menceritakan kepada kami Ubaidullah bin Abdullah al-‘Atkiy, menceritakan kepada kami Anas bin Malik r.a. sabda Nabi saw:

 

 

 

 

 إذا نسيتم شيئا فصلوا عليّ تذكروه إن شاء الله   

Maksudnya: “Jika kamu semua terlupa sesuatu, maka berselawatlah kepada-ku, kamu semua akan mengingatinya, insyaallah.” – tamat kalam Ibn al-Qayyim Sanad hadith ini lemah (ضعيف):   

1.        Ubaidullah bin Abdullah al-‘Atkiy, di dalam Tahzib al-Tahzib sebagai memperkenalkannya menyebut, al-Bukhari berkata: “Dia meriwayatkan hadith-hadith yang mungkar.” (عنده مناكير), Abu Ja’fat al-‘Aqiliy berkata: “Hadithnya tidak diambil.” al-Baihaqi pula berkata: ‘Tidak dijadikan hujah dengan hadithnya.” 

2.        Sa’dan bin Ubadah al-Qadahiy (سعدان بن عبدة القداحي), Ibn ‘Adiy di dalam al-Kamil berkata: “Dia tidak dikenali.” Disebabkan ini, al-Hafidz al-Sakhawi telah melemahkan hadith ini di dalam al-Qaul al-Badi’

Kesimpulan   

Tidak ada sebarang bacaan atau zikir yang khusus jika terlupa sesuatu. Sebaliknya hendaklah berdoa dan memohon kepada Allah demikian juga dengan mengingati Allah dan memperbanyakkan zikir kepadanya.  

Wallahu a’lam.

sumber: http://al-qayyim.net/web/index.php?option=com_content&task=view&id=380&Itemid=2

Next Page »

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.