Khatib perlu ada seni berkhutbah

April 2, 2008 at 10:21 am | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

ba_01_1.jpg

Apakah hikmah Allah mewajibkan khutbah pada solat Jumaat?
ZAHAZAN: Hikmah diwajibkan khutbah ialah terletak pada asasnya iaitu memberi peringatan kepada umat Islam.

Hal ingat memperingati ini banyak disebut dalam al-Quran. Antaranya firman Allah: Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia dan janganlah kamu berdukacita kiranya ada yang menolak), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan. (al-Ghaasyiyah: 21).

Demikian juga dalam surah al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud: Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan (ingat memperingati) dengan kebenaran dan kesabaran.

Salah satu daripada waktu yang disyaratkan ingat memperingati ini ialah dalam solat Jumaat. Sebab itu, negara Islam terdahulu menjadikan Jumaat sebagai cuti umum untuk menggalakkan penganutnya memberi fokus kepada hubungan dengan Allah.

Malah dalam kerajaan Othmaniah, bukan sahaja Jumaat diisytihar cuti umum malah dikumpul alim ulama pada hari tersebut untuk sultan menyampaikan watikah rasmi.

Sejak zaman baginda SAW sehinggalah para sahabat dan tabien, khutbah Jumaat dijadikan waktu untuk menggantikan semula maklumat dalam diri orang Islam supaya kembali mengingati Allah.

Malangnya, waktu khutbah adalah masa paling ramai makmum yang terlena. Mengapa ini berlaku?

ZAHAZAN: Inilah hal yang agak malang. Dalam hal ini saya ingin merujuk tesis kajian doktor falsafah (PhD) Dr. Zulkifli Aini iaitu Teknik-teknik menyampaikan Khutbah – suatu kajian di Selangor.

Kajian beliau mendapati ada tiga faktor mengapa ramai jemaah yang tidur semasa khutbah hari Jumaat.

Pertama, faktor individu itu sendiri, kedua; faktor persekitaran dan ketiga; faktor penyampaian khatib.

Dari segi faktor individu, ada yang datang solat Jumaat dalam keadaan letih dan merasa waktu tengah hari sebagai paling sesuai untuk berehat iaitu tidur.

Mereka ini datang hanya untuk menyempurnakan kefarduan solat Jumaat tetapi mindanya telah menetapkan masa itu untuk berehat.

Faktor persekitaran pula, ada sesetengah masjid kita yang terlalu besar. Bila demikian, sistem pembesar suaranya ada yang tidak berfungsi dengan baik. Jadi bagaimana makmum hendak dapat manfaat daripada khutbah?

Bagaimanapun, ada sebahagian masjid di Lembah Klang yang sudah menggunakan paparan monitor LCD. Ini memberi impak kepada para jemaah malah mereka boleh membuat catatan terhadap maklumat-maklumat penting yang disampaikan.

Yang ketiga, tentang penyampaian khatib. Ada khatib yang tidak membuat persediaan secukupnya. Antara lain ia disebabkan kelewatan menerima teks khutbah oleh pihak berkuasa agama.

Teks ini menggunakan tulisan jawi dan ada ketika ia menggunakan istilah moden yang khatib sendiri tidak faham. Oleh sebab itu, makmum berasa mereka seperti tidak terlibat dalam mauduk yang disampaikan.

Pada masa yang sama, para imam ini perlu diberi insentif yang lebih menarik. Selain gaji yang berpatutan, mereka perlu diberi peluang mendapat pendidikan di luar negara seperti Mesir atau Maghribi. Jangan dihadkan peluang begini kepada pegawai jabatan agama Islam sahaja.

Sebabnya tugas sebagai Imam ini tidak kira masa. Kadang-kadang mereka dikejutkan pada waktu tengah malam, misalnya apabila berlaku kematian mereka kena bertugas juga walaupun pada hari cuti.

Salah satu penarik untuk makmum mendengar dan menghayati khutbah ialah kandungannya. Bagaimana memantapkan kandungan khutbah ini?

ZAHAZAN: Khatib perlu dilatih dan wajar didedahkan kepada mentor yang baik. Latihan ini pula tidak harus berbentuk sehala sebaliknya ia perlu melibatkan penglibatan para khatib. Mereka perlu diuji cara penyampaian dan dibetulkan sebarang kesilapan yang dibuat.

Latihan itu pula janganlah melibatkan bilangan yang besar. Seelok-eloknya dihadkan kepada 30 orang sahaja dalam setiap sesi. Ini memudahkan usaha menambah baik kualiti penyampaian oleh para khatib.

Mentor terbaik sudah pastilah Nabi Muhammad SAW Malah dalam hadis ada yang menceritakan bagaimana muka baginda semasa berkhutbah bertukar ke merah padam, hati makmum menjadi kecut apabila membicarakan bab kiamat dan apabila menyentuh emosi para sahabat menangis.

Saidina Umat al-Khattab pula apabila berkhutbah seolah-olah mimbar itu bergegar.

Dengan kata lain, khatib perlu menghayati sepenuhnya maksud dan inti pati khutbah itu. Adalah agak malang, apabila ada di kalangan khatib yang membaca ayat al-Quran pun salah.

Pada masa yang sama, pemilihan khatib pun perlu melihat kepada keadaan setempat. Jika kawasan itu didiami oleh golongan terpelajar, maka khatibnya pun mesti setanding agar mampu menyampaikan mesej dakwah dengan berkesan.

Kandungannya pula mestilah berkisar kepada isu-isu semasa berlandaskan al-Quran dan hadis. Oleh sebab itu, mereka yang terlibat menyediakan teks khutbah tidak boleh hanya duduk di pejabat. Sebaliknya mereka perlu turun padang dan melihat apakah isu yang timbul pada minggu tersebut.

Satu aspek lagi ialah keikhlasan khatib. Insya-Allah apabila kita ikhlas maka ia mampu mengetuk pintu hati manusia untuk mematuhi perintah Allah.

Biasanya di kebanyakan masjid, bilal akan membaca sepotong hadis yang antara lain mafhumnya, “Jika berkata-kata walau menyuruh orang lain diam sekalipun, maka hilanglah pahala Jumaat itu.” Namun, masih ramai yang tidak mengendahkannya terutama golongan remaja dan kanak-kanak. Kenapa berlaku begini?

ZAHAZAN: Saya cadangkan ibu bapa memainkan peranan dalam hal ini. Ayah misalnya perlu menasihati anak-anak supaya jangan buat bising semasa di masjid, lebih-lebih lagi semasa khatib membaca khutbah.

Sayangnya, tidak ramai golongan bapa yang menjelaskan perkara ini. Mereka hanya berharap anak-anak itu akan tahu sendiri.

Selain itu, kita perlu lebih fleksibel di mana anak-anak yang mumaiyiz ini boleh solat bersebelahan bapa masing-masing. Tidak timbul soal putus saf kerana mereka boleh berkhatan. Sebabnya Rasulullah pun semasa solat pernah dipanjat oleh cucunya.

Cuma anggapan yang dibuat ialah kanak-kanak pada zaman baginda sudah berkhatan. Sedangkan masih ramai kanak-kanak pada zaman itu yang belum berkhatan.

Apakah kuasa yang ada pada khatib terutama dalam menyuruh makmum diam semasa khutbah?

ZAHAZAN: Khatib boleh menegur makmum menyuruh mereka diam dan memberi perhatian kepada khutbah. Cuma perkara ini jarang dilakukan di negara kita.

Pada zaman Rasulullah, baginda pernah menegur seorang lelaki yang masuk ke masjid bertanyakan adakah kamu sudah solat sunat tahiyatul masjid. Demikian juga apabila baginda menyentuh tentang kelebihan bersedekah apabila melihat kanak-kanak membawa kantung derma semasa berkhutbah.

Ini menjadikan khutbah lebih interaktif dan tidak terlalu rigid.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: