Al-Jazeera Menuju Kematangan

April 11, 2008 at 5:31 pm | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

 

 

Pada 20 dan 21 September 2007, Durham University di UK telah menganjurkan konfrens yang bertajuk “Media And Image Change of the Middle East post 9/11”. Konfrens yang dianjurkan oleh School of Middle Eastern and Islamic Studies itu lebih berfokus kepada pencapaian stesen televiyen satelit, al-Jazeera. Sebagai sebuah setesen televisyen yang dianggap sebagai BBC Arab ataupun CNN umat Islam, al-Jazeera diharapkan oleh ramai agar menjadi pengimbang kepada media barat yang kebanyakannya dijangkiti virus “Islamaphobia”.

Durham University 

Menurut pengarah pusat kajian al-Jazeera, Dr Khalid al-Haj, kemunculan al-Jazeera merupakan satu pengubat luka kepada kedukaan umat Islam yang imej mereka sering diburukkan di media-media barat. Bukan sekadar itu sahaja, malah keberanian al-Jazeera membongkarkan isu-isu berkaitan para diktator Arab dan juga kezaliman mereka menjadikan al-Jazeera semakin diminati ramai. Sebagai media berbahasa Arab yang berpaksikan isu-isu timur tengah, keberanian al-Jazeera membongkarkan isu-isu berkaitan skandal, korupsi dan juga kezaliman para pemimpin Arab merupakan satu kejutan dan revolusi.
Sewaktu kemunculan awalnya pada bulan November tahun 1996 lalu, negara-negara Arab bagaikan dilanda revolusi. Sikap keterbukaan stesyen berkenaan bukanlah sesuatu yang biasa bagi masyarakat Arab. Penduduk Arab rata-ratanya hidup terbungkam di dawah pemerintahan kuku besi di mana para diktator sentiasa berusaha membutakan mereka daripada maklumat. Kemunculan al-Jazeera pada waktu itu telah mendedahkan kesemua perkara yang dahulunya menjadi rahsia kepada dunia. Para diktator Arab tidak senang duduk dengan femonena baru tersebut.
Tidak ramai yang mengetahui, al-Jazeera lahir daripada kegagalan projek bersama BBC dan juga stesyen televisyen satelit Orbit dari Arab Saudi. Kerjasama tersebut timbul daripada ide untuk memberikan maklumat berita antarabangsa kepada masyarakat Arab di seluruh dunia. BBC, sebelum itu bukanlah terlalu asing bagi para pendengar Arab si seluruh dunia. Siaran radio BBC berbahasa Arab mempunyai ribuan pendengar dari kalangan masyarakat Arab di persada antarabangsa. Revolusi stesyen televisyen satelit telah memberikan ide kepada syarikat Orbit dan BBC untuk menghasilkan stesyen televisyen yang dapat mencapai objektif tersebut. Operasi awal projek tersebut berpusat di pusat televisyen BBC di White City, London. Kesemua kakitangan stesyen berkenaan berpusat di sana.
Pada awalnya, stesyen berita berkenaan telah diberikan garis panduan agar tidak terlalu lantang mengkritik para pemimpin Arab di Teluk, terutama pemerintah Arab Saudi. BBC, walau bagaimanapaun tidak terlalu terikat dengan garis panduan berkenaan. Kritikan demi kritikan diberikan kepada mereka kerana beberapa laporan mereka yang disifatkan oleh Riyadh sebagai agak “keras” terhadap pemerintah beraja Saudi. Keadaan semakin keruh apabila stesyen berkenaan turut memberikan ruang kepada para pemimpin pembangkang di Saudi. Keadaan ini berterusan sehingga membawa kepada “penceraian” di antara stesyen Orbit dengan BBC.
Femonena ini telah menarik minat negara jiran Saudi, Qatar. Kerajaan Qatar telah memanggil kesemua staf stesyen berita usahasama Orbit-BBC ke Doha, Qatar. Sebagai sebuah kerajaan yang kaya dengan sumber petrol, Qatar tidak menghadapi masalah untuk membiayai kewujudan sebuah stesyen berita satelit. Bilangan staf ditambahkan dengan tenaga-tenaga yang lebih berpengalaman dan profesional. Sejumlah besar duit telah dilaburkan untuk tujuan berkenaan. Demi menjayakan lagi misi stesyen televisyen berita tersebut, kerajaan Qatar telah memberikan satu jaminan kepada stesyen berkenaan, iaitu kebebasan untuk melaporkan berita. Kegagalan percubaan Orbit-BBC telah dijadikan pengajaran oleh kerajaan Qatar. Di sini, lahirlah al-Jazeera.
Berbanding dengan negara-negara teluk yang lain, Qatar agak tidak terdedah kepada ancaman “pembangkang”. Negara yang kaya dengan hasil minyak tersebut telah berjaya memberikan rakyat mereka peluang untuk menikmati kekayaan negara secara bersama. Selepas Amir yang memerintah sekarang ini merampas kuasa daripada bapanya, keadaan sosio ekonomi di Qatar menjadi semakin elok daripada sebelumnya. Tiada lagi inflasi dan kemiskinan di Qatar, dan rakyat diberikan peluang untuk menikmati sistem pendidikan sebaik mungkin. Krisis politik pun tidak ketara di bumi berkenaan. Sebarang pertelingkahan politik berjaya diselesaikan secara tradisional. Setiap rakyat Qatar dijamin pekerjaannya, dan berpeluang menikmati pendidikan, tempat tinggal dan juga kemudahan kesihatan yang asasi berbanding negara-negara barat sekalipun. Keadaan ini menjadikan rakyat Qatar tidak menghadapi banyak masalah dengan kerajaan mereka.
Antara inisiatif pertama yang dilakukan oleh Amir Qatar yang baru itu ialah menghapuskan kementerian penerangan. Beliau juga telah mengakhirkan segala penguasaan kerajaan ke atas media. Ketika inilah stesyen TV al-Jazeera diwujudkan sebagai wadah kepada media yang memaparkan pandangan yang adil dari semua pihak. Keadaan ini dapat dilihat di dalam rancangan debat, forum dan juga “talk show” di dalam al-Jazeerah. Pelbagai individu mewakili aliran dan arus pemikiran yang berbeza menjadi tetamu al-Jazeera untuk berkongsi pandangan dan untuk diuji pandangan mereka. Rancangan “Ittijah Mu’akis” sebagai contoh, telah menjadi keminatan ramai kerana menjadi platform untuk semua pihak mengemukakan pandangan mereka, dan untuk diuji.
Walau bagaimanapun di peringkat tersebut, al-Jazeera hanya menjadi keminatan para penonton Arab sahaja. Batasan bahasa menjadikan al-Jazeera tidak diminati oleh penduduk dunia lain yang tidak berbahasa Arab. Segalanya berubah selepas peristiwa 9/11. Laporan media barat yang berat sebelah, samada dari segi laporan dan juga analisis menjadikan para penduduk dunia mahukan pandangan pihak ketiga. Pada waktu itu al-Jazeera telah muncul dengan menayangkan kenyataan-kenyataan Osama Ben Laden dan Abu Ayman al-Zawahiri. Kesannya, al-Jazeera telah menjadi keminatan pihak-pihak media antarabangsa untuk mendapatkan pandangan dari pihak “lain”.

Osama melariskan al-Jazeera?
Siri penjajahan Afghanistan dan Iraq oleh AS dan konco-konconya telah membantu mempopularkan lagi al-Jazeera. Permintaan dari media-media seluruh dunia telah menjadikan al-Jazeera sebagai alternatif kepada “western wires”. Namun harga yang terpaksa dibayar juga amat mahal. Serangan terhadap stesyen berita mereka di Afghanistan dan Iraq. Pembunuhan para wartawan mereka, dan juga penangkapan Taysir al-‘Aluni di Sepanyol dan juga penahanan juru gambar mereka, Saami al-Haaj di Guantanamo Bay sehingga kini menjadikan cabaran terhadap al-Jazeera semakin menggunung.
Menurut Dr Khalid lagi, selepas 10 tahun bertapak, kini al-Jazeera telah melangkah ke dimensi baru. 10 tahun pertama mereka, disifatkan oleh Dr Khalid sebagai tahun-tahun promosi. Sekarang ini mereka telah mencapai kematangan dan terpaksa mengubah sikap dari promosi kepada media yang matang. Penubuhan pusat kajian al-Jazeera adalah sebahagian daripada kematangan tersebut. Al-Jazeera merupakan satu-satunya stesen televisyen di dunia Arab yang mempunyai pusat kajian mereka yang tersendiri. Pusat yang bertindak sebagai “think tank” itu menjadi “brain” dan juga pusat RND bagi al-Jazeera. Pusat tersebut dianggotai oleh pakar-pakar dari pelbagai bidang yang berkaitan. Dari bidang media, politik, ekonomi, sains sosial, bahasa dan juga psikologi kesemuanya bertujuan untuk menjadikan al-Jazeera sebuah stesyen televisyen yang bertaraf antarabangsa dan bertanggunjawab serta profesional.
Menurut Dr Khalid lagi, kini al-Jazeera berusaha untuk merubah mentaliti dan juga paradigma media moden. Media moden yang kebanyakannya bersikap mengaut keuntungan dan juga menjadi alat propaganda sesetengah pihak amat tidak dialu-alukan oleh al-Jazeera. “Hikmah” dan juga menjadi media yang mendidik masyarakat dunia agar menjadi masyarakat yang bertamadun dan saling menghormati, itulah matlamat dan visi al-Jazeera yang baru. Sesuai dengan umur kematangan mereka, al-Jazeera berusaha untuk memastikan bahawa kewujudan mereka akan tetap relevan dan tetap menjadi “suara kepada majoriti yang senyap” seperti yang pernah diungkapkan oleh pengarah urusannya (CEO), Waddah Khanfar.
Persoalannya, sejauh mana kewujudan al-Jazeera ini dimanfaatkan sebaiknya oleh media-media yang wujud di Malaysia. Apakah kewujudan badan berita yang bertujuan menjadi pengimbang kepada badan-badan berita antarabangsa dan juga badan-badan berita barat itu memberi makna kepada media-media yang wujud di Malaysia. Bukan hanya sekadar laporan berita, lebih daripada itu analisis-analisis, rancangan-rancangan debat dan juga kupasan berita itu sendiri begitu bermanfaat kepada media Malaysia di dalam melaporkan isu-isu berkaitan timur tengah.
Wadah Khanfar, CEO al-Jazeera.
Pusat kajian al-Jazeera juga merupakan sesuatu yang sepatutnya dicontohi oleh pihak media di Malaysia. Meja editorial dan juga bilik berita tidak boleh dijadikan sebagai satu-satunya ruang penilaian sesuatu berita. Sepasukan yang pakar dan profesional perlu dihimpunkan untuk menjadi kumpulan pengkaji kepada media-media utama di Malaysia. Tiada salahnya kita mengambil manfaat dari al-Jazeera yang baru sahaja matang, kerana pengalaman mematangkan mereka begitu berharga buat warga dunia yang masih menagih kematangan walaupun telah lama melepasi usia matang.

 

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: