Isytihar agama hanya jika keluarga bersedia

April 12, 2008 at 6:33 am | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

 

BEBERAPA tahun dulu seorang kawan pernah secara terbuka memaklumkan kepada keluarganya bahawa dia memeluk agama Islam.

Tindakannya berterus terang itu sememangnya wajar dipuji kerana merasakan sebagai anak, dia bertanggungjawab untuk memberitahu ibunya, juga keluarga, mengenai keputusan murninya itu.

Malangnya, keputusannya memeluk agama Islam itu mendapat tentangan kuat apabila ibu, dan kakaknya, datang menemuinya dan memberi kata dua, memeluk Islam atau mereka berdua akan mencabut nyawa sendiri di depannya.

Apakah seorang anak sanggup melihat dua insan yang disayanginya mencabut nyawa sendiri di depan mata disebabkan niat murninya memeluk Islam?

Ditakdirkan dia mengalah kepada desakan ibu dan kakaknya dan kembali kepada agama asal, biarpun dengan hati yang maha berat.

Pengumuman kerajaan akan memperkenalkan peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam membuat perisytiharan secara terbuka dapat difahami alasan dan sebab-musabab, demi tidak menyusahkan pihak-pihak lain berkaitan jika timbul masalah kemudian hari.

Memang tepat dan wajar apabila seseorang melakukan sesuatu yang baik, ikhlas, murni, jujur dan mulia memaklumkan kepada sesiapa sahaja, terutamanya keluarga sendiri.

Persoalannya, apakah segala niat baik akan diterima dan dibalas dengan ganjaran yang setimpal? Pengalaman memberi pengajaran pro dan kontranya.

Beberapa perkara berbangkit beberapa waktu kebelakangan terutama berhubung soal kematian dan pengebumian serta hak penjagaan anak telah menjadi isu yang dianggap menindas golongan bukan Islam.

Isu ini sengaja dimainkan terutama oleh media asing untuk menekan kerajaan dan memberi gambaran salah bahawa golongan minoriti ditindas serta tidak mendapat hak sebagai warganegara.

Apakah perlu tunduk kepada desakan seperti ini dengan memperkenalkan peraturan baru yang sebenarnya tidak akan memihak atau membawa kebaikan dalam erti kata sebenar kepada saudara baru dan agama Islam sendiri.

Soal agama memang sensitif dan boleh mencetuskan ketegangan, apatah lagi yang berkaitan dengan keputusan seseorang memeluk agama Islam.

Seyogia ingin dimaklumkan amat bertuah jika keputusan seseorang memeluk agama Islam akan diterima dengan tangan terbuka oleh keluarga, sama ada ibu bapa, isteri, suami, anak, adik-beradik dan saudara-mara lain.

Malangnya, dalam persoalan membabitkan hubungan antara agama seperti ini, ia tidak semudah dipandang oleh mata luar, bahu yang memikul beban tahu berat atau ringannya cabaran apabila memeluk Islam.

EngganSebab itu dalam banyak kes, apabila seseorang saudara baru tidak, gagal atau enggan memaklumkan kepada keluarga mengenai keputusan memeluk agama Islam, ia tidak boleh dianggap sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab atau sikap tidak matang.

Manusia yang waras dan baik tidak akan mahu melihat pergolakan dalam keluarga atau melihat tindakan seperti mencabut nyawa sendiri ahli keluarga terdekat dan disayangi.

Malah terdapat saudara baru dibuang oleh keluarga sendiri gara-gara memeluk agama Islam, dan golongan ini paling layak mendapat perlindungan dan pertolongan daripada terus menghadapi tekanan keluarga dan masyarakat lamanya.

Ramai saudara baru yang memeluk agama Islam secara senyap apabila menyedari risiko bahawa tindakan mereka hanya mengundang padah dan malapetaka yang membabitkan soal akidah dan kelangsungannya sebagai seorang Islam.

Jadi dalam keadaan seperti ini jika diberi pilihan yang mana lebih penting, memeluk agama Islam atau memberitahu keluarga? Tepuk dada tanya selera.

Ingin dinyatakan di sini apakah seseorang yang mendapat hidayah atau terbuka hatinya memeluk Islam, sudah akil baligh, perlu mendapat kebenaran keluarganya memeluk Islam dan jika keluarganya enggan membenarkan, apakah mereka harus kekal dengan agama asal. Wajarkah?

Perlukah peraturan dan dokumen bagi tujuan perisytiharan kepada keluarga bahawa seseorang itu memeluk agama Islam?

Mungkin ada keperluannya jika keputusan memeluk agama Islam diterima dengan tangan dan fikiran terbuka oleh keluarganya.

Hakikatnya, semasa hendak memeluk agama Islam seseorang perlu mengisi borang mengandungi segala butir peribadi termasuk nama Islam, dan pejabat agama akan mengeluarkan kad perakuan memeluk Islam.

Ia merupakan dokumen sah yang turut diterima oleh Jabatan Pendaftaran Negara semasa meminda butiran dalam kad pengenalan.

Jadi perkara yang penting di sini adalah pendaftaran seorang saudara baru dengan rekod yang jelas perlu diutamakan, berbanding membuat perisytiharan, kerana di dalamnya juga terkandung lafaz kalimah syahadat.

Perisytiharan atau makluman hendaklah dibuat jika keluarga saudara baru boleh menerima secara terbuka.

Sama ada seseorang yang ingin memeluk agama Islam memaklumkan kepada keluarga mengenai keputusannya, ia hendaklah diserahkan kepada keadaan dan keperluan pada ketika itu.

Jika tindakan memberitahu keluarga tidak memberi faedah atau kelebihan, jadi kenapa perlu berterus terang dan membuat perisytiharan.

Akhirnya, agama lebih penting, tetapi keluarga bukanlah untuk diketepikan begitu sahaja.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: