CAKAP-CAKAP: APA YANG KITA CAKAPKAN?

April 14, 2008 at 10:20 am | Posted in FIKRAH ajimoni | Leave a comment

Sebagai manusia, kita akan sentiasa bercakap kerana memang menjadi suatu keperluan yang mana kita perlu bercakap. Namun, dalam memperlihatkan keperluan sebagai manusia dalam bercakap, seringkali apa yang kita cakapkan menjadi kesukaan, kemarahan, dan juga kebencian orang lain terhadap kita. Jarang sebagai manusia menapis apa yang mereka ingin cakapkan, berfikir selepas cakap adalah suatu tabiat manusia dari kebanyakan kita.

Dalam menuntut ilmu, tanpa bercakap amat mustahil. Dalam pencarian ilmu, bertanya adalah sesuatu yang amat asas dalam buku ilmu. Dan tanpa bertanya dan bercakap, pencarian ilmu kita akan menjadi sesuatu yang tiada nilainya. Dalam konteks ilmu, akan ada dua manusia besar didalamnya, pencari ilmu dan pemberi ilmu. Pencari ilmu biasanya akan jarang bercakap, dan pemberi ilmulah yang biasanya bercakap dan terus bercakap selagi mana ilmunya masih belum lagi habis dimuntahkannya. Maka apabila si pencari ilmu mula bercakap, maka setiap sudut pandang akan melihatnya. Kerana bila mana pencari ilmu bertanya, maka tandanya si pencari ilmu itu seorang yang sedang belajar. Namun, ada ketikanya si pencari ilmu bila bercakap, dia terlupa akan adabnya sebagai seorang yang masih buta dalam dunia cahaya ini. Dia bercakap tanpa memandang kebawah, sesungguhnya dia lupa yang sebenarnya dia masih lagi dibawah. Dia bercakap dengan si pemberi ilmu dengan dongakan mendada lalu melupakan adabnya. Di mana adabmu ketika bercakap wahai si penuntut ilmu? Pemberi ilmu lumrahnya seorang yang hebat akal dan cara fikirnya. Namun, ada juga si pemberi ilmu yang mungkin kasar dalam proses memberikan ilmunya. Bila mana si pencari ilmu bercakap dan bertanya dengan nada yang memang tanda dia jahil ilmu, si pemberi ilmu dengan segera bercakap dengan nilai mengherdik dan merendahkan si pencari ilmu. Mungkin kerana si pencari ilmu terlalu kecil untuk dibesarkan pertanyaannya, dan mungkin juga cakap-cakap si pencari ilmu terlalu naïf dalam sudut kacamata ilmunya. Wahai pemberi ilmu, bukankah dulu kamu juga pencari ilmu?
Negara dan politik, dua nama, satu jiwa dan satu nyawa. Politik merupakan medan cakap-cakap yang sangat panas, hangat dan mencetuskan pelbagai debat cakap-cakap yang mana paling banyak membunuh jiwa-jiwa manusia. Di sini kita akan melihat begitu ramai manusia egois yang hebat cakap-cakapnya, namun mati jiwanya. Ke sana dan ke sini mereka menaburkan buah manis cakap-cakapnya, hingga kadangkala menimbulkan gelak tawa rakyat biasa. Cakap-cakap itu telah 15 tahun diucapkan, tetapi dalam acap lima tahun, semangatnya akan kembali bugar. Namun cakap-cakap politik kadangkala hanya tinggal air liur sahaja, suara yang sebulan begitu banyak cakapnya, kini berehat untuk 5 tahun akan datang. Wahai ahli politik, kurangkan bercakap, gerakanlah jiwamu! Rakyat suka juga bercakap, menjaja cerita-cerita panas milik pahlawan politik mereka. Mereka akan bercakap menyampaikan kebenaran pahlawan mereka. dari satu kedai kopi ke kedai kopi yang lain, cerita dan judulnya tetap sama, “Pahlawanku Yang Benar”. Tetapi bila mereka bercakap-cakap sesama mereka, jarang sekali menilai cakap-cakap tentang kebenaran pahlawan mereka. Semuanya ku telan, biarpun cakap-cakapnya semua bersegi. Wahai rakyat, nilailah apabila mendengar, berfikirlah sebelum bercakap!

Kita manusia akan terus bercakap, selagi kudrat terus terpikul, selagi mulut bisa terbuka, akan masih terus kita bercakap. Untuk menghalang sesiapa bercakap, bukan itu hak kita. Namun untuk menilai apa yang orang lain cakapkan, itu hak kita, untuk berfikir sebelum bercakap, itu juga hak kita. Bercakaplah selagi mana kita termampu, namun cakaplah sesuatu yang ada kebenarannya, cakaplah sesuatu yang ada nilainya, dan cakaplah sesuatu dengan ada adabnya. Jika itu tidak mampu kita penuhi, maka cakap-cakap kita umpama tin yang kosong, kuat berbunyi tetapi kosong isinya!

-ajimoni-

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: