Beza Teheran, Pyongyang di mata Washington

April 26, 2008 at 3:04 pm | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

 

GAMBAR yang diambil dari rakaman televisyen ini menunjukkan peluru berpandu yang dibangunkan oleh Korea Utara dipertontonkan kepada orang ramai sempena ulang tahun tentera yang ke-75 negara itu.
– AP



 

PERISTIWA larangan terhadap syarikat pengeluar peralatan pertahanan dari Iran iaitu Pusat Eksport Modlex dari menyertai Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2008 adalah manifestasi bagaimana resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu boleh diolah untuk kepentingan agenda tertentu.

Tidak dapat dinafikan bahawa arahan larangan terpaksa dikeluarkan ekoran daripada rentetan bantahan dan desakan pihak Amerika Syarikat dan Eropah yang mendakwa resolusi Majlis Keselamatan PBB 1747 dan 1803 telah dicabuli oleh Modlex Iran.

Malaysia sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan kerana memang benar Modlex telah mencabuli kedua-dua resolusi tersebut dengan mempamerkan berbagai senjata terutama sekali peluru berpandu.

Mengikut inti pati resolusi tersebut, Iran dilarang sama sekali memindah dan menjual peralatan pertahanan yang boleh digunakan bersama-sama dengan kebolehan nuklear.

Resolusi 1747 dikeluarkan pada 24 Mac 2007 ekoran daripada tidak berkesannya resolusi terdahulu iaitu 1737 yang antara lain melarang sebarang hubungan dagang dengan Iran yang berkaitan dengan pengkayaan uranium.

Resolusi 1803 pula dikeluarkan pada 3 Mac 2008 yang menyukarkan lagi sebarang hubungan dengan Iran kerana sebahagian besar jenis peralatan pertahanan digolongkan sebagai bahan larangan.

Sebab itu jika Modex tidak mempamerkan peluru berpandu di DSA, ia tidak membawa apa-apa perubahan kerana boleh dikatakan apa sahaja peralatan pertahanan yang dipamerkan sudah tentu mencabuli resolusi 1803.

Perlu di ungkit kembali pada DSA 2006, Modlex telah mempamerkan pesawat tan- pa pemandu (UAV) Mohajer 2 tetapi tiada bantahan daripada syarikat pertahanan AS dan Eropah.

Ini kerana pada ketika itu tiada resolusi Majlis Keselamatan PBB yang melarang Iran berbuat demikian. Tetapi pada hari ini gabungan resolusi 1737, 1747 dan 1803 telah merangkumi larangan sebarang bentuk dagangan peralatan pertahanan melibatkan Iran.

Memang pelik resolusi yang melarang sebarang pemindahan teknologi UAV dengan Iran, kerana UAV dan nuklear sebenarnya tidak mempunyai hubungan kait yang rapat. Begitu jelas sekali resolusi 1803 mempunyai agenda tersembunyi.

Perlu diberi perhatian Modlex adalah agensi di bawah Kementerian Pertahanan Iran yang ditubuhkan pada tahun 1989 un- tuk mengurus segala bentuk dagangan yang melibatkan kementerian tersebut.

Modlex dilihat sebagai begitu aktif terutama sekali mengeksport peralatan pertahanan yang dikeluarkan oleh Iran.

ResolusiWashington sebenarnya telah menggunakan Majlis Keselamatan PBB supaya mengeluarkan resolusi bukan untuk menyekat pembangunan nuklear Teheran tetapi lebih untuk menjaga kepentingan Israel. Ketiga-tiga resolusi yang telah dikeluarkan bertujuan untuk menghalang Teheran daripada membangunkan program nuklear yang di tuduh oleh Washington sebagai mempunyai tujuan ketenteraan.

Tetapi laporan agensi perisikan AS (NIE) yang dikeluarkan pada November 2007 telah mengesahkan bahawa Teheran telah memberhentikan usaha membangunkan nuklear kegunaan tentera. Malah laporan terbaru Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Februari 2008 telah mengesahkan bahawa tiada tanda-tanda yang menjerumus kepada pembangunan nuklear kegunaan tentera oleh Teheran. Tetapi kesemua negara yang menjadi ahli Majlis Keselamatan (kecuali Indonesia mengambil sikap berkecuali) telah menyokong resolusi 1803 walaupun bertentangan dengan laporan NIE dan IAEA.

Washington sebenarnya telah lama dengan agenda untuk mengehadkan pembangunan sistem pertahanan Iran dan isu nuklear hanya digunakan sebagai pemangkin untuk menyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa Iran adalah negara yang merbahaya. Dengan bertopengkan menyekat pembangunan nuklear Iran, Washington sebenarnya telah berjaya sedikit sebanyak mengehadkan kerancakan pembangunan sains dan teknologi Iran melalui ketiga-tiga resolusi PBB tersebut.

AS telah pun mengenakan berbagai-bagai sekatan ekonomi terhadap Iran bermula dari tahun 1979 ketika meletusnya Revolusi Iran. Antaranya ialah sekatan yang me- larang industri gas dan minyak AS berurusan dengan Iran. Tetapi memandangkan Iran yang mempunyai simpanan minyak kedua terbesar selepas Arab Saudi, sekatan sedemikian rupa sebenarnya lebih merugikan AS kerana negara lain banyak berurusan dengan Iran. Washington juga berbagai akta yang menyekat eksport alat ganti pertahanan ke Iran dan pada bulan Julai 2007 lepas telah menuduh syarikat yang beroperasi dari Malaysia mengeksport alat ganti jet pejuang F5 dan F14 dan helikopter Chinook.

Walaupun berbagai sekatan terhadap Iran dikenakan oleh Washington, sekatan sedemikian rupa tidak begitu efektif kerana ia hanya disertai oleh syarikat yang beroperasi dari AS.

Berbagai helah digunakan oleh syarikat AS untuk berurusan dengan Iran kerana jika mereka tidak terlibat, negara lain akan mengambil peluang yang dikosongkan oleh AS.

Sebab itu Majlis Keselamatan PBB digunakan bukan sahaja untuk menekan Iran, tetapi juga negara yang kerap berurusan dengan Teheran. Resolusi yang dikeluarkan walaupun mempunyai niat menyekat pembangunan nuklear kegunaan tentera Teheran, tetapi penggunaan resolusi tersebut lazimnya menyimpang dari tujuan asal.

Apa yang berlaku di DSA 2008 beberapa hari lepas adalah satu contoh yang begitu kecil bagaimana Majlis Keselamatan PBB telah disalah gunakan oleh pihak tertentu.

Walaupun pun telah disahkan oleh agensi perisikan AS dan IAEA bahawa tiada tan- da yang menunjukkan Iran membangunkan nuklear untuk tujuan ketenteraan, tetapi Washington tetap berkeras dengan resolusi 1803. India, Pakistan dan Israel yang mempunyai teknologi nuklear tentera tidak dikenakan sekatan sehebat Iran. Paling ironis sekali ialah Iran adalah ahli dalam Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) PBB sedangkan India, Pakistan dan Israel langsung tidak mengendahkan keperluan NPT.

Lebih mengecewakan lagi apabila Washington mengambil sikap berlembut dengan Pyongyang walaupun Korea Utara me- narik diri dalam NPT. Tetapi apabila berhadapan dengan Teheran, Washington mengambil sikap tidak mahu berkompromi sedangkan Iran telah memenuhi segala tuntutan NPT.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: