Pengerusi Kumpulan Naza meninggal dunia

May 3, 2008 at 10:41 am | Posted in BERITA | Leave a comment

Oleh Abdul Halim Yusoff


Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin

KUALA LUMPUR: Pengasas yang juga Pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin (gambar) meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Los Angeles, Amerika Syarikat pada kira-kira jam 10.40 pagi kelmarin (1.40 pagi semalam waktu Malaysia).

Nasimuddin, 53 yang juga Ketua Eksekutif konglomerat itu, dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Long Beach, California untuk mendapat rawatan kanser tiga minggu lalu, selepas berada di Amerika Syarikat sejak Januari.

Presiden Kumpulan Naza, Datuk SM Shalahuddin SM Amin, berkata Allahyarham berlepas ke Amerika Syarikat awal tahun ini atas urusan perniagaan dan untuk membuat pemeriksaan kesihatan isterinya, Puan Sri Zaleha Ismail, di sana.
“Selepas beberapa lama di sana, Allahyarham mengadu batuk kira-kira tiga minggu lalu dan membuat pemeriksaan doktor tetapi terkejut apabila diberitahu menghidap kanser paru-paru tahap keempat, lalu terus dirawat di hospital.

“Sejak itu, kesihatan beliau dikatakan semakin buruk hingga sampai ke tahap kritikal,” katanya yang nyata masih terkejut dan bersedih atas berita itu ketika ditemui wartawan di Menara Naza, di sini, semalam.

Shalahuddin berkata, semua anggota keluarganya tidak pernah tahu Allahyarham menghidap kanser paru-paru, malah percaya Nasimuddin sendiri tidak mengetahuinya sebelum ini, kecuali jika Allahyarham sengaja merahsiakannya.

“Setakat yang kami tahu, Allahyarham yang juga anak ketiga daripada 10 beradik ialah seorang yang sangat mementingkan aspek kesihatan dan sentiasa berjumpa doktor walaupun sekadar demam,” katanya.

Shalahuddin yang juga adik Allahyarham berkata, Zaleha dan semua lima anak pasangan itu berada di sisi Nasimuddin ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Pasangan itu turut mempunyai seorang cucu.

Beliau berkata, anggota keluarganya yang kini membuat urusan untuk membawa pulang jenazah Allahyarham ke Malaysia, belum dapat memastikan jadual penerbangannya tetapi berharap ia dapat tiba selewat-lewatnya esok.

Katanya, Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 9, Hulu Langat esok, selepas disembahyangkan di Masjid Wilayah Persekutuan dan semua rakan serta orang ramai berpeluang menziarahi jenazahnya di situ.

Dilahirkan pada 25 Januari 1955, di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Allahyarham yang menjadi antara tokoh korporat dan automotif paling berjaya di Malaysia, menerima pendidikan di Sekolah Menengah Tuanku Muhammad di Kuala Pilah.

Kumpulan Naza, yang ditubuhkan pada 1974, mempunyai 14 bahagian perniagaan termasuk automotif, motosikal, pembuatan, perkhidmatan, pengangkutan serta memegang francais Ferrari, Kia, Peugeot, Brabus, Hamann dan Ducati di Malaysia.

Abang sulung Allahyarham, Datuk SM Sharifuddin Mohd Amin menyifatkan Nasimuddin sebagai seorang yang berperwatakan lembut, tenang, mudah berurusan tetapi boleh juga dianggap sebagai suka berahsia.

Katanya, Nasimuddin juga dianggap sebagai perancang dan pengatur strategi utama perniagaan keluarga dengan Allahyarham biasanya bertanggung jawab mendapatkan perniagaan sebelum menyerahkannya kepada adik beradiknya yang lain untuk dilaksanakan.

Mengenai operasi perniagaan kumpulan itu, Shalahuddin berkata, ketika ini semua perancangan, dasar dan strategi yang sudah digariskan Allahyarham akan diteruskan termasuk cadangan penyenaraian anak syarikatnya, TTDI Development Sdn Bhd.

“Kami belum memutuskan rancangan peralihan kepemimpinan. Biarlah kami selesaikan ini (pengebumian) dulu dan hanya membuat pengumuman mengenai perkara lain pada masa yang lebih sesuai,” katanya.

Sementara itu, Konsul Malaysia di Los Angeles, Ahmad Asmawi, dipetik Bernama sebagai berkata, Persatuan Islam Malaysia Amerika Utara akan membantu menguruskan penghantaran jenazah Allahyarham ke Malaysia dan mengadakan solat jenazah di Pusat Islam Los Angeles.

sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/BeritaUtama/20080503005640/Article

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: