Perbuatan biadab – Tindakan Karpal mencabar kedudukan, kedaulatan sultan

May 6, 2008 at 8:03 pm | Posted in BERITA | Leave a comment

KUALA LUMPUR 6 Mei – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang terus mempersoalkan keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pertukaran dan pelantikan semula Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) sebagai perbuatan biadab.

Malah Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Syed Hamid Albar pula berkata, tindakan itu bukan sahaja biadab malah mencabar kedudukan dan kedaulatan sultan.

Muhyiddin berkata, tindakan Karpal menegur raja secara terbuka bukanlah adat rakyat Malaysia.

“Hanya kerana parti dia (DAP) sudah mula berkuasa di Perak, baru menang dalam pilihan raya umum lepas, dia sudah bersikap sombong dan bongkak.

“Kita kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menyuarakan hal seperti itu dan kalau ada kita pergi jumpa, menghadap serta beritahu secara berbahasa.

“Jadi tindakan Karpal ini kita kata kurang bahasa sikitlah,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang membuat perabot, Edu World Services Sdn. Bhd. di Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Semalam Karpal terus mempertikaikan tindakan Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan pertukaran Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury, yang disifatkannya sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.

Sambil mengingatkan Istana Perak supaya memahami kuasa terhad raja-raja, Karpal menekankan bahawa “rakyat kini tidak lagi hidup dalam zaman feudal.’’

Pada sidang akhbar di Parlimen yang turut dihadiri anaknya, Gobind Singh Deo itu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata: “Sultan Perak sendiri pernah jadi Ketua Hakim Negara, takkan tidak sedar kes ini.”

Dalam hal itu, Karpal berpendapat, kerajaan negeri Perak tidak sepatutnya ‘tunduk’ kepada tekanan pihak istana.

Muhyiddin berkata, pemimpin DAP itu mungkin hanya melihat tindakan Sultan Perak dari sudut perundangan sedangkan mengikut amalan biasa, sultan adalah ketua dalam urusan berkaitan soal agama di setiap negeri.

“Dalam amalan biasa, bagi jawatan seperti yang disebutkan di Perak itu, adalah baik supaya ketua eksekutif negeri memberitahu atau berunding dengan sultan kerana ini adat dalam kita mentadbir sesebuah negeri,” katanya.

Sementara itu, Syed Hamid berkata, Karpal perlu memahami bahawa negara ini mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Katanya, ini bermakna ada perkara yang dikhususkan kepada sultan yang menjadi hak mutlak baginda dan tidak boleh dibangkitkan atau dipersoalkan.

“Perkara ini melibatkan kesalahan di bawah Akta Hasutan. Jika Karpal masih mempertikaikan kedudukan kedaulatan sultan-sultan, ia dianggap satu penghinaan.

“Saya berharap orang yang faham undang-undang ini tidak membangkitkan persoalan yang boleh melahirkan salah faham dan buruk sangka,” katanya.

Syed Hamid menambah, Karpal sebagai ahli Parlimen tidak boleh membawa persoalan mengenai sultan atau raja-raja pada sidang Dewan Rakyat.

Katanya, peraturan-peraturan dalam Dewan Rakyat adalah jelas dan menjadi satu kesalahan jika seseorang wakil rakyat mempersoalkan mengenai sistem kehakiman, kedudukan sultan dan raja-raja Melayu.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pula berkata, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa sultan dan raja Melayu tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun.

“Oleh itu, perbuatan Pengerusi DAP itu jelas memperlekehkan pentadbiran agama Islam dan mencabar kuasa sultan serta adat resam Melayu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, Pengerusi DAP itu sewajarnya sensitif kepada institusi raja di negara ini dan tidak harus terlibat dalam tingkah laku yang boleh menyinggung sultan dan sistem beraja.

“Tindakan mempersoalkan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong bermakna mempersoalkan status kerakyatan mereka sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: