MAHASISWA DAN AUKU

June 16, 2008 at 6:50 am | Posted in FIKRAH ajimoni | Leave a comment

Malaysia merupakan antara negara di dunia yang memiliki kemudahan infrastruktur pendidikan terbaik dunia. Segala kemudahan asas pembelajaran secara umumnya dinikmati oleh semua lapisan rakyatnya. Seperti yang umum ketahui, Malaysia mempunyai sejumlah 20 buah Universiti dalam Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ratusan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang memaju pendidikan negara peringkat tertinggi. Jumlah IPT ini mengambarkan keseriusan pihak kerajaan dalam memberikan peluang kepada semua rakyat Malaysia yang layak menikmati suatu sistem pendidikan yang baik. Namun timbul suatu isu yang menarik kebelakangan ini apabila ada pihak yang mempertikaikan kualiti mahasiswa keluaran universiti tempatan apabila mereka dikatakan tidak setaraf dengan mahasiswa keluaran universiti diluar negara. Kedudukan universiti tempatan dalam Times Higher Educational Supplement (THES) seakan membenarkan tuduhan ini. Terdapat juga tuduhan dimana majikan lebih berminat mengutamakan graduan lepasan universiti luar negara daripada graduan tempatan.

Untuk bersifat adil dalam menilai isu ini, kita sewajarnya melihat isu kualiti mahasiswa dari dua sudut perspektif yang berbeza iaitu cemerlang dari sudut akademik dan cemerlang dari sudut aktiviti tidak berteraskan akademik semata. Ramai pasti bersetuju apabila dinyatakan bahawa mahasiswa universiti tempatan rata-rata mencatatkan keputusan yang baik dan setaraf dengan mahasiswa lepasan universiti luar negara, namun yang menjadi pertikaian mungkin dari sudut aktiviti yang tidak berteraskan akademik. Aktiviti yang tidak berteraskan akademik boleh ditafsirkan sebagai aktiviti yang berbentuk kepimpinan, keyakinan diri, kesukanan, kemasyarakatan, dan aktiviti yang membentuk keberanian menyuarakan pendapat dalam bentuk pengucapan awam. Ramai graduan lepasan universiti tempatan gagal dalam temuduga kerja apabila majikan mendapati mereka tidak cemerlang dalam aspek yang bersifat tidak berteraskan akademik. Seorang penganalisis ekonomi yang disegani iaitu Datuk Salleh Majid apabila ditanya pendapatnya mengenai punca kenapa ramai mahasiswa menganggur menjawab bahawa mahasiswa gagal menyakinkan majikan semasa sesi temuduga. Ini kerana kebanyakkan mereka kurang berkeyakinan dan tidak fasih berbahasa inggeris. Apabila melihat situasi yang berlaku ini, dapat dinilai bahawa mahasiswa di Malaysia memerlukan suatu bentuk ajakan paradigma yang mengajak mereka kembali aktif melibatkan diri dalam aktiviti yang berbentuk tidak berteraskan akademik.

Ramai yang melihat punca terjadinya hal ini berkait rapat dengan wujudnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Akta ini dilihat oleh kebanyakkan mahasiswa menyekat kebebasan mereka melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti luar dan aktif dalam persatuan-persatuan tertentu yang bukan dibawah selian kerajaaan. Sejak kewujudan akta ini, sering kali ianya mendapat reaksi yang pelbagai terutamanya daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari setiap universiti awam. Rata-rata daripada mereka mahu pihak kerajaan mengkaji semula pelaksanaan AUKU dan nada yang hampir sama kedengaran setiap kali MPP bertukar pemegang amanahnya. Pelaksanaan AUKU daripada suatu sudut telah memberikan impak yang amat negatif kepada pemikiran mahasiswa. Ini kerana telah wujud satu sindrom “tidak peduli” dikalangan mahaisiswa kepada pelbagai isu semasa yang sedang berlaku. Apabila ada isu-isu semasa yang melibatkan negara dan dunia, mereka dengan cepat akan melabelkan ianya sebagai hal politik dan beranggapan hal politik biarlah orang politik yang membincangkannya. Persepsi ini wujud apabila mereka merasakan ada suatu akta yang telah menghalang penglibatan mereka dalam hal-hal seumpama ini. Hal ini menyebabkan pemikiran mahasiswa lebih dihalakan kepada suatu sudut yang tidak ada sebarang sekatan atau halangan seperti hiburan sehingga mewujudkan suatu budaya baru dikalangan mahasiswa iaitu gilakan hiburan. Kita boleh lihat kebenaran dakwaaan ini apabila melihat situasi semasa apabila sekarang kita ketandusan tokoh-tokah yang hadir daripada kalangan mahasiswa yang mampu melontarkan idea-idea secara terbuka, matang dan bernas. Jika ada pun tokoh-tokoh ini, bilangan mereka boleh dibilang menggunakan jari. Kebajetan pemikiran mahasiswa mengundang kerugian kepada negara kerana mereka merupakan generasi yang akan memikul beban mentadbir negara ini.

Penjelasan daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Hou Kok Chung pada sidang Dewan Negara baru-baru ini sedikit melegakan apabila menyatakan bahawa AUKU tidak menghalang pelajar untuk bergiat dalam kegiatan kostruktif dan menyertai mana-mana pertubuhan dalam negara dengan syarat ianya bukan pertubuhan haram dan tidak menyalahi peraturan. Apabila ada sekatan tertentu terutamanya terhadap penglibatan dalam persatuan luar daripada universiti, ia sedikit sebanyak menjejaskan potensi pelajar. Mahasiswa universiti perlu didedahkan dengan aktiviti luar daripada universiti kerana ia mampu memberikan satu skop kepimpinan dan pengalaman yang lebih meluas kepada pelajar. Aktiviti berpersatuan merupakan sesuatu perkara yang penting dimana ia dapat membentuk sifat kepimpinan dan keyakinan diri yang tinggi dan ini sangat membantu apabila mahasiswa berhadapan dengan dunia sebenar apabila memasuki alam pekerjaaan. Namun hal ini sebenarnya memerlukan penjelasan lanjut daripada pihak kementerian kerana terdapat beberapa perkara yang agak kontra dengan apa yang dikatakan dan dikira masih samar.

Cadangan pihak kerajaan yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri iaitu Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak kepada wakil pelajar dari seluruh universiti awam tentang kerajaan bercadang untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) merupakan satu langkah yang amat dialu-alukan. Keseriusan pihak kerajaan terhadap hal ini terbukti sekali lagi apabila Dato’ Dr Zulkefli A Hassan selaku Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi memberi jaminan bahawa perkara ini akan dibawa ke Parlimen selepas selesai semakan semula terhadap AUKU selesai dijalankan iaitu pada bulan Jun atau Julai. Antara perkara yang dikira wajar diambil perhatian oleh pihak kerajaan adalah memperjelaskan secara terperinci dan komprehensif setiap seksyen yang terdapat didalam AUKU agar ianya lebih difahami dan tidak menimbulkan salah faham terhadap pelaksanaannya. Mahasiswa juga wajar diberikan kelonggaran menyatakan pandangan politik tanpa perlu terikat dengan mana-mana parti politik dan agensi yang bernaung dibawahnya. Ini kerana politik tidak hanya bersifat politik kepartian tetapi ia sewajarnya dinilai dengan sifat politik sejagat seperti politik sains, politik sosial dan politik kemasyarakatan. Seksyen 15D pula wajar disemak semula kerana pertuduhan kepada pelajar terhadap jenayah yang dilakukan diluar, pelajar tidak wajar digantung pengajian sehingga kesnya selesai kerana belum terbukti sama ada pelajar itu bersalah atau tidak. Apabila pengajian pelajar itu digantung, kemudian didapati tidak bersalah, ini menimbulkan kesulitan terhadap pelajar itu kerana kes mahkamah biasanya mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Keperihatinan kerajaan pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam perkara ini menggambarkan keseriusan beliau dalam mengotakan janji-janjinya yang mana ingin mengamalkan kerajaan yang bersikap lebih terbuka dan telus. Semakan terhadap AUKU ini diharapkan mampu memberikan mahasiswa lebih ruang untuk membentuk kecemerlangan dari sudut yang mana selama ini mereka ketandusan untuk melakukannya.  

-ajimoni-

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: