Bala tarik balik akuan – Ini kerana tuduhannya ke atas Najib tidak benar, tidak tepat

July 4, 2008 at 11:02 pm | Posted in BERITA | Leave a comment

 

 

KUALA LUMPUR 4 Julai – Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam hari ini menarik balik akuan bersumpahnya yang membuat pelbagai tuduhan dahsyat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam yang mewakili Balasubramaniam, M. Arulampalam berkata, anak guamnya berada dalam keadaan tertekan ketika membuat akuan bersumpah awal bertarikh 1 Julai 2008 yang kemudian didedahkan pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam.

“Balasubramaniam kecewa dengan kerajaan dan kini dia telah menyedari kesilapannya itu,’’ kata Arulampalam kepada pemberita selepas mengedarkan akuan bersumpah baru Balasubramaniam di lobi Hotel Prince di sini.

Arulampalam ialah peguam baru penyiasat persendirian itu. Ketika Balasubramaniam muncul di ibu pejabat PKR semalam, dia diwakili peguam Americk Singh Sidhu.

Akuan bersumpah baru bertarikh 4 Julai 2008 itu menafikan akuan bersumpah sebelumnya yang dieksploitasi oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyerang Najib berhubung kes membabitkan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Semua tuduhan dalam akuan bersumpah yang didedahkan semalam adalah tidak tepat dan tidak benar, kata Balasubramaniam menerusi Arulampalam, peguam yang menemaninya pada sidang akhbar pagi ini.

“Dengan ini, saya menarik balik seluruh isi kandungan akuan bersumpah saya yang bertarikh 1 Julai 2008. Saya membuat akuan bersumpah itu dalam keadaan tertekan,” katanya.

 

Akuan bersumpah baru Balasubramaniam tersebut menyatakan: “Saya ingin menyatakan bahawa tidak pernah pada bila-bila masa (Abdul) Razak (Abdullah) Baginda memberitahu saya yang beliau diperkenalkan kepada Altantuya oleh seorang VIP dan pada bila-bila masa Razak ada memberitahu saya bahawa Datuk Seri Najib telah mengadakan hubungan seks dengan Altantuya dan beliau (Altantuya) sanggup mengadakan hubungan seks luar tabii.”

Akuan bersumpah baru enam halaman itu yang diikrarkan di depan Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat di Kuala Lumpur turut mengandungi penafian penyiasat tersebut berhubung beberapa dakwaan dalam dokumen akuan bersumpah sebelum ini yang diedarkan oleh Balasubramaniam pada sidang akhbar bersama Anwar di Petaling Jaya semalam.

Bagaimanapun, Balasubramaniam dan Arulampalam enggan mengulas lanjut berhubung akuan terbaru itu. Mereka kemudian meninggalkan Hotel Prince selepas memberi penerangan ringkas kepada pemberita.

Dalam akuan bersumpah terbaru itu yang dibuat secara sukarela dan penuh kesedaran, beliau berkata, akuan bersumpah awal yang difailkan pada 1 Julai 2008 dibuat dalam keadaan tertekan.

Akuan bersumpah awal Balasubramaniam yang didedahkan pada sidang akhbar di pejabat PKR semalam disifatkan oleh Timbalan Perdana Menteri sebagai satu pembohongan yang amat dahsyat yang merupakan “rekaan semata-mata, berniat jahat dan berunsur fitnah untuk mencemarkan imejnya.”

Antara tuduhan yang mengandungi fitnah termasuk dakwaan kononnya Najib telah memperkenalkan Altantuya kepada penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan Najib menjalinkan hubungan seks dengan wanita Mongolia itu.

Diupah

Balasubramaniam ialah penyiasat persendirian yang diupah oleh Razak untuk menghalang Altantuya bertemu Razak beberapa hari sebelum wanita Mongolia itu dibunuh pada 2006.

Balasubramaniam turut menarik balik kenyataan bahawa Najib mengarahkan Razak untuk menjaga Altantuya agar wanita itu tidak mengganggunya.

Antara kandungan akuan bersumpah terbaru itu adalah:

– “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda dan atau Altantuya Shaariibuu ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak, bersama-sama dengan Razak Baginda dan Altantuya Shaaribu telah berjumpa dan bersama-sama makan malam di Paris.”

– “Tidak pernah pada bila-bila masa Altantuya Shaaribuu ada memberitahu saya yang beliau meminta wang sebanyak AS$500,000 sebagai komisen bagi bantuannya dalam urusan pembelian kapal selam di Paris.

– “Tidak pernah pada bila-bila masa pun Razak Baginda dan/atau Altantuya Shaariibuu memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa dengan Altantuya Shaaribu di Singapura.”

– “Tidak pernah pada bila-bila masa pun Altantuya Shaariibuu ada memberitahu saya yang beliau mahu saya mengaturkan untuk beliau berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.”

– “Tidak pernah pada bila-bila masa saya ada memberitahu polis semasa penyiasatan mereka mengenai sebarang perhubungan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Altantuya Shaariibuu kerana perhubungan itu tidak pernah wujud, pada pengetahuan saya. Oleh yang demikian, kenyataan yang saya tandatangani di hadapan polis sudah selesai.”

– “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang beliau telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Datuk Seri Najib pada malam beliau ditahan.”

– “Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar SMS kepadanya pada hari beliau ditahan yang menyatakan beliau (Najib) akan berjumpa dengan KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan) pada hari berkenaan dan masalah itu akan diselesaikan dan meminta Razak Baginda supaya terus tenang.”

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: