JF-KPFI-QAWAID-002 : Rujukan Untuk Ilmu Kaedah Feqah

August 22, 2008 at 4:22 pm | Posted in FIQH | Leave a comment

بسم الله

والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Pada siri yang lalu penulis menyebut tentang pendahuluan mengenai ilmu Kaedah Feqah. Untuk siri ini, disebutkan beberapa rujukan utama dalam ilmu ini. Yang disebut di bawah hanya sebahagian daripada kitab-kitab yang dikarang tentang Kaedah Feqah. Setiap kitab yang disebut akan disusun mengikut tarikh wafat penulis. Dan disusuli dengan sedikit penerangan ringkas berkenaannya.

1- Usul Al-Karkhi, oleh: Abu Al-Hasan Al-Karkhi (340H).

Imam Al-Karkhi dikatakan tokoh pertama yang mengasaskan ilmu ini. Karangan ini adalah rujukan paling awal dalam ilmu Kaedah Feqah. Kitab ini berbentuk satu risalah ringkas yang mengandungi 36 kaedah. Setiap kaedah dimulakan dengan perkataan ‘Asal’.

2- Ta’sis Al-Nazhar, oleh Abu Zaid Al-Dabusi (340H).

Beliau adalah seorang ulama mazhab Hanafi, dan tokoh pertama yang mempelopori ilmu khilaf, yang sekarang dikenali sebagai feqah muqaran (perbandingan). Kitab Ta’sis Al-Nazhar mengandungi 86 kaedah. Kebanyakannya adalah kaedah-kaedah mazhab.

3- Qawaed Al-Ahkam Fi Masalih Al-Anam, oleh: Izzuddin Bin Abdil Salam (660H).

Kitab ini adalah karangan yang sangat unik dari segi isi kandungannya. Dikarang untuk menyerlahkan objektif utama syariat iaitu menghasilkan kemaslahatan dan mengelak kemudaratan. Di samping dimuatkan juga kaedah-kaedah umum yang lain.

4- Al-Furuq, oleh: Abul Abbas Al-Qarafi (684H).

Kitab ini antara produk yang paling berharga dalam dunia feqah Islami. Tidak pernah wujud sebelumnya karangan seumpama ini. Bukan setakat mengandungi perlbagai kaedah-kaedah, malah diterangkan perbezaan antara kaedah-kaedah yang mungkin dilihat serupa. Kaedah-kaedah yang dimuatkan dalam kitab ini dikeluarkan dan disusun ketika beliau membaca kitab Al-Zakhair. Jumlah kaedah di dalam kitab ini ialah 548 kaedah.

5- Al-Asybah Wa Al-Nazhair, oleh Ibn Al-Wakil Al-Syafie (716H).

Dalam ilmu Kaedah Feqah, kita akan dapati beberapa kitab yang dikarang dengan nama ‘Al-Asybah Wa Al-Nazhair’. Karya Ibn Al-Wakil ini adalah kitab pertama menggunakan nama ini antara kitab-kitab Kaedah Feqah. Beliau menulisnya ketika musafir di atas kapal. Kemudian beliau wafat tanpa sempat menyusunnya secara sempurna.

6- Al-Qawaed Al-Nuraniyyah Al-Fiqhiyyah, oleh Ibn Taimiyyah (726H).

Ibn Taimiyyah menyusun kitab ini mengikut bab-bab feqah. Dimulakan dengan tajuk bersuci, dan diakhiri dengan tajuk sumpah dan nazar. Di dalam setiap bab dibahaskan kaedah-kaedah dan dhabit-dhabit feqah.

7- Al-Qawaed, oleh Al-Maqriy (758H).

Dikatakan nama penuh jodol kitab ini ialah: ‘Al-Qawaed Fi Usul Masail Al-Khilaf’. Nama ini sangat bertepatan dengan kandungannya. Ia antara kitab Kaedah Feqah yang paling luas perbincangannya dalam mazhab Maliki. Tetapi dalam sesetengah tempat, ia masih memerlukan kepada penerangan untuk difahami.

8- Al-Majmuk Al-Muzhab Fi Qawaed Al-Mazhab, oleh Abu Said Al-Alaie (761H).

Kitab ini antara kitab Kaedah Feqah yang sangat bernilai dikarang pada kurun ke-8H. Ia menghimpunkan antara kaedah feqah dan juga kaedah usul. Boleh dikatakan kitab ini sebagai intipati bagi segala karangan ulama sebelumnya dalam ilmu Kaedah Feqah dan Kaedah Usul.

9- Al-Asybah Wa Al-Nazhair, oleh Tajuddin Ibn Al-Subki (771H).

Dalam pendahuluan kitab ini, pengarang menjelaskan kepentingan dan kesukaran ilmu Kaedah Feqah. Kemudian, memulakan kitab dengan perbahasan lima kaedah feqah yang asasi, sebelum membawa kaedah-kaedah yang lain. Keseluruhan kaedah di dalam kitab ini lebih kurang 60 kaedah. Ia menjadi rujukan ulama selepasnya dalam penulisan Kaedah Feqah.

10- Al-Mantsur Fi Al-Qawaed, oleh Badruddin Al-Zarkasyi (794H).

Al-Zarkasyi menyusun kaedah-kaedah di dalam kitabnya ini mengikut huruf hija’iyyah. Dimulakan dengan huruf Alif dan diakhiri dengan huruf Ya’. Maka kaedah yang dimulakan dengan huruf Alif akan diletakkan di bawah bab: Huruf Alif. Begitulah huruf-huruf lain. Kecuali huruf ‘Tsa’ (ث) kerana tidak ada kaedah dimulakan dengannya.

11- Taqrir Al-Qawaed Wa Tahrir Al-Fawaed, oleh Ibn Rajab Al-Hanbali (795H).

Kitab ini adalah antara karangan paling bernilai dalam ilmu Kaedah Feqah bagi mazhab Hanbali. Ia sebenarnya satu keajaiban dunia kerana dikarang hanya dalam tempoh beberapa hari sahaja, sebagaimana disebut oleh pengarang dalam pendahuluan kitab ini. Dimuatkan di dalamnya 160 kaedah.

12- Al-Asybah Wa Al-Nazhair, oleh: Ibn Al-Mulaqqin (804H).

Susunan kitab ini adalah mengikut bab-bab feqah. Ia dikarang secara tertib dan tersusun. Sesiapa yang mengkaji kitab ini akan mendapati beliau banyak merujuk kepada kitab ‘Al-Asybah Wa Al-Nazhair’ oleh Ibn Al-Subki.

13- Al-Asybah Wa Al-Nazhair, oleh: Jalaluddin Al-Suyuti (911H).

Kitab Imam Suyuti ini boleh dikatakan sebagai intipati kepada semua kitab-kitab Kaedah Feqah sebelum beliau. Kerana beliau adalah tokoh yang hebat dalam mengumpul fakta dan mengarang secara tersusun. Tidak hairan karangan beliau menjangkau 600 buah. Antara keistimewaan kitab ini, beliau membawa dalil-dalil bagi kaedah-kaedah feqah samada daripada hadis atau atsar sahabat.

14- Al-Asybah Wa Al-Nazhair, oleh: Ibn Nujaim (970H).

Dalam pendahuluan kitab ini, Ibn Nujaim menyebut beliau menulis kitab ini berpandukan kepada karya Ibn Al-Subki. Dan jika dibandingkan antara dua kitab ini, memang ada titik persamaan. Cuma Ibn Nujaim tidak memberi tumpuan kepada Kaedah Usul. Kitab ini juga disyarah oleh beberapa ulama.

Inilah sebahagian kecil daripada karangan-karangan ulama Islam di dalam ilmu Kaedah Feqah. Masih banyak karya-karya bernilai dalam ilmu ini yang tidak dapat disebut dalam ruang yang amat terhad. Semoga Allah Taala memberi kemanfaatan terhadap umat ini dengan karya-karya tersebut.

Wallahu A’lam.

sumber: http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=90116

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: