Permatang Pauh, Islam Makin Jauh

August 24, 2008 at 2:40 am | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

Seorang wartawan akhbar politik menghubungi saya dan bertanya: “Siapakah yang akan saya undi di Permatang Pauh?”. Saya tidak pasti apakah tujuan soalan itu dikemukakan kepada saya yang bukan ahli politik ini. Saya kira, tujuannya mungkin untuk satu tinjauan umum politik. Namun bak kata orang: “undi anda adalah rahsia”.

Jika beliau tidak lupa, sebelum Pilihanraya ke-12 saya telah memberikan pendapat agar para pengundi mengundi berdasarkan calon, bukan partinya. Walaupun tidak dinafikan peranan sesebuah parti, tetapi Islam menentang sikap taklid buta yang menyokong apa sahaja sekalipun buruk hanya disebabkan sentimen kepuakan atau kepartian.

Saya memberitahu wartawan berkenaan bahawa dunia politik kita sudah semakin buruk. Barangkali nanti, dalam sebahagian besar keadaan, pengundi tidak lagi mengundi untuk memilih yang terbaik di kalangan yang terbaik, sebaliknya akan memilih yang kurang buruk di kalangan yang buruk. Wajah siasah dicomotkan dengan begitu rupa, sehingga masyarakat sukar untuk menilai sesuatu kejadian atau isu, kerana semuanya ditafsirkan secara politik permusuhan yang menyimpan kesumat dan dendam antara satu sama lain.

Lebih malang lagi, yang bermusuhan bagaikan perang jihad antara tentera Islam dengan musuhnya itu berlaku sesama muslim, sementara orang lain mengambil kesempatan di antaranya mereka.

Mereka yang tidak terlibat dengan politik kepartian pun diheret ke kancah yang buruk tersebut. Ramai yang memburu dan mempertahankan jawatan politik itu berkempen dengan janji bahawa mereka akan memberikan kebebasan yang lebih kepada rakyat. Kebebasan bersuara dan berbicara katanya. Kebebasan rakyat menilai sesuatu pandangan itu dengan adil dan saksama.

Namun hari ini, ramai yang berbicara demikian memaki hamun, mengutuk, bahkan mungkin memfitnah yang bukan-bukan kepada sesiapa sahaja yang berbicara tidak senada dengan politik mereka. Mencerca mereka yang memberikan pendapat yang berbeza, sekalipun tidak dengan tujuan politik kepartian.

Ternyata, kebebasan intelektual dirampas dengan cara yang rakus. Ramai penyokong aliran politik yang menulis di maya internet dan sms seakan telah tidak lagi percaya dengan kemunculan kematian dan Hari Akhirat. Seakan mereka merasakan Allah gagal untuk mengesan insan-insan yang menfitnah orang lain di sebalik maya internet dan hantaran sms. Mereka bagaikan tidak akan dibicarakan pada Hari Kiamat, maka mereka memiliki lesen untuk mengutuk dan menfitnah sesiapa sahaja yang tidak senada politik dengan mereka.

Pandangan-pandangan ilmiah akan ditolak mentah-mentah jika itu tidak menguntungkan aliran politik yang diperjuangkan. Menolak sesuatu dengan alasan tidak mengapa, tetapi memaki hamun orang yang memberikan pendapat itu menunjukkan adanya kecenderungan membentuk sikap kuku besi dalam aliran politik. Jika gaya politik yang seperti ini berterusan, pemikiran-pemikiran matang dan di luar kotak kebiasaan akan terbunuh dalam masyarakat kita.

Pemimpin-pemimpin politik seakan dilindungi dari segala penilaian dan kritikan. Pandangan dan sikap buruk pemimpin atau parti mereka akan dijustifikasikan dalam berbagai bentuk. Sesiapa yang mengkritik maka dia akan dimangsakan. Lalu masyarakat akan buta warna antara pandangan ilmiah dan serangan yang bertujuan untuk bersaing di medan politik. Sikap taklid buta menjadi-jadi. Tidak ditanya lain nas dan dalil, sebaliknya mereka hanya akan bertanya apa pemimpin politik kita kata.

Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam mengkritik golongan ekstrimis mazhab, katanya: “Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan adalah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah.Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati seratus atau lebih hadis sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Sesiapa yang datang melihat akhlak dan budi sesetengah mereka yang terlibat dalam Pilihanraya Permatang Pauh akan dapat menilai jika berfikiran matang. Sebahagian tindak tanduk itu kadang-kala amatlah jauh dengan syiar akhlak dan budi yang diperjuangkan Islam buat masyarakat manusia. Maki-hamun boleh kedengaran di jalan-jalan apabila bertembung antara satu sama lain.

Perbezaan politik itu telah menjadikan mereka lupa tentang apakah yang hendak mereka perjuangkan? Di mana ajaran Islam tentang hubungan seorang muslim dengan muslim yang lain? Di manakah ajaran Islam tentang memberi salam, senyum buat saudara muslim apabila bertemu dan berbagai lagi. Inikah masa depan akhlak dan budi rakyat sebuah negara yang hendak dibentuk?

Maka tidak hairan jika akhlak muda-mudi kita makin teruk, jika demikian pembentukan nilai-nilai yang ada di kalangan orang politik. Mereka semua tenggelam dalam kemabukan kuasa sehingga lupa terhadap masa depan negara. Malu membawa anak-anak yang masih mentah untuk melihat orang-orang politik yang menjerit-jerit di jalanraya dengan bahasa yang jijik dan kotor. Lebih malu jika yang turut menjerit itu memakai gelaran agama.

Mereka memang benar-benar tenggelam dalam kemabukan. Tiada peruntukan dalam ceramah-ceramah politik untuk menjadikan hati insan yang hadir mendengarnya lunak dan syahdu mengingati Allah dan kebesaran syiar Islam yang mendidik umatnya berpekerti mulia. Sanggup pula sesetengah ibubapa membiarkan anak-anak gadis yang masih muda remaja datang dari jauh dan dekat berkempen, bergaul bebas seakan tiada batasan agama. Gadis-gadis yang terdedah kepada berbagai bahaya, merayau siang dan malam atas nama meraih undi. Kesemuanya halal atas nama kempen pilihanraya.

Ada yang mengambil cuti, kononnya berkorban untuk perjuangan. Perjuangan apa yang hendak dikorbankan? Apakah suasana yang sedemikian rupa mengundang pahala dan redha Allah. Kalian bertembung sesama muslim dan melampaui batas. Sedangkan Allah mengajar mereka yang berperang dengan musuh Islam: (maksudnya): “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”.(Surah al-Baqarah ayat 190).

Ada sahabat saya yang hendak datang dari jauh membantu calon pilihannya. Dia hubungi saya bertanya pendapat. Saya kata kepadanya: “jika saudara fikir kedatangan saudara itu termasuk dalam amalan soleh yang diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak, datanglah. Jika tidak, saudara telah membazirkan harta yang Allah berikan begitu banyak”.

Katanya: “ada ustaz bersama saya”. Kata saya: “Halal dan haram itu berdasarkan tunjuk ajar al-Quran dan al-Sunnah, bukan kerana adanya ustaz atau mufti. Berapa ramai ulama Ahlul Kitab yang menjual agamanya. Adakah tergamak untuk saudara yang melazimi solat dan berzikir itu menyertai perarakan dan perhimpunan yang kedengaran padanya perkataan yang kesat, mencemar hak orang lain, carutan dan makian. Tiada tasbih, tiada tahmid, tiada rasa kerendahan diri kepada Allah dalam bersaing untuk menanggung amanah yang dipersoalkan di akhirat kelak. Inilah politik ala jahiliah yang makin parah. Jika ia berterusan, rosaklah moral dan kematangan generasi mendatang. Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Niat yang baik mesti melalui jalan yang baik juga. Sesungguhnya daerah ini daerah fitnah, jika saudara mampu menjauhinya, itu adalah lebih baik. Melainkan jika saudara datang untuk melakukan amar ma’ruf dan nahy munkar dalam setiap yang Islam ajar. Jika datang untuk berdakwah kepada Islam yang sebenar tanpa kepentingan tertentu, silakan. Atau sekadar meninjau, bolehlah”. Kegawatan politik ini sehingga kita tidak lagi dapat tahu siapa yang jujur, siapa pula yang berlakon jujur. Pelakon drama bukan sahaja berada di atas pentas filem tetapi juga atas pentas politik. Amanah menjadi taruhan. Bagaikan sabda Nabi s.a.w: “Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah dari jantung hatinya dan tinggal bagaikan kesan hitam yang kecil. Kemudian dia tidur sekejap, dicabut lagi amanah darinya sehingga tinggal bagaikan kesan melepuh seperti engkau memijak bara dengan kakimu lalu ia melecup. Engkau nampak ia membengkak, tapi dalamnya tiada apa-apa. Maka manusia pun berurusan, hampir tiada seorang yang menunaikan amanah. Lalu dikatakan “oh dalam puak tersebut ada seorang yang amanah”. Lalu orang menyatakan kepadanya: “alangkah bijaknya dia, alangkah teguhnya dia, alangkah sabarnya dia” padahal tiada dalam jantung hatinya sebesar biji sawi pun daripada iman” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Demikianlah berbagai pelakon politik yang dipuja oleh sebahagian umat Islam di berbagai negara di planet Bumi ini, padahal mereka mungkin pengkhianat umat atau lebih slogan dari realitinya.Penyakit hilang amanah ini bukan baru. Bahkan lebih daripada itu, sebelum ini pernah ada orang politik dalam negara ini secara berani menyebut tentang sikap tidak amanahnya. Bahkan mempertahankannya. Lupakah kita dulu ada orang yang membeli undi dalam partinya dan memberi amaran sesiapa yang mengambil wangnya tetapi tidak mengundinya akan dituntut di akhirat. Seakan dia akan terus menjadi VIP di sebuah negara kurap di akhirat, di mana hanya orang bawah sahaja yang disoalkan dan yang atas dilepaskan.

Barangkali dia juga fikir akhirat boleh dibeli dengan dolar dan sen seperti mereka yang sibuk menjual borang upah pahala menjelang bulan puasa nanti. Atau seperti yang membeli undi atau kerusi bagi mendapatkan kuasa. Baru kebelakangan ini, apabila rakyat bangkit, orang politik mula takut. Tetapi sudah agak terlambat. Kebencian telah memenuhi setiap ruang sehingga apa sahaja cakap kerajaan benar atau salah sudah enggan dipercayai lagi.

Maka, masyarakat menjadi porak peranda, setiap agenda negara ditafsirkan dengan berbagai prasangka. Semuanya kerana kerakusan dan keegoan yang terlampau yang pernah dilakukan. Setiap kebaikan dipadamkan. Apa sahaja niat yang baik disangka buruk, apatah lagi jika memang dengan niat yang buruk. Banyak pihak sudah mengambil kesempatan atas keadaan ini. Proses memulih keyakinan rakyat pula bagaikan tikus membaiki labu. Jika pemerintah kini cuba mendengar nasihat orang yang jujur, tentu keadaan ini dapat diubah.

Di pihak yang hendak mengganti pun, bukan sedikit masalah yang ada. Bukan untuk berburuk sangka, tetapi berhati-hati sebab ramai disangka amanah belum tentu amanah. Masa depan umat Islam kelihatannya bagaikan terumbang-ambing. Pendirian agama dan prinsipnya bagaikan boleh dijual beli demi kegilaan kepada kerusi dan kuasa. Pendapat agama diserasikan dengan harga ‘kerusi’ di pasaran politik. Ukuran mereka bukan lagi redha Allah, tetapi kehendak politik kepartian.

Maka akad nikah dalam masjid juga, ada unsur ajaran Kristian, tapi tiada siapa yang membantah walaupun sekian lama telah dibuat. Sebabnya, kerana tiada isu politik. Namun, apabila sumpah dalam masjid ada isu politik, ia dibantah walaupun baru sekali dibuat. Sama sahaja macam zakat dan riba. Haram tidak bayar zakat dikempen di sana sini. Haram riba, tidak pula sibuk jabatan-jabatan agama dan kerajaan menerangkannya.

Siapakah yang layak dipilih dalam keadaan begitu? Bagi saya pengundi yang matang hendaklah menilai manakah pihak yang paling ringan mudaratnya dibandingkan yang satu lagi. Ini seperti yang disebut dalam kaedah fekah: “Memilih kemudaratan yang kurang apabila bertembung dua kemudaratan”. (lihat: al-Zarqa`: Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 201, Damsyik: Dar al-Qalam).

Hendaklah dinilai; siapakah yang paling kurang bahaya dibanding yang lain untuk masa depan umat dan negara?. Seperti mana seorang yang sakit yang terpaksa memotong anggotanya untuk mengelakkan maut. Walaupun dia tidak rela untuk memotong anggotanya, namun jika dibiarkan akan menyebabkan maut, maka dia terpaksa memilih keadaan yang lebih ringan antara keduanya.

Begitulah keputusan dalam pemilihan di suasana ini. Satu pemilihan mesti dilakukan. Jika tidak pun untuk memilih yang terbaik untuk umat Islam dan negara ini, sekurang-kurang memilih yang paling kurang mudarat antara semua. Setelah direnung dan ditenung, maka barulah seseorang pengundi muslim itu membuat keputusan yang diyakini paling menghampiri keredhaan Allah s.w.t. Undi ada nilai dosa dan pahala di sisi Allah.

Jika setelah difikir dan dinilai, masih tidak mampu, beristikharahlah kepada Allah, nescaya Allah membuka jalan yang paling diredhai dan paling selamat untuk umat di kawasan berkenaan dan negara ini amnya. Cuma diharapkan tiada orang yang mempolitikkan pula solat istikharah dengan menyatakan ia tidak sah atau sebaliknya atau tidak boleh dilakukan pada musim pilihanraya. Solat istikharah adalah ajaran Rasulullah s.a.w buat sesiapa yang ragu-ragu dalam sesuatu perkara. Barangkali, memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah kepada Tuhan.

sumber: http://drmaza.com/home/?p=380

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: