AMALAN-AMALAN SUNNAH PADA BULAN RAMADAN

August 28, 2008 at 3:37 pm | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh berkat. Allah melimpahkan
kasih sayang-Nya kepada seluruh hamba-hamba-Nya yang bertakwa.
Ganjaran pahala kurniaan-Nya untuk hamba-Nya yang beribadah pada
bulan Ramadan juga berlipat kali ganda melebihi bulan-bulan yang
lain. Justeru itu tidak hairanlah sekiranya bagi golongan yang
beriman mereka berlumba-lumba untuk mempertingkatkan amal ibadah
mereka pada bulan yang mulia ini. Berikut adalah beberapa amalan-
amalan yang disyari’atkan bagi seluruh umat islam sempena Ramadan al-
Mubarak ini.

Apabila seseorang melihat anak bulan untuk menentukan tarikh
bermulanya bulan Ramadan, dia hendaklah berdoa dengan doa yang telah
diajar oleh Nabi s.a.w iaitu :

“Ya Allah munculkanlah anak bulan ini ke atas kami dengan membawa
keberkatan, keselamatan dan Islam. Tuhanku dan Tuhanmu adalah
Allah.” – Hadis riwayat al-Tirmizi, no: 3373.

Pada bulan Ramadan ini disyariatkan untuk berpuasa yakni
meninggalkan makan dan minum serta segala perbuatan yang keji dari
terbit fajar sehingga terbenam matahari. Sabda Nabi:

“Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan.
Allah telah mewajibkan puasa ke atas kamu semua.” – Hadis riwayat
Ahmad, no: 9133.

Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makanan dan minuman. Tetapi,
untuk memperolehi kesempurnaan di dalam berpuasa seseorang
seharusnya juga meninggalkan perkataan-perkataan yang keji serta
perbuatan-perbuatan orang jahil. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan
rafath (perkataan yang keji) atau berbuat sesuatu perkara yang jahil
(menyalahi hukum).” – Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1894.

Justeru, disunnahkan bagi orang yang berpuasa meninggalkan perbualan
yang lagha (tidak berfaedah), mengumpat, bercakap kotor, mencerca
orang lain dan sebagainya. Puasa juga mendidik seseorang untuk
menjadi penyabar. Oleh itu, seseorang yang berpuasa disunnahkan
bersabar apabila dicerca mahupun diperangi oleh pihak lain dengan
mengucapkan “sesungguhnya aku sedang berpuasa” sebagaimana sabda
rasulullah s.a.w:

“Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan
rafath (perkataan yang keji) dan berbuat sesuatu perkara yang jahil
(menyalahi hukum). Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia
hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa (Nabi
menyebutnya dua kali). ” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1894.

Semoga melalui ucapan itu dapat mencegah pihak lain dari mencerca
atau memeranginya. Berbohong boleh mencacatkan kesempurnaan puasa.
Oleh itu, syariat melarang seseorang bercakap bohong ketika berpuasa
dan Allah melarang keras perbuatan dengan ancaman tidak akan
menerima ibadah puasanya. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan melakukan
perbuatan it uterus menerus, Allah langsung tidak berhajat
(memandang) perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum
(puasa).” – Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1903.

Umat Islam sepatutnya menggunakan kesempatan di bulan Ramadan yang
penuh berkat ini dengan menggandakan amal kebajikan seperti
bersedekah. Rasulullah s.a.w yang sememangnya terkenal dengan sifat
dermawan sentiasa memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadan
berbanding bulan-bulan yang lain. Ibn Abbas r.a berkata:

Nabi s.a.w adalah manusia paling dermawan dalam hal kebaikan dan
kemuncak sifat dermawanan baginda itu ditunjukkan pada bulan
Ramadan.” – Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1902.

Disunnahkan kepada seluruh umat Islam agar bertadarus (membaca dan
mempelajari) al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bertadarus al-
Quran bersama Jibril a.s pada setiap malam di bulan Ramadan. Ibn
Abbas r.a berkata:

“Jibril a.s menemuinya (Nabi s.a.w ) pada setiap malam di bulan
Ramadan hingga bulan itu berlalu. Nabi s.a.w memperdengarkan bacaan
al-Quran kepadanya.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1902.

Para salafussoleh adalah antara umat Nabi s.a.w yang diiktiraf
sebagai generasi terbaik. Terdiri daripada kalangan mereka para
sahabat baginda s.a.w, para tabi’in dan tabi’ al-tabi’in. Mereka
amat mengambil berat amalan membaca al-Quran pada bulan Ramadan dan
sudah menjadi kelaziman bagi mereka mengkhatam al-Quran berkali-kali
pada bulan Ramadan.Bulan Ramadan adalah bulan di mana pintu Rahmat
(kasih sayang) dan pintu keampunan Allah dibuka seluas-luasnya serta
ganjaran pahala dilipat gandakan kepada hamba-Nya tanpa batasan.
Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan berzikir, berdoa dan
memohon keampunan kepada-Nya kerana pahalanya akan digandakan jauh
lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain.

Jika berkemampuan, berusahalah untuk mengerjakan ibadah umrah pada
bulan Ramadan kerana pahalanya menyamai pahala mengerjakan ibadah
haji. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya
umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji.” – Hadis riwayat al-
Bukhari, no: 1782.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani r.h: “Pahala umrah pada
bulan Ramadan menyamai pahala haji. Tetapi, bukan bererti umrah
tersebut dapat mengugurkan kewajipan haji. Berdasarkan ijmak ulama,
umrah tidak dapat menggantikan kewajipan ibadah haji hinggakan orang
yang telah melaksanakan umrah (pada bulan Ramadan) tetap
berkewajipan melaksanakan haji.” – Rujuk Fathul Baari, jil. 10, ms.
27

Pada bulan Ramadan terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding
melakukan ibadah selama seribu bulan yang dipanggil sebagai
lailatulqadar. Firman Allah S.W.T:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-
Qadar. Menurut pengetahuanmu, apakah yang kebesaran yang terdapat
pada malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu
bulan. Pada Malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin
Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku
pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga
terbit fajar.” – Surah al-Qadr: 1-5.

Justeru itu, kita semua hendaklah menggandakan ibadah kita pada
sepuluh malam yang akhir di bulan Ramadan terutamanya pada malam-
malam yang ganjil, iaitu malam ke 21, 23, 24, 27 dan malam ke 29
demi mendapatkan malam al-Qadar. Baginda bersungguh-sungguh merebut
peluang hidup untuk melakukan ibadah sambil beri’tikaf di masjid.
Ketika beri’tikaf, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadah
sunat seperti solat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat
ke atas Nabi s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu agama dan lain-lain.
Aisyah r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari
terakhir (bulan Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu
yang lain.” – Hadis riwayat Muslim, no: 1174.

Solat Tarawih atau Qiyam Ramadan merupakan satu sunnah yang amat
dituntut. Umat Islam perlu menghidupkan malam pada bulan Ramadan
dengan amal ibadah seperti solat-solat sunat. Rasulullah s.a.w
bersabda:

“Sesiapa bersolat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan
mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang
telah lalu.” – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 759.

Semoga huraian ringkas mengenai sunnah menyambut bulan Ramadan al-
Mubarak ini dapat meningkatkan keazaman semua pihak untuk mencontohi
Rasulullah s.a.w demi memanfaatkan keutamaan yang dianugerahkan oleh
Allah pada bulan Ramadan al-Mubarak ini.

http://akob73.blogspot.com/

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: