Perbahasan Berkenaan Rakaat Tarawih

September 7, 2008 at 2:10 pm | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

Oleh: Ust. Ahmad Nasim bin Abdul Rauf

Bulan Ramadhan adalah merupakan bulan yang amat mulia di sisi umat Islam. Di antara sebab kemulian tersebut adalah terdapat amalan-amalan khusus padanya yang tidak terdapat di bulan-bulan yang lain seperti amalan berpuasa yang diwajibkan kepada setiap mukallaf di siang hari serta disunatkan sembahyang tarawih pada malamnya. Berkenaan sembahyang tarawih ada perkara yang disepakati oleh ulama` dan ada perkara yang diperselisihkan. Di antara perkara yang diperselisihkan padanya adalah berkenaan dengan bilangan rakaat.

Artikel ini bukanlah bermaksud untuk menimbulkan keresahan kepada mana-mana pihak dan bukan juga untuk menimbulkan persengketaan antara sesama umat tetapi sekadar ingin membuktikan bahawa golongan yang berpegang kepada rakaat tarawih adalah dua puluh rakaat juga mempunyai asasnya berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih daripada pengamalan generasi awal Islam.

Riwayat-riwayat dan pendapat-pendapat ulama` yang terdapat di dalam kitab-kitab hadith dan feqah menunjukkan perselisihan rakaat tarawih ini adalah bermula daripada lapan rakaat sehingga lebih dari empat puluh rakaat. Namun begitu kebanyakan perbezaan pendapat adalah bermula dari dua puluh rakaat dan seterusnya. Sementara tarawih sebanyak lapan rakaat tidak banyak dibincangkan oleh ulama` terutamanya ulama` feqah tetapi terdapat di dalam beberapa riwayat daripada sahabat.[i] Di antara riwayat-riwayat tersebut ada yang dho’if, hasan dan sahih. Artikel ini akan membincangkan perselisihan pendapat antara lapan rakaat dan dua puluh rakaat. Perbezaan pendapat ini bukanlah perbezaan benar atau batil tapi hanyalah perbezaan manakah pendapat yang lebih kuat berdasarkan hadith dan pengamalan generasi-generasi awal Islam.

Di antara hadith yang menunjukkan bahawa sembahyang tarawih dilakukan sebanyak lapan rakaat di zaman Nabi s.a.w. adalah seperti berikut:

Pertama: Riwayat yang dikemukakan oleh at-Thabrani, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah daripada Jabir bin Abdillah.

عن عيسى ابن جارية ، عن جابر بن عبد الله رضي الله عنه قال : صلى بنا رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم في شهر رمضان ثمان ركعات وأوتر فلما كانت القابلة اجتمعنا في المسجد ورجونا أن يخرج إلينا ، فلم نزل فيه حتى أصبحنا ، ثم دخلنا ، فقلنا : يا رسول الله ، اجتمعنا في المسجد ورجونا أن تصلي بنا ، فقال : « إني خشيت أو كرهت أن تكتب عليكم

Daripada ‘Isa bin Jariah daripada Jabir bin Abdullah katanya: “Rasulullah s.a.w. mengimamkan kami pada bulan Ramadhan sebanyak lapan rakaat dan berwitir. Bila tiba malam berikutnya kami berhimpun di masjid dan berharap Nabi s.a.w. akan keluar kepada kami, kami terus menunggu sehingga pagi kemudian kami masuk menemuinya lalu berkata: “Wahai Rasulullah s.a.w.! Kami berhimpun di masjid dan berharap engkau akan keluar kepada kami. Baginda s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya aku bimbang ianya akan difardhukan ke atas kamu”.[ii]

Kedua: Hadith berkenaan Ubay bin Ka’ab menjadi imam di dalam sembahyang tarawih.

حدثنا عيسى بن جارية ، قال : حدثنا جابر بن عبد الله ، قال : جاء أبي بن كعب إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال : يا رسول الله ، كان مني الليلة شيء في رمضان ، قال : « وما ذاك يا أبي ؟ » قال : نسوة في داري قلن : إنا لا نقرأ القرآن ، فنصلي بصلاتك ، قال : فصليت بهن ثماني ركعات ، ثم أوترت ، قال : فكان شبه الرضا ، ولم يقل شيئا

‘Isa bin Jariah menceritakan kepada kami katanya: Jabir bin Abdillah menceritakan kepada kami katanya: “Ubay bin Ka’ab r.a. telah datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: “Ya Rasulullah! Sesuatu telah berlaku kepada saya pada waktu malam di bulan Ramadhan. Nabi s.a.w. bertanya: “Apakah ia wahai Ubay?” Dia menjawab: “Perempuan-perempuan di rumahku berkata: “Kami tidak tahu membaca al-Quran maka kami hendak mengikuti sembahyang engkau”. Ubay berkata: “Lalu aku mengimamkan mereka sebanyak lapan rakaat kemudian aku berwitir”. Dia (Jabir) berkata: “Kelihatan pada Nabi s.a.w. semacam keredhaan dan Baginda tidak berkata apa-apa.”[iii]

Riwayat-riwayat di atas tidak dijadikan sandaran utama oleh ulama` yang berpegang kepada sembahyang tarawih adalah lapan rakaat. Ini adalah kerana walaupun banyaknya riwayat dan diriwayatkan oleh beberapa ulama` hadith tetapi ianya berpunca daripada seorang perawi yang dho’if iaitu ‘Isa bin Jariah. Kita lihat apakah kata ulama` jarh wat ta’dil berkenaan beliau.

Ibnu Abi Khaithamah berkata, daripada Ibnu Ma’ien katanya, ‘Isa bin Jariah tidak kuat, aku tidak mengetahui seorangpun yang meriwayatkan daripadanya selain Ya’qub al-Qummi. Ad-Dauri berkata, daripada Ibnu Ma’ien katanya: “Dia (‘Isa bin Jariah) banyak meriwayatkan hadith-hadith munkar. Abu Zur’ah berkata: “Tidak mengapa dengannya”. Al-Aajuri menyebutkan daripada Abu Daud katanya: “Dia (‘Isa) adalah seorang yang meriwayatkan hadith-hadith munkar.

Akan tetapi Ibnu Hibban menyebutkannya di dalam kitabnya “at-Thiqat”. As-Saaji dan ‘Uqaili menyebutkannya dari kalangan perawi-perawi yang dhoif.
Ibnu ‘Adi berkata: “Hadith-hadithnya tidak terpelihara.[iv] Di dalam Mizanul I’tidal terdapat sebagaimana yang tersebut di atas cuma terdapat tambahan dari Imam Nasaie katanya: “Dia (‘Isa bin Jariah) meriwayatkan hadith-hadith munkar dan ada diriwayatkan juga dari Imam Nasaie bahawa dia berkata: “Dia seorang yang ditinggalkan riwayatnya”.[v]

Hadith ketiga yang merupakan sandaran yang paling kuat bagi golongan ulama` yang mengatakan bahawa Nabi s.a.w. melakukan tarawih sebanyak lapan rakaat adalah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah r.a. iaitu:

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّهُ سَأَلَ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَيْفَ كَانَتْ صَلَاةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ فَقَالَتْ مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلَا ي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي ثَلَاثًا فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَنَامُ قَبْلَ أَنْ تُوتِرَ قَالَ يَا عَائِشَةُ إِنَّ عَيْنَيَّ تَنَامَانِ وَلَا يَنَامُ قَلْبِي

Daripada Abu Salamah bahawa dia bertanya ‘Aisyah r.a. dengan berkata: “Bagaimanakah sembahyang Rasulullah s.a.w. pada bulan Ramadhan?” ‘Aisyah menjawab: “Rasulullah s.a.w. sama ada di bulan Ramadhan dan selain Ramadhan tidak melebihkan daripada sebelas rakaat. Dia bersembahyang sebanyak empat rakaat engkau jangan tanya tentang betapa cantik dan panjangnya. Kemudian dia bersembahyang sebanyak empat rakaat lagi, engkau jangan tanya tentang betapa cantik dan panjangnya. Kemudian dia bersembahyang sebanyak tiga rakaat lagi. Kemudian aku bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah engkau tidur sebelum engkau melakukan sembahyang witir?” Baginda s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya dua mataku tidur tetapi hatiku tidak tidur”.[vi]

Ulama yang mengatakan rakaat tarawih adalah lapan menjadikan hadith ini sebagai asas dan juga sokongan kepada riwayat-riwayat dhoif yang disebutkan sebelum ini. Mereka mengatakan sembahyang yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. tersebut pada bulan selain Ramadhan adalah sembahyang malam yang dikenali sebagai tahajjud dan di bulan Ramadhan adalah sebagai qiyam Ramadhan yang dikenali sebagai sembahyang tarawih.

Akan tetapi ulama`-ulama` berselisih pendapat berkenaan hadith ini. Sebahagian ulama` mengatakan hadith tersebut berkenaan sembahyang tarawih dan sebahagian yang lain mengatakan berkenaan sembahyang malam selain dari tarawih.[vii] Oleh kerana itu ulama`-ulama` terutamanya ulama` yang terkenal sebagai ulama` feqah tidak menjadikan hadith ini sebagai sandaran kepada bilangan rakaat tarawih. Andaikata kesemua mereka memahami bahawa ianya berkaitan dengan sembahyang tarawih tentu sekali tidak akan timbul lagi perselisihan berkaitan rakaat tarawih.

Beberapa persoalan akan timbul bilamana hadith ‘Aisyah r.a. ini dianggap berkaitan dengan sembahyang tarawih. Antaranya:

Pertama: Kata-kata ‘Aisyah r.a.: “Di bulan Ramadhan dan bukan Ramadhan” dari segi zohir menunjukkan kepada suatu amalan yang tidak mempunyai perbezaan sama ada di bulan Ramadhan dan bukan Ramadhan serta tidak menunjukkan kepada tarawih tetapi lebih tepat menunjukkan kepada sembahyang malam yang dikenali sebagai tahajjud. Kecuali ada sesuatu bukti yang lain yang menunjukkan bahawa maksud ‘Aisyah r.a. adalah sembahyang malam di bulan selain Ramadhan dan tarawih di bulan Ramadhan. Tetapi ianya boleh dijawab dengan mengatakan bahawa maknanya “bukan Ramadhan adalah qiyamullail atau sembahyang malam dan di bulan Ramadhan adalah bermakna qiyam Ramadhan atau tarawih”.
Namun begitu ianya akan memberikan maksud bahawa sesiapa yang telah melakukan sembahyang tarawih sebanyak lapan rakaat selain witir maka ia tidak boleh lagi melakukan sembahyang yang lain pada malam itu kerana Nabi s.a.w. tidak melebihkan sama ada di bulan Ramadhan atau bukan Ramadhan daripada lapan rakaat selain witir. Tetapi bagi golongan yang mengatakan hadith ‘Aisyah tersebut bukan berkenaan tarawih maka tidak akan timbul sebarang masalah kepada mereka kerana yang tidak dilebihkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah sembahyang malam bukannya tarawih. Begitu juga galakan Nabi s.a.w. supaya memperbanyakkan amalan pada bulan Ramadhan tidak akan memberikan apa-apa makna kerana Nabi s.a.w. sendiri tidak melebihkan daripada sebelas rakaat sahaja pada satu-satu malam.

Namun begitu setengah ulama` mengatakan bahawa Nabi s.a.w. tidak melakukan sembahyang tarawih dan tahajjud secara berasingan di dalam bulan Ramadhan sebaliknya melakukan sembahyang tarawih sahaja bahkan memanjangkan tarawihnya (Baginda tidak melakukan tahajjud di bulan Ramadhan). Tiada sebarang perbezaan di antara tarawih dan tahajjud di zaman Nabi s.a.w. pada rakaat tetapi perbezaan hanyalah terdapat pada waktu dan sifat sahaja iaitu tarawih dilakukan secara berjemaah di masjid berlainan dengan tahajjud dan memulakan tarawih di permulaan malam tetapi tahajjud di akhir malam.[viii]

Bagi penulis hujah sedemikian akan menyempitkan lagi ruang ibadat dan menyebabkan umat Islam kerugian di dalam merebut kelebihan yang besar di bulan Ramadhan.

Kedua: Di dalam hadith tersebut ‘Aisyah r.a. menyebutkan:

يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي

“Dia (Nabi s.a.w.) bersembahyang sebanyak empat rakaat engkau jangan tanya tentang betapa cantik dan panjangnya. Kemudian dia bersembahyang sebanyak empat rakaat lagi, engkau jangan tanya tentang betapa cantik dan panjangnya”.

Dari segi zohirnya ia boleh memberikan makna empat rakaat dengan satu salam. Kerana itu setengah ulama` mengharuskan sembahyang malam empat rakaat dengan satu salam. Jadi, kalaulah yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah sembahyang malam atau tahajjud maka ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah tetapi kalaulah yang dimaksudkan di dalam hadith tersebut “bukan Ramadhan adalah qiyamullail dan di bulan Ramadhan adalah qiyam Ramadhan atau tarawih” bermakna tidak ada perbezaan antara keduanya daripada segi kaifiatnya, hanya berbeza dari segi nama sahaja kerana berbeza dari segi waktu dan bulan. Maka, apakah ada ulama`k yang mengatakan sembahyang tarawih diharuskan empat rakaat dengan satu salam?

[i] Lihat Qiyam Ramdhan Ibnu Nasr al-Marwazi j. 1 hal 21, Musannaf Ibnu Abi Syaibah j. 2 hal. 286, al-Muntaqa syarah Muwattho’ j.1 hal. 163, Fathul Bari j.6 hal. 292, Awjaz al-Masalik j.2 hal.389 dan lain-lain kitab fiqh dan syarah hadith.

[ii] Mu’jam Shoghir al-Thobrani j.2 hal. 127, Sahih Ibnu Hibban j.10 hal 289 dan 301, Sahih Ibnu Khuzaimah j.4 hal. 202, Musnad Abu Ya’la j. 4 hal. 370, Solatul witr Ibnu Nasr al-Marwazi j. 1 hal. 23, Qiyam Ramdhan Ibnu Nasr al-Marwazi j. 1 hal. 17 dengan sedikit perbezaan pada lafaz.

[iii] Mu’jam Awsath al-Thobrani j.8 hal. 424, Sahih Ibnu Hibban j.11 hal 76 dan 78, Musnad Abu Ya’la j. 4 hal. 369, Qiyam Ramdhan Ibnu Nasr al-Marwazi j. 1 hal. 18 dengan sedikit perbezaan pada lafaz.

[iv] Lihat Tahzib at-Tahzib j. 8 hal. 185, al-Kamil Ibnu ‘Adi j. 5 hal. 248, ad-Dhu’afaa lil ‘Uqaili j.3 hal. 383, ad-Dhu’afaa wal-Matrukin lin Nasaie j.1 hal. dua puluh satu6 dan lain-lain.

[v] Mizanul I’tidal j. 3 hal 311.

[vi] Sahih Bukhari bab kelebihan beribadat pada malam ramadhan, Sahih Muslim bab sembahyang dan bilangan rakaat sembahyang Nabi s.a.w. dan lain-lain.

[vii] Perbahasan berkenaan dengannya terdapat di dalam kitab-kitab syarah hadith.

[viii] Al-‘Arf as-Syazi Syarah Termizi j. 2 hal. 209

bersambung…

sumber: http://www.darulkautsar.com/article.php?ArticleID=737

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: