Gejala Taksub Kepada Dr Mohd Asri (MAZA)? Perbincangan

September 13, 2008 at 5:24 am | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

Ditulis oleh Administrator (http://pemudapasseremban.net/v4/index.php?option=com_content&task=view&id=388&Itemid=96)

Ahad, 21 Januari 2007

Permasalahan ta’asub yang berlaku di kalangan umat Islam segalanya disebabkan kejahilan dan kelemahan ilmu serta kekurangan maklumat sehingga melahirkan rasa rendah diri yang ketara lalu wujud perasaan kagum dan penghormatan yang melampau terhadap seseorang yang mempunyai kelebihan yang tidak kita punyai.

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha melihat apa yang kamu kerjakan.” (Hud : 112).

Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan seorang ulama muda tanahair yang berjaya membawa dakwah dan perubahan yang bermanfaat serta cukup bagus kepada umat Islam di Malaysia. Beliau bukan sahaja memiliki keilmuan yang mendalam tetapi juga memiliki peribadi yang memikat. Tidak hairan kenapa dengan cepat beliau berjaya membuka mata ramai pihak dan menarik ramai umat Islam kepada dakwah seruan yang dibawanya iaitu memartabatkan kitab dan sunnah.

Pada hari ini nama Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis semakin terkenal dan menjadi bahan perbualan di mana-mana disebabkan pelbagai isu yang diketengahkan oleh beliau dan ulasan serta komen beliau yang mengundang perhatian ramai. Mempunyai penyokong dari pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan pelajar IPT dan universiti serta golongan professional menjadikan beliau cukup terkenal dan memiliki kekuatan suara dalam masyarakat.

Dr Asri mempunyai pengikut dan kumpulan penyokong dari golongan pelajar seperti di Universti Islam Antarabangsa Malaysia, ustaz-ustaz muda keluaran Jordan dan Syiria, laman-laman web seperti Al-Ahkam.net yang merupakan laman pro-Dr Asri , markaz persendirian yang bernama Markaz Imam Ibn Qayyim di Pulau Pinang juga sehingga kepada orang politik seperti Dato Sri Shahidan Kasim, Menteri Besar Negeri Perlis.

Beliau sekalipun merupakan bekas pelajar kepada Dr Radhi USM, juga merupakan tokoh angkatan baru yang menyertai perjuangan aliran salafi di Malaysia berbanding orang-orang lama di Yayasan Anda, yayasan Al-Khadeem milik Ustaz Hussain Yee, Yayasan An-Nidda dan tokoh-tokohnya seperti Dr Abdullah Yassin, Prof Dr Johari Mat, Ustaz Abdullah Al-Qari di Kelantan, Ustaz Rasul Dahri di Johor yang suatu ketika dahulu pernah dihebohkan juga hampir dilantik menjadi Mufti Perlis dan lain-lain tokoh lama yang banyaknya sudah dilupakan atau senyap dari perbualan orang namun ternyata Dr Mohd Asri berbeza dan lain dari yang lain apabila beliau mempunyai kredebiliti tersendiri.

Beliau bijak memainkan peranan dan kesempatan serta mempunyai kekuatan dengan gerakan pelajar yang merupakan sesuatu yang unik serta berbeza dari tokoh-tokoh salafi Malaysia sebelum ini yang jauh hubungan mereka dengan pelajar universiti. Selain itu ceramah dan kuliah Dr Mohd Asri dihadiri oleh golongan professional dan orang kenamaan yang membentuk satu kelebihan kepada dakwah yang dibawa oleh beliau.

Usaha dakwah beliau yang membawa seruan kembali kepada kitab dan sunnah dan mendaulatkan isi kandungannya mendapat sambutan banyak pihak serta kejayaan beliau menghadapi tentangan dari pihak-pihak yang kurang disukai ramai seperti Astora Jabat dan lain-lain menaikkan lagi nama beliau di mata masyarakat.

Ciri-ciri Ta’asub

Persoalan Ta’asub muncul di dalam mana-mana sahaja kelompok umat Islam dan ianya ibarat satu penyakit yang tidak dapat dipisahkan sebaliknya terus hidup menjadi parasit dalam umat Islam.

Gejala Ta’asub dapat dilihat pada ciri-ciri yang dimiliki oleh umat Islam terhadap tokoh-tokoh tertentu atau pada fahaman tertentu seperti :

1) Menganggap apa yang disampaikan oleh guru atau fahaman mereka sebagai mesti benar dan tidak akan salah sama sekali
2) Menganggap apa yang diucapkan oleh guru dan tokoh tertentu mesti bertepatan dengan kitab dan sunnah atau membawa maksud dari kitab dan sunnah
3) Menyakini kelebihan guru dan fadhilatnya yang melebihi orang lain sekaligus menjamin kebenaran pendapatnya
4) Merasakan gurunya sudah cukup menjadi rujukannya tanpa perlu melihat kepada pendapat orang lain atau kepada ulama dan tokoh lain
5) Menyakini jalan perjuangan yang dibawa oleh gurunya bertepatan dengan kitab dan sunnah serta mesti disokong walaupun tidak memahaminya atau masih belum memahami isi kandungan kitab dan sunnah

Ciri-ciri Kecil (yang menandakan bibit ta’asub kepada Dr Mohd Asri)

a) Hanya mendengar dan mengambil ilmu dari Dr Mohd Asri dan yang sealiran dengannya sahaja tanpa melihat pendapat dan tokoh lain
b) Mengkagumi Dr Mohd Asri dengan berlebih-lebihan dan mengangkat beliau melebihi yang sepatutnya atau melebihi kelayakkannya misalnya mengatakan beliau ulama mujtahid atau konon pernah berguru dengan ulama besar seperti Syeikh Albani dan lain-lain sedangkan hakikatnya tidak dan sebagainya
c) Ghairah menyampaikan segala khabar dan berita berkait Dr Mohd Asri sekalipun hakikatnya tidak penting dan merupakan hal yang remeh
d) Seronok mendapat peluang berhubung dekat dengan Dr Mohd Asri dan mendampinginya melebihi tokoh-tokoh lain sekalipun tidak salah tetapi hal ini sudah mula menunjukkan bibit-bibit kekaguman yang boleh merosakkan.

Saya yakin mereka yang selama ini ta’asub kepada Dr Mohd Asri pasti akan memberikan komen terhadap tulisan saya ini, bahkan mungkin ada yang akan memarahi saya tetapi demi kerana mahukan kebaikan kepada umat Islam juga kerana menyayangi tokoh ulama muda kita maka perlu saya tegur umat Islam supaya jangan ta’asub kerana jika tidak maka sudah pasti dakwah seruan Dr Asri sendiri yang melarang umat Islam ta’asub akan gagal apabila umat Islam hanya berubah arah dari ta’asub kepada aliran lama menjadi ta’asub kepada Dr Mohd Asri.

Sekiranya tidak ada sesiapa yang ta’asub kepada Dr Mohd Asri maka artikel ini tidak akan dimarahi sebaliknya diterima dengan terbuka dan gembira sebagai salah satu nasihat yang baik kerana agama itu ialah nasihat.

Sabda baginda salallahualaihiwasalam kepada Tamim Ad-Dari ra :
الدين النصيحة , الدين النصيحة, الدين النصيحة
“ Sesungguhnya Agama itu ialah nasihat, sesungguhnya agama itu ialah nasihat, sesungguhnya Agama itu ialah nasihat.”

(Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 95 Bab 55).

Perihal Gejala Ta’asub

Masalah ta’asub sudah lama merebak dan menjadi virus yang mendaging dalam jasad umat Islam sejak zaman berzaman. Pelbagai ubat yang dibawa oleh para ulama untuk menghilangkan virus ini akhirnya berubah menjadi virus baru yang terus beranak- pinak.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu berdiri kerana Allah, menjadi saksi dengan keadilan. Janganlah kerana kebencianmu terhadap satu kaum, sehingga membuatkan kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana keadilan itu lebih dekat kepada taqwa dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” (Al-maidah : 8).

Ta’asub muncul daripada kelemahan ilmu manusia yang seterusnya membawa kepada perasaan lemah dan rendah diri serta mengkagumi seseorang atau fahaman tertentu sebagai agung dan mulia. Sikap ini membawa kepada ketaatan dan kepatuhan tanpa perintah terhadap peribadi orang yang dikagumi atau dihormati.

Baginda rasulullah salallahualaihiwasalam sekalipun sebagai seorang rasul utusan Allah dan merupakan hamba Allah yang paling mulia melarang umat-Nya dari memiliki sikap ghulu (melampau) dan ta’asub terhadap baginda.

Diriwayatkan oleh Ibn Abbas ra bahawa baginda rasulullah bersabda : “ Berhati-hatilah kamu daripada ghulu (melampau) dalam agama kerana sesungguhnya orang sebelum kamu telah dihancurkan disebabkan sikap melampau mereka dalam agama.” (Hadith riwayat Ahmad dan lain-lain).

“ Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama, Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Faathir : 28).

Para ahli ilmu menyebutkan bahawa dimaksudkan ulama itu ialah mereka yang memiliki perasaan takut kepada Allah swt dan disebabkan itulah mereka mendapat kedudukan sebagai ulama dari ilmu yang dimiliki membawa mereka menuju kepada takut kepada Allah swt lalu menghasilkan ketaatan.

Sehingga para ulama menyebutkan orang yang paling banyak berfatwa di kalangan kamu ialah orang yang paling berani masuk ke dalam neraka lantaran disebabkan banyak berfatwa mendedahkan dirinya kepada pelbagai kesalahan dan juga tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul dari keputusannya kerana melibatkan kehidupan dan pengaruh kepada orang lain.

Utbah ibn Muslim pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah berkawan dengan Ibn Umar ra (Abdullah Ibn Umar ra) selama tiga puluh empat bulan dan seringkali ketika beliau ditanya dengan sesuatu persolan maka djawab oleh beliau dengan berkata : “Aku tidak tahu”.

Demikian juga Ibn Abi Laila ra yang menyebutkan aku pernah melihat seratus dua puluh lebih para sahabat rasulullah salallahualaihiwasalam dari kalangan ansar yang apabila ditanyakan dengan sesuatu permasalahan agama maka dia menyerahkan kepada yang lain sehingga sahabat yang lain itu menyerahkan kepada yang lain sehingga seringkali persoalan itu kembali kepada sahabat yang pertama ditanyakan tadi.

Setiap yang diusahakan di dunia hari ini akan dipersoalkan oleh Allah swt di akhirat maka hendaklah kita berhati-hati khasnya di dalam ilmu agama yang memerlukan kepada ahli di dalam bidangnya.

Gejala ta’asub tidak pernah hilang walaupun pelbagai ulama muncul menyeru supaya umat Islam menghentikan ta’asub kerana disebabkan beberapa faktor yang akan kita bincangkan.

Dakwah Fardhi Tidak Secara Jamaie

Permasalahan yang menimpa waqi (situasi) semasa hari ini ialah ramai tokoh-tokoh pendakwah muda dan mereka yang hebat ilmunya bergerak dengan berdakwah secara fardhi (individu) dan tidak secara jamaie. Hal ini membawa kepada perkembangan gejala ta’asub dengan serius.

Tokoh seperti Dr Mohd Asri Zainul Abidin lebih dikenali sebagai tokoh fardhi (individu) bukan jamaie (kumpulan) ini disebabkan kononnya fahaman salaf itu tidak boleh berorganisasi disebabkan pendapat sesetengah mereka yang termakan ubat bius kejahilan yang menganggap ianya bid’ah.

Disebabkan berorganisasi itu bid’ah maka kefahaman salafi yang dibius ini menganggap salafi mesti bergerak sebagai individu dan berjalannya kefahaman salafi itu mesti dengan bekerjasama dengan pihak pemerintah yang sekalipun zalim dan mencapai tahap taghut.

Mereka lalu menjadi tokoh-tokoh di dalam masyarakat yang segala tindak-tanduknya diputuskan oleh mereka sendiri melalui pendapat dan ijtihad mereka lalu segala keputusan itu disokong oleh pelajar-pelajar mereka yang menjadi pengikut setia sebagai satu keputusan yang dari kitab dan sunnah.

Bahkan Imam Abu Ishak As-Syatibi ra telah memperingatkan umat Islam akan hakikat ini dengan menyebutkan di dalam kitabnya Al-Itishom m/s 173 jilid 2 dengan bermaksud : “ Sesungguhnya yang menjadi sebab utama bid’ah dan pertikaian yang membawa kepada perpecahan umat dan malapetaka ialah seseorang mempercayai dirinya ialah seorang mujtahid atau termasuk ahlul ilmi wal ijtihad dalam ilmu agama sedangkan hakikatnya dirinya belumlah mencapai tahap itu.

Maka apabila dia beramal dengan pendapatnya maka dianggap pendapatnya ialah sebagai pendapat ulama dan khilafnya sebagai khilaf ulama lalu baik hal itu berlaku di dalam hal yang furu (cabang) atau hal yang mendasar dan usul baik iktikad dan amaliyah sehingga seringkali dia mengambil sesetengah hal yang juz’iyah atau furu’iyah (cabang) dari syariat lalu diruntuhkan hal yang kulliyat atau usul dengannya atau sebaliknya sehinggalah jadi apa yang zahir itu sepintas lalu seolah menepati makna tetapi hakikatnya tidak mencapai maksud syarak maka inilah dia seorang tukang pembuat bid’ah.”

“(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal ianya di sisi Allah adalah amat besar.” (An-Nur :15).

Maka dari sikap ini kita lihat banyak kacau bilau dalam masyarakat melayu hari ini serta umat Islam umumnya di pelbagai Negara dan daerah kekacauan dan keraguan yang menyesakkan apabila kejahilan dan kebenaran yang tidak penuh bertemu sehingga fitnah tidak pernah kehabisan dari terus membakar umat Islam.

Sekalipun ada kalanya pendapat mereka diperalatkan oleh pihak pemerintah dan kumpulan tertentu untuk kepentingan duniawi dan berhasrat serta bermaksud yang tidak baik terhadap hukum syarak.

Sesungguhnya di dalam Islam, gelaran, kemasyhuran serta kedudukan title bukanlah menjadi sesuatu tujuan yang dibenarkan untuk dimiliki jika tidak ada keperluan daruri atau mendesak yang membawa kepada keperluan dan kemanfaatan akhirat.

Bahkan di dalam persoalan menuntut ilmu, mempelajari ilmu agama dengan tujuan mendapat kedudukan dan juga gelaran penghormatan dari manusia maka hukumnya ialah haram dan berdosa ini berdalilkan kepada hadith Baginda rasulullah salallahualaihiwasalam yang pernah bersabda : “Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk menyaingi para ulama, atau untuk berdebat dan mengalahkan orang yang bodoh atau untuk mencari wajah manusia kepadanya maka Allah akan menempatkan dirinya di dalam api neraka”. (Hadith sahih riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah).

Ketiadaan Syura dalam Dakwah

Permasalahan yang kerap belaku dalam situasi dakwah hari ini ialah apabila umat Islam mengabaikan konsep syura (mesyuarat) dan perbincangan di antara ulama dalam dakwah sehingga mengakibatkan berjalannya dakwah itu sebagai suatu yang dimonopoli oleh kumpulan tertentu dan berlaku berdasarkan ijtihad individu.

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
“Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (As-Syura : 38).

Kita melihat tokoh-tokoh di tanahair baik Dr Asri dan lain-lain menjadi suatu yang biasa apabila mengeluarkan pendapat dan pandangan seolah-olah mereka ialah ulama bertaraf mujtahid dan kurang menjalankan gerak kerja yang disebut syura di kalangan ahlul ahli wal aqdi (mereka yang ahli dan layak dalam bermesyuarat dan membuat keputusan) yang memiliki kelayakkan dalam memberikan pandangan dalam sesuatu hal sehingga setiap masalah dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik dan menepati maksud syarak serta menepati keperluan waqi (semasa).

Para imam mazhab benar-benar meninggalkan kepada kita semua teladan yang baik dalam masalah berfatwa dan keilmuan sehingga perlu dicontohi oleh para pelajar ilmu bukan hanya kepada kealiman mereka tetapi juga pada taqwa dan keimanan mereka.

Al-Imam Malik ra pernah berkata “ Barangsiapa yang ditanya akan suatu persoalan maka sebelum dia menjawabnya hendaklah terlebih dahulu menyerahkan dirinya kepada pertimbangan syurga dan neraka dari perbuatannya itu apakah dia dapat melepaskan diri di akhirat kelak kemudian barulah dia boleh menjawab persoalan tersebut.”

Bahkan Imam Malik ra sendiri terkenal dengan jawapannya paling berhikmah iaitu “Aku tidak tahu” sehingga apabila seorang dari muridnya berkata apakah akan aku pulang memberitahu orang-orang ramai mengenai engkau tidak tahu dalam masalah ini ? Lalu dijawab oleh imam dengan berkata : “Ya, beritahu kepada orang-orang lain bahawa aku tidak tahu”. Demikianlah wara’ dan taqwa mereka kepada Allah swt mengatasi ilmu mereka.

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu Berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. kerana itu ma’afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad (berazam), Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Ali-Imran : 159).

Berkata Imam Ibn Katsir dalam tafsirnya yang menukilkan riwayat dari Ibn Mardawaih bahawa Ali ra telah ditanya tentang maksud apakah “berazam & membulatkan tekad” di dalam ayat di atas maka dijawab bermesyuarat dengan mereka yang mempunyai pandangan (pengetahuan) kemudian mengikuti pandangan mereka.

Pendakwah Harus Melahirkan Madrasah Bukan Pengikut

Para pendakwah dan tokoh ilmuan harus melahirkan madrasah dan sekolah yang melahirkan generasi Islam dari didikan yang sahih dan bukannya melahirkan pengikut yang jahil serta tidak memiliki apa-apa ilmu sebaliknya menuruti guru-guru-nya atau menaqalkan (memetik) ayat-ayat dan hujah-hujah dari buku-buku tulisan gurunya.

Kejayaan seseorang pendakwah itu bukanlah dari hasil peribadi yang dicapai sebaliknya dari ilmu dan hasil usaha sekolah yang dibentuk olehnya sehingga menjadikan dirinya sebagai contoh dan teladan kepada umat. Ubay bin Ka’ab berkata : ‘Sesungguhnya sederhana di jalan ini dan (di atas) sunnah itu lebih baik daripada bersungguh-sungguh tetapi dalam menentang jalan ini dan bercanggah dengan sunnah. Maka lihatlah amalan kalian jika dalam keadaan bersungguh-sungguh atau sederhana hendaknya di atas manhaj (cara pemahaman dan pengamalan) para Nabi dan sunnah mereka.’

Rasulullah menghasilkan sekolah Al-Qur’an yang darinya telah lahir para sahabat dengan tarbiyah rabbani maka demikian juga ulama-ulama Islam selepas itu yang terkenal seperti Al-Imam Ibn Taimiyyah ra yang menghasilkan madrasah beliau sehingga darinya lahir para Imam hebat seperti Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah ra, Imam Ibn Katsir ra dan juga Al-Imam Adz-Zahabi dan lain-lain.

Suatu hari Dr Mohd Asri dan lain-lain tokoh yang ada hari ini akan kembali menemui Allah swt dan segala pencapaian peribadi seperti menjadi mufti, menjawat jawatan ahli lembaga fatwa kebangsaan atau sebagainya langsung tidak membawa manfaat kecuali apabila ianya menghasilkan satu generasi baru yang membawa perubahan kepada apa yang dikehendaki oleh kitab dan sunnah.

Dr Mohd Asri dan lain-lain tokoh harus menjadi seperti ulama yang bertindak sebagai guru yang tidak menyimpan buah maut dari para pelajarnya sebaliknya menjadi guru yang melatih anak-anak murid supaya menjadi lebih hebat dari dirinya sendiri sehingga dengan itu barulah generasi dakwah yang berlandaskan kitab dan sunnah akan terbentuk.

Jangan Menyeru Kepada Seruan Peribadi

Seruan dakwah harus dikembalikan kepada Allah swt kerana Dialah pemilik segala seruan dan sebaik-baik seruan ialah kembali kepada Allah swt dan mengabdikan diri kepada-Nya. Dakwah salafiyah di Malaysia seringkali terdedah kepada pelbagai masalah disebabkan ianya digerakkan oleh tokoh peribadi dan seruan dakwah berbentuk seruan kepada peribadi.

Alangkah baiknya nasihat Al-fadhil Syeikh Soleh Ibn Fauzan bin Abdullah Al-Fauzan yang menasihati para pemuda di dalam kitabnya dengan mengatakan “Ikutilah haq (kebenaran) itu walau siapa pun dia dan janganlah mengikuti orang-orang nanti kamu akan menyalahi kebenaran”.(Menjawab Persoalan-persoalan Baru m/s 149).

Berkata Al-Auzaie ra : “ Kami mengikuti sunnah daripada sumbernya” ( lihat Syarh Sunnah oleh Al-Lalikaie).

Berkata Ibn Abbas ra : “ Aku berasa bimbang diturunkan ke atas kamu batu daripada langit apabila aku mengatakan Allah swt berfirman sekian maka kamu bahkan mengatakan telah berkata Abu Bakar dan Umar sekian dan sekian”. (lihat di dalam Musnad Ahmad no. 337/1 dan disahihkan isnadnya oleh Syeikh Ahmad Syakir ra).

Hal ini telah disyarahkan oleh Syeikhul Islam Muhammad Abd Wahab di dalam Kitab Tauhid dan dijelaskan oleh Syeikh Soleh ibn Fauzan dengan berkata sekiranya ta’asub terhadap pendapat dan tokoh agung seperti Abu Bakar ra dan Umar ra yang merupakan sebaik manusia selepas para nabi tanpa dalil adalah dilarang maka apatah lagi ta’asub dan mengikuti pendapat mereka yang lain ?

Maka sudah tentu sekali pendapat Mufti Kerajaan Negeri Selangor menduduki kedudukan yang boleh diterima dan ditolak berdasarkan hujah dan dalil yang dikemukakan oleh beliau dan diperbincangkan oleh para ahli ilmu dan ulama.

“Janganlah kamu menjadikan panggilan (seruan) Rasul diantara kamu seperti panggilan (seruan) sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang berangsur- angsur pergi di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah-Nya takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih.” (An-Nur : 63).

Seruan kepada peribadi seperti mengajak para pemuda dan pemudi meminati Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai langkah berdakwah konon untuk mendekatkan para pemuda kepada jalan salaf soleh bukanlah cara yang baik dan tepat. Sebaliknya membawa para pemuda terus mendekati isi kandungan dakwah melalui contoh teladan dan juga isi dasar kandungan kitab dan sunnah itulah yang terbaik.

Mengikuti Dr Mohd Asri tidak menjamin apa-apa keselamatan di sisi Allah swt sebaliknya mengikuti kebenaran yang dibawa oleh para ulama termasuk apa-apa yang benar yang dibawa oleh Dr Mohd Asri itulah yang dapat membawa kepada keselamatan di dunia dan di akhirat.

Penawar Gejala Ta’asub

Mengubati masalah ta’asub bukanlah mudah sebaliknya memerlukan kepada pelbagai usaha baik daripada pihak masyarakat dan juga para ulama dan tokoh-tokoh yang menjadi bahan idola serta ta’asub masyarakat.

Permasalahan ini perlu dikupas dan diperhalusi oleh setiap umat Islam yang benar-benar mahu mencari ubat dan penawar kepada penyakit dan virus yang menimpa umat Islam dan mahukan kebaikan, perpaduan dan keselamatan bagi semua umat Islam.

Mengikhlaskan Niat Kerana Allah

Menjadikan diri kita semua ikhlas kerana Allah swt maka insyaAllah segala permasalahan akan diberikan hidayah oleh Allah dan pertunjuk serta jalan keluar yang diredhai-Nya. Mengikhlaskan niat kerana Allah swt semata-mata akan melapangkan kita buat seketika dan membolehkan akal waras kembali berfikir dan meneliti setiap hujah dan pandangan daripada pelbagai pendapat sehingga boleh mencelikkan mata kita dari sikap ta’asub dan kekaguman yang melampau.

قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah iaitu tuhan sekalian alam.” (Al-An’am : 162).

Benarlah sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan kepadanya maka diberikan kepadanya akan kefahaman dalam agama.” (Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim).

Allah yang mengehendaki kita beroleh hidayah, apakah kita pernah lupa kemungkinan suatu ketika dahulu kita bukanlah seperti apa yang kita ada pada hari ini ? Lupakah kita suatu masa dahulu mungkin kita tergolong di kalangan mereka yang melakukan maksiat lalu dengan hidayah dari-Nya kita beroleh pengetahuan dan perubahan sehingga mendapat kedudukan seperti sekarang ?

Bagi mereka yang mempunyai sikap ta’asub kepada tokoh tertentu pastinya boleh menginsafi bahawa sebelum mereka menjadi pengikut kepada tokoh tersebut mereka pernah menjadi sekian dan sekian dan bagaimana mereka boleh diberi hidayah oleh Allah untuk menemui kefahaman yang sedia ada sekarang maka sudah pasti mereka juga boleh diberikan lagi hidayah oleh Allah untuk terus menemui kebenaran dari ilmu Allah swt yang tidak akan pernah putus.

“Maka Maha Tinggi Allah raja yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca Al qur’an sebelum disempurnakan mewahyukannya kepadamu, dan Katakanlah: “Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.” (Thaha : 114).

Meluaskan ilmu pengetahuan dan maklumat

Sesiapa pun harus menyedari ilmu mereka terhad dibanding kebenaran hakiki yang merupakan ilmu Allah swt. Tidak akan selesai pengajian dan penyelidikkan mencari kebenaran sekalipun menjawat pangkat mufti atau memiliki phd.

قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَاداً لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَداً
“Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)”.(Al-Kahfi : 109).

وَلَوْ أَنَّمَا فِي الْأَرْضِ مِنْ شَجَرَةٍ أَقْلامٌ وَالْبَحْرُ يَمُدُّهُ مِنْ بَعْدِهِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ مَا نَفِدَتْ كَلِمَاتُ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan lautan (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Luqman : 27).

Perlulah diketahui segala fatwa dan keputusan hukum agama yang diputuskan tanpa mempunyai dalil yang qathi serta jelas dari kitab dan sunnah disebut sebagai keputusan zanni (sangkaan) yang beroleh pahala ijtihad dan tidak mencapai hukum mutlak dan ganjaran serta kebenarannya hanyalah diketahui oleh Allah swt.

Ta’asub kepada pendapat atau pegangan dalam sesuatu masalah agama yang tidak mempunyai dalil yang qathie atau yakin dan jelas adalah merupakan sesuatu yang tidak wajar disebabkan ianya boleh jadi tersilap dan tersalah tetapi disisi Allah selama kita memenuhi syarat-syarat pelaksanaannya maka ianya dianggap benar disisi Allah swt.
Bergerak Secara Berjemaah

Gejala Ta’asub dapat dielakkan dengan mengerakkan usaha dakwah secara berjemaah dan bermesyuarat dengan ahli ilmu yang mempunyai kedudukan di dalam agama serta taqwa.

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. dan bertakwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah Amat berat siksa-Nya.” (Al-Maidah : 2).

Perintah berjemaah merupakan satu perintah yang disebut sebagai wajib berdasarkan kepada hadith baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Umar ra yang bermaksud “ Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa kaum bani Israel, selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku dikalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada umatku akan melakukan sedemikian. Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan.

Maka bertanyalah para sahabat ra kepada baginda akan siapakah golongan yang satu itu wahai rasulullah ? Maka jawab baginda “ Golongan yang aku berada di dalamnya dan para sahabatku .” (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.26 Jilid 5, Hakim no.218 Jilid 1).

Iaitu jalan serta manhaj yang beradanya nabi dan para sahabatnya iaitu jalan salaf soleh dalam iktiqad (kepercayan) serta aqidah mereka itulah yang benar.

Manakala kalimah dan pengertian jemaah berdasarkan hadith pula boleh dilihat pada riwayat yang pelbagai dari baginda rasulullah salallahualaihiwasalam yang menyebut perihal jemaah.

Seperti yang dikeluarkan oleh At- Tibrani dengan sanad yang sahih akan sabda baginda nabi salallahualaihiwasalam :

عليكم بالجماعة فان يد الله على الجماعة
“Hendaklah kamu berada dalam jemaah sesungguhnya tangan Allah itu berada dalam jemaah” (Riwayat Tibrani 447 /12).

Dikeluarkan oleh Imam At-Tirmidzi ra , dari riwayat Ibn Abbas ra bahawa baginda pernah bersabda :

يد الله مع الجما عة
“Tangan Allah itu bersama jemaah” (Riwayat Tirmidzi m/s 367 Jilid 6).

Juga melalui riwayat yang lain di tambah dengan

فان الشيطان مع الواحد وهو من الاثنين أبعد
“ Sesungguhnya Syaitan itu bersama seorang dan menjauh apabila berdua” (riwayat Ahmad dan Nasaie, Tirmidzi dan Ibn hibban dan lain-lain.)

Juga dari riwayat Abi Dzar ra yang berkata bahawa telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam :

من فا رق الجماعة شبرا فقد خلع الله ربقه ألاسلام من عنفه
“Barangsiapa yang memisahkan dirinya dari jemaah walaupun sejengkal maka Allah akan mencabut ikatan Islam dari tengkuknya” (Hadith sahih riwayat Abu Daud no. 4750).

Sebenarnya masih banyak hadith yang menyebut mengenai perihal kewajipan melazimi dan berada dalam jemaah dan larangan dari keluar atau mengasingkan diri dari jemaah.

Juga disebut melalui riwayat Umar Ibn Khattab ra menyebut bersabdanya baginda rasulullah salallahualaihiwasalam :

من أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة
“Barangsiapa yang menginginkan tempat tinggal di syurga maka hendaklah berada dalam jemaah” (Hadith Sahih riwayat Tirmidzi no 2165, Ibn Majah dan Humaidi).

Imam Al-Hafidz Mubarakfuri dalam kitabnya Syarah Jami’ Tirmidzi Tuhfatul Ahwazi mensyarahkan hadith ini dengan menyebut kewajipan berjemaah dalam hadith ini ialah bermaksud menetapkan diri bersama kepimpinan masyarakat Islam kerana Islam itu ialah sudah merupakan sebuah jemaah dan barangsiapa yang memisahkan dirinya dan keluar dari jemaah (masyarakat Islam) itu atau menyisihkan diri (membuat jemaah baru) maka sesungguhnya dia telah menghilangkan islam dari dirinya seperti apa yang disebut oleh hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah secara marfu dalam Sahih Muslim yang menyebut :

من خرج من الطاعة و فرقوا الجماعة فمات مات ميتة جاهلية
“ Barangsiapa yang keluar dari ketaatan kepada kepimpinan umat Islam dan memecah belahkan jemaah (masyarakat Islam) maka matinya merupakan kematian jahiliyah”

Bahkan berkata lagi Hafidz, hal ini juga disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Syaikhain (Imam Bukhari dan Muslim) dari Huzaifah al-yamani ra akan hadith yang berbunyi :
تلزم جماعة المسلمين وامامهم “ Hendaklah kamu beriltizam dengan jemaah umat Islam dan kepimpinannya” dan dalam riwayat Khalid bin Sabi’ di sisi Tibrani menambah apabila kamu melihat Khalifah maka taatilah dan apabila tiada khalifah maka berperanglah ( Sila lihat Tuhfatul Ahwazi m/s 385 Jilid 6).

Menurut para ulama salaf soleh seperti apa yang diriwayatkan oleh Muhammad Ibn Sirrin dari Ibn Mas’ud ra bahawa yang dimaksudkan jemaah itu ialah para sahabat baginda dan sebahagiannya mengatakan mereka itu ialah para ulama kerana para ulama itu pewaris nabi salallahualaihiwasalam ان العلماء ورثة الأنبياء (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibn Majah).

Berdasarkan situasi pada hari ini, jemaah yang berbentuk organisasi dan membawa kefahaman yang sahih yang diperjuangkan oleh rasulullah dan para sahabat boleh memainkan peranan sebagai penyelamat umat Islam daripada kesesatan dan kejahilan. Tidak ada halangan dan kedosaan bergerak menjalankan dakwah secara berjemaah bahkan itulah yang paling afdhal selain membawa berkah dan kebaikan kepada umat Islam. Disebabkan dengan membawa dakwah secara berjemaah maka umat Islam selain teratur dan tersusun maka harakah dakwah juga bebas dari godaan syaitan secara peribadi dan ancaman-ancaman penyelewengan.

Wallahualam

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: