Menegur secara berhikmah

September 17, 2008 at 9:16 pm | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

Oleh Mohd. Farid Md. Alias (fikrahremaja@yahoo.com)

HIKMAH itu ertinya bijaksana. Berhikmah dalam membuat teguran itu bermaksud berusaha menggunakan kaedah terbaik dalam menyampaikan sesuatu teguran agar kumpulan sasaran dapat menerima serta melakukan perubahan berdasarkan teguran yang diberi. Di samping itu, adalah diharapkan teguran tersebut berhasil membawa lebih banyak kebaikan berbanding mudarat.

Sebagaimana maksud ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud bahawa kita dituntut untuk menjalankan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu mengajak kepada kebaikan (suruhan Allah) serta menjauhi kemungkaran (larangan Allah).

Justeru, membuat teguran berkenaan perkara yang berkaitan tuntutan hukum agama adalah perlu kerana perintah dan larangan Allah itu mengandungi kebaikan buat insan. Apabila hukum agama ditegakkan, maka ia bakal membuahkan kecemerlangan dan kemaslahatan umat.

Di samping itu, teguran juga dibuat berkenaan kesilapan yang tidak disengajakan. Umpamanya guru menegur murid yang melakukan kesilapan pengiraan dalam kerja rumah Matematiknya. Hal ini dilakukan demi mencapai kesempurnaan dalam pelaksanaan sesuatu kerja itu.

Walau bagaimanapun, hakikatnya kita hanya mampu berusaha menyampaikan teguran atau nasihat, manakala hidayah untuk menerima dan berubah itu adalah milik Allah. Allah jua Maha Pemberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya berasa kecewa atau putus asa andainya kumpulan sasaran kita tidak menerima teguran kita. Sebaliknya kita perlu berusaha menilai upaya menegur kita agar lebih berkesan di lain waktu.

Niat teguran untuk penambahbaikan

Dalam pada kita hendak melakukan teguran berkenaan sesuatu kesalahan, perkara pertama yang perlu dinilai terlebih dahulu ialah apakah maksud niat kita untuk melakukan teguran tersebut.

Adakah kita menegur demi menjadikan sesuatu keadaan itu lebih baik, atau adakah untuk membidas seseorang itu demi memalukannya? Dan adakah kita ada maksud tersendiri dalam menegur umpamanya demi memelihara kepentingan diri ataupun melepaskan kesalahan sendiri kepada bahu individu lain?

Andainya niat kita tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu teguran itu ditakuti bahawa keburukan yang bakal timbul kelak. Misalannya, hubungan menjadi renggang, kumpulan sasaran semakin hanyut dengan kesalahannya, ataupun mungkin menjurus kepada fitnah.

Tegas dalam santun

Santun dalam membuat teguran itu bermaksud kita menggunakan budi bahasa yang baik serta suasana yang kondusif untuk melakukan teguran. Dengan adanya santun, seseorang itu boleh membuka bicara dengan menanyakan keadaan individu sasaran itu, seperti adakah dia sudah makan atau sebagainya.

Kita juga boleh membaca riak muka orang yang ingin ditegur sama ada adakah dia berada dalam keadaan gembira, sedih, keletihan dan sebagainya. Melalui maklumat ini, kita mungkin boleh menilai sama ada ia merupakan waktu yang sesuai untuk menegur.

Namun dalam kesantunan melakukan teguran perlu ada ketegasan. Apa yang ditanggapi sebagai salah tetap salah, walaupun kadang kala pendekatan yang digunakan tidak popular atau tidak disukai oleh orang yang ditegur.

Di samping itu, kita perlu memastikan bahawa kita sentiasa dapat mengawal emosi apabila menegur. Ini kerana apabila emosi dibiarkan menguasai diri, di kala itu bukan akal yang memandu percakapan atau perbuatan kita, sebaliknya nafsu amarah yang mungkin boleh mendorong kita melakukan sesuatu perkara yang di luar dugaan.

Aspek teguran juga perlu jelas, yakni merujuk kepada isu utama yang diperbincangkan. Teknik teguran XYZ yang dicadangkan oleh seorang ahli psikologi yang bernama Haim Ginott adalah sebuah teknik yang baik untuk dicuba dalam menegur.

Teknik tersebut mencadangkan kepada kita untuk menggunakan frasa berkenaan untuk menegur, “Apabila anda melakukan perkara X, ia membuatkan saya berasa Y, sebaliknya saya lebih menyukai anda melakukan perkara Z”.

Maka apabila sesuatu kesalahan itu ingin diperbetulkan, maka adalah baik untuk kita membincangkan kesalahan tersebut, dan bukannya menyentuh peribadi seseorang itu seperti melabelkannya secara rambang.

Suasana teguran itu juga mungkin bermanfaat jika berada dalam situasi kehadiran individu lain secara minimum, agar keaiban orang yang ditegur itu dapat terpelihara di samping menjaga kehormatannya. Hal ini juga mampu membuatkannya lebih terbuka dalam menerima teguran tersebut.

Pengajaran buat insan lain

Walau bagaimanapun, terdapat situasi di mana sesuatu teguran itu dianggap akan lebih berkesan sekiranya dilakukan secara terbuka, iaitu dengan kehadiran atau pengetahuan orang-orang lain berkenaan teguran tersebut.

Ini kerana tujuan teguran tersebut turut mempunyai maksud pengajaran bermakna yang boleh diteladani oleh orang-orang lain agar mereka berusaha untuk tidak melakukan kesilapan yang serupa di samping memelihara kemaslahatan masyarakat umum.

Misalnya, seorang anak ditegur dan dimarahi oleh si bapa di hadapan anak-anak yang lain kerana si anak pulang ke rumah pada waktu lewat malam. Di sini anak-anak yang lain turut mendapat pengajaran agar tidak melakukan kesalahan yang sama. Si bapa juga dapat menjelaskan pendiriannya secara tidak langsung kepada anak-anaknya.

Teguran yang bersifat umum

Sesuatu teguran itu juga boleh dilakukan secara umum yang diuar-uarkan dalam sesuatu perhimpunan atau melalui media tetapi tanpa menyebut secara terperinci berkaitan butiran teguran itu.

Sebagai contoh, nama dan kisah terperinci tidak dijelaskan sebaliknya hanya dibuat teguran bersifat umum tanpa merujuk kepada mana-mana pihak. Adalah diharapkan agar pihak yang ditegur itu dapat memahami bahawa maksud teguran itu ditujukan kepada dirinya serta menerimanya dengan lapang.

Di samping itu, mungkin akan ada individu lain yang pada asalnya bukan merupakan kumpulan sasaran tetapi turut berasakan bahawa teguran tersebut ditujukan kepada dirinya. Maka itu adalah satu bonus dalam mengguna pakai kaedah teguran ini yang boleh juga bersifat serkap jarang.

Bak kata pepatah, “sesiapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya.”

Kesimpulan

Setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Justeru kita disyariatkan untuk saling mengingati antara satu sama lain. Dalam pada kesediaan kita untuk menegur kesilapan orang lain, kita juga harus bersedia menerima teguran orang lain terhadap diri kita.

Bagi yang menerima teguran, tidak dinafikan ia begitu pahit diterima dan belum tentu benar atau salah sifatnya, namun tidak seharusnya teguran tersebut ditolak secara mentah-mentah hanya kerana tidak selari dengan pendirian kita atau kerana ia datang daripada pihak yang tidak disukai.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: