Apabila Mahasiswa Berbicara Soal Politik

September 27, 2008 at 9:01 am | Posted in FIKRAH ajimoni | Leave a comment

Suasana kini begitu menyesakkan, pelbagai cerita politik sentiasa memenuhi dada-dada akhbar. Dari cerita yang bersifat kearah pembangunan negara yang dipolitikan sehinggalah ke cerita keaiban tokoh politik yang turut dipolitikkan. Suasana ini menimbulkan rasa tidak senang majoriti masyarakat Malaysia. Kehidupan seolah-olah sentiasa dihimpit dengan rasa tidak menentu dengan masa depan negara. Selaku mahasiswa, hal ini merupakan suatu perkara yang amat serius memandangkan hal ini juga yang akan memperjudikan masa depan negara.  

Bercakap soal politik, maka ramai yang berminat untuk mendengarnya. Ada yang minat kerana ingin mengetahui hala tuju negara, ada juga yang berminat untuk mendengar idea-idea baru dalam membangunkan negara. Secara asasnya, masing-masing mempunyai alasan konkrit untuk mendengar cerita politik. Namun cerita politik Malaysia bukan bercerita tentang idea-idea baru membangunkan negara, bukan juga cerita-cerita tentang penyelesaian masalah rakyat, namun ia dipenuhi dengan pelbagai cerita yang begitu menjengkelkan. Ada kalanya cerita politik yang dimainkan begitu menampakan keadaan yang begitu mendesak bagi sesetengah pihak, umpatan dan fitnah sudah menjadi perkara mainan. Seolah-olah ianya sudah menjadi halal atas dasar ia untuk politik. Wajah-wajah orang agama yang sudah berpolitik pun hilang ditenggelami dengan dasar kepolitikannya sehingga seakan-akan menenggelamkan prinsip islam yang sewajarnya dipegang dan dikekalkan. Namun pujian harus diberikan pada ahli politik yang tegar meletakan prinsip islam sebagai asas perjuangannya dan meletakan prinsip parti jauh ditempat kedua.

Lupakah ahli politik tentang tanggungjawab sebenar mereka apabila telah dipilih oleh rakyat? Adakah mereka hanya perlu menumpukan pada kerja-kerja politik kepartian? Jika mereka telah terlupa, maka menjadi tanggungjawab rakyat dan mahasiswa khasnya untuk kembali memperingatkan mereka tentang amanah dan tanggungjawab ini. Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah itu memerintahkan kepada engkau semua supaya engkau semua menunaikan – memberikan – amanat kepada ahlinya pemiliknya.” (An-Nisa’: 58)

Nabi Muhammad juga telah mengingatkan kita dalam hal ini. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tanda orang munafik itu tiga macam iaitu jikalau berkata ia dusta, jikalau berjanji ia menyalahi – tidak menepati – dan jikalau diamanati – dipercaya untuk memegang sesuatu amanat – lalu ia khianati.” (Muttafaq ‘alaih)

Dalam riwayat lain disebutkan-dengan tambahan: “Sekalipun ia berpuasa, bersembahyang dan menyangka bahawa ia seorang muslim.”[1]

Pemimpin politik tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang seharusnya mewujudkan suasana politik sihat yang mana mendasari kepentingan rakyat dan negara. Apa yang sedang berlaku menunjukan hal yang sebaliknya. Perjuangan survival politik sendiri mengatasi kepentingan memperjuangkan hak rakyat. Apakah sebenarnya yang dipertahankan oleh ahli politik sehingga kadangkala ia hampir-hampir menggadaikan nasib masa depan sebuah negara? Cukuplah kita berpolitik semasa pilihanraya ke-12, usahlah kisah itu dilanjutkan sehingga ia menimbulkan kebencian masyarakat apabila mendengar perkataan politik. Sindrom kebencian pada politik ini bukan hanya “membarahi” masyarakat awam, namun apa yang paling ditakuti ia turut menimpa masyarakat kampus.  Lihat sahaja statistik pengundi berdaftar daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menunjukan lebih 4 juta penduduk malaysia tidak mendaftar sebagai pengundi dan hampir 80 peratus daripadanya hadir dari kalangan belia. 

Mahasiswa di universiti rata-rata menunjukan rasa mual dengan situasi “politik kampung” ini. Suatu hal yang perlu diketahui oleh pemimpin politik Malaysia, permainan politik anda telah membunuh ribuan jiwa mahasiswa yang selama ini mendambakan kecintaan pada dunia politik. Imej yang telah ditonjolkan menyebabkan mahasiswa mengalihkan arah perhatian mereka pada perkara yang  tidak bersifat politik seperti sukan dan hiburan. Akhirnya Malaysia akan melahirkan generasi mahasiswa yang hanya pandai berilmu, gagah dalam bersukan, hebat dalam hiburan namun gagal dalam kepimpinan. Kita seumpama insan yang sedang membina istana pasir, tangan kiri berkerja keras membina istana, namun dalam masa yang sama tangan kanan bergerak pantas memusnahkan binaan itu. Apakah sebenarnya generasi universiti yang sedang cuba kita hasilkan?

[1] Bab 25, Perintah menunaikan amanah, Riyadhus Salihin, Al Imam An Nawawi.

-ajimoni- 

 

  

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: