PENENTANG HADIS: RENUNGLAH SEJENAK..

October 13, 2008 at 9:20 pm | Posted in FIKRAH ajimoni | 1 Comment

Didalam islam, kita boleh temui pelbagai aliran di dalamnya. Pelbagai pendapat yang berbeza boleh kita dapati daripada kepelbagaian aliran ini, dari yang berbeza dari segi hal furu’ hinggalah yang membabitkan soal aqidah. Perbezaan ini kadangkala menimbulkan pelbagai masalah yang ada kalanya membunuh persaudaraan sesama muslim. Tetapi apa yang lebih malang bagi saya, ada segelintir yang berbeza dalam perkara yang bagi saya amat sukar untuk diterima bagi seorang insan yang beragama islam. Mereka adalah golongan yang menolak hadis sebagai sumber rujukan dalam islam. Di Malaysia, kehadiran golongan ini tidaklah terlalu ramai, tetapi menjadi tanggungjawab muslim yang lain bagi menyedarkan mereka yang bagi saya belum dianugerahkan “hidayah” dari Allah. Moga sedikit sebanyak penulisan saya ini akan membantu mereka agar sedar tentang kesilapan yang telah mereka lakukan.

AL-QURAN KITAB YANG LENGKAP
Memang tidak ada siapa di dunia ini dapat menyangkal tentang hakikat bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar yang Allah kurniakan kepada Nabi Muhammad SAW. Kitab yang lengkap dan begitu hebat dengan segala ilmu yang merangkumi segala aspek kehidupan dari bab aqidah sehinggalah kepada pelbagai rahsia sains penciptaan alam ini. Firman Allah:

“Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan sebuah Kitab (Al Quran) kepada mereka yang Kami telah menjelaskannya atas dasar pengetahuan Kami[546]; menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Surah al-‘Araaf :52)
[546]. Maksudnya: atas dasar pengetahuan Kami tentang apa yang menjadi kemashlahatan bagi hamba-hamba Kami di dunia dan akhirat.

Dalam mengakui kehebatan dan kesempurnaan itu, kadangkala ada golongan yang begitu tidak berhati-hati sehingga menolak secara total hadis dan sunah Rasulullah SAW kerana menganggap Al-Quran sudah cukup untuk mereka menjalani kehidupan seharian sebagai seorang muslim. Kita perlu sedar dalam hal ini, hadis bertindak mentafsirkan Al-Quran agar kita insan yang begitu lemah dan kecil ini mampu melihat Al-Quran sebagaimana Nabi Muhammad melihatnya. Hadis memperincikan segala yang kita mungkin kurang jelas terhadap sesuatu bab di dalam islam. Sebagai contoh mudah, bagaimanakah hendak bersolat dengan cara yang betul. Al-Quran menyuruh kita bersolat, dan hadis inilah yang bertindak menerangkan bagaimana cara bersolat menurut islam secara terperinci. Amatlah mustahil untuk kita manusia yang lemah ini, dengan hanya membaca Al-Quran mampu bersolat dengan cara yang betul sebagaimana Nabi Muhammad bersolat.

MENTAFSIR AL-QURAN
Bahasa Arab merupakan bahasa Al-Quran, sebagaimana Nabi Muhammad yang berbangsa Arab. Dalam memahami Al-Quran secara baik agar tidak bercelaru dan menyimpang, kita mestilah menguasai bahasa arab dan mengetahui adat serta budaya mereka. Apabila kita hanya membaca Al-Quran terjemahan dalam bahasa Melayu sebagai contoh, akan berlaku kekeliruan dalam beberapa pemahaman ayat. Hal ini memang akan berlaku jika dengan cara sedemikian. Sebagai contoh apabila kita menyebut “Nasi Lemak” di dalam bahasa Melayu, kemudian kita tukar kepada bahasa arab. Apakah pemahaman orang arab terhadap nasi lemak ini sama seperti kita orang Malaysia? Mereka pasti tergambar makanan yang hanya mengandungi nasi dan lemak jika tidak mempelajari bahasa Melayu serta budaya Melayu. Tiada salahnya bagi orang islam membaca Al-Quran serta terjemahannya, ia dapat membantu memahami islam dengan lebih baik, tetapi kita masih perlukan bimbingan dari mereka yang mahir dalam bidang ini. Orang islam juga berhadapan dengan mereka yang cuba memperdayakan orang islam yang tidak tahu bahasa arab dengan cuba menterjemahkan Al-Quran dengan maksud yang berlainan daripada maksud asalnya. Sebagai contoh ayat ini yang diterjemahkan oleh Rashad Khalifa dalam Quran: The Final Scripture (Authorized English Version), pg 75-76 :

….Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan Kitab Allah maka mereka itulah orang-orang kafir. [al-Maidah 5:44]

….Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan Kitab Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim. [al-Maidah 5:45]

….Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan Kitab Allah maka mereka itulah orang-orang yang fasik. [al-Maidah 5:47]

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan Kitab Allah….
[al-Maidah 5:49]

Di bawah ini pula terjemahan ayat-ayat al-Qur’an yang sebenar, penulis rujuk kitab Tafsiran Pimpinan ar-Rahman kepada Pengertian al-Qur’an oleh Abdullah Basmeih.

….Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang kafir. [al-Maidah 5:44]

….Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang zalim. [al-Maidah 5:45]

….Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang kafir. [al-Maidah 5:47]

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah…. [al-Maidah 5:49]

Kita dapat lihat ada perbezaan dalam terjemahan ini dan perbezaan sebeginilah yang menyebabkan ada dari kita yang hanya menerima Al-Quran sebagai sumber rujukannya. Seharusnya kita memastikan terlebih dahulu siapa penterjemah tersebut, latar belakang sejarahnya dan yang paling penting tahap keilmuaannya sebelum kita mengambil mana-mana buku sebagai sumber rujukan kepada kita.

MENOLAK HADIS BERERTI MENOLAK NABI MUHAMMAD SAW
Walaupun golongan penolak hadis ini menolak hadis, tetapi ada dari mereka yang tetap mengakui Muhammad sebagai Rasulullah akhir zaman. Bagi saya, mereka ada kecerlaluan pada pemikiran mereka. Bagaimanakah boleh kita mengiya dan menidakkan sesuatu perkara di dalam satu masa. Kita mengakui kerasulan Nabi Muhammad, tetapi dalam masa yang sama kita enggan menerima hadis-hadis Nabi Muhammad sebagai contoh ikutan terbaik. Allah berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berpaling dari pada-Nya, sedang kamu mendengar (perintah-perintah-Nya).”
(Surah An Anfaal: 20)

Harus kita akui, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW merupakan contoh yang terbaik dalam segala aspek kehidupan. Dengan bantuan hadis memahami Al-Quran, dapatlah kita mencontohi Nabi dalam segala aspek agar kita bersama di dalam golongan yang benar. Apa yang amat kita khuatiri, apabila kita menolak hadis-hadis Nabi Muhammad secara total kita akan menjadi golongan seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran:

Katakanlah: “Ta’atilah Allah dan Rasul-Nya; jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir.”
(Surah Ali ‘Imran: 32)

KESAHIHAN HADIS
Al-Quran memang telah dinyatakan secara terang bahawa ia terjamin kesahihannya apabila Allah berfirman:

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya[793].”
(Surah Al Hijr: 9)
[793]. Ayat ini memberikan jaminan tentang kesucian dan kemurnian Al Quran selama-lamanya.

Apabila Allah menjamin memelihara Al-Quran, ia tidak terbatas pada huruf-huruf di dalam al-Quran, tetapi ia merangkumi aspek yang lebih luas termasuklah dari segi maksud, pengajaran dan kaedah pengamalannya. Jika kita lihat aspek ini, kita akan dapat lihat betapa relevannya hadis dijadikan sumber rujukan dalam islam. Kesemua aspek ini terdapat di dalam hadis-hadis Nabi Muhammad. Apalah gunanya jika hanya memelihara Al-Quran dari sudut huruf-hurufnya sahaja tetapi tidak dari segi maksud serta amalannya. Maka akan huru-haralah agama islam dengan penganutnya menjadikan agama ini mainan dalam kehidupannya. Hadis dan sunnah Nabi sentiasa dipelihara oleh Allah Azza waJalla dengan wujudnya para ahli hadis di setiap generasi yang sentiasa menyemak, menganalisa dan mengkaji kedudukan isnad sesuatu hadis untuk dibezakan antara yang benar dan yang palsu.

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
(Surah Al Hujuraat: 6)

Terdapat juga hadis yang bersifat daif sehinggalah yang bersifat mungkar berlegar dikalangan masyarakat. Ada hadis yang bersifat begini mempunyai kesan yang tidak baik pada islam. Hadis-hadis beginilah yang perlu kita ketepikan dalam dijadikan sumber rujukan dalam islam, tetapi tidaklah sampai mengenepikan semua hadis secara buta tanpa penilaian.

TOKOH HADIS
Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim merupakan dua nama besar yang dijadikan umat islam sebagai rujukan utama dalam bidang hadis. Namun, ada golongan seperti penolak hadis yang mempertikaikan kewibawaan imam ini dengan pelbagai tuduhan buta dan tidak berasas sama sekali. Dapat dilihat sebenarnya mereka tidak lansung kenal siapa sebenarnya di sebalik pemegang nama Al-Bukhari ini. Imam hebat ini terkenal dengan kelebihan ilmu hadisnya semenjak dia masih kecil lagi.

Pada suatu hari, ketika Imam Bukhari berumur 10 tahun atau lebih sedikit, beliau menghadiri majlis Hadis al-Dakhili dan menegur kesalahan sanad yang disebutkan al-Dakhili1 dengan teguran yang penuh hikmah, iaitu ketika gurunya al-Dakhili menyebutkan sanad, “Sufyan dari Abi Zubair, dari Ibrahim”, mendengar akan sanad itu, dengan spontan Imam Bukhari menyebut “sesungguhnya Abu Zubair tidak pernah meriwayatkan sesuatupun daripada Ibrahim”, mendengarkan kata-kata Imam Bukhari itu, lantas al-Dakhili memarahi dan menyergah al-Bukhari dengan berkata “diam!!”. Kemudian Imam Bukhari menegur gurunya dengan penuh hikmah dengan berkata “wahai guru, baliklah dah lihatlah pada cacatanmu sekiranya ada..”, ini memandangkan al-Dakhili menyebutkan sanad itu berdasarkan hafalannya dan Imam Bukhari pasti yang gurunya tersilap, kerana al-Bukhari juga turut menghafal sanad tersebut. Maka al-Dakhili kemudiannya pergi masuk mengambil buku cacatannya, setelah al-Dakhili melihat akan buku cacatannya, al-Dakhili bertanya kepada al-Bukhari “wahai anak kecil, bagaimanakah sanad yang sebenarnya..”, Imam Bukhari menjawab ” bukan Abu Zubair, akan tetapi hanya Zubair iaitu Ibn Adiy..”, mendengarkan jawapan Imam Bukhari itu, al-Dakhili berkata kepada Imam Bukhari “wahai anak kecil, betul kamu benar”, dan selepas itu al-Dakhili mengakui dan membetulkan kesilapannya.
1.Dalam majlis itu gurunya al-Dakhili menyebutkan sanad berdasarkan hafalannya

Mengenai kegeniusan Imam Bukhari dapat dibuktikan pada kisah berikut.

Ketika ia tiba di Baghdad, ahli-ahli hadith di sana berkumpul untuk menguji kemampuan dan kepintarannya. Mereka mengambil 100 buah hadith, lalu mereka tukar-tukarkan sanad dan matannya (diputar balikkan), matan hadith ini diberi sanad hadith lain dan sanad hadith lain dinbuat untuk matan hadith yang lain pula. 10 orang ulama tampil dan masing-masing mengajukan pertanyaan sebanyak 10 pertanyaan tentang hadith yang telah diputarbalikkan tersebut. Orang pertama tampil dengan mengajukan sepuluh buah hadith kepada Bukhari, dan setiap orang itu selesai menyebutkan sebuah hadith, Imam Bukhari menjawab dengan tegas: “Saya tidak tahu hadith yang Anda sebutkan ini.” Ia tetap memberikan jawaban serupa sampai kepada penanya yang ke sepuluh, yang masing-masing mengajukan sepuluh pertanyaan. Di antara hadirin yang tidak mengerti, memastikan bahawa Imam Bukhari tidak akan mungkin mampu menjawab dengan benar pertanyaan-pertanyaan itu, sedangkan para ulama berkata satu kepada yang lainnya: “Orang ini mengetahui apa yang sebenarnya.”

Setelah 10 orang semuanya selesai mengajukan semua pertanyaannya yang jumlahnya 100 pertanyaan tadi, kemudian Imam Bukhari melihat kepada penanya yang pertama dan berkata: “Hadith pertama yang anda kemukakan isnadnya yang benar adalah begini; hadith kedua isnadnya yang benar adalah beginii…”
Begitulah Imam Bukhari menjawab semua pertanyaan satu demi satu hingga selesai menyebutkan sepuluh hadith. Kemudian ia menoleh kepada penanya yang kedua, sampai menjawab dengan selesai kemudian menoleh kepada penanya yang ketiga sampai menjawab semua pertanyaan dengan selesai sampai pada penanya yang ke sepuluh sampai selesai. Imam Bukhari menyebutkan satu persatu hadith-hadith yang sebenarnya dengan cermat dan tidak ada satupun dan sedikitpun yang salah dengan jawaban yang urut sesuai dengan sepuluh orang tadi mengeluarkan urutan pertanyaanya. Maka para ulama Baghdad tidak dapat berbuat lain, selain menyatakan kekagumannya kepada Imam Bukhari akan kekuatan daya hafal dan kecemerlangan pikirannya, serta mengakuinya sebagai “Imam” dalam bidang hadith.

Sebahagian hadirin memberikan komentar terhadap “uji cuba kemampuan” yang menegangkan ini, ia berkata: “Yang mengagumkan, bukanlah kerana Bukhari mampu memberikan jawaban secara benar, tetapi yang benar-benar sangat mengagumkan ialah kemampuannya dalam menyebutkan semua hadith yang sudah diputarbalikkan itu secara berurutan persis seperti urutan yang dikemukakan oleh 10 orang penguji, padahal ia hanya mendengar pertanyaan-pertanyaan yang banyak itu hanya satu kali.”Jadi banyak pemirsa yang hairan dengan kemampuan Imam Bukhari mengemukakan 100 buah hadith secara berurutan seperti urutannya si penanya mengeluarkan pertanyaannya padahal beliau hanya mendengarnya satu kali, ditambah lagi beliau membetulkan rawi-rawi yang telah diputarbalikkan, ini sungguh luar biasa.

Dalam memastikan kesahihan sesuatu hadis pula, beliau amat mengamalkan satu penilaian yang begitu ketat dalam menilai suatu hadis itu sebagai sahih. Imam Bukhari pernah berkata: “Saya tidak pernah meriwayatkan sebuah hadith pun juga yang diterima dari para sahabat dan tabi’in, melainkan saya mengetahui tarikh kelahiran sebahagian besar mereka, hari wafat dan tempat tinggalnya. Demikian juga saya tidak meriwayatkan hadith sahabat dan tabi’in, yakni hadith-hadith mauquf, kecuali ada dasarnya yang kuketahui dari Kitabullah dan sunah Rasulullah SAW.” Beliau mengambil masa yang lama iaitu 16 tahun untuk menyempurnakan kitab Sahihnya. Ketelitian beliau juga dapat dilihat sebagaimana yang dikatakan beliau sendiri dalam kitab tersebut: “Aku tidak akan memasukkan hadis-hadis dalam al-Jami al-Sahih kecuali yang sahih sahaja, dan aku tidak akan meletakkan sebuah hadis dalam kitab tersebut kecuali apabila aku telah mandi dan melaksanakan solat dua rakaat”. Dalam menulis kitab sahihnya, Imam Bukhari berpegang kepada dua prinsip utama iaitu memelihara Sanad dan Matan sesebuah Hadis yang akan ditulisnya. Ini bagi memastikan setiap Sanad hadisnya Marfuk sehingga kepada Nabi SAW dan memenuhi segala syarat tertentu untuk dikira sahih. Imam al-Bukhari adalah seorang yang telah terkenal akan kehebatannnya dalam hadis, sehinggakan apabila sesebuah hadis itu disebut sebagai “Riwayat Al-Bukhari” maka ia memberi tanda kekuatan seolah-olah hadis itu tidak perlu disemak lagi akan kesahihannya.

Dalam memuji kehebatan imam ini, kita tidak pernah menafikan bahawa dia adalah insan biasa yang tidak maksum. Oleh itu, pastinya beliau tidak lari dari membuat kesilapan. Dari itu, apalah gunanya akal kurniaan tuhan ini jika tidak kita gunakan dalam menilai sesuatu perkara.

“Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri[322] di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri)[323]. Kalau tidaklah karena karunia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikut syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di antaramu).”
(Surah An Nisaa’: 83)
[322]. Ialah: tokoh-tokoh sahabat dan para cendekiawan di antara mereka.[323]. Menurut mufassirin yang lain maksudnya ialah: kalau suatu berita tentang keamanan dan ketakutan itu disampaikan kepada Rasul dan Ulil Amri, tentulah Rasul dan Ulil Amri yang ahli dapat menetapkan kesimpulan (istimbat) dari berita itu.

Maka mereka yang bergelar Ulama’ Hadis yang berperanan membuat penilaian terhadap sesuatu hadis itu. Hikmat dan jasa mereka amat besar terhadap umat islam, moga Allah merahmati segala usaha yang telah mereka lakukan.

CINTAI AL-QURAN DAN HADIS
Keangkuhan golongan penolak hadis ini perlulah segera dijinakkan. Keangkuhan ini mungkin timbul kerana keyakinan buta tanpa membuat penilaian semula terhadap apa yang mereka pegang. Adakah kita ingin menjadi seperti golongan yang telah Allah khabarkan di dalam Al-Quran?

“Katakanlah: “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Yaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya.”
(Surah Al Kahfi: 103-104)

Apabila kita menolak hadis secara buta, dalam sedar atau tidak, sebenarnya kita telah menidakkan peranan Nabi Muhammad sebagai ikutan terbaik manusia dalam memahami islam. Pun begitu, tiada siapa yang dapat mengubah pendirian penolak hadis jika Allah tidak memberi mereka taufik dan hidayah. Sesungguhnya semua itu milik Allah, oleh itu berusahalah untuk mendapatkannya.

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk.” (Surah Al-Qashash: 56)
Mencintai sunah Nabi bererti kita mencintai Nabi Muhammad, mencintai Nabi Muhammad bererti kita mencintai Al-Quran. Apabila kita mencintai kesemua ini, bererti kita telah mencintai Islam dengan sempurna, Insyaallah.

Wallahu’alam.

p/s: Penulisan ini adalah bertujuan untuk menyampaikan dan berkongsi berdasarkan pembacaan terhad penulis, tidak bertujuan untuk menimbulkan sebarang kesulitan. Oleh itu, harap tiada sebarang perdebatan susulan. Jika ada sebarang kesilapan dan kekurangan, sesungguhnya ia datang dari kelemahan saya.

-ajimoni-

RUJUKAN:
1.Al-Quran Digital, terjemahan dari Depag RI: Isnet.
2.Asbabun nuzul: Lubabun nuqul fii asbabin nuzul dari Jalaluddin As Suyuthi. Diterjemahkan menjadi Asbabun nuzul – Latar belakang historis turunnya ayat-ayat Al Quran oleh K.H.Q. Shaleh, H.A.A. Dahlan, Prof Dr. H.M.D. Dahlan.
3.20 Hujah Golongan Anti-Hadis & Jawapannya, Hafiz Firdaus Abdullah.
4.Kewajipan Orang-Orang Islam Terhadap Al-Sunnah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
5.Sifat al-Bukhari dalam Kajian Hadis, Muhammad Fathi bin Ali.
6.Kitab Hadith Shahih yang Enam, Muhammad Muhammad Abu Syuhbah.
7.Forum Gerakan Tajdid Satu Perbincangan, Astora Jabat vs Dr Mohd Asri.

1 Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

  1. Assalamu ‘alaikum Wr. Wb

    Kaifa haluk akhi fillah???
    Al-Qur’an dan Hadith adalah 2 kitab pedoman umat Islam. mengingkari salah satunya berarti merobohkan pondasi Islam. teruskan perjuangan kawan!!!

    salam kenal, salam ukhuwah.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: