JH-SEJARAH-006- BIODATA IMAM ALI BIN AL-MADINI

October 22, 2008 at 8:31 am | Posted in HADIS | Leave a comment

Bagi penuntut ilmu berkaitan Islam, terutama ilmu berkaitan hadith, pasti mereka akan mengenali Ali Bin al-Madini sebagai salah seorang tokoh terkemuka hadith salaf. Namun begitu, bagi sebahagian masyarakat yang kurang mengambil perhatian tentang ilmu hadith, nama Ali Bin al-Madini mungkin tidak begitu popular seperti nama-nama Imam hadith lain seperti al-Bukhari dan Muslim. Sedangkan Ali Bin al-Madini adalah di antara ulama tempat Imam Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud dan lain-lain lagi menuntut ilmu. Seperti biasa, terkadang murid lebih masyhur dari gurunya!

BIODATA RINGKAS

Nama penuh beliau ialah Ali Bin Abdullah. Namun begitu beliau lebih dikenali dengan gelaran Ali Bin al-Madini. Beliau dilahirkan pada tahun 161 Hijrah di Basrah, Iraq dan meninggal pada tahun 234 Hijrah di Samarrai juga di Iraq.

GURU DAN MURID

Beliau menuntut ilmu daripada ulama-ulama hadith terkemuka pada zamannya seperti Sufyan Bin ‘Uyainah, Abd. Razzaq al-Shon’ani, Hammad Bin Zaid, Abd. Aziz al-Darawardi, Ghundar dan lain-lain lagi.

Manakala di antara murid-muridnya yang terkenal pula ialah Ahmad Bin Hanbal, al-Bukhari, Abu Hatim al-Razi, Abu Daud dan gurunya yang juga mengambil hadith daripada beliau iaitu Sufyan Bin ‘Uyainah.

Hadith-hadith yang beliau riwayatkan boleh ditemui di dalam buku-buku hadith utama seperti Sahih al-Bukhari, Sunan Abu Daud, Jami’ al-Tirmidzi dan lain-lain lagi.

PUJIAN ULAMA TERHADAP BELIAU

Menurut Ahmad Bin Hanbal : Ali Bin al-Madini merupakan tokoh besar dan agung dalam kajian hadith. Menurut gurunya Sufyan Bin ‘Uyainah: ‘Demi Allah, sesungguhnya apa yang aku pelajari darinya (Ali Bin al-Madini) lebih banyak daripada apa yang dia pelajari dariku’. Seorang lagi tokoh hadith salaf bernama Abd. Rahman Bin Mahdi pula berkata: ‘Ali Bin al-Madini adalah orang yang paling tahu tentang hadith Rasulullah SAW’. Al-Nasaai pula menyifatkan bahawa ‘seolah-olah Allah SWT mencipta Ali Bin al-Madini khusus untuk ilmu hadith’.

Dikatakan bahawa beliau menjadi tumpuan para penuntut ilmu hadith sehinggakan mereka mencatat setiap gerak-geri beliau untuk mendapatkan ilmu dan akhlaknya.

Kehebatan beliau dalam meriwayatkan hadith serta menilai kesahihan serta kedhaifannya telah menjadi sebutan para ulama hadith zaman berzaman. Ini termasuk ketinggian ilmunya berkaitan para periwayat hadith. Oleh itu penuntut ilmu hadith pada zaman moden seharusnya memberikan perhatian penuh kepada kata-kata serta hasil tulisan Ali Bin al-Madini kerana beliau merupakan sumber rujukan kaedah-kaedah hadith yang dipraktikkan oleh ulama salaf termasuk ulama-ulama lain.

Al-Bukhari sendiri menyatakan bahawa ‘aku tidak merasakan diriku kerdil kecuali ketika berdepan dengan Ali Bin al-Madini’. Bayangkan ilmu dan kehebatan al-Bukhari lalu renungkan pula kata-kata al-Bukhari dalam menceritakan kehebatan gurunya Ali Bin al-Madini! Malah ketika beliau ditanya oleh salah seorang muridnya tentang perkara yang beliau ingini dalam hidup, al-Bukhari menjawab: ‘Aku ingin pergi ke Iraq dan Ali Bin al-Madini masih hidup, lalu aku ingin belajar darinya’.

Imam al-Nawawi juga pernah menyatakan bahawa semua ulama sepakat menobatkan Ali Bin al-Madini sebagai ulama hadith terkemuka mengatasi ahli hadith lain.

Manakala al-Zahabi pula menyatakan bahawa Ali Bin al-Madini merupakan seorang tokoh yang tiada tandingan pada zamannya sedangkan kita mengetahui bahawa pada zaman beliau terdapat ramai lagi ulama hadith terkemuka.

MUTIARA KATA BELIAU

Di antara kata-kata Ali Bin al-Madini ialah : ’Memahami maksud / fiqh hadith adalah separuh ilmu manakala separuh lagi ialah mengetahui tentang periwayat hadith’.

Beliau juga pernah mengakui bahawa beliau pernah menemui kesilapan yang tersembunyi pada kajian sesuatu hadith selepas empat puluh tahun! Ia menunjukkan ketekunan dan kesabaran beliau dalam mengkaji.

Beliau pernah memberi nasihat bahawa jika ingin mengkaji hadith dalam mana-mana tajuk atau topik, maka amat perlu dikumpulkan segala yang berkaitan hadith tersebut. Ia menunjukkan betapa kajian hadith bukanlah sesuatu yang ringkas malah ia perlukan ketelitian.

HASIL PENULISAN

Seperti mana-mana ulama salaf, Ali Bin al-Madini mempunyai banyak buku khususnya dalam bidang hadith meliputi ilmu kajian yang begitu mendalam. Tetapi, yang didapati dicetak sehingga ke hari ini hanyalah buku al-Ilal sedangkan terdapat banyak lagi buku beliau yang tidak ditemui dan dicetak. Namun begitu, syukur pada Allah SWT kerana ilmu beliau telah pun diwarisi dan dipelihara dalam buku-buku ulama lain yang sezaman dan juga selepas zaman beliau.

SUMBER RUJUKAN KEPADA KAJIAN HADITH

Jasa Ali Bin al-Madini amat besar dan ia diketahui oleh setiap penuntut ilmu hadith sejak zaman dahulu hingga kini. Segala ilmu beliau berkaitan periwayatan hadith dan kajiannya telah dijadikan asas utama oleh para ulama yang hidup sezaman dengan beliau dan seterusnya ulama selepas zaman itu.

Menjadi satu kewajipan dan keperluan bagi setiap penuntut ilmu hadith masa kini agar mencari, mempelajari dan memahami pandangan serta hasil tulisan tokoh hadith salaf seperti Ali Bin al-Madini terutama dalam aspek kajian hadith dan periwayatannya. Hasil daripada kajian ulama seperti beliaulah yang menjadi pegangan para ulama terkemudian dalam menyusun kaedah kajian hadith sama ada ilmu kajian periwayat atau kajian Mustolah al-Hadith. Maka tidak wajar pandangan mereka diabaikan dengan hanya merujuk kepada kaedah-kaedah yang ringkas dan padat semata-mata.

Walaupun begitu, kita dapati beberapa pengkaji hadith moden menolak dengan mudah kata-kata Ali Bin al-Madini hanya kerana satu sebab – dirinya tidak memahami maksud kata-kata tokoh tersebut. Contohnya seorang pensyarah di negara Arab Saudi yang memiliki Phd dalam bidang hadith telah menolak pendapat Ali Bin al-Madini dengan menulis: ‘Bukan begini caranya engkau mendhaifkan hadith, wahai Ali Bin al-Madini’!

Begitu juga seorang lagi pengkaji hadith di negara arab pernah menukilkan kritikan Ali Bin al-Madini terhadap seorang periwayat lalu pengkaji moden itu menulis ‘dari manakah datangnya perkara ini?’ dalam keadaan tidak mahu menerima pandangan seorang tokoh hadith terkemuka salaf.

Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari tertipu dengan ilmu yang sedikit sehingga merasa takabur dan sombong lalu menganggap diri lebih tinggi dari orang lain.

alitantawi

Penyelaras Jabatan Hadis

http://www.al-ahkam.net

sumber: http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=121310

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: