Tunda beli Eurocopter

October 29, 2008 at 3:07 am | Posted in BERITA | Leave a comment

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan telah membuat keputusan untuk menangguhkan pembelian helikopter Eurocopter EC725 sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, keputusan itu akan membolehkan perbelanjaan pembelian yang keseluruhannya bernilai RM1.67 bilion disalurkan untuk projek lain yang boleh memberi faedah secara langsung kepada rakyat tanpa kerajaan membuat sebarang pinjaman baru.

“Keputusan telah dibuat pada Mesyuarat Exco Majlis Ekonomi yang dipengerusikan saya pada 13 Oktober lalu supaya Eurocopter tidak dibeli pada waktu ini sebab kita memerlukan peruntukan ini untuk membiayai banyak projek lain yang boleh memberi kesan berganda kepada rakyat.

“Ini bukan bermakna kita langsung tidak mahu membeli helikopter pengganti Nuri. Keputusan pembelian helikopter baru akan dibuat selewat-lewatnya sebelum 2011 atau lebih awal, bila kedudukan kewangan membolehkan kita beli.

“Ini termasuk kemungkinan membelinya dalam jumlah sedikit terlebih dahulu,” kata Abdullah kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali Kementerian Pertahanan di Kem Kementah di sini hari ini.

Dengan keputusan menangguhkan pembelian Eurocopter, kata Perdana Menteri, semua 28 helikopter Nuri sedia ada perlu sentiasa dibaik pulih supaya selamat digunakan memandangkan sebarang pembelian baru akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum bekalan diterima.

Abdullah menjelaskan, keputusan tersebut tiada kaitan dengan dakwaan beberapa pihak bahawa wujud penyelewengan dalam pengeluaran tender projek itu termasuk dakwaan Eurocopter menawarkan kemudahan membaik pulih helikopter di Subang, Selangor bernilai RM250 juta.

“Saya tidak percaya berlaku penyelewengan kerana pemilihan Eurocopter dilakukan melalui tender terbuka dan banyak syarikat terlibat. Terpulang kepada syarikat terbabit untuk menawarkan apa sahaja pakej sampingan yang ingin diberi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, penangguhan tersebut tidak akan merugikan kerajaan kerana pembelian masih pada peringkat pengeluaran surat hasrat yang tidak memerlukan kerajaan membayar apa-apa pampasan jika berlaku penangguhan.

“Pada masa ini kerajaan belum memaklumkan secara rasmi kepada pihak berkenaan (Eurocopter dan kerajaan Perancis) berhubung penangguhan ini.

“Kita juga belum membuat keputusan sama ada helikopter baru yang akan dibeli sebelum 2011 nanti akan melibatkan tender baru atau terus memilih Eurocopter,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan, semua pihak tidak harus membuat andaian bahawa negara akan menghadapi kegawatan ekonomi berikutan langkah penangguhan tersebut kerana kemungkinan itu tidak akan berlaku.

Ditanya sama ada penangguhan berkenaan akan menyebabkan mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang bakal diadakan esok bagi mengkaji pembelian helikopter itu akan dibatalkan, Abdullah berkata, mesyuarat berkenaan boleh diteruskan.

“Perkara ini telah diputuskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya PAC diberi peluang untuk menghalusi mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan cadangan untuk membeli helikopter ini.

“Mesyuarat ini pun ada baiknya. Biarlah mereka tahu apakah prosedur yang telah digunakan oleh Kementerian Pertahanan dan mengapakah akhirnya harga yang dibeli begitu tinggi, apakah sebab-sebabnya,” kata beliau

Menurut Abdullah, harga yang agak tinggi dibayar Malaysia berbanding helikopter Eurocopter yang dibeli oleh Brazil kerana helikopter yang ditawarkan mempunyai kemampuan untuk pelbagai fungsi khususnya aktiviti mencari dan menyelamat, tempur serta mengangkut anggota tentera.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: