Habiburrahman El-Shirazy: AAC, penyebab dakwahnya lebih meluas

November 23, 2008 at 6:41 am | Posted in BERITA | Leave a comment

Ali Bukhari Amir
Fri | Nov 21, 08 | 8:28:02 pm MYT

“Malu sama Rasulullah s.a.w. Baginda berdakwah ke Taif, hingga berlumuran darah dilempar batu. Saya dijemput menyampaikan dakwah. Bukannya kita cari, orang yang datang jumpa kita dan minta kita berceramah. Adakah kita patut menolak? Iklan

“Orang daripada perusahaan batu bara yang terbesar dari Kalimantan Timur itu kebetulan terbaca novel saya dan dia terus berminat mengundang saya ke sana. Saya fikir mereka mahu bicara tentang sastera, rupanya sudah pun diatur jadual saya menyampaikan kuliah ke beberapa buah masjid.

“Mereka lengkap menyediakan kereta. Apakah saya perlu berkata, oh saya cuma ingin bicara sastera Islam saja kerana itu adalah bidang saya. Ceramah agama saya tidak mahu. Tak boleh begitu. Nanti malulah sama Rasulullah,” kata beliau.

Bagi Habiburrahman El-Shirazy atau lebih mesra dengan panggilan Kang Abik, novel Ayat-Ayat Cinta (AAC) yang meletup itu adalah aset utama untuknya berdakwah dengan lebih meluas.

Ucapan ‘malu sama Rasulullah’ yang disebutkan Kang Abik petang itu kerap bergema dan berlegar-legar di dalam fikiran. Ia mengingatkan saya ke atas watak Fahri Abdullah yang sedang mempertahan seorang wartawati Amerika yang sedang memapah ibunya yang keletihan di atas LRT. Ketika warga Amerika itu diserang, Fahri dengan pantas mengucapkan sebuah sabda Rasulullah.

“Kalian telah menyakiti Rasulullah,” demikian kata Fahri. Apakah watak Fahri adalah belahan daripada jiwa beliau sendiri? Atau, apakah watak utama itu sebahagian besarnya datang daripada kesan, cetusan ilham melalui kisah rakan-rakannya?

“Ya, termasuk juga kesan pengalaman daripada rakan-rakan saya juga,” demikian ujar beliau.

“Ya, sudah tentu. Tapi berapa peratus bab daripada novel itu memaparkan kisah Kang Abik sendiri?” tanya saya. “Dan, apakah kebanyakan kisah itu juga termasuk dari belahan kisah cinta mas sendiri?”

Dia tersenyum lalu ketawa, “Ah..Saudara baca sendirilah. Nanti tahu sendiri.”

Melihat perawakannya, sosok yang kental spiritual, kukuh pendirian dengan iltizam dakwah ini ternyata masih muda. Usianya sekitar 30-an.

Baginya, AAC yang terus bangkit sebagai suatu fenomena secara tiba-tiba itu telah menjadi landasannya untuk makin kukuh dan giat bekerja dalam landasan dakwah. Dan padanya, lulusan al-Azhari tidak sepatutnya berada dalam pesantren (pondok) dan berterusan menjadi santri-santri (lulusan pondok) sahaja.

Dia malah, sempat bergurau, “Kalau mas punya wang banyak, ayuh kita sama-sama bikin filem di Hollywood!”

Apa takrif Sastera Islam?
Itu merupakan salah satu kes di mana penangan AAC menyebabkan beliau mula kerap diundang menyampaikan ceramah agama. Tapi, beliau kerap merendah diri. Dia tidak banyak mendabik dada ketika membicarakan AAC itu.

“Saya tak meletakkan novel itu sebagai sastera Islami. Saya hanya letakkan novel itu sebagai novel pembangun jiwa. Tapi, khalayak ramai kemudiannya meletakkan karya itu sebagai sastera Islam.

“Saya tidak melihat Sastera Islam itu mestilah ciri-cirinya berlatarbelakangkan masjid, Makkah dan Madinah. Ini satu tanggapan yang mesti dibetulkan,” katanya lagi.

Malah katanya, novel berjudul Harimau Harimau oleh Mochtar Lubis juga boleh diangkat sebagai sastera Islam. Ini kerana katanya, karya itu terselit di dalamnya unsur kesufian daripada segi perasaan al-Khauf (takutkan pembalasan Allah) dan al-Raja’ (pengharapan).

“Latarbelakang pengkisahannya cuma hutan dan bukannya di masjid, Mekah dan Madinah. Sekumpulan manusia mula tersesat di hutan dan masing-masing takut mati dibaham harimau. Pada saat itu, mereka mula menghitung nasib diri, amalan berhubung dosa dan pahala. Nah! Ada unsur tasawuf di situ,” tambahnya lagi.

Selain itu Kang Abik turut memetik lagi beberapa buah novel yang beliau masih ingat. Antaranya kisah sebuah kampung petani yang tanaman mereka tidak menjadi kerana dilanda musim kemarau. Tiba-tiba ada seorang petani tua yang berpesan agar jangan mudah menyerah kalah kepada kemarau itu.

“Petani tua itu berkata, di sana ada danau yang masih boleh diambil airnya. Ambil dan siramkan tanaman itu. Dan ini ada hubungan dengan firman Tuhan – Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu sendiri yang bertindak mengubahnya.

“Jadi, jangan disempitkan lagi sastera Islam itu dengan berlatarbelakangkan cuma masjid, Makkah dan Madinah sahaja,” kata beliau lagi.

Baginya, penafsiran yang melihat sastera Islam itu cuma terhad kepada latarbelakang Makkah, Madinah, masjid itu akan menyebabkan sastera Islam akan menjadi makin sempit, walhal Islam itu luas dan rahmatnya melimpah ke serata alam. Islam ada pada setiap bangsa dan ia hadir di semua negara.

“Malah sastera Islam itu masuk mengalir ke Indonesia itu serentak dengan kehadiran Islam itu sendiri,” kata beliau lagi sambil merujuk kepada tradisi dakwah Wali Songo yang menggunakan elemen, tradisi hiburan.

Mengarang dari hati
“Mungkin kerana AAC berlatarbelakang al-Azhar, maka ia diangkat sebagai sastera Islam. Tetapi, saya ingin katakan bahawa jika saya tak belajar di al-Azhar dan di Timur Tengah sekali pun, saya tetap akan mengarang Ayat-Ayat Cinta.”

Kami cuba mencungkil rahsia resipi Kang Abik dalam menyediakan ramuan novel sebagai hidangan jiwa, santapan rohani dan kini ia menjadi juadah pembuka selera bicara bagi penggemar sastera kini.

“Biasa saja, sesuaikan tema novel dengan judulnya. Malah AAC itu sudah ada berapa buah judulnya dalam fikiran saya sebelum ini,” kemudian dia terdiam sebentar.

“Ya, selain itu ada juga kita bertafakur, bermenung sendirian..”

Saya yakin, Kang Abik tergolong dalam kumpulan manusia, atau watak-watak penulis yang mengarang bukan lagi lewat jari-jemari, malah mereka mengarang daripada hati-hatinya.

Seperti kata Buya Hamka dalam salah satu catatannya, orang yang mengarang dari hatinya, tulisan mereka itu akan terpancar dan kesannya terus masuk ke dalam hati manusia lain.

sumber:  http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18015&Itemid=1

Advertisements

UTeM team wins awards at invention show

November 22, 2008 at 3:28 am | Posted in BERITA, UTeM | Leave a comment

MALACCA: University Technical Malaysia (UTeM) did the country proud when it brought home several gold medals from the British Invention Show 2008 (BIS) in Hertfordshire, Britain, recently.

Several teams representing the university won one double-gold, three gold and one silver medal in the international competition from Oct 15 to 18.

Among the winners were the university’s Electrical Engineering Faculty which came out tops for its computerised wireless helicopter control system.

“The win was a surprise for us, and we were the last to be announced. I had packed up and was getting ready to leave,” said Alias Khamis, who represented his team.

The team’s research project required it to design and implement a PC-based remote control system for a model helicopter capable of aerial surveillance across 60m to 4km, depending on the size of the helicopter.

The helicopter’s control was designed with Visual Basic software and using a Graphic User Interface linked to a wireless camera attached to the helicopter’s body.

“I was happy and immediately called my team mates in Malaysia to tell them the good news.

“Being at the show was great but winning the competition was a bonus,” he added.

Alias, a 29-year-old lecturer who holds a Masters Degree in electrical engineering, said he gained invaluable experience at the show and made friends who shared the same interest.

He said he and his team mates initiated the project from scratch about a year ago.

“It was good exposure and a learning experience for us in technical know-how and conceptual proficiency. We took on a trial-and-error approach before we succeeded,” he added.

Present at victory celebrations at the university in Ayer Keroh were his team mates Hyreil Anuar Kasdirin, Muhammad Herman Jamaluddin, Ahmad Zaki Shukor, Hairul Mizam Mohd Shah and Norsarizan Mat Youb.

He said the win proved that humans and machines could interact with the use of computers from a distance.

“Our application can be used for safety and monitoring or research on other intelligent-control and embedded-control systems,” he said, adding that the team was looking at integrating its design with a global positioning system.

source: http://thestar.com.my/metro/story.asp?file=/2008/11/8/southneast/2469495&sec=southneast

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI

November 21, 2008 at 6:05 am | Posted in Tazkirah | Leave a comment

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat
dari melihat bangsaku dijajah

Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina

Air mata tiada ertinya
sejarah silam tiada maknanya
sekiranya bangsa tercinta terpinggir
dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa
para pejuang kemerdekaan
bagi menegakkan kemuliaan
dan darjat bangsa

selangkah beerti mara
mengharung sejuta dugaan

Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita

Bukan kecil tugas kita
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
bukankah sejak zaman berzaman
mereka menjadi pelaut, pengembara
malah penakluk terkemuka?

Bukankah mereka sudah mengembangkan
sayap, menjadi pedagang dan peniaga
selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?

Bukankah bangsaku pernah mengharung
samudera menjajah dunia yang tak dikenal

Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau yang tidak mengenal erti takut
dan kematian?

Di manakah silapnya hingga bangsaku
berasa begitu kecil dan rendah diri?

Apakah angkara penjajahan?

Lalu bangsaku mulai melupakan kegemilangan
silam dan sejarah gemilang membina empayar

Tugas kita belum selesai rupanya
bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati

Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya

Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya

Dr. Mahathir Mohamad
Mei 1996

Sang Murobbi akan ke Malaysia!

November 19, 2008 at 4:44 pm | Posted in PENGUMUMAN | 1 Comment

poster_500

banner_6

poster_500_anjuranbersama

Sila ke Al-Ahkam.Net untuk maklumat lanjut:

www.al-ahkam.net

Blog, Mufti & Ahli Agama

November 19, 2008 at 1:35 pm | Posted in Tazkirah | Leave a comment

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net

Niat untuk berdakwah menerusi internet atau blog sendiri, setakat ini saya dapat saya kotakan Alhamdulillah. Segala jenis pengalaman pahit dan manis ditempuhi bersama dengan web ini.

Sejak dahulu lagi, akan terdapat ilmuan yang mengasaskan institusi pengajian tinggi, pondok, pasentren dan yang sepertinya bagi menyebar luaskan ilmunya kepada masyarakat. Kini, peluang dan ruang itu boleh bercambah lebih luas jika dapat ditambah lagi kepada penggunaan medium lebih luas seperti internet.

Sememangnya sukar untuk dibandingkan antara pengajian berdepan dengan guru (talaqqi) dan ilmu yang diperolehi dan disampaikan melalui internet. Namun paling tidak, ia mempunyai beberapa kelebihan lain seperti penyebarannya lebih meluas dan capaiannya boleh di buat pada bila-bila masa dan di mana-mana.

Jika ingin disenaraikan positif dan negatifnya, secara puratanya yang positif akan mengatasi negatif. Justeru saya bersama rakan-rakan blogger Islam lain akan terus berusaha memakmurkan teknlogi moden yang wujud ini dengan pengisian mendidik minda dan jiwa, merapatkan manusia kepada penciptanya dan membawa manusia tunduk kepada larangan dan suruhanNya.

Setakat pengetahuan saya web bercorak agama yang paling popular di dunia adalah http://www.islamweb.net, http://www.islamway.com dan http://www.islamonline.net. Ketiga-tiga web ini mencatatkan pelawat harian mencecah ratus ribu dan juta, dan jauh lebih popular dari web berita semasa malaysiakini.com.

PELAWAT DI WEB INI

Adapun web saya, ia sederhana sahaja, dengan sekitar 3000 – 4000 unique visitor pelawat menjenguk web saya secara purata dalam sehari. Adakalanya mencecah 5000 – 7000 pelawat. Namun apa yang penting usaha menyediakan platform informasi agama mesti diteruskan.

Sejak Mac 2007, web saya telah dilawati oleh lebih 1.8 juta pelawat. Menurut sitemeter yang saya gunakan, statistic ini hanya mencatatkan unique visitors sahaja, atau setiap satu IP berbeza dikira satu. Begitulah sefaham saya dari panduan sitemeter.

Catatan sitemeter juga telah mencatatkan bilangan halaman yang dibuka mencecah 4.8 juta.

Namun demikian setiap pelawat di web saya ini mungkin berbeza dengan sesetengah web yang lain. Pelawat yang menziarah, datang dari pelbagai latar belakang; dari insan-insan soleh dan solehah sehinggalah dari kalangan pembenci-pembenci hukum, pendengki-pendengki kebaikan dan penyuruh kepada maksiat. Semuanya ada melawat beberapa kali di web saya. Ini dapat dilihat dengan jelas dari komen-komen yang dicoretkan, tetapi sebahagiannya tidak diluluskan, manakala bakinya diluluskan.

Kumpulan kedua ini kerap menghamburkan kata-kata kesat dan yang sepertinya. Lebih memudaratakan, jjka kita tersilap memberi respon atau sedikit teremosi, nescaya akan dijajanya dan diperbesarkan sehabis mungkin.

AHLI AGAMA DAN MUFTI TIDAK PERLU BERBLOG?

Hasil dari kata-kata kesat oleh pelawat negatif ini, munculllah individu yang berpendapat ilmuan agama (atau mufti terutamanya ) sebaiknya mengelakkan diri dari berblog atau mengendalikan web sendiri.

Tindakan mufti yang berblog dikatakan oleh kumpulan ini sebagai boleh dikira menjatuhkan maruahnya dan kedudukannya yang tinggi serta merosakkan jawatan MUFTI.

Hujjahnya :

1) Mufti rasmi (dalam konteks Malaysia), kedudukannya adalah sangat tinggi dan berada di bawah Sultan, tatkala itu sang mufti perlu menjaga hemahnya dan kebesarannya iaitu dengan mengurangkan percampuran dan kekerapan memberikan pandangan.

Bagi mereka yang mencadang idea ini, kekerapan memberi pandangan boleh menjatuhkan ketinggian pandangan ramai terhadap seorang mufti. Lebih senyap mungkin lebih bagus jika menurut pendapat ini, mungkin supaya bila sesekali sang mufti bersuara maka akan terasa kehebatannya dan ‘aura’nya.

Pandangan ini jelas tiada asas sama sekali. Ia bercanggah terus terang dengan sifat baginda Nabi s.a.w yang sentiasa bersama para sahabat menjawab persoalan mereka. Malah Al-Quran juga diturunkan dengan sebahagian asbab an-nuzul yang berkisar kepada menjawab persoalan berbangkit dalam masyarakat Islam ketika itu.

2) Ada pula yang berhujjah, mufti tidak boleh bersuara sewenang-wenangnya. Mereka ada prosedur dan peraturan dalam pengeluaran fatwa, fatwa pula mesti di ‘gazet’kan atau penwartaan secara rasmi dengan perkenan Sultan sebagai Ketua Agama sesebuah negeri. Hanya sesudah itu mereka boleh mengeluarkan fatwa rasmi.

Saya faham akan hal itu, namun adakah mufti tidak mempunyai pandangan peribadi yang boleh dikeluarkan untuk pedoman masyarakat.? Memang benar, setiap fatwa yang diwartakan beerti ia telah dikuatkausakan dan mana-mana individu dalam negeri terbabit yang melanggarinya, si pelaku kesalahan boleh dikenakan tindakan.

Malah fatwa yang dikeluarkan pula mestilah dalam ruang lingkup negeri masing-masing.

Saya faham bahawa mufti ada had kuasa dalam pengeluaran fatwa. Namun demikian, sebagai ilmuan Islam yang menjadi rujukan dalam soal hukum, orang awam sentiasa mengharapkan pandangan peribadi sang mufti dalam banyak isu. Biarpun ia bukan fatwa dalam konteks rasmi, tetapi cukuplah berdasarkan adalah analisa ilmiah mufti atas kapasiti dirinya sebagai seorang dari ‘ilmuan Islam’, demi faedah masyarakat awam.

3) Kali ini, terdapat pula Mufti yang beralasan dengan mengatakan :-

“Wartawan tidak bertanya maka bagaimana saya ingin menyatakan pandangan”

Bagi saya, wartawan tidak merujuk kepada sang mufti, kerana Mufti itu sendiri tidak pernah membuat kenyataan kepada media.

Cubalah pihak mufti meminta pegawainya menelefon wartawan dan kemudian ulaslah isu yang dikehendakinya, tentunya wartawan akan menghargai dan menyiarkannya, kalau tidak semua pun, sebahagiannya.

Jika ini dapat dibuat, selepas ini tentunya wartawan lebih senang untuk menghubungi mufti berkenaan.

Ia bukan tujuan ‘gilakan publisiti atau glamour’ tetapi menggalas amanah sebagai ilmuan Islam selain amanah dari jawatan rasmi sebagai seorang Mufti tadi.

Jika mufti bimbangkan wartawan tidak dapat mencatat ulasannya dengan baik dan tepat, LALU AMAT BAIKLAH bagi mufti untuk mempunyai blog peribadi, bukannya sekadar blog rasmi Jabatan Mufti Negeri. Blog peribadi diperlukan agar belau mampu menyampai segala ilmu tanpa had dan prosedur.

Tahniah buat Mufti bakal bersara beberapa hari lagi kerana punyai blog sendiri.

Firman Allah buat Rasul dan seluruh ilmuan Islam yang mewarisi ilmu Islam dari baginda s.a.w:-

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ وَإِن لَّمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ

Ertinya : Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya..( Al-Maidah : 67)

Ia diperlukan agar mudah rakyat mengadu masalah dan isu, agar lebih dekat dengan masyarakat dan masalah mereka.

JIka dikatakan, mereka tidak perlukan blog kerana mereka lebih mengutamakan penulisan kitab atau buku. Malang sekali lagi, masih belum begitu nampak buku=buku dan kitab-kitab hasil minda mereka di ketika ini.

Yang ternampak adalah tindakan mengharamkan beberapa buah buku sahaja. Sebaiknya, semasa pengharaman, ada buku yang dicadangkan, janganlah dicadangkan kitab kuning kepada orang awam, perlulah buku moden karangannya sendiri yang telah dipermudah.

Pengalaman blog atau web saya menyaksikan puluh ribuan masaalah masyarakat Malaysia diutarakan kepada saya dan lain-lain blogger agamawan (yang bukan mufti) yang berdakwah melalui blog dan web.

Alangkah baiknya jika mufti rasmi turut boleh merasai bagaimana keringnya umat ini dari ilmu, sebahagian mereka pula amat dahagakan bantuan dan pandangan. Saya cukup simpati dengan semua mereka yang mengutarakan komentar di ruangan web saya berbentuk soalan dan permintaan nasihat, tidak lupa juga di email. Namun jumlahnya TERLALU BANYAK, sehingga mencecah 12 000 soalan dalam ruang komentar, hampir 6000 email soalan agama masih gagal saya balas dalam kotak email saya sejak 3 tahun lepas.

Sabda Nabi s.a.w :-

الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنَ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلى أَذَاهُم

Ertinya : Seorang mukmin yang bercampur bergaul dengan masyarakat dan sabar atas kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah LEBIH BESAR GANJARANNYA dari mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas kepedihan, kepayahan kejahatan masyarakatnya. (Riwayat Al-Bukhari, At-Tirmidzi & Ahmad ; hadis sohih)

Sehingga tiada lagi kemampuan saya untuk membuka dan membaca sebahagian besar darinya komentar dan email yang diutus. Maaf saya pinta.

Alangkah baiknya, jika semua mufti dan ilmuan Islam dapat sama-sama berusaha membantu penyoal-penyoal ikhlas dan juga yang ‘nakal’ ini.

Bagi rakan-rakan agamawan atau ilmuan agama, kini semakin ramai yang punyai blog sendiri yang mampu mendidik dan menghampirkan masyarakat dengan Islam.

Tahniah.! Cabarannya adalah semakin tinggi jumlah pelawat yang mengambil manfaat, semakin tinggi juga komitmen dituntut.

Selain ilmu yang perlu dicurahkan, masa mengarang yang diperuntukkan, pemikiran yang ditumpukan untuk mengolah ayat dan mesej agar mudah dan mampu difahami dengan baik. Kami juga tercabar dengan :-

a. soalan-soalan ikhlas lagi mendesak jawapan segera

b. soalan menguji,

c. soalan dengan biadap,

d. soalan dicampur provokasi,

e. soalan basic yang maha amat,

f. soalan berulang-ulang berpuluh dan berates kali,

g. soalan yang jawapannya telah terpampang di artikel tetapi tidak dibaca,

h. soalan dicampur dengan percubaan character assassination,

i. soalan di luar bidang penguasaan ilmu saya,

j. soalan yang boleh dijawab tetapi memerlukan huraian perkara teknikal yang rumit,

k. soalan yang jawapannya sudah diketahui tetapi masih mahu meminta konfirmasi dan pelbagai lagi.

Apabila menerima sebahagian soalan-soalan di atas teringat saya kata-kata Imam As-Syafie

إذا نطق السفيه فلا تجبه … فخير من إجابته السكوت

Ertinya : Apabila berkata kepadamu orang ‘safih’ ( bodoh, provoke, emosi hingga hilang pertimbangan warasnya dan sepertinya) maka janganlah kamu menjawabnya…maka sebaik-baik jawapan kepadanya adalah senyap.

TUNTUTAN KEWANGAN

Selain soalan-soalan sedemikian, kini tuntutan kewangan pula menghambat. Manakan tidak, sejurus web atau blog percuma dilawati oleh ramai, pemilik blog AKAN memerlukan server tersendiri ‘DEDICATED SERVER’ yang mana ia memerlukan kos agak besar dan bersifat bulanan.

Sebagai contoh, berikut adalah Invois yang sampai kepada saya untuk web zaharuddin.net ini:

scannedinvoice

Melihat kepada jumlahnya, saya merasakan perlunya mengambil tindakan berbeza untuk menampung kos web ini.

Justeru, ruangan iklan berbayar (BARANGAN & PERNIAGAAN HALAL SAHAJA) di web saya akan dibuka sesiapa yang berminat. Iklan boleh dibuat bayaran bulanan.

Saiznya iklan yang saya cadangkan adalah sebesar ini gambar logo ukhwah topblog.
Dalam FORMAT GAMBAR JPG dan akan saya letakkan di bawah iklan buku-buku saya, dan disertakan link web anda juga. Sesiapa berminat, boleh menghantarnya ke tibyan2008@gmail.com , pertanyaan juga boleh dihantar ke sana. Pertanyaan hukum ke email tersebut TIDAK AKAN DILAYAN.

Tujuan utamanya agar mampu membantu tanggungan kos server di atas.

Jika ada yang ingin menyumbang terus, ia juga dialu-alukan.

Maybank Islamic

no akaun : 164017071347

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net

16 November 2008

Haji tanpa muhrim

November 15, 2008 at 8:04 pm | Posted in SOAL JAWAB | 1 Comment

SOALAN:

Apakah hukumnya apabila seseorang perempuan mengerjakan haji tanpa muhrim dan bolehkah dia mengerjakan haji bersama rakan-rakan perempuan lain. Adakah dia perlu menangguhkan hajinya sehingga ada muhrimnya berkemampuan untuk mengerjakan haji? Bila masanya tidak diketahui.

omekkah2

JAWAPAN:

wa’alaikumussalamAlhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, Insya-Allah.

Beikut kami ringkaskan fatwa Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi berkenaan dengan wanita keluar menunaikan Haji tanpa mahram :-

Prinsip didalam syariah adalah wanita tidak dibenarkan bermusafir berseorangan. Adalah wajib baginya ditemani oleh suami atau mahramnya. Peraturan ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan lain-lain dari Ibn ‘Abbas ra. bahawa Nabi bersabda :

لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم، ولا يدخل عليها رجل إلا ومعها محرم
“Tidak boleh seorang wanita bermusafir melainkan ditemani mahramnya, tidak boleh masuk keatasnya melainkan bersamanya mahram”

Asas kepada hukum ini bukanlah andaian buruk mengenai wanita dan akhlaknya sepertimana wujud dikalangan manusia yang mengatakan begitu, akan tetapi adalah kerana untuk menjaga reputasi dan kehormatannya. Larangan ini adalah untuk melindunginya dari keinginan mereka yang hatinya berpenyakit, atau diganggu oleh perogol ataupun pencuri. Malah, lebih-lebih lagi larangan berkuat-kuasa jika tempat yang ingin dilalui itu seperti padang pasir, dimana pada waktu tersebut tiada jaminan keselamatan dan juga pada tempat-tempat yang kurang pendudukannya.

Persoalannya, apakah hukum bagi wanita yang tidak mempunyai mahram untuk bersamanya didalam perjalanan yang syarie, samada wajib, mustahab (sunat) atau mubah (harus)? Pada masa itu pula terdapat sekumpulan lelaki yang dapat melindunginya, atau wanita-wanita yang dipercayai, atau jalan-jalan yang selamat. Para ulama’ telah menyelidiki hal ini setiap kali mereka berbicara mengenai kewajipan haji keatas wanita, dan mereka sentiasa beringat dengan larangan Nabi terhadap wanita yang bermusafir tanpa mahram.

1. Dikalangan mereka berpegang kepada hadith tersebut, dimana mereka melarang bermusafir tanpa mahram walaupun Haji adalah ibadat wajib, tanpa ada sebarang pengecualian.

2. Ada yang membenarkan wanita tua yang sudah melebihi umur yang terdedah kepada godaan, sebagaimana riwayat al-Qadi ibn al-Walid al-Yaji, dari Mazhab Maliki.

3. Ada juga dikalangan mereka yang membuat pengecualian jika terdapat wanita-wanita yang dipercayai bersamanya.

4. Ada juga pendapat yang menyebut dengan pengecualian perjalanan mesti selamat. Ini merupakan pandangan Syiekh al-Islam Ibn Taimiyyah. Beliau mengatakan bahawa Ibn Muflih didalam al-faru’ berkata : Setiap wanita boleh menunaikan Haji tanpa mahram selama-mana dia berada didalam keadaan selamat.

al-Artham meriwayatkan dari Imam Ahmad bahawa : Mahram bukanlah syarat didalam wajib Haji. Justifikasinya adalah : kerana jika dia keluar bersama wanita lain, dan bersama mereka dia telah berada didalam keadaan selamat.

Ibn Sirin berkata : Jika bermusafir bersama orang Islam maka adalah dibenarkan (La Ba’sa).

Al-Awzal mengatakan : dibenarkan jika bersama kumpulan yang adil.

al-Syafie mengatakan : bersama wanita yang thiqah (dipercayai).

Tujuannya adalah atas dasar mempertahankan dan melindunginya, dan dikuti dengan perjalanan yang selamat dan bersama lelaki yang dipercayai dan wanita.

Terdapat dalil yang membenarkan wanita bermusafir tanpa mahram dengan syarat terdapatnya keselamatan dan kehadiran mereka-mereka yang dipercayai. Sebagaimana yang dilaporkan al-Bukhari dimasa Haji terakhir Umar ibn al-Khattab ra. yang memberi izin isteri-isteri Nabi kebenaran menunaikan Haji. Beliau telah menghantar Uthman ra. dan Abdul Rahman Ibn Auf. Perbuatan ini dipersetujui oleh semua pihak.

Disini al-Qaradhawi meletakkan 2 kaedah tambahan :-

1. Asas hukum ini memfokuskan kepada maksud dan tujuan. Ini bertentangan dengan hukum ibadat, yang tujuannya memfokuskan kepada mentaati perintah Allah, sebelum menumpukan kepada maksud dan tujuan, sebagaimana yang dipegang oleh Imam al-Shatibi.

2. Perkara yang diharamkam tidak dibenarkan melainkan pada masa dalurat. Perkara yang dilarang pada masa tersebut dibenarkan. Tidak di sangsi lagi bahawa larangan wanita bermusafir tanpa mahram adalah bertujuan menutup pintu-pintu kejahatan.

Hendaklah kita melihat situasi bermusafir pada masa ini yang jauh berbeza pada zaman dahulu. Ia tidak lagi diliputi oleh bahaya diganggu di padang pasir, atau berdepan dengan pencuri, penyamun lebuhraya dsb. Pada amsa ini, permusafiran menggunakan kenderaan-kenderaan moden yang boleh membawa jumlah orang yang ramai pada satu masa, seperti kapal laut, kapal terbang, bas atau karavan. Malah ini menyediakan keyakinan dan kepercayaan, dan membuang perasaan takut dikalangan wanita, kerana dia tidak berseorangan dimana-mana tempat.

Malah kata al-Qaradhawi, dia tidak melihat sebarang tentangan kepada wanita melakukan Haji didalam lingkungan suasana yang selamat, yang menyediakan keperluan keselamatan.

sumber : http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528610316

=======

Malah Dr Soad Saleh, Professor Syariah Universiti al-Azhar menyebut bahawa syarat ditemani mahram adalah kerana keadaan perjalanan yang tidak selamat. Apabila wujud perkembangan yang positif (ciri2 keselamatan dan selamat perjalanan), maka dia lebih cederung kepada Mazhab Syafie dan Maliki yang meletakkan keizinan suami sebagai syarat jika di berkahwin, atau keizinan wali jika dia belum berkahwin. WA.

Sekian, wassalam

sumber: http://al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=34846&sid=0d849a9e776f15338dc3b09fb208c7d3

Tanda-tanda dunia kita mula terbalik

November 15, 2008 at 7:55 pm | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

pena-mufti-logoAda beberapa perkara menarik berlaku dalam minggu ini. Kejadian itu semua bolehlah disenaraikan dalam tanda-tanda ‘dunia sudah terbalik’. Antaranya demonstrasi bantahan terhadap fatwa pengharaman pengkid.

Saya kurang pasti adakah dalam dunia ini mana-mana agama yang mengizinkan penganutnya yang perempuan menyerupai lelaki atau sebaliknya sehingga ‘fatwa’ tersebut dianggap menjejaskan hak mana-mana agama? Apatah lagi jika hukum tersebut hanya ditujukan kepada umat Islam semata. Atau mungkin mereka merasakan bahawa hukum itu menjejaskan hak asasi manusia.

Saya pun hairan apakah termasuk dalam hak manusia untuk menukar jantina? Ya, pada kaca mata aliran liberal tanpa sempadan keagamaan atau keinsanan, mungkin itu satu hak. Atau ia dianggap hak asasi bagi manusia yang menggunakan nama Tuhan menghalalkan apa yang bercanggah dengan ciptaan Tuhan. Tetapi pada nilaian fitrah insani yang sejahtera perkara itu adalah satu pencemaran hak. Sama seperti jika ada kelompok yang menuntut hak untuk bertelanjang di jalanan atas alasan kebebasan. Hak yang seperti itu hanya mencemarkan hak orang lain yang akan terganggu dengan tindakan mereka dan merampas keselesaan ramai. Lebih daripada itu, ia terkeluar dari nilai insani yang normal. Maka pemerintah di mana-mana negara pun jika membenarkan satu hak dalam masalah seperti ini, akan mencemarkan hak pihak yang lain. Sudah pasti neraca dalam masalah ini adalah nilaian agama dan fitrah insani yang lurus. Jika dibenarkan wanita menjadi lelaki atau lelaki menjadi wanita, maka hak kaum lelaki atau wanita yang normal akan tercemar. Akan berlaku kekeliruan gender yang meluas dalam masyarakat. Lalu lelaki atau wanita normal sukar mencari pasangan yang sebenar. Akan berlaku kecurangan yang luar biasa apabila ada kelompok manusia yang mencari pasangan sesama jantina. Jika hal itu meluas, maka perkembangan masyarakat manusia juga akan tercemar disebabkan tidak mungkin ‘hubungan seks’ sesama jenis boleh melahirkan zuriat. Maka atas nama hak, apakah nanti kita mesti mengwujudkan tandas ‘pengkid’ atau ‘tandas saudarai’. Atau apakah pengkid boleh masuk ke tandas lelaki, atau ‘saudarai’ boleh ke tandas perempuan? Dunia akan terbalik nanti dan banyak kekalutan akan berlaku. Maka, tidak hairanlah jika Islam mengharamkan hal ini seperti hadis Ibn ‘Abbas yang saya sebutkan pada minggu lepas Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki (Riwayat al-Bukhari).

Cumanya, seperti yang saya nyatakan bahawa isu lelaki menyerupai perempuan tidak memerlukan sidang fatwa khas untuk mengeluarkan hukum mengenainya. Hukum yang seperti ini diketahui oleh sesiapa sahaja yang mempunyai walaupun sedikit asas pengetahuan agama Islam. Seperti yang saya nyatakan, yang agak peliknya, dalam fatwa yang dikeluarkan itu ditegaskan tentang haramnya wanita menyerupai lelaki, sedangkan fenomena yang bertebaran kelihatan di sana-sini adalah lelaki yang menyerupai perempuan. Sama ada pada gaya bahasa, gaya berjalan, atau lebih-lebih lagi ‘nafsu bercinta’. Wanita tiruan ini kelihatan dan kedengaran bukan sahaja di jalanan, tetapi juga di media massa; radio, televisyen dan akhbar. Mereka kelihatan mendapat lesen yang besar tanpa dipertikaikan oleh sesiapa. Tiba-tiba muncul fatwa yang menegaskan tentang ‘haram pengkid’ dan tidak pula menonjolkan tentang haram lelaki cuba menjadi wanita. Perkara-perkara yang seperti inilah yang menjadikan manusia bersalah sangka lalu menganggap sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh ‘insan-insan berjawatan’ itu mengambil kira soal kedudukan dan ‘keselesaan kerusi’ masing-masing. Ini semacam fatwa yang mengharamkan kanak-kanak bermain mercun kerana dikatakan membazir, tetapi dalam masa yang sama tidak pula mengharamkan mercun yang ratusan ribu ringgit yang dimainkan dalam berbagai-bagai keramaian atau tidak pula mengeluarkan fatwa mengharamkan pembaziran yang berlaku dalam pengurusan wang rakyat. Ini pun menunjukkan dunia kita memang nak terbalik..

Dalam celahan cerita wanita yang ingin menjadi lelaki, timbul pula kes kezaliman terhadap wanita di Kedah. Bagaimana seorang wanita mendakwa dirinya yang dizalimi oleh kecuaian Pejabat Agama. Dalam tempoh lapan tahun pihak Jabatan Agama tidak memberikan kepadanya surat cerai, tiba-tiba apabila beliau berkahwin dengan lelaki lain datang perintah mahkamah yang menyatakan perkahwinannya dengan suami yang kedua itu tidak sah dan dianggap ‘bersuami dua’. Ketika beliau berulang-alik ke Pejabat Agama meminta surat pengesahan cerai, mereka gagal memberikan kepadanya. Malangnya, apabila beliau berkahwin dengan suami yang kedua dan mempunyai dua anak, datang pula surat mahkamah syariah yang membatalkan perkahwinan dan menyuruhnya kembali kepada suami yang pertama. Hari ini beliau hidup penuh tekanan dan penderitaan jiwa. Jika benar dakwaan beliau, alangkah kejamnya pengurusan yang diberi nama agama ini. Dahulu saya pernah mencadangkan agar kita mengurus perkara-perkara halal dengan baik dan mudah serta membendung perkara- perkara haram agak menjadi rumit susah untuk mendapatkannya. Malangnya, hal ini tidak berlaku. Sehingga ada negeri yang memenjarakan sesiapa yang berkahwin di luar negerinya. Begitulah urusan perkahwinan disulitkan dengan berbagai-bagai ‘karenah pengurusan’ yang pelbagai. Sebahagiannya dijadikan bisnes dengan yuran yang menguntungkan. Lihat sahaja apakah sukatan dalam sesetengah kursus perkahwinan. Sementara kes talak tertangguh begitu banyak yang memakan masa bertahun-tahun. Ia menghalang wanita untuk berkahwin semula sedang tuntutan jiwa dan nafsu wujud apatah lagi bagi wanita muda. Mahkamah dengan mudah menangguhkan kes hanya kerana suami tidak datang walaupun sudah berkali-kali. Wanita-wanita yang dianiayai lelaki sebegini didera perasaan dan nafsu kelaminnya. Ini adalah kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan terhadap wanita.

Kuasa

Malang sekali, kes-kes yang seperti ini tidak diselesaikan dengan kuasa hakim. Hakim sepatutnya boleh diberi kuasa fasakh yang lebih jelas dan tegas kepada suami zalim dan tidak bertanggungjawab. Keengganan hadir ke mahkamah tanpa alasan yang diterima boleh dianggap sebagai sebab untuk perkahwinan dibatalkan. Dukacita, pihak pengurusan agama ini jika ditegur ada yang melenting. Padahal bukan sedikit kaum wanita yang menunggu bertahun-tahun untuk kesnya diselesaikan. Ini semua boleh menjadi faktor terdorongnya gejala maksiat akibat runtunan nafsu yang tidak dapat diluruskan secara yang kononnya dianggap ‘berdasarkan undang-undang syarak’. Di manakah keindahan syariat hendak dilihat jika dikendalikan seperti ini? Benarlah kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) yang selalu sayang ulangi: “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia- sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail). Sebab itu saya pernah mencadangkan agar pihak berkuasa agama menumpukan kepada penyelesaian kes-kes yang seperti ini daripada menumpukan ‘operasi mengintip’ maksiat di dalam bilik-bilik hotel yang belum tentu ada. Selesaikanlah kes yang jelas wujud dari disibukkan diri dengan perkara yang tidak pasti. Namun dunia agaknya sudah terbalik..

Bercakap soal keadilan, ada yang bersungut dengan keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis baru-baru ini yang memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibu bapanya kurang daripada enam bulan seperti berikut; “Anak yang lahir kurang daripada enam bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”. Keputusan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibn Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.

Maksud fatwa ini adalah seorang wanita yang berkahwin dan melahirkan anak sekalipun tempoh perkahwinannya kurang daripada tempoh enam bulan tetap boleh menasabkan (membinkan) anak yang dilahirkan kepada suaminya dengan syarat si suami tidak membantahnya. Sebabnya, di Malaysia, pihak pendaftaran enggan mendaftarkan anak orang Islam secara di’bin’kan kepada bapanya jika tempoh perkahwinan mereka kurang daripada enam bulan. Dalam erti kata lain anak tersebut dianggap ‘anak luar nikah’.

Hasil daripada peraturan ini maka ramai anak yang tidak dibinkan kepada bapa mereka. Lebih menyedihkan apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya. Ini merupakan satu tekanan kepadanya yang tidak berdosa dalam perkara tersebut sepanjang hayatnya. Pihak ibu bapa pula, amat sukar untuk menerangkan hakikat sebenar kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka ‘aib yang telah cuba ditutup. Di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibu bapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga. Atas keadaan tersebut maka, isu ini saya bincangkan dalam Fatwa Negeri Perlis. Kita sedar, adanya perbezaan pendapat di kalangan sarjana fekah dalam hal ini. Namun, setelah meneliti dalil-dalil syarak dan alasan-alasan para sarjana yang berbagai-bagai, maka keputusan tersebut dibuat. Antara dalil yang dijadikan asas perbincangan dalam kes ini adalah sabda Nabi saw: “Anak itu (nasabnya) kepada suami menyetubuhinya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini disebutkan oleh Nabi saw apabila berlaku perebutan nasab anak pada zaman baginda antara Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Abd bin Zam’ah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa saudaranya ‘Utbah bin Abi Waqqas memberitahu bahawa anak Zam’ah yang masih budak ketika itu sebenarnya adalah anaknya. Namun ‘Abd bin Zam’ah membantah dengan menyatakan itu ialah anak ayahnya Zam’ah yang mengahwini ibu anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaannya dengan menyatakan anak berkenaan begitu jelas menyerupai saudaranya ‘Utbah. Apabila kes ingin diangkat kepada Nabi SAW, baginda mendapati ternyata anak berkenaan jelas menyerupai ‘Utbah bin Abi Waqqas, saudara Sa’d. Namun baginda memutuskan anak itu ialah anak Zam’ah dengan bersabda: “Anak itu (nasabnya) kepada suami yang menyetubuhinya, sementara bagi perzinaan itu hanya kekecewaan (tiada hak yang dituntut)”. Daripada hadis ini dapat disimpulkan bahawa Rasulullah saw memberikan hak nasab kepada suami si isteri sekalipun anak itu ada kemungkinan anak zina. Juga hadis ini menunjukkan penyelesaian Nabi saw yang tidak ingin membongkar keburukan yang lepas. Jika baginda memutuskan kes seperti itu mesti diselidiki maka sudah pasti pelbagai keburukan peribadi akan terdedah dan menyebabkan keruntuhan kepada keluarga. Selagi mana si suami sendiri menerima anak itu adalah anaknya, maka tiada alasan untuk mereka yang tidak berkahwin secara sah dengan si ibu membuat tuntutan.

Bahkan di kalangan sarjana Islam ada yang berpegang bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa zinanya sekalipun jika wanita berkenaan tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina dengannya. Namun syaratnya mestilah wanita tersebut juga tidak berkahwin dengan lelaki lain seperti dalam kes hadis di atas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Lelaki dan wanita yang berzina jika bertaubat kepada Allah dan ingin keluar dari yang haram kepada yang halal, dari kehidupan yang dicemari kepada kehidupan yang bersih, berubah kehidupan mereka dari zina yang haram kepada persetubuhan yang halal, maka perkahwinan mereka sah dengan ijmak (sepakat tanpa kecuali seluruh para mujtahid)…beberapa tokoh fekah salaf; ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Rahuyah dan selain mereka berpendapat harus dinasabkan anak zina kepada bapa zinanya jika wanita berkenaan tidak pernah berkahwin (selepas itu). Pendapat ini disokong oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan muridnya Ibn al-Qayyim”. (lihat: islamonline.net). Namun, keputusan Fatwa Perlis hanya membincangkan tentang keharusan menasabkan anak kepada suami sekalipun perkahwinan itu kurang daripada enam bulan. Dengan itu maka mereka yang terlibat dalam perzinaan lalu bertaubat dan berkahwin, anak yang dikandung bolehlah dinasabkan kepada si suami sekalipun baru berkahwin dengan syarat tiada bantahan daripada suami.

Antara kebaikan fatwa ini; ia menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat. Juga menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurangan tempoh perkahwinan serta membantu ibu bapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.

Ada yang kata; fatwa ini menggalakkan orang berzina. Saya kata tidak sama sekali; ia memberi orang bertaubat dan menyelamatkan maruah anak yang tidak berdosa. Yang menggalakkan maksiat adalah adegan-adegan panas dalam media, juga pengurusan yang menyusahkan kahwin dan talak. Fikiran anda jangan terbalik!

sumber:  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Seekers of Truth- Yusuf Estes Q &A

November 14, 2008 at 4:04 am | Posted in video | Leave a comment

Part 1

Part 2

Next Page »

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.