Isu Musawah

February 24, 2009 at 1:01 pm | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

Isu musawah atau kesamarataan antara jantina kembali diperkatakan. Terkini, Sister In Islam (SIS) menganjurkan satu forum untuk membincangkan isu ini secara lebih serius. Antara topik perbincangan ialah: poligami, pembahagian harta pusaka, dan kuasa menceraikan pasangan.

Kumpulan ini mempertikaikan kenapa lelaki dibenarkan mempunyai lebih daripada seorang isteri dalam satu-satu masa, sedangkan wanita tidak? Kenapa dalam faraidh, pewaris lelaki mendapat sekali ganda bahagian harta, berbanding pewaris wanita dalam sesetengah keadaan? Dan kenapa hanya lelaki diberi hak menjatuhkan talak, tidak kepada perempuan? Selain yang tersebut, ada beberapa lagi isu yang diketengahkan.

Apakah benar hukum-hakam tersebut bercanggahan dengan prinsip keadilan Islam? Bagi orang yang beriman, sudah tentu jawapannya tidak. Malahan, ketetapan hukum tersebut sebaliknya menjadi bukti keadilan Islam dan kesesuaian ajaran syariat untuk sepanjang zaman. Sama-sama kita telusuri keindahan ajaran Islam dalam salah satu isu yang dibangkitkan, iaitu poligami.

Poligami

1. Perlu dijelaskan awal-awal bahawa dalam Islam, hukum poligami secara dasarnya ialah harus tanpa ada perselisihan. Hukum ini dinaskan dalam Quran, hadis, dan dinukilkan ijmak para sahabat, tabien, dan seluruh ulama sepanjang zaman.

2. Sebelum kedatangan Islam, ada kelompok manusia yang mengamalkan poligami tanpa had. Dan ada pula kelompok yang mengamalkan monogami dengan mengharamkan mempunyai lebih seorang isteri. Islam datang dengan keadilan, iaitu tidak mengharamkan poligami secara total, tetapi tidak juga membenarkannya tanpa kawalan. Islam menghadkan kepada bilangan 4 isteri sahaja. Disamping mestilah mencukupi syarat-syaratnya.

3. Semua percaya bahawa sesetengah lelaki mempunyai nafsu yang agak kuat. Sedangkan seorang isteri dalam sesetengah keadaan tidak mampu melayan kemahuan suami, terutama ketika hamil, haidh, melahirkan anak, monopaus awal, dan bermacam-macam halangan lagi. Jika dihalang lelaki ini daripada berkahwin seorang lagi, mungkin akan terjerumus dalam maksiat seperti zina dan liwat.

4. Kaum lelaki lebih terdedah kepada kematian berbanding wanita. Sebab kaum lelaki yang biasa dan berkemampuan meredah bukit bukau, melombong galian, merentas sungai dan laut, dan berbagai-bagai perkerjaan yang terdedah kepada ancaman nyawa. Begitu juga apabila berlaku peperangan, kaum lelaki akan berkurangan secara drastik. Dalam Perang Dunia Ke-II, lebih 20 juta lelaki terkorban. Dalam masa yang sama 20 juta wanita menjadi balu. Fenomena ini mengakibatkan kaum wanita lebih ramai berbanding lelaki. Bagaimana kita dapat menyelesaikan masalah wanita-wanita yang berlebihan, yang tidak ada suami? Salah satu caranya ialah poligami.

5. Selepas tamat Perang Dunia Ke-II, wanita-wanita Jerman telah mengadakan demontrasi besar-besaran meminta dibenarkan poligami. Akhirnya Kerajaan Jerman meminta bantuan Universiti Al-Azhar untuk menceduk sistem poligami dalam Islam agar dapat dilaksanakan di Jerman.

6. Muktamar Pemuda Sedunia yang diadakan di Jerman pada 1948 mengusulkan agar poligami dibenarkan bagi mengatasi masalah lebihan wanita dan kekurangan lelaki. Ini adalah contoh penerimaan orang bukan Islam terhadap ajaran poligami kerana bertepatan dengan fitrah dan keperluan.

7. Rata-rata setiap insan inginkan zuriat. Tetapi adakalanya, seorang isteri tidak mampu melahirkan anak samada kerana sakit atau mandul. Dalam situasi seperti ini, Islam tidak membiarkan lelaki ini menjadi mangsa keadaan. Dibenarkan berkahwin lain bagi mencapai keinginan mempunyai zuriat. Tidakkah cara berpoligami lebih baik, berbanding jika lelaki itu menceraikan isterinya yang malang, kemudian berkahwin lain?

Kesimpulannya, kalau kita menggunakan akal secara waras, kita pasti dapat melihat keindahan Islam dan keadilan Allah dalam ajaran poligami. Sekaligus, terserlah kedangkalan hujah kelompok manusia yang mempertikaikan ajaran syariat. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita dan mereka.

sumber: http://abuumair1.wordpress.com/2009/02/15/isu-musawah/#more-1106

Advertisements

BOIKOT: PREJUDIS, PERSEPSI ATAU SIKAP SENDIRI?

February 22, 2009 at 3:45 am | Posted in FIKRAH ajimoni | Leave a comment

Boikot atau tidak? Itu mungkin persoalan yang telah lama berlegar dikaki minda sesetengah umat islam yang kelihatan agak bingung memikirkan isu ini. Pelbagai medan perbincangan serius diwujudkan dengan pelbagai nada panas mahupun suram telah menyentap minda umat Islam. Wujudnya pro dan kontra terhadap kempen boikot ini menambah lagi gulana hati umat Islam. Namun, majoriti agamawan menyeru ke arah pendekatan jihad ekonomi dengan menyokong kempen boikot ke atas produk keluaran Amerika Syarikat (AS) dan juga Yahudi. Penulisan ringkas ini cuba menilai secara adil isu ini disamping cuba melontarkan buah pandang yang mungkin bermanfaat untuk difikirkan meskipun tidak diguna pakai.

Beberapa sarjana dunia Islam seperti Dr Yusuf Al-Qardhawi menyeru umat islam memboikot produk Israel bagi memberi tekanan ekonomi terhadap rejim zionis. Menurut Dr. Hussein Shihata, Professor Ekonomi Islam, dari Fakulti Perdagangan di Univerisiti al-Azhar, jihad ekonomi bertujuan melemahkan ekonomi Zionist, gerakan anti Islam dan sekutu-sekutunya serta pada dalam masa yang sama mengukuhkan ekonomi negara Arab dan orang Islam bagi menjadikan mereka berdikari didalam ekonomi mereka. Menurut sebuah laman web yang menyokong kempen boikot ini, keberkesanan kempen boikot ini boleh dinilai dengan kejatuhan sebanyak 60% jualan produk minuman Coca-cola di Asia Barat dan kemunculan minuman ZamZam Cola keluaran syarikat Iran mula mendapat perhatian dipasaran. Makanan segera seperti McDonalds juga merasa kesan yang serius apabila ada cawangan mereka yang terpaksa ditutup sehingga ada cadangan supaya nama McD ditukar kepada nama yang lain. Kejayaan ini membuktikan kempen boikot oleh hampir 1.3 billion umat islam merupakan salah satu kuasa yang mampu menganggu gugat ekonomi mana-mana syarikat besar dunia.

Kita telah dihidangkan dengan contoh yang memiliki angka dan statistik yang begitu ampuh dan meyakinkan, namun bagaimana kesannya pada ekonomi umat islam? Melihat kesan dari sudut yang kecil seperti Malaysia, ramai yang sedar atau mungkin terlepas pandang tentang nasib puluhan ribu umat islam yang turut sama bernaung di dalam syarikat yang tersenarai dalam siri kempen boikot ini. Jika ingin dikecilkan skop kepada syarikat makanan segera yang berkonsepkan francais seperti KFC, McDonalds dan juga Pizza Hut, dianggarkan ada 30 000 ribu rakyat Malaysia yang bekerja di bawah syarikat terbabit dengan anggaran jumlah gaji tahunan mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun. Jika kempen boikot ini berjaya sehingga menenggelamkan syarikat terbabit, ke manakah hala tuju sejumlah mereka itu? Adakah sejumlah besar mereka itu yang majoritinya Melayu Islam mampu meneruskan survival hidup tatkala dunia berhadapan dengan krisis ekonomi hasil dari kelembapan ekonomi AS?

Melihat prospek peluang pekerjaan di Malaysia ketika ini, terdapat 16 000 peluang pekerjaan yang diiklankan seperti yang dinyatakan oleh Datuk Subramaniam, Menteri Sumber Manusia. Namun semenjak 1 Januari 2009, dianggarkan lebih kurang 10 000 orang telah kehilangan pekerjaan kesan daripada kelembapan ekonomi dunia. Jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan apabila masih terdapat pengumuman beberapa syarikat yang akan menutup kilang-kilang mereka. Terbaru, Syarikat Panasonic Corp mengumumkan akan menutup kilang komponen elektronik di Melaka dan menggabungkan dua kilangnya di Selangor. Menurut jurucakapnya, Akira Kadota, penutupan itu menyebabkan pemberhentian kira-kira 500 pekerja. Mengambil kira perkembangan semasa dan melakukan perkiraan mudah, beberapa persoalan wajar dihadam seperti adakah ekonomi Malaysia mampu menyerap kesan daripada hasil boikot ini jika ia berjaya? Jika di Palestin rakyatnya dibunuh dengan kejam tanpa sikap belas kasihan, mungkinkah di Malaysia akan mencetuskan suasana baru di mana berlakunya krisis ekonomi yang teruk dikalangan rakyat sehingga mendesak sesetengah daripada mereka nekad melakukan kerja yang bercanggah dengan undang-undang? Mungkinkah juga akan berlaku krisis pendidikan apabila ada dikalangan ibu bapa yang sudah tidak mampu lagi menyekolahkan anak-anak mereka?

Terdapat pandangan jangka masa panjang yang dilihat lebih agresif namun disifatkan terancang berkaitan kempen boikot namun memerlukan komitment yang tinggi daripada pihak pemerintah. Kerajaan wajar memulakan satu dasar polisi baru di mana setiap syarikat atau pelabur baru yang ingin melabur di Malaysia perlu mengistiharkan ia bebas daripada sebarang aktiviti yang menyumbang atau menyokong keganasan seperti pengganas rejim Zionis. Dasar ini penting bagi menghalang kemasukan syarikat yang berkepentingan Zionis agar tidak menyukarkan kempen boikot bagi jangka masa panjang. Kerajaan juga perlu mewujudkan sebuah badan yang bertindak sebagai entiti bebas bagi menyiasat kebenaran dakwaan sesetengah pihak terhadap beberapa syarikat asing seperti dari AS yang menyalurkan dana kepada zejim Zionis. Jika terbukti benar dakwaan itu, kerajaan perlu menyekat sebarang bentuk pelaburan baru syarikat terbabit seperti pengiklanan di media massa dan juga pembukaan cawangan baru di dalam Malaysia. Tindakan ini akan memberikan tekanan yang hebat kepada syarikat terbabit namun dalam masa yang sama masih lagi melindungi nasib pekerja yang bernaung di bawah syarikat itu. Skim tawaran kerja wajar diberikan kepada mereka yang berkerja di bawah syarikat yang terbukti menyalurkan dana kepada rejim Zionis bagi memberi mereka peluang dan ruang pekerjaan yang baru sebelum langkah yang lebih agresif diambil kepada syarikat terbabit. Skim ini tidak mustahil untuk dilaksanakan jika wujud kerjasama diantara pihak kerajaan dan juga syarikat swasta tempatan yang prihatin terhadap isu di Palestin. Kewujudan premis-premis baru perniagaan wajar dikembangkan bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat Malaysia. Tekanan yang hebat seperti ini mampu memberikan impak yang cukup besar pada syarikat terbabit dan secara tidak langsung melumpuhkan perkembangan ekonomi syarikat itu dalam jangka masa panjang.

Selain daripada kempen memboikot produk dari AS dan negara Yahudi, masih terdapat beberapa pandangan yang releven dan dilihat mampu memberikan tekanan kepada AS selaku tulang belakang kepada gerakan rejim Zionis. Negara Malaysia banyak bergantung pada matawang Dollar dalam urus niaga luar negara, kesannya ekonomi Malaysia dilihat banyak bergantung pada kestabilan matawang negara “Uncle Sam” itu. Kerajaan harus bersikap proaktif dengan menimbang semula penggunaan matawang Dollar dan mula melihat alternatif lain seperti penggunaan matawang Euro yang dilihat lebih stabil atau kembali merencanakan semula idea “Dinar Emar” yang dipopularkan oleh mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir. Idea asal penggunaan Dinar Emas ini mula dipelopori pada tahun 1983 oleh Profesor Omar Ibrahim Vadillo. Ketika itu dikhabarkan idea ini sangat popular dikalangan negara Eropah, namun kurang diketahui oleh masyarakat Islam. Pada tahun 2002, ia kembali bersifat populis apabila Tun Dr Mahathir komited untuk menjadikan Dinar Emas sebagai pembayaran dua hala Malaysia dengan rakan-rakan dagangnya. Kini idea Dinar Emas dilihat gagal apabila tiada kesinambungan untuk meneruskan agenda ini apabila tampuk kerusi yang memerintah bertukar tangan. Jika kempen boikot matawang Dollar ini berjaya direalisasikan, pastinya ekonomi AS menjadi semakin parah apabila matawang Dollar semakin kurang diguna pakai dan akhirnya mendesak pihak pentadbiran White House kembali memikirkan semula polisi luar negaranya yang sebelum ini sentiasa bersifat berat sebelah terutamanya apabila melibatkan isu umat Islam di Palestin.

Sikap umat islam di Malaysia harus berubah dengan tidak hanya bertindak berdasarkan sikap prejudis atau bergantung pada persepsi sahaja, ia harus bertindak melalui sikap sendiri yang mana mampu berfikir secara kritis dan adil apabila berhadapan dengan sesuatu isu. Sesetengah daripada kita hanya tahu mengikuti kempen boikot tanpa berfikir panjang tentang pro dan kontra isu ini. Ada juga yang memiliki pemikiran satu hala yang mana sentiasa menganggap dirinya berada pada landasan yang betul. Manusia sebegini tidak memiliki ruang untuk menerima kritikan dan pandangan orang lain. Kempen memboikot memang mudah untuk dilafazkan secara teori semata, namun pada hakikatnya ia memberikan kesan yang berangkai dan pelbagai. Tindakan memboikot secara melulu tanpa melakukan perancangan dan kajian terlebih dahulu bukan hanya akan melumpuhkan ekonomi Yahudi, tetapi juga memberikan impak yang negatif pada mereka yang tidak berkepentingan. Oleh itu, jika kita mahu memboikot, lakukanlah dengan rasional, bukan dengan emosional!

-ajimoni-

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.