SATU MALAYSIA: Satu Analisa

April 21, 2009 at 4:43 am | Posted in FIKRAH ajimoni | Leave a comment

Setelah lebih 50 tahun Malaysia merdeka, pemimpin negara masih lagi berjuang memperkenalkan pelbagai slogan dan kaedah bagi memupuk perpaduan dikalangan rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama. Terbaru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan konsep ‘Satu Malaysia’ yang bermotokan ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Umun sedia maklum, konsep ini diperkenalkan bagi mewujudkan satu uniti baru dikalangan masyarakat majmuk di bawah satu nama, Satu Malaysia. Sinisnya, tatkala konsep ini sedang sibuk dipromosikan oleh media perdana, kedengaran sumbang suara manyamakan konsep ini dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan oleh parti Democratic Action Party (DAP). Namun omongan kosong ini mudah ditangkis, parti United Malays National Organization (UMNO) mana mungkin menggadaikan sifat ultra-Melayunya dalam soal kepimpinan negara. Sifat ini paling menebal dan hanya sekuat mampu dilonggarkan, itu pun akan mendapat tentangan hebat dari golongan konservatif dalam parti itu.

Antara kegagalan utama kerajaan Barisan Nasional dan mungkin kerajaan hampir diseluruh dunia adalahmemecahkan blok-blok pemikiran berlandaskan perkauman dikalangan rakyat dan pemimpin politik. Negara yang mendakwa dirinya sebagai paling bertamadun juga masih gagal memecahkan blok perkauman, buktinya masih berlaku sikap prejudis dan penindasan ke atas warganya yang berkulit hitam. Kemenangan Mubarrak Hussein Obama? Itu kenyataan yang masih boleh dipertikaikan jika dinilai dari sudut pilihan, keterampilan, dan strategik politik ketika pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) berlangsung. Memikirkan penyelesaian kepada isu ini dalam konteks negara Malaysia, Perdana Menteri (PM) Malaysia ke-6 kelihatan begitu optimistik dalam memperkatakan tentang konsep ‘Satu Malaysia’. Konsep ini pada pengamatan awal diharap sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jurang jika pun gagal memecahkan blok-blok pemikiran yang berlandasan perkauman. Namun, kepimpinan baru ini perlu berani tampil dengan idea-idea baru walaupun ia mungkin akan mencantas imej lapok mereka sebagai pejuang satu ‘bangsa’.

Antara perkara awal yang wajar dilakukan untuk merealisasikan konsep ini adalah kembali di’tajdid’kan media rasmi milik kerajaan. Media ini tidak hanya berkisar media milik UMNO seperti Utusan atau Radio Televisyen Malaysia (RTM), tetapi juga media-media di bawah penguasaan parti-parti politik yang lain. Apa yang perlu ditajdidkan adalah kaedah penyampaian, interpretasi berita, fokus utama berita, dan ketelusan maklumat. Masalah utama media milik parti-parti politik adalah terlalu membicarakan segala isu dalam kukun bangsa yang diwakilinya seperti survival bangsa, betapa bangsanya terancam, bangsanya yang ditindas, bangsanya dilayan seperti kelas ke-2, bangsanya yang dipinggirkan, dan sebagainya. Masalah ini tidak hanya berlaku pada media milik UMNO seperti Utusan Melayu, ia juga berlaku pada media milik parti Malaysian Chinnese Association (MCA) dan lain-lain parti politik. Imej lapok dan konservatif ini perlu kembali dicorakkan dengan imej baru yang mana media bercakap tentang survival masyarakat Malaysia tanpa perlu memfokus pada mana-mana bangsa atau kaum tertentu. Media juga perlu hadir sebagai wacana ilmu yang membicarakan isu kemiskinan, ekonomi, budaya dan sosial merentasi sempadan bangsa.

Melayu, Cina dan India adalah berbeza, mana mungkin boleh duduk pada kerusi yang sama? Silapnya media selama ini adalah apabila terlalu memperbesarkan isu berbezaan namun kurang menekankan persamaan yang dikongsi bersama. Sering kali yang menjadi tajuk utama media adalah betapa putihnya bangsa kita, dan betapa hitamnya bangsa lain. Kita terlalu menekankan betapa sucinya adat dan budaya kita, sehingga kadangkala menimbulkan perasaan bahawa Malaysia ini hanya wajar dilihat pada satu identiti bangsa sahaja. Media sewajarnya meraikan persamaan yang dikongsi setiap insan tanpa mengira bangsa atau agama. Setiap insan berkongsi banyak persamaan tanpa perlu diketahui bangsanya, agamanya, atau ideologi politiknya. Betapa insan ini berkongsi sifat mencintai keamanan, memusuhi kezaliman, berbelas kasihan, tolong-menolong, saling menghormati, dan pelbagai lagi persamaan yang sewajarnya diraikan bersama. Jika yang ditonjokan itu betapa kita dan yang lain itu berbeza, maka sukar untuk kita bertemu persamaan hatta pada satu titik.

Jika media boleh dilakukan perubahan atas kapasiti empunya milik, namun cabaran terbesar dalam memecahkan blok-blok pemikiran perkauman ini adalah mengubah cara fikir masyarakat Malaysia. Tajdid fikir ini memerlukan kempen yang hebat dan juga berteruskan agar pemikiran masyarakat Malaysia sentiasa bersedia melakukan sebarang perubahan dan anjakan paradigma. Perubahan ini melalui 3 fasa utama iaitu cara melihat sesuatu isu, cara berfikir, dan tindakan. Bermula dengan fasa pertama iaitu cara melihat sesuatu isu, ia lebih kepada satu bentuk andaian awal terhadap sesuatu. Berbicara dalam konteks hubungan antara kaum, setiap anggota masyarakat harus mempunyai sifat bersangka baik dan tidak prejudis terhadap mereka yang tidak sebangsa. Realiti masa kini, hubungan kaum di Malaysia tampak baik, namun itu hanya saduran kerana persepsi negatif dan sikap prejudis pada bangsa lain masih dominan menguasai masyarakat di Malaysia. Fasa kedua pula terarah kepada cara kita berfikir dalam menilai sesuatu isu atau permasalahan. Cara fikir lama yang beku seperti berfikir hanya pada kepentingan bangsa sendiri harus segera diluputkan, ia harus berfikir mewakili masyarakat Malaysia secara keseluruhannya tanpa perlu dibatasi pada mana-mana sempanan bangsa. Cara fikir ini selari dengan fikrah Islam yang menyeru umatnya berlaku adil hatta pada masyarakat bukan Islam. Fasa ketiga dan yang terakhir iaitu tindakan yang mencerminkan hasil fasa-fasa tajdid fikir sebelumnya. Kejayaan fasa-fasa sebelumnya akan dinilai pada kaedah dan pelaksanaan tindakan yang diambil. Penilaian itu boleh bersandarkan pada jawapan bagi soalan-soalan berikut, Apakah masih ada bantuan hanya pada bangsa tertentu atas kapasiti bumiputera tanpa mengira kelayakkannya? Apakah masih wujud sikap hanya membantu rakan peniaga yang secerah warna kulitnya? Apakah masih berlaku tuntutan-tuntutan luar biasa atas alasan dirinya tertindas?

Kesemua hal yang direncanakan ini adalah satu usaha ke arah membina masyarakat Malaysia yang berteraskan konsep ‘Satu Malaysia’. Segala usaha yang menyeru ke arah pembaikan sistem sosial dan masyarakat seharusnya disambut baik oleh semua pihak tanpa perlu dipandang sinis. Ini kerana jatuh dan bangunnya negara ini, semua dari kita bertanggungjawab ke atasnya. Jika Malaysia itu ingin dimetaforakan sebagai bangunan, maka pemimpin adalah arkitek dan rakyat adalah pembinanya. Apa guna jika kita miliki pelan terbaik jika kita gagal membinanya.

Oleh: ajim
http://www.ajimtajdid.blogspot.com

Blog Tajdid Fikir

April 21, 2009 at 4:32 am | Posted in IKLAN | 1 Comment

untitled1

Sila click pada gambar

Mengapa Rakyat Tidak Puas Hati ?

April 21, 2009 at 4:30 am | Posted in ARTIKEL | 1 Comment

Ketika saya menulis artikel ini, saya sekali lagi dalam perjalanan ke Prague, Republik Czech. Kali ini saya akan bertemu dengan sejumlah besar bakal doktor perubatan negara kita. Minggu lepas saya di Doha dan Dubai bertemu dengan orang-orang Malaysia yang sudah hidup selesa hasil limpahan kekayaan dua negara Teluk tersebut. Mereka kebanyakannya professional muslim.

Namun sepanjang pengamatan saya kebanyakan professional ini menyimpan perasaan tidak puas hati, bahkan mungkin ke peringkat ‘benci’ terhadap politik negara, terutama tingkahlaku ramai individu dalam parti kerajaan yang berkuasa. Demikian juga sepanjang saya bertemu dengan para pelajar luar negara terutama di peringkat pengajian tinggi Ph.D.

Barangkali pendedahan mereka kepada fakta dan dunia menjadikan mereka begitu kritis. Saya cuba amati apakah di sebalik ketidakpuasan itu? Maka saya mengharapkan ruangan Mingguan Malaysia atas dasar kebebasan media dan juga kebaikan untuk kerajaan itu sendiri akan terus mengizinkan saya bercakap benar dalam ini.

Sehari dua ini telefon bimbit dan email saya dipenuhi mesej daripada rakyat Malaysia daripada berbagai lapisan yang mengulas tentang pembentukan kabinet baru. Bermacam curahan perasaan dan ulasan dihantar kepada saya agar dapat saya melontarkan pandangan melalui media cetak atau dunia maya. Saya sebenarnya telah pun melontarkan pandangan tentang pembentukan kabinet sebelum ini.

Saya cadangkan dalam menangani suasana politik yang ada, selain daripada memastikan anggota kabinet terdiri daripada mereka yang telus dan mempunyai rekod yang bersih, dilantik juga beberapa anggota pembangkang yang berkemampuan memegang beberapa kementerian, atau sekurang-kurangnya sebagai timbalan menteri. Ini tentu mempunyai unsur kejutan dan menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk bersikap telus dan berkongsi inspirasi rakyat. Tidak memerlukan kerajaan campuran.

Berbalik kepada kehendak rakyat, apakah sebenarnya kehendak rakyat? Samada seseorang rakyat itu sedar atau tidak, ilmu IR (International Relations) menyebut ada lima nilai asas sosial (basic social values) yang rakyat harap negara atau kerajaan menjaminnya untuk mereka. Perkara-perkara tersebut adalah security (keselamatan), freedom (kebebasan), order (peraturan), justice (keadilan) dan welfare (kebajikan). Sebagai muslim saya mungkin menambah penegakan Islam sebagai prinsip dalam mengawal asas-asas tersebut.

Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 55: (maksudnya)

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah (yang memegang kuasa pemerintahan) di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan mengukuhkan agama mereka (Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan untuk mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa yang kufur sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

Apabila asas-asas ini hilang, samada kesemua atau sebahagian daripadanya, maka kita akan melihat kegusaran rakyat dan tidak puashati yang akan kedengaran di sana-sini. Di saat itu, mana-mana sahaja gerakan yang cuba menyeru kembali kepada asas-asas ini samada dalam bahasa kampung atau bandar, maka rakyat akan menyokongnya. Rakyat awam itu mungkin tidak tahu secara akademik tentang asas-asas ini, tetapi perasaan dan naluri kerakyatan mereka itu sentiasa menuntut agar asas-asas ini dijamin untuk mereka. Lebih tinggi pengetahuan dan pendedahan ilmu yang dimilki oleh seseorang rakyat akan menjadikan mereka lebih sensitif tentang asas-asas ini.

Mari kita lihat keperluan asas-asas ini bagi kehidupan rakyat dalam sebuah negara, sebelum melihatnya di sudut antarabangsa. Rakyat sesebuah negara inginkan keselamatan mereka terjamin dari ancaman samada luar ataupun dalam. Mereka perlukan keselamatan negara yang kukuh dan kerajaan yang teguh. Keselamatan harian juga mesti terkawal.

Malaysia kini jenayah saban hari meningkat. Rakyat hidup dalam ketakutan terhadap nyawa dan harta benda mereka. Pembunuhan, penyeksaan, rompakan, kecurian dan berbagai lagi jenayah yang mengancam keselamatan rakyat. Kedai dan kediaman selalu menjadi sasaran rompakan dan kecurian. Ini menyebabkan rakyat merasakan kerajaan tidak teguh dan gagal berfungsi dengan baik. Apatahlagi jika kepercayaan rakyat terhadap pihak keselamatan juga tergugat.

Kemudian, selain kemerdekaan negara, rakyat perlukan kebebasan dalam kehidupan. Hak-hak asas mereka dalam kepercayaan, pemilikan, pendidikan, pendapat dan seumpamanya hendaklah terjamin. Memang, kebebasan ada hadnya sesuai dengan norma dan prinsip yang dipegang oleh sesebuah negara, jika tidak rosaklah keadaan. Namun had tersebut hendaklah ditetapkan atas kepentingan negara, bukan individu politik yang berkuasa.

Apabila kebebasan asas mereka dirampas, rakyat akan melihat kerajaan sebagai musuh, bukan sebagai pelindung. Demikian rakyat harapkan peraturan dan keadilan agar berfungsi secara baik dan saksama. Peraturan yang baik hendak teguh dan berfungsi serta berjalan untuk semua secara tidak berat sebelah. Layanan untuk setiap rakyat hendaklah adil. Jangan ada yang terlepas dari peraturan atau undang-undang yang ditetapkan disebabkan kedudukan dan politik. Tiada sultan atau raja atau penguasa politik yang boleh mengatasi undang-undang dan peraturan yang disepakati. Jangan ada yang naik pangkat atau mendapat sesuatu pemberian daripada kerajaan tanpa mengikut peraturan.

Di sudut undang-undang, setiap pesalah hendaklah dihukum secara adil tanpa berat sebelah ataupun zalim. Apabila kecacatan ini berlaku, kepercayaan rakyat akan hilang dan mula menganggap kerajaan sebagai tidak amanah dan tidak adil. Seterusnya rakyat mengharapkan kerajaan menjamin kebajikan mereka. Kerajaan hendaklah berusaha meletakkan polisi yang baik memboleh rakyat hidup dengan selesa di sudut ekonomi dan keperluan asas kehidupan di zaman kini. Kerajaan mesti menyuburkan perkembangan ekonomi, memberikan peluang yang saksama, mengatasi kemiskinan, menjamin keperluan asas rakyat seperti pendidikan dan perubatan terutama bagi yang tidak berkemampuan. Begitu seterusnya.

Seperti yang saya nyatakan bahawa sebagai seorang muslim sudah pasti saya ingin melihat asas-asas ini ditegakkan atas prinsip yang syumul lagi mendapat keberkatan. Islam yang adil itu menjamin asas-asas ini sekalipun untuk mereka yang bukan muslim. Kecacatan meletakkan Islam sebagai prinsip kerajaan bagi sesebuah negara yang majoritinya umat Islam akan menimbulkan rasa tidak puas hari rakyat muslim terhadap kerajaan mereka.

Hendaklah kita sedar, majoriti umat Islam di negara-negara mereka di seluruh dunia mahukan Islam menjadi prinsip dan asas pembentukan negara. Hakikat ini dirumuskan oleh John L. Esposito setelah membuat bancian dan kajian tentang hal ini di seluruh negara-negara umat Islam. Beliau nyatakan kesimpulan ini dalam bukunya ‘Who Speaks For Islam’.

Bertitik tolak dari pokok pangkal ini, maka jika rakyat kurang atau tidak puas hati dengan sesebuah pemerintahan, maka kerajaan tersebut hendaklah menyemak dirinya tentang asas-asas tersebut apakah telah dijamin dengan baik atau ada kecacatan yang jelas. Jika asas-asas itu dibaiki sehingga rakyat kembali selesa dan merasai fungsi kerajaan menjaminnya untuk mereka, saya percaya kerajaan dengan mudah akan dapat memenangi perasaan rakyat.

Juga hendaklah sesebuah kerajaan seperti negara kita sedar bahawa dunia moden hari ini menyebabkan sesebuah kerajaan sukar menyembunyikan lagi kesalahan dan kecacatannya. Pencerobohan ke atas asas-asas ini akan tersebar dengan pantasnya dan menjadi perbualan dan tidak puashati rakyat. Jika ia berlarutan ia menjadi barah dendam yang tidak dapat diubati lagi.

Saya mungkin tidak ingin mengulas anggota-anggota kabinet kerajaan kita yang baru, tetapi saya ingin bertanya atau mengharapkan mereka dapat memastikan asas-asas ini dijamin untuk rakyat. Jika tidak, perasaan tidak puashati itu tidak dapat diubati dengan sekadar lautan slogan dan janji.

sumber: http://drmaza.com/home/?p=587

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.