Catur, X-Box, Play Station : Hukum

June 30, 2009 at 7:38 am | Posted in SOAL JAWAB | Leave a comment

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net 

Apakah hukumnya bagi seseorang yang bekerja sebagai seorang pereka grafik @ animasi untuk permainan komputer @ yang terlibat dalam pembikinan games itu sendiri?  Apakah hukum bermainnya pula?. Adakah pekerjaan tersebut dikira sebagai haram dilaksanakan kerana secara asasnya, permainan komputer kadang-kala melekakan pemainnya? adakah pereka games tersebut menanggung dosa pemain tersebut sekiranya mereka bermain sehingga meninggalkan solat, sebagai contoh?

Jawapan

Bagi memberikan jawapan dalam hal ini, pertamanya kita perlu menentukan terlebih dahulu APAKAH HUKUM PERMAINAN GAMES ITU SENDIRI?, hanya selepas itu kita mampu mengetahui hukum individu yang bekerja dalam pembikinannya.

Bagi mengetahui hukum sesebuah permainan, saya suka untuk merujuk kepada perbahasan ulama dalam bab hukum bermain catur. Benar, di zaman silam tiada play station 3, x-box, wii-games dan yang sepertinya, antara permainan yang ada serta mempunyai beberapa persamaan adalah catur . Justeru saya meyakini dengan memahami hukum catur, kita akan dapat menentukan sikap terhadap permainan moden yang disebut tadi, dari sudut asasnya.

Saya tidak ingin mengulas terlalu panjang lebar dan terlalu ilmiah sambil menyertakan perdebatan ulama berkisar hukum bermain catur, cukuplah saya menghidangkan ringkasan sahaja. Secara umumnya di dalam perbincangan hukum permainan catur, ilmuan Islam berbeza kepada tiga jenis pendapat :-

1)    Harus : Namun Dengan Syarat

 

Antara yang paling diketengahkan dalam kumpulan ini dari kalangan ulama kontemporari adalah Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi. Beliau juga menyandarkan pendapat HARUS ini kepada beberapa orang sahabat seperti Ibn Abbas, Abu Hurairah, dan tabi’en seperti Said al-Musayyab dan malah Imam al-Baihaqi ada meriwayatkan  beberapa ulama terhebat tabien yang turut bermain catur seperti  Said ibn Jubair, As-Sya’by  dan lain-lain. Imam Al-Ghazzali juga turut tergolong dalam kelompok ini. ( As-Sunan al-kubra, al-bayhaqi,  10/211)

Justeru, Al-Qaradawi dalam fatwanya menyebut  :

Menurut pendapat dan ilmu kami bahawa permainan catur itu menurut hukum asalnya adalah mubah(harus), sebab tidak ada dalil yang menunjukkan pengharaman catur, malah selain daripada ia dikira  lahwun (lalai) dan hiburan, catur mempunyai nilai positif yang berperanan sebagai merupakan sukan minda dan melatih berfikir.

Antara syarat yang diletakkan oleh Al-Qaradawi :-

·       Tidak menangguhkan waktu solat dan kewajiban lain disebabkan keasyikan permainan itu.

·       Tidak disertai dengan judi dan pertaruhan.

·       Hendaknya pemain dapat menjaga lisannya dari perkataan kotor seperti maki hamun kerana tewas dan sebagainya. ( Al-Halal wal Haram Fil Islam, hlm 273, cet Al-Maktab Al-Islami)

 

Melalui pendapat ini, jelas bahawa sebab-sebab pengharaman yang mungkin datang bukanlah kerana catur atau permainan itu sendiri, tetapi lebih kepada sebab-sebab luaran.

 

Oleh itu, jika berdasarkan pendapat ini, games moden turut diharuskan dengan syarat yang disebut oleh al-Qaradawi dan ditambah satu lagi menurut pendapat saya iaitu : mestilah intipati games yang direka cipta atau dbeli itu tidak bercanggah dengan Islam dan hukumnya. Iaitu konsepnya, ideanya, gambarnya dan lain-lain.

   

2)   Haram : Yang melarang

 

Antara mereka adalah Ali bin Abi Talib r.a, Ibn Umar r.a, Ibn Abbas r.a, Mazhab Hanafi, Hanbali, dan Maliki.  Demikian juga Ibn Taymiah dan kebanyakan ulama kontemporari Saudi, pandangan haram ini juga dinisbahkan kepada beberapa orang sahabat seperti Ibn Umar. Imam Abu Hanifah  dan Imam Malik turut termasuk dari mereka yang mengharamkannya.  Demikian dinukilan oleh Imam Ibn Qudamah dan lain-lainnya. ( Mughni, 10/172)

Ulama kontemporari Saudi turut mengharamkannya malah mereka mengatakan semua syarat yang diletakkan oleh Qaradawi itu amat jarang dipenuhi oleh sang pemain.

Ibnu Taimiyah pernah berbicara panjang di dalam masalah ini, dari halaman 216 hingga halaman 245 jilid XXXII dari kitab Majmu Fatawa, antara kata beliau :

“Misalnya kita tetapkan bahwa permainan catur itu bebas dari itu semua -maksudnya tidak melalaikan kewajiban dan tidak akan melakukan hal yang haram- maka larangan perbuatan itu ditetapkan oleh para sahabat. Sebagaimana yang sohih dari Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu ‘anhu, bahwa beliau pernah menjumpai kaum yang sedang bermain catur. Lalu beliau mengatakan

ما هذه التماثيل التي أنتم لها عاكفون لأن يمس جمرا حتى يطفأ خير له من أن يمسها

Ertinya : “Mengapa kamu menekuni patung ini? Sungguh jika salah satu diantara kamu menggengam bara api sampai padam itu lebih baik daripada memegang catur” ( Riwayat Al-Baihaqi, 10/212)

Kumpulan yang mengharamkan mengatakan penyamaan mainan catur dengan patung (berhala) yang dibuat oleh Ali itu jelas menunjukkan bahawa ia satu permainan yang haram.

Ibn Taimiah pula menisbahkan Imam Syafie sebagai berkata : “Permainan yang paling aku benci adalah an-nard, permainan catur dan permainan burung dara sekalipun tanpa perjudian. Sekalipun kebencian kami kepada permainan itu lebih ringan dari pada permainan dadu”

Namun demikian, apa yang jelas, tiada satu hadis yang sohih menyatakan pengharaman catur, hanya wujud adalah perdebatan berkenaan pandangan para sahabat sahaja. Cuma Imam Ibn Qudama cuba membawa dalil berikut sebagai hadis pengharamannya :-

إن الله عز وجل ينظر في كل يوم ثلاثمائة وستين نظرة ليس لصاحب الشاه فيها نصيب

Ertinya : Sesungguhnya Allah swt sentiasa melihat (kepada hambanya) pada setiap hari sebanyak 360 kali pandangan, dan orang yang bermain catur ini tiada termasuk dari kalangannya ( Al-Mughni, 10/172)

Ibn Qudamah kemudiannya terus menghuraikan pemain catur sama seperti pemain an-nard kerana lalainya mereka semasa bermain dari ingatan terhadap Allah swt. Namun demikian, penyamaan ini (qiyas) ini ditolak oleh ulama Syafie kerana perbezaan konsep asas antara kedua permainan tadi.

 

3)    Makruh (tidak begitu digalakkan)

Antaranya adalah Imam As-Syafie dan merupakan pandangan mazhab Syafie

Imam Syafie berkata :

إذا خلا الشطرنج عن الرهان واللسان عن الطغيان والصلاة عن النسيان لم يكن حراماً

Ertinya : Apabila catur tidak besertanya pertaruhan dan kata-kata maki hamun, melupakan solat, maka ia TIDAK lah termasuk dari yang haram ( Tafsir Ibn Kathir, 6/40 )

 

Imam an-Nawawi menjelaskan pendirian mazhab Syafie dengan katanya :-

وأما الشطرنج فمذهبنا أنه مكروه ليس بحرام وهو مروي عن جماعة من التابعين وقال مالك وأحمد حرام قال مالك هو شر من النرد وألهى عن الخير وقاسوه على النرد وأصحابنا يمنعون القياس

Ertinya : Adapun catur, dalam mazhab kami (Syafie) ia adalah makruh dan tidak jatuh haram, dan ia (keharusannya) juga diriwayatkan dari kumpulan tabien; namun menurut Imam Malik dan Ahmad, ia adalah haram dan Imam Malik berkata ia lebih buruk dari An-Nard ( sejenis permainan arab yang berasakan judi), serta melekakan diri dari kebaikan, justeru mereka menqiyaskan catur dengan an-nard, namun dalam ahli-ahli dalam mazhab kami (Syafie) tidak bersetuju dengan qiyas tersebut. ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, hadis no 2260, jil 15, hlm 15)

Imam al-Ghazali pula memberikan perbezaan antara catur dengan an-nard dengan hujjahnya ia berbeza adalah kerana :

Catur adalah mainan latihan perangkaan strategi perang, ia lebih mirip kepada sukan memanah, berkuda dan berlumba ( dari sudut manfaatnya) ( Rujuk Al-Wasit, 7/353 )

 

KESIMPULAN HUKUM CATUR

Dari sudut dalil yang diberi serta banyak lagi yang tidak disertakan, saya berpandangan yang HARUS TETAPI MAKRUH JIKA BERLEBIHAN adalah lebih kukuh.

Tidak dinafikan bagi seseorang yang ulama atau ahli agama, pandangan YANG MENGHARAMKAN tentunya terpakai untuk dirinya. Bukankah status kedudukan para ulama itu menjadikan dirinya perlu lebih ketat dalam pengalaman berbanding orang awam. Sebagai kata-0kata yang kerap kita dengari

“kebaikan yang dilakukan oleh orang awam, masih dikira keburukan bagi seorang yang hampir dengan Allah swt”

Ertinya bagi seorang yang soleh, mengkahatamkan al-quran sebanyak satu kali pada bulan Ramadhan boleh dianggap satu kesalahan dan aib, berbanding orang awam yang dikira sebagai satu kejayaan besar. Jika piawaian ini diambil kira bolehlah kita katakan, pandangan ‘HARUS DENGAN SYARAT’ atau ‘MAKRUH’ lebih ringan untuk dihidangkan kepada orang awam khususnya : –

  •  Tiada dalil spesifik yang menyokong pengharaman,
  •  Hujjah yang mengatakan haram semuanya disebabkan wujudnya faktor luaran seperti lupa Allah SWT, judi dan sepertinya, maka jika tiada faktor-faktor ini bak kata Imam al-Ghazzali, semuanya kembali menjadi hukum mubah.
  • Qiyas catur dengan an-Nard adalah tidak tepat sebagai pandangan mazhab Syafie kerana an-Nard sememangnya diasasi oleh perjudian berbanding catur yang amat boleh dimainkan tanpa pertaruhan.

Namun begitu, walaupun ia ‘harus dengan syarat’ atau ‘makruh’ sahaja, saya amat bersetuju dengan fatwa Imam al-Ghazzali yang lebih kurang sama dalam bab muzik. Gunakanlah ia secara terkawal dan tidak terlalu kerap kerana ia umpama ubat, yang tidak boleh terlalu kerap, kelak akan membawa mudarat.

Gunakan ia hanya untuk menghilang kebosanan sama seperti bergurau senda, ketawa, bersukan dan sebagainya. Tentunya penenang yang hakiki adalah pada membaca dan menghayati AL-Quran, zikir dan membaca, namun tidak semua manusia sama status iman mereka, tatkala itu amat relevan kata-kata Nabi kepada Hanzalah dan Abu Bakar r.a yang kerisauan kerana masih boleh berehat-rehat ketiak di rumah dengan isteri dan anak, sedang mereka begitu serius ketika mendengar kuliah Nabi s.a.w berkenaan akhirat dan lainnya :

Ertinya : Wahai Hanzalah ; satu waktu (zikir dan ibadah khusus serta serius) dan satu waktu lain pula ( rehat dan ringan) ( Riwayat Muslim)

Berkenaan hukum menjual catur di dalam mazhab Sayfie, disebabkan mazhab ini mengganggap catur sebagai makruh, hukum menjualnya juga turut makruh. (Al-Majmu’, An-Nawawi, 9/243)

JAWAPAN KEPADA SOALAN

Jika demikian perbincangan kita, hukum bermain games PS1,2, dan 3 juga harus dengan makruh jika berlebihan, dan haram hanya apabila melanggar perkara asas yang telah disebutkan di tadi.

Tatkala itu, saya berpandangan, hukum terlibat sebagai programmer computer, grafik animator dan sepertinya bagi pembikinan sesebuah games adalah turut HARUS, namun ia bukankah satu kerja yang terbaik dan terpilih bagi individu yang mahu jelas hilang dari sebarang syubhat.

Unsur syubhat wujud khususnya kerana pencipta permainanan itu TIDAK MAMPU mengawal kekerapan, dan addicted sang pemain serta kelalaian mereka.

Asalnya penjual dan pencipta barang jualan yang bersifat neutral TIDAK menanggung sebarang tanggungjawab jika pembeli menggunakan barang neutral itu untuk tujuan jahat. Seperti penjual lap top computer, pisau, Television, printer dan sebagainya. Semua ini tergolong dalam kategori neutral yang mana pengguna akan menentukan sama ada ia digunakan kepad adosa atau pahala.

Namun berbeza dengan PENJUALAN GAMES;  kerana amat diketahui, permainan itu diciptakan sememangnya untuk dimain, menghiburkan pembeli, malah lebih baik jika mampu dicipta kecanggihan sehingga boleh menjadikan pemain ketagih dengannya. Tatkala itu, pencipta games menanggung beban tanggungjawab kepada mainan ciptaannya, berbeza dengan barangan neutral yang saya sebutkan di atas.

Justeru, jika permainanan yang direka yang bersifat pendidikan ilmu fardhu kifayah seperti matematik atau permainan serampang dua mata, hiburan dan pendidikan atau lebih hebat dari itu ia membawa kepada kesedaran Islam. Tatkala itu ia menjadi sunat pula dan pahala yang diperolehi oleh penjual juga.

Hukum boleh berubah pula menjadi HARAM apabila kandungannya dan paparan terdapat hal yang bertentangan dengan Islam.

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

15 Jumada Akhir 1430 H

Wahabi: Istilah Yang Ditakuti!

June 6, 2009 at 4:19 am | Posted in FIKRAH ajimoni | Leave a comment

Antara ketakutan dalam diri manusia adalah apabila dia diberikan suatu gelaran yang membawa maksud yang buruk dalam masyarakat, ‘Wahabi’ merupakan contoh gelaran yang ditakuti apabila seseorang itu berada di dalam lapangan agama. Masyarakat Islam di Malaysia secara umumnya memahami istilah Wahabi ini merujuk kepada segelintir golongan umat Islam yang mempunyai tafsiran dan pemahaman yang berbeza mengenai soal ibadat. Contohnya, apabila seseorang itu tidak membaca doa Qunut ketika solat subuh, maka dia akan dituduh sebagai penganut fahaman Wahabi. Begitu juga jika seseorang itu menolak mengadakan majlis kenduri arwah, maka dia juga akan dituduh sebagai Wahabi. Secara ringkasnya, apa sahaja pandangan atau pendapat yang melawan arus pemikiran perdana umat islam di Malaysia, maka berkemungkinan besar si pembawa idea atau pendapat itu akan digelarkan sebagai Wahabi. Persepsi ini merupakan satu stigma pemikiran yang yang telah lama mendominasi pemikiran tradisionalis umat Islam di Malaysia. Penulisan ringkas ini tidak menjuruskan benar atau salah fahaman ini, namun sekadar santapan ringkas agar ilmu dan pemahaman dapat diluaskan.

Gelaran Wahabi sebenarnya disandarkan kepada seorang tokoh agama yang bernama Muhammad Ibn Abdul Wahab. Di zamannya, Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab merupakan seorang yang tegas dalam membersihkan akidah umat islam yang mana ketika itu dicemari dengan pelbagai unsur-unsur inovasi dalam agama seperti pemujaan kubur alim ulama’ dan pembinaan di atas kuburan. Kebanyakan tanggapan mendakwa fahaman ini mendukung idea dan perjuangan Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab dalam membersihkan akidah umat Islam. Sewajarnya, jika gelaran wahabi ingin disandarkan kepada Sheikh ini, ia sepatutnya menggunakan gelaran ‘Muhammadi’. Namun musuh-musuh Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab sengaja menggunakan istilah Wahabi untuk mengaitkan diri Sheikh itu dengan fahaman Khawarij yang mendakwa orang Islam sebagai murtad jika melakukan dosa. Namun hal ini telah dinafikan olehnya dalam surat yang ditulis kepada penduduk Qassim, ‘saya tidak pandang mana-mana orang Islam sebagai kafir kerana dosa mereka, dan saya juga tidak mengeluarkannya dari agama Islam.’ (ruj: Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life & The Essence of His Call, Prof Sulaiman Ibn Abdurrahman Al-Huqaily, edisi terjemahan oleh Hamidun Abdullah untuk Institute As-Sunnah, Perlis) Sebenarnya, terdapat banyak tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada tokoh ini sehingga menjadikan gelaran Wahabi sebagai satu istilah yang ditakuti, namun kebanyakkan tuduhan itu telah pun dijawab dengan ilmiah. Walaupun berlaku banyak fitnah terhadap dirinya, namun sumbangan besarnya dalam bidang akidah tetap dihargai oleh ramai ulama’ dunia seperti Dr Yusuf Al-Qardhawi, Sayyid Muhammad Rashid Ridha, Sheikh Ali Tantawi dan lain-lain ulama’ besar dunia. Memetik kata-kata Al-Qardhawi ‘Prioritas dalam da’wah Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab di Jazirah Arabia ialah pada bidang aqidah, untuk menjaga dan melindungi tauhid dari berbagai bentuk kemusyrikan dan khurafat yang telah mencemari sumbernya dan membuat keruh kejernihannya. Dia menulis berbagai buku dan risalah, serta menyebarkan dan mempraktekkannya dalam rangka menghancurkan berbagai fenomena kemusyrikan.’ (ruj: Fiqh Aulawiyyat, Dr Yusuf Al-Qardhawi)

Realiti yang berlaku di dunia Islam, kebanyakkan pemikiran tradisionalis menganggap fahaman Wahabi ini sebagai unsur yang menyimpang di dalam Islam. Dukacita juga sebahagian dari mereka meletakkan fahaman ini sebagai terkeluar daripada Ahlul Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ). Majoriti yang menjadi pemikir seperti ini hanyalah merupakan mangsa kepada keadaan yang telah membutakan mereka kepada kefahaman yang rigid. Mereka menganggap, apa sahaja yang bercanggah dengan nilai mazhab Syafie mengikut kefahaman mereka, nilai itu akan dianggap sebagai tertolak walaupun ia masih berlegar dalam ruang ASWJ. Oleh itu, sebarang usaha tajdid untuk memberikan satu sudut pandang yang berbeza terhadap Islam, maka kadangkala ia akan ditolak secara mentah dengan beralasan pandangan itu sebagai pegangan fahaman Wahabi. Al-Qardhawi mengulas mengenai isu takut kepada usaha tajdid, katanya ‘Inilah satu titik lemah dalam pergerakan Islam. Ia takut dari ijtihad, tidak senang pada pembaharuan (tajdid), tidak cenderung pada keterbukaan dan tidak menyenangi perkembangan dan perubahan.’ (ruj: Di Mana Punca Kelemahan Umat Islam Masa kini, Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi)
Di Malaysia, golongan yang mendukung fahaman Wahabi ini lebih gemar jika ia digelarkan sebagai Salafi, Pro-tajdid atau pendukung Sunnah. Mereka ingin membawa satu kaca mata yang lebih besar terhadap fahaman ini dengan menekankan pemahaman Islam menurut manhaj para Salaf. Al-Salaf memiliki erti orang-orang yang mendahului dari bapak-bapakmu dan kaum kerabatmu yang mereka di atasmu dalam hal usia dan keutamaan….. Rasulullah, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, mereka adalah salaful ummah (pendahulu ummat), dan siapa saja yang menyeru kepada apa yang diserukan oleh Rasulullah SAW, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, mereka juga salaful ummah. Serta siapa saja yang menyeru kepada apa yang diserukan oleh Rasulullah SAW, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, maka mereka berada si atas manhaj as-Salaf ash-Sholih. (ruj: Studi Ringkas Tentang Manhaj Salaf, Sheikh Abdul Qadir Al-Arna’uth) Manhaj ini menurut mereka tidak membataskan pemikiran dengan lingkungan mazhab semata, tetapi keluasan pemikiran berpandungan Quran dan As-Sunnah yang soheh. Oleh sebab itu, masyarakat Islam tradisionalis menganggap mereka sebagai bermasalah apabila ada ibadah atau adat yang ditentang oleh pendukung fahaman ini kerana menurut mereka tidak menurut syariat Islam yang sebenar. Hal ini telah menyebabkan berlakulah pertempuran yang berlarutan sekian lama yang mungkin dikenali di Malaysia sebagai ‘kaum muda vs kaum tua’.

Namun begitu, fahaman Salafi di Malaysia masih boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan menurut pengamatan Ustaz Zaharuddin. Kumpulan pertama ialah yang ekstrem lagi keras dan tegas, kedua pula yang Sederhana (moderate), manakala Ketiga iaitu yang lebih lembut dan toleran (Mild). (ruj: Ulasan, Komentar & Cadangan Berkenaan Kursus Latihan ESQ 165, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman) Mungkin pendekatan kumpulan pertama iaitu yang bersifat sedikit keras dan ekstrem telah menimbulkan rasa kurang senang dan terkejut masyarakat Islam di Malaysia yang mana rata-rata pemahamannya mengenai ilmu Islam hanyalah pada peringkat asas. Pendekatan bagi kumpulan dua dan tiga kelihatan agak berjaya apabila dapat mempengaruhi sebahagian besar golongan pelajar di universiti dan pekerja profesional. Perkembangan aliran Salaf ini mendapat tentangan agak hebat daripada golongan yang memegang kuasa agama apabila terdapat beberapa tokoh yang didakwa mendukung fahaman Wahabi dilarang memberikan ceramah dibeberapa buah negeri. Terdapat juga pelbagai forum yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu yang mana bertujuan menerangkan tentang bahaya pemikiran Wahabi yang semakin menular di dalam Malaysia.

Isu wahabi sebenarnya merupakan masalah persepsi umat Islam yang mana telah digambarkan dengan pelbagai fakta yang dangkal dan tidak benar mengenai fahaman ini. Umat islam di Malaysia perlu diberikan ruang kepada pemikiran yang lebih luas terhadap Islam. Jika suatu pemikiran itu dangkal dan tidak benar, secara automatis pemikiran itu akan berkubur dan tidak mendapat tempat. Masyarakat Islam semakin bijak dalam penilaian, berikan mereka ruang untuk menilai setiap hujah dan fakta mengenai agamanya. Perkara yang terpenting dalam hal ini, kita sewajarnya tidak sesekali mengeluarkan mereka daripada keluarga Islam ASWJ. ‘Oleh itu berbalik kepada isu Wahhabi, pendirian yang jelas perlu diambil, Wahhabiyyah sekali-kali bukan golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah. Mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunah bermakna kita juga terjebak ke lembah fanatik yang sama seperti sebahagian mereka…..’ (ruj: Isu Wahabiyyah: Menangani Secara Realiti, Jurnal Penyelidikan Islam bil 19 2006M, Mohd Aizam bin Mas’od, JAKIM)

*Perlu penulis ingatkan, penulisan ini tidak memberikan gambaran tentang manhaj atau pegangan penulis.

Oleh: Ajim
http://www.ajimtajdid.blogspot.co

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.