Isu arak uji wibawa Pas dalam Pakatan Rakyat

August 10, 2009 at 9:49 am | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

Oleh Manja Ismail


SEBAHAGIAN ahli Umno bahagian Shah Alam memegang sepanduk membantah campur tangan Ronnie Liu dalam isu penjualan arak.

Pemimpin parti Islam masih berdiam diri sedangkan mereka cepat, lantang bersuara mengenai isu lain

PERBALAHAN antara Pas dengan DAP Selangor berhubung jualan minuman keras di Shah Alam turut menarik perhatian rakyat di luar Selangor. Saya kebetulan berada di Terengganu sejak kelmarin ketika media melaporkan Kerajaan Selangor menolak cadangan Pas negeri itu meminta diharamkan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam. Sama ada di surau atau masjid ketika menunggu azan atau sewaktu bersarapan di warung nasi dagang, isu itu jadi bahan bualan. Tiga hari di sana, saya berulang alik antara dua tempat, satu di kawasan Wakaf Mempelam dan satu lagi di daerah Marang, kedua-duanya kubu kuat Pas.

Isu berkenaan menarik perhatian penduduk di kawasan ini kerana ia membabitkan Pas, parti yang menjadikan Islam landasan perjuangannya. Sama ada mereka menyokong Pas atau sebaliknya, Pas dan ideologi perjuangannya sudah cukup mereka kenal. Mereka yang menyokong Pas tidak faham kenapa parti itu sanggup bertolak ansur dengan pihak yang pada pandangan mereka jelas menghina Islam. Sebagai rakyat negeri yang pernah diperintah Pas, mereka cukup faham pendirian parti itu mengenai perkara membabitkan hukum hakam Islam. Kalangan bukan penyokong Pas pula hairan apabila pucuk pimpinan parti itu masih berdiam diri setakat ini sedangkan mereka cepat lantang bersuara mengenai isu lain.

Satu lagi sebab kenapa isu ini menarik perhatian masyarakat Melayu/Islam ialah kerana ia membabitkan arak. Bagi golongan Melayu/Islam konservatif, arak seperti juga babi, sesuatu yang tidak boleh dikompromi. Kerana itulah ada ketikanya mereka dilihat lebih sedia memaafkan pemimpin rasuah atau terbabit dalam skandal seks, tetapi sukar menerima pemimpin yang diketahui penagih arak atau makan babi. Pendirian ini pastinya berbeza dengan masyarakat bukan Melayu atau sesetengah orang Melayu bandar yang melihatnya secara lebih terbuka.

Isu ini seharusnya tidak berpanjangan jika ia dilihat dari sudut sosial. Isu penjualan minuman beralkohol di kedai-kedai 24-jam mula menjadi masalah apabila kedai seperti itu beroperasi di kawasan perumahan, termasuk yang mempunyai majoriti penduduk Islam bukan saja di Shah Alam, malah beberapa negeri lain. Minuman beralkohol seperti bir dan stout tidak diklasifikasikan sebagai arak, maka ia tidak memerlukan lesen arak untuk menjualnya. Penjualan minuman ini secara terbuka di kedai-kedai 24-jam mendedahkan golongan muda, termasuk pelajar untuk mudah mencuba dan ketagih. Bayangkan kesan jangka panjangnya ke atas generasi muda, malah kepada negara apabila sebahagian besar mereka nanti menjadi kaki botol.

Barangkali, atas kebimbangan itulah mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), meluluskan keputusan melarang penjualan arak di kedai serbaneka 24-jam di kawasan yang majoriti penduduknya Islam seperti di Seksyen 8, Shah Alam. Menurut Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Hassan Ali, MBSA mengambil keputusan itu ekoran desakan penduduk setempat. Selain itu, kajian Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendapati ramai golongan muda Melayu daripada peringkat sekolah sehingga institusi pengajian tinggi membeli arak di kedai serba guna seumpama itu dari jam 7 malam hingga 12 tengah malam.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri, Ronnie Liu mempertikai keputusan MBSA serta tindakan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) merampas 70 tin dan botol minuman keras daripada sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8 pada 30 Julai lalu. Malah, minuman keras yang dirampas oleh penguat kuasa MBSA itu diarah dipulangkan semula.

Tindakan inilah menyebabkan berlaku perbalahan antara Pas dengan DAP Selangor. Pas minggu lalu mengemukakan draf mengenai isu penjualan arak di Selangor serta meminta kerajaan negeri menukar Ronnie Liu. Bagaimanapun, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak kedua-dua cadangan itu. Dalam soal arak, beliau berkata pengedar dan penjualnya, terutama di kedai serbaneka perlu menggunakan mekanisme kawalan kendiri bagi mengelak suasana tidak senang di kawasan majoriti penduduk Islam. Pada masa sama, DAP Selangor mahu pimpinan Pakatan Rakyat membentuk badan disiplin bagi memanggil Dr Hassan kerana membuat kenyataan terbuka mendesak Liu digugurkan sebagai Exco Selangor.
Kemelut terbaru dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat ini menguji sejauh mana parti-parti gabungannya boleh bertolak ansur dengan falsafah perjuangan masing-masing dan bagaimana mereka dapat mengimbangi antara tuntutan dan keperluan. Namun, seorang lelaki tua dan berkopiah ketika bersembang dengan rakan-rakannya di sebuah warung di Terengganu kelmarin melihatnya dari sudut berlainan. Beliau menyalahkan DAP atas semua kemelut yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Rakyat sekarang sama ada di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor. “Kamu mungkin masih kecil atau belum lahir ketika PAP (Parti Tindakan Rakyat) dan Lee Kuan Yew berada dalam Kerajaan Malaysia dulu. Beza PAP dan DAP ialah P dan D. Kapal layar (Perikatan) dan Tunku Abdul Rahman dah kena dulu, sekarang bulan (Pas) baru nak rasa,” katanya kepada beberapa pelanggan muda di warung itu.

Sumber: Berita Harian

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: