Arak kepala lembu bantah pindah kuil (Penjelasan YB Khalid Samad)

August 29, 2009 at 4:10 pm | Posted in PENGUMUMAN | 2 Comments

Berikut merupakan penjelasan YB Khalid Samad berkaitan dengan isu pembinaan kuil Hindu di Shah Alam.

kepala lembu, kuil, shah alam

Gambar ehsan Malaysiakini

1. Persoalan Kuil di Sek 19 dan Tindakan Pewaris

[update 11/1/09] the English translation and review by AirKosong: An incident of how UMNO goons intend to destabilise society

Kerajaan BN telah meninggalkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh kerajaan PR selepas kami mengambil alih. Selain dari penyelewengan dan salah guna kuasa yang menjadi bagaikan ‘signiature’ BN, terdapat juga persoalan projek-projek terbengkalai, projek-projek di lereng bukit yang tidak patut diluluskan tetapi diluluskan, penduduk rumah setinggan, kemiskinan bandar dan ‘lain-lain’. Di antara yang ‘lain-lain’ itu adalah persoalan kuil-kuil yang bertaburan yang telah tidak diurus dengan baik apatah lagi bertanggung jawab oleh BN.

Kebanyakan dari kuil-kuil ini merupakan kuil yang telah dibina semasa tempat berkenaan merupakan estet getah pada tahun-tahun sebelum Malaya merdeka. Apabila estet itu diambil-alih untuk dijadikan kawasan perumahan, pada tahun-tahun selepas merdeka, pekerja-pekerja ladang dipindahkan tetapi kuil mereka dibiarkan di tempat asal. Ianya tidak dipindahkan bersama penduduknya. Akhirnya penduduk asal terus mengunjungi kuil tersebut sambil kawasan persekitaran dibangunkan. Kuil mereka juga terus dibangunkan mereka.

Kesudahannya adalah seperti apa yang terdapat di Seksyen 19, Shah Alam! Rumah-rumah yang didiami orang Melayu berhampiran dan berhadapan kuil. Keadaan ini lebih merumitkan apabila penduduk memberitahu bahawa semasa membeli rumah-rumah mereka, PKNS telah menjamin bahawa kuil berkenaan tidak akan lagi berada disitu apabila rumah mereka siap. Namun, di bawah BN, janji seperti biasa tinggal sebagai janji. Masalah ini telah wujud selama 20 tahun lebih dan apabila PR mengambil alih, kami terpaksa menyelesaikan masalah yang diwujudkan BN ini. BN hanya pandai menimbulkan masalah tetapi buntu untuk mencari penyelesaian.

Dasar kerajaan PR adalah mudah. Pertama, kuil-kuil yang lama ini perlu dipindahkan ke satu tempat yang lebih sesuai. Tempat perlu dikenal pasti oleh PBT dan semestinya dipersetujui oleh pengguna kuil berkenaan. PBT perlu mengambil kira segala permasalahan yang akan dihadapi oleh pengguna kuil hasil dari pemindahan tersebut. Sambil itu, pembinaan kuil baru, selain dari hasil perpindahan, juga dihentikan.

Pada Khamis 8hb Januari, sambil saya menghadiri mesyuarat berhubung penduduk Rimba Jaya yang telah dirobohkan rumah-rumah mereka oleh kerajaan BN (masalah yang diwarisi lagi!), saya mendapat maklumat dari seorang penduduk Melayu Seksyen 19 bahawa ada sekumpulan Melayu telah datang untuk menimbulkan ketegangan di kuil tersebut. Selepas mesyuarat berkenaan saya bergegas ke sana dan mendapati sekumpulan orang, kebanyakan mereka orang luar, berkumpul berhampiran kuil tersebut. Mereka ingin membina ‘gelanggang silat’ di tepi kuil dan akan mengadakan kenduri untuk merasmikan pembukaan gelanggang tersebut pada hari Sabtu 10hb ini. Untuk kenduri itu mereka akan tumbangkan 2 ekor lembu! Seterusnya mereka akan menjamu penduduk dan orang ramai di depan kuil berkenaan. Gelanggang mereka akan dibina tanpa membuat apa-apa permohonan kepada phak berkuasa kerana kata mereka, kuil tersebut juga tidak mendapat kebenaran!

Orang yang mengetuai kumpulan tersebut datangnya dari Melaka! Dia menyatakan dia ‘mewakili rakyat’ dan tindakan ini terpaksa mereka ambil melalui persatuan NGO mereka yang bernama ‘PEWARIS’ kerana kerajaan PR masih berhoneymoon. Dia berkata penduduk sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan dan oleh itu penduduk memanggil mereka turun. Amat jelas, soal gelanggang silat dan sebagainya hanya satu helah. Sebenarnya mereka mahu provoke pihak kuil berkenaan.

Saya menyatakan ‘wakil rakyat’ di sini adalah saya, bukan dia (mungkin dia ingat dia masih di Melaka). Sekiranya dia ingin mewakili rakyat, dia patut turun bertanding dalam PRU yang akan datang. Saya juga memberitahunya bahawa yang ‘berhoneymoon’ selama 50 tahun adalah BN! Saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang menguruskan perkara ini dan kita harus diberi masa. Kalau BN tak dapat buat apa-apa dalam tempoh 20 tahun lebih, semenjak rumah-rumah mula didiami, takkanlah saya tidak boleh diberi tempoh setahun, kata saya lagi. Malahan, tambah saya, pada bulan 5 atau 6 tahun lepas, saya telah bertemu dengan penduduk di dewan Masjid Sek. 19 dan berbincang dengan mereka dan memohon tempoh setahun. Mereka telah bersetuju.

Orang Melaka ini terus menuduh bahawa PR mendiamkan diri bila orang India membina kuil-kuil baru di merata Shah Alam. Saya nyatakan tiada kuil baru dibina dan dia gelakkan saya. Saya beritahu dia, “tunjuk saya di mana kalau kamu bercakap benar!” Dia pun terus ke keretanya, minta saya ikut di belakang sambil dengan penuh keyakinan mengatakan, “mari, saya tunjuk awak”! Maka saya mengekorinya; hai orang Melaka ini yang menganggap dirinya lebih tahu Shah Alam dari orang Shah Alam. Akhirnya dia bawa saya ke sebuah kuil di tepi landasan keretapi di Seksyen 15. Saya beritahu dia kuil itu telah ada di situ “sebelum kamu dilahirkan ke dunia ini”. Dia diam dan terus kembali ke kuil Seksyen 19.

Tidak puas hati lagi dia mencabar saya sebaik sahaja kita sampai di Seksyen 19, “awak orang Melayu, orang Islam, kenapa awak sibuk sangat nak membela kuil ini”? Saya jawab, “kerana Islam mengajar saya supaya bertindak adil terhadap semua manusia. Mereka, walaupun bukan Islam, ada hak dan Islam menuntut kita menghormati hak mereka”. Dia diam. Seterusnya dia berkata dia tak tahu sangat soal agama ini.Saya menambah lagi, “kita marah bila Israel mengasari ummat Islam di Gaza, jangan kita pula mengikut perangai Israel”.

Melihat dia mula teragak-agak saya pun menyatakan bahawa saya tahu Pewaris dan Pekida adalah NGO yang adik beradik. Penaung Pekida adalah PM maka semestinya begitu juga Pewaris. Kedua-dua NGO ini dikuasai oleh ahli UMNO. Saya tahu juga bahawa tindakan mereka ini, pada masa ini, ada hubung kait dengan PR kecil KT. Mereka ingin menimbulkan ketegangan dan masalah kaum supaya dengan itu mereka boleh menjaja keseluruh negara bahawa PR telah gagal menyelesaikan masalah ini di Selangor; dan Selangor sekarang ada masalah perkauman. Dia diam dan selepas itu dia menegur saya kerana buruk sangka, tetapi dia tidak menafikannya.

Dengan itu saya berundur. Saya memberitahu pegawai Polis dan juga pihak penguatkuasa MBSA yang berada di sana bahawa ini tugas mereka. Mereka kena menjaga keselamatan dan keamanan. Saya difahamkan walaupun gelanggang tidak dibina, namun mereka ingin teruskan kenduri mereka. Mereka kata mereka akan menjemput saya sekali. Saya menjawab, ikut undang-undang. Kalau pembinaan gelanggang dapat kelulusan MBSA, saya datang.

Kalau tidak, program Aman Palestine di stadium Melawati pada 10hb jam 10 pagi adalah tempat yang lebih afdal bagi saya untuk hadir, begitu juga dia!

WalLahu ‘Alam


NOTA PENTING
:
Minta disebarkan perkara ini kerana dijangka provokasi yang sedemikian rupa akan digunakan lebih kerap lagi menjelang PRK-KT, maka harus sentiasa berwaspada. Jangan kita terpedaya!

sumber: YB Khalid Samad

2. Respon Pengunjung: Persoalan Kuil Seksyen 23

Terima kasih diucapkan atas komen-komen yang terima, termasuk yang menolak dan mempertikaikan tulisan saya. Isu yang dibincang memang ‛sensitif’, kerana dijadikan sensitif. Lebih-lebih lagi bila ada tukang perhangat. Namun perbincangan rasional perlu untuk menyelesaikan masalah yang diwarisi.

[Update 21/8/09 Peta Seksyen 23 Shah Alam, ihsan anak_perelih]

Ada beberapa point yang perlu saya respon dan jelaskan di sini seperti berikut:-

1. Public Hearing / Pertemuan dengan penduduk
Seperti yang dijelaskan, pertemuan dengan penduduk akan diadakan. Status isu ini buat masa ini masih merupakan cadangan. Namun cadangan ini merupakan cadangan yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk dikemukakan. Ini adalah seperti yang saya jelaskan kepada penduduk di Surau Seksyen 23 beberapa bulan dahulu. Ya, saya pernah berjumpa dengan mereka. Pada masa itu cadangan lokasi baru hendak disampaikan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan. Saya telah nyatakan bahawa sekiranya ianya diluluskan, maka saya akan bertemu dengan penduduk untuk mendapat pandangan dan feedback. Sekiranya tidak diluluskan, nak bincang buat apa?

Dulu pernah diluluskan cadangan di kawasan lain di Seksyen 23 juga, tengah-tengah kawasan Industri. Selepas itu diadakan pertemuan dengan pengilang-pengilang. Atas faktor keselamatan, disebabkan lalu lalang container dan fork-lift yang beroperasi tak tentu waktu. Dikhuatiri nanti ada pula wanita dan kanak-kanak yang akan kesitu, maka cadangan itu dibatalkan.

Ada yang bertanya “Bukankah untuk menukar tanah industri kepada tanah komersial memerlukan public hearing”?

Sebenarnya kalau “dari sudut undang-undang, public hearing tidak perlu”. Itu undang-undang sekarang yang sedia wujud dan ianya belum lagi ditukar. Namun, amalan Kerajaan PR ialah amalan mendengar pandangan rakyat. Oleh itu, seperti yang disebut, public hearing tetap akan diadakan dengan penduduk Seksyen 23. InsyaAllah selepas Permatang Pasir saya akan turun bersama YB Roziah. Tiada apa-apa kerja yang telah dimulakan, berhubung pembinaan kuil ini, maka tak perlu disegerakan sangat. Hanya dihangatkan oleh golongan tertentu sehingga turunnya Noh Omar. Kenapa dia tak turun ke Sek 19 dulu?

Sambil kami mendengar pandangan dan pendapat penduduk Seksyen 23, kami harap mereka juga akan mendengar penjelasan kami. Biarlah 2-way dan kedua-dua pihak datang dengan pemikiran yang terbuka. Ada yang berkata “apa guna pertemuan, kerajaan tidak mahu dengar pandangan kami!” Begitulah juga sebaliknya. Oleh itu sama-sama bersikap terbuka dan dengar hujah dan penerangan masing-masing. Pada masa yang sama, kita sama-sama mencari penyelesaian yang terbaik.

2. Kawasan majoriti Hindu
Ada pula yang bijak pandai berkata “Majoriti penduduk di seksyen 19 dan 23 adalah Islam. Kuil tak sepatutnya berada dikawasan tersebut. Pindahkan saja ke kawasan penduduk majoriti Hindu di kawasan lain”.

Hakikatnya tiada kawasan di Shah Alam yang mana masyarakat Hindu majoriti. Oleh itu, kuil ini akan memenuhi keperluan untuk Seksyen 19, 20 dan 23. Keseluruhannya saya dimaklumkan melebihi 1,000 penganut Hindu. Ada yang kata dah banyak kuil di Seksyen 19, 20 dan 23. Mereka berbohong. Hanya ada satu sahaja dan ianya di Seksyen 19. Dan kuil inilah yang ingin dipindahkan. Dasar kerajaan PR, ‛Tiada kuil baru dan tiada kuil yang diroboh’.

Ada juga yang menyatakan ada kuil hanya 1 km dari Seksyen 23, iaitu di Sri Muda. Kuil Sri Muda terletak 3 km dari lokasi berkenaan. Bukan 1 km, harap maaf ya.

Ada pula yang menambah Seksyen 22 adalah tapak cadangan kerajaan BN dulu, majoriti masyarakat Hindu. Hakikatnya tapak cadangan BN adalah kawasan kilang, jauh dari mana-mana penduduk, Muslim mahupun Hindu. Terlalu jauh dan amat tidak sesuai. Kalau betul ingin membantu, biarlah ikhlas, biarlah adil.

Cadangan tapak di Seksyen 23 terhasil bukan kerana ikut cakap ataupun telunjuk sesiapa, hanya kami semua berusaha mencari penyelesaian yang wajar untuk semua pihak.

Adakah sekiranya mereka minoriti, maka bererti mereka tidak ada hak untuk beramal dengan agama mereka? Tidak boleh adakan kuil? Dasar sebegini adalah tidak wajar. Cubalah merantau sedikit dan tinjau di negara-negara yang orang Islamnya adalah minoriti. Sebaliknya, kaedah satu kuil untuk beberapa ratus orang penganut seperti yang dicadangkan adalah lebih wajar. Inilah yang sedang diusahakan.

Ada yang bertanya “Apakah YB sendiri ingin mendera, menyeksa ataupun menderhaka pula kepada penduduk seksyen 23?” Hakikatnya, kalau dicadangkan letak depan rumah macam di Seksyen 19, bolehlah dituduh mendera, menyeksa ataupun derhaka. Itu yang UMNO buat selama ini. Tetapi yang dicadangkan adalah 200 meter dari rumah dan 200 meter juga dari Surau.

Di seksyen 16, kuil Hindu hanya 200 meter dari Masjid Jami’ Tun Raja Uda. 50 meter sahaja rasanya dari Flat yang majoritinya orang Melayu. Pada masa itu tiada pula ‘hero Melayu’ datang membantah. Maklumlah, BN punya kerja. Pada masa itu lain cakapnya. Kami sebagai pembangkang dulu pun tidak membantah. Kerana kami faham, masyarakat Hindu pun ada hak untuk mengamalkan agama mereka. Inilah yang dikatakan pembangkang yang bertanggung jawab. Bukan macam sekarang. Nak perhangat tanpa memikirkan penyelesaian bagi ummat Islam di Seksyen 19 dan keperluan masyarakat Hindu secara menyeluruh.

3. Masalah pembinaan kuil di merata tempat
Masalah yang disebut berhubung pembinaan kuil secara ‛pacak sahaja’ memang diatasi dengan adanya garis panduan yang jelas. Berdasarkan garis panduan inilah kuil yang sedia ada ingin dipindahkan. Ianya bukan kuil baru dan ianya bukan melalui dasar ‛pacak sahaja’. Satu kuil ini adalah untuk kegunaan penganut Hindu dari Seksyen 19, 20 dan 23 yang dimaklumkan jumlahnya melebihi 1,000 orang.

Ada pula yang berkata “Kebelakangan ini kita dapat melihat pelanggaran-pelanggaran undang-undang yang telah wujud dan didapati sesuai dengan semua rakyat berhubung dengan pembinaan Masjid, Surau serta rumah-rumah ibadat yang lain”.

Hmmm, mungkin yang menulis ini lupa Seksyen 19 kut? Oleh kerana tiada garis panduan yang jelas pada zaman dulu (BN) maka suasana ini terhasil. Harap ingat, kita nak selesaikan masalah yang sedia wujud. Begitu juga dengan beberapa kuil yang lain yang menanti penyelesaian.

4. Masalah sosial masyarakat India
Ada yang timbulkan isu masalah sosial dan jenayah yang membabitkan masyarakat India. Kata mereka, “Kami peniaga dan dalam satu tahun ditimpa kes rompakan berparang. Cara mereka masuk, terus serang dan tetak. Selama 10 tahun, kaum ini lah yang membuat kawasan kami tidak aman”.

Persoalannya, sekiranya benar sekalipun, bagaimana mahu selesaikan masalah ini kalau tidak melalui mengukuhkan aspek moral dan keagamaan mereka? Kerajaan PR memilih pendekatan bersepadu, sambil ditingkatkan kemudahan persekolahan mereka (di mana bantuan tidak disonglap MIC), dibantu aspek ekonomi mereka dan sambil itu juga aspek sosial mereka, persoalan moral dan keagamaan (kuil) tidak dinafikan. Barulah wajar untuk diharapkan perubahan.

Kalau pendekatan sebaliknya diusahakan, seperti amalan BN selama ini yang membuncitkan golongan tertentu sahaja, adakah akan berlaku perubahan?

5. Teguran terhadap diri saya dll.
Ada yang komen, “satu lagi, selama 25 tahun duduk di shah alam ini saya belum ada dengar cerita org bantah nak buat kuliyyah..so, kenyataan YB tu saya sanggah lah..kalau setakat hearsay tu YB..buang je lah berita tu..tapi kalau tempat lain selain drp Shah ALam yg aman damai ni YB..saya tak tahu lah…”.

Eh, tuan tak dengar ke? Bukan sekadar kuliyyah dibantah, SURAU DI KUNCI oleh puak-puak tu! Surau Seksyen 8 dikunci, selama 9 bulan bermula 3 hari sebelum bulan puasa tahun 2007. Para penceramah disenarai hitamkan, termasuklah Dato’ Dr. Haron Din.

Ada juga yang sebut “tapi saya rasa YB lebih hebat lagi sebab membenarkan kalimah ALLAH digunakan utk penganut kristian. Jangan lah YB salahkan UMNO pulak sebab penganut kristian guna kalimah ALLAH..”

Apa nak buat tuan, bukannya saya sendiri yang reka, Al-Quran sendiri sebut “Dan berkata orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kami ini anak Allah dan kekasihNya..” (Al-Maaidah 18). Yang jelas menunjukkan nama Allah digunakan oleh orang kristian. Harap bacalah penerangan saya dalam artikel yang bertajuk Ismu Allah.

Akhirnya, komen seorang lagi pengunjung, “sementara kita ada kuasa ni..bantulah org melayu..shah alam bandar melayu..kerana gaji yang seciput tu..janganlah kita hina agama kita..haram kita makan gaji yang tak halal…darah daging kita pun haram..juga daging anak2 kita…satu peringatan jangan sampai Allah butakan mata hati kita..tak sempat bertaubat nanti…tapi nampaknya perbuatan kamu lebih kepada menghina agama kau sendiri”.

Inilah sedih bila kita baca. Bukan kerana teguran keatas diri saya ini. Tetapi, sedih kerana apabila kita ingin zahirkan keadilan Islam yang membela semua manusia, kita dibelenggu oleh kefahaman Islam tajaan UMNO selama ini. Islam adalah Melayu. Perjuangan Islam adalah perjuang untuk orang Melayu. Sampai bila kita akan terperangkap dengan fahaman yang sebegini. Adakah dengan membantu kaum lain yang beragama lain maka kita menghina Islam? Bukankah Islam itu menuntut keadilan. Bukankah adil itu lebih hampir kepada keTaqwaan? Mungkin inilah sebabnya mengapa selama ini Islam tidak menawan hati manusia lain di Malaysia ini. Kita hendak Islam untuk Melayu sahaja dan tidak mahu menzahirkan keadilan Islam itu sendiri.

Zahirkan keadilan Islam! Yang lemah dibela, samada Muslim dan bukan Muslim. Hak dipenuhi, Muslim dan bukan Muslim. Mengajak, mempelawa dan menarik bukan melawan dan menentang memanjang. InsyaAllah manusia lain akan tertarik. Kalau tak bersama Islam sekalipun, sekurang-kurangnya tidak menentang Islam.

Satu hari kelak, insyaAllah saya akan ceritakan pula kisah Saidina Umar Al Khattab semasa di Palestine.

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

sumber: YB Khalid Samad

2 Comments »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

  1. Saya sokong YB Khalid. Contoh masjid & kuil berdekatan. tak sampai 100m. Datanglah ke LGM Sungai Buloh. Kami hidup aman je dalam tu.

  2. Salam..

    Statement YB Khalid:
    “Dasar kerajaan PR adalah mudah. Pertama, kuil-kuil yang lama ini perlu dipindahkan ke satu tempat yang lebih sesuai. Tempat perlu dikenal pasti oleh PBT dan semestinya dipersetujui oleh pengguna kuil berkenaan…..”

    Komen saya:
    Mengapa tempat baru itu mesti dipersetujui oleh pengguna kuil berkenaan SAHAJA? Mengapa? Mengapa hanya persetujuan pengguna kuil sahaja yang diperlukan? Kita hidup bermasyarakat dan tidak boleh individualistik.

    Pandangan saya, YB pastinya perlu mendapatkan maklumbalas dari penduduk tempat yang baru (seksyen 23). Kewujudan kilang mereka tidak bantah sebab kilang2 tersebut telah sedia ada sebelum perumahan seksyen 23 diadakan. Pembeli rumah saya percaya telah mengambilkira kewujudan kilang2 disekitarnya. Jadi tidak timbul isu mengapa penduduk setempat boleh menerima kewujudan kilang2 dan tidak menerima kehadiran kuil dai seksyen 19.

    Saya merupakan antara penyokong PKR pada PRU lalu.. walaupun sebelum ini saya tidak pernah pangkah selain dacing. Inilah suara-suara kecil yang secara tidak dijangka menjadi suara BESAR yang menumbangkan dacing di Selangor. Tentu ada yg kami harapkan. Ketelusan dan pentadbiran yg lebih baik daripada sebelumnya.

    Namun, saya sedikit kesal bila isu jiran kami di sekysen 23 dilihat seperti tidak dipedulikan oleh pentadbiran kerajaan negeri. Ramai relatif saya tinggal di seksyen 23. Kerap juga saya menemani anak2 mereka di taman permainan seksyen 23. Sesekali berjemaah di surau al-jannah dan bermain badminton di dewan 23.

    Pandangan peribadi saya, kuil seksyen 19 sewajarnya tetap dipindahkan ke seksyen 22 seperti cadangan asal. Saya yakin YB akan dapat mencari tapak yang lebih sesuai (di seksyen 22) bagi perpindahan kuil tersebut bagi menjamin kejernihan dan keharmonian kaum. Bagi saya, jika YB tetap meneruskan cadangan di seksyen 23, YB hanya menang di mata pengguna kuil sedangkan YB hakikatnya tewas dengan pentadbiran YB. Ia akan menjadikan pembangkang (BN) lebh yakin bahawa YB tidak menyelesaikan isu ini dengan bijak.

    Tetapi, jika YB tampil dengan penyelesaian di seksyen 22, YB sebenarnya menaang dari segala sudut. Biarlah mengalah sedikit asalkan hati tenteram daripada mengikut kegoan untuk menang kemudian terbuku penyesalan dan kesangsian.

    Salam Ramadhan.
    Anak Johor


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: