Tajdid Iman: Nilai perpaduan hilang dalam persaudaraan

December 22, 2009 at 1:58 am | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

Umat Islam masih lagi bermusuh, memperbesarkan isu remeh, mementingkan diri sendiri

PENDUDUK Iraq pernah bertanya fatwa kepada Abdullah bin Umar mengenai hukum terkena darah nyamuk pada waktu ihram. Beliau membidas mereka yang suka bertanya sesuatu yang tidak penting secara berlebih-lebihan padahal mereka yang membunuh cucu Rasulullah SAW, Saidina Husin. Abdullah bin Umar berkata, “Mereka bertanya mengenai darah nyamuk padahal mereka menumpahkan darah cucu Rasulullah SAW.”

Api kecil boleh membakar dengan ganas dan memusnahkan segala-gala dibina sekian lama. Begitu perpecahan di kalangan umat Islam berpunca dari sikap memaksakan pendapat suatu golongan dan menafikan golongan lain. Masalah kecil diperbesar-besarkan, isu khilaf yang menjerat umat hingga memfasik dan mengkafir sesama mereka, perbezaan metode dan wasilah dalam gerakan dakwah dan politik juga memberi tekanan pada ukhuwah yang diikat atas nama Allah dan yang paling teruk dengan menghalalkan darah saudaranya sendiri demi agenda peribadi.

Sikap bermusuhan, tuduh menuduh, gelar menggelar, mengaibkan dan menghina sesama Muslim menjadi isu sensasi akhir-akhir ini, walaupun sejarah pernah menyimpan cerita pertumpahan darah, namun ia tidak dijadikan sempadan dan peringatan. Bahkan diulang tayang dengan bebasnya, melagakan kembali Muslim dengan Muslim, gerakan dakwah ini dengan gerakan dakwah itu, politik sana dan politik sini akhirnya tumpuan umat tidak lagi fokus kepada pembangunan, perjuangan global, pembanterasan isu moral dan bahaya ketinggalan dari umat lain.

//

Malangnya negara Islamlah yang sentiasa menjadi sorotan penduduk dunia, kerana lahirnya pengganas agama yang menghalalkan darah sesama saudara Islam. Fahaman yang berbeza membawa kebencian sehingga begitu hodohnya wajah Islam di mata dunia. Jika orang kafir membentuk kesepakatan bersama dalam membangunkan negara masing-masing, dunia Islam pula sebaliknya.

Tidak dinafikan bahawa manusia sering berselisih pendapat, kerana majmuk umat yang terdiri dari pelbagai fikrah, latar belakang politik dan kecenderungan sosiobudaya yang pelbagai. Tetapi tidak mustahil menggesa umat kepada kesatuan matlamat walaupun berbeza manhaj (kaedah). Perselisihan yang dilarang adalah yang membawa kepada permusuhan dan kehancuran umat. Sementara perselisihan yang tidak disertai permusuhan bagaimanapun tidak dapat dihindari kerana ia fitrah manusia yang berbeza pandangan.

Sebagaimana perkataan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, “Aku tidak suka jika para sahabat Rasulullah SAW tidak berselisih pendapat, seandainya mereka tidak berselisih nescaya tidak ada rukhshah (keringanan) bagi kita.” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam Al-Madkhal sebagaimana di dalam Faidhul Qadir (1/209) dan Ibn Abdil Barr di dalam Jami’ul Bayanil Ilmi (2/80) terbitan al-Mimbariyah)

Sikap menjaga ukhuwah sebagai satu tuntutan iman semestinya lebih diutamakan daripada berbalah. Bekerjasama dalam masalah yang disepakat lebih baik daripada mencari perbezaan yang menimbulkan perpecahan. Isu solat membaca surah Al-Fatihah mengikut imam atau tidak, qunut dan zikir selepas solat atau tidak menjadi isu lapuk yang sentiasa diperbaharui menjadi sensasi zaman berzaman. Jika tidak selesai pun timbul pula isu akidah mengenai siapa Ahli sunnah Wal Jamaah sebenar. Tuduh menuduh Wahabi, sesat, kafir dengan menyatakan hujah tidak beradab memfitnah sesama Muslim. Sampai bilakah semua ini berakhir?

Ingatan mengenai bersatunya hati-hati Muhajirin dan Ansar di bawah asuhan wahyu sedikit sebanyak menyentuh kesedaran orang yang pernah berselisih. Dalam hati mereka sebenarnya membenci perbalahan, rindukan kasih sayang, hormat menghormati dan saling memahami perbezaan sebagai suatu rahmat. Kebahagiaan hidup, ketenangan dan ketenteraman hati manusia bergantung dengan dua ikatan. Ikatan kepada Allah SWT dan ikatannya dengan sesama makhluk. Belumlah pasti bahagia jika seseorang hanya taat kepada Allah tetapi suka bermusuh dengan sesiapa yang mengenalinya. Urusan dengan makhluk mesti diselesaikan terlebih dulu sebelum dia menghampiri Allah, jika hati masih diliputi aura tak sihat maka tidaklah nikmat menghadap-Nya.

Rasulullah SAW bersabda dalam hal ini, “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang lebih baik dari pahala solat, puasa dan bersedekah? Para sahabat menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah SAW”. Nabi SAW bersabda, “Memperbaiki hubungan sesama saudara kerana rosaknya persaudaraan adalah pencukur. Aku tidak bermaksud pencukur rambut tetapi pencukur agama.” (Tirmizi dan Abu Daud)

Hentikan membaca dan bersurailah supaya tidak menimbulkan keburukan dan kekacauan. Lihatlah betapa kasih sayang dan persaudaraan lebih penting daripada ibadah jika sekiranya tiada ketulusan dalam ibadah itu. Agaknya tiada seorang pun yang terlepas dari mengata orang, menyakiti hati bahkan menzalimi saudaranya oleh itu setiap Muslim diingatkan untuk sentiasa menyematkan kalimah istighfar dalam hatinya, selain memohon keampunan kepada Allah hendaklah dia juga meminta maaf dari orang yang pernah dizalimi. Tidaklah mudah memaafkan seorang musuh tetapi ia tidak mungkin dilakukan melainkan kerana kita akur dan taat kepada seruan Allah SWT.

Perselisihan yang membawa kehancuran umat adalah maksiat manakala perbezaan sudut pandang yang tidak membawa kerosakan menunjukkan Islam agama yang menghormati pemikiran, perasaan dan sikap manusia yang berbeza-beza asalkan mereka masih tulus mengaku Muslim yang menjunjung tinggi ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Tiada siapapun yang boleh menilai kesempurnaan iman dan ilmu seseorang melainkan Allah SWT.

Penulis ialah Mufti Perlis

sumber: Bharian

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: