Ulasan Dr Mohd Asri Tentang Hukuman Sebat Wanita Di Penjara Kajang

February 23, 2010 at 11:24 pm | Posted in PENGUMUMAN | 1 Comment

Beberapa pihak telah mengulas tentang hukuman sebat yang dikenakan oleh pihak berkuasa agama ke atas beberapa orang wanita muslimah. Saya ditanya berulang kali tentang hal ini. Berikut adalah beberapa perkara penting yang ingin saya sentuh;

1. Sebatan hukuman syariah dalam kes-kes maksiat peribadi (zina dan meminum arak) adalah sebatan yang tidak mencederakan. Ini hendaklah dibuat dalam keadaan yang tidak bertujuan memberikan kesakitan yang melampau, sebaliknya sekadar pengajaran. Bahkan dalam hadis, ada yang hanya dipukul dengan kain atau tangan sahaja.

Ini amat berbeza dengan sebatan yang biasa diamalkan bawah mahkamah sivil. Jika sebatan yang dilaksanakan itu –inilah juga yang dimaklumkan oleh pihak berkenaan- tidak mencederakan, atau menimbulkan kesakitan yang melampau, maka ia sesuatu yang mempunyai unsur-unsur islamik, dan itu lebih baik dari memenjarakan mereka berbulan atau bertahun yang lebih memberikan penderitaan kepada mereka. Membantah perlaksanaan hukuman tersebut adalah tidak wajar.
2. Persoalan yang patut juga diambil berat; bagaimanakah proses yang membawa mereka didakwa dan seterusnya dihukum? Jika kesalahan itu mereka lakukan di tempat terbuka, atau didedahkan kepada orang lain seperti di pusat-pusat hiburan, aktiviti pelacuran yang mencari pelanggan dan seumpamanya, maka mereka layak untuk dihukum. Namun, jika mereka itu ditangkap setelah pihak berkuasa agama mengintip dan menceroboh masuk ke kawasan persendirian yang tertutup, maka proses situ bercanggah dengan nas-nas Islam.

Hal ini telah disebut oleh ramai sarjana sejak dahulu seperti al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H), begitu juga Sayyid Qutb, Dr al-Qaradawi dan ramai yang lain. Para sarjana menyebut bahawa antara syarat Amar Makruf dan Nahy Munkar: An yakuna al-Munkar Zahiran min ghair tajassus (Hendaklah munkar itu zahir kelihatan tanpa intipan).

Bagi yang memahami bahasa Arab mereka boleh membaca bagaimana hampir semua tulisan berkaitan Amar Makruf dan Nahy Munkar yang ditulis oleh berbagai penulis meletakkan syarat tersebut. Sila lihat dalam internet begitu banyak artikel berbagai sarjana di peringkat antarabangsa yang mengingatkan tentang syarat ini. Hanya mereka yang primitive sahaja yang mengintip maksiat peribadi orang lain.

Saya telah tulis beberapa artikel tentang hal ini. antaranya artikel Bila Yang Nyata Dibiar, Yang Tersembunyi Dicari. Maka jika wanita-wanita tersebut dicemari hak mereka secara intipan lalu dihukum, maka itu menyanggahi ruh islami. Namun, jika mereka melibatkan diri dalam maksiat terbuka seperti di pusat-pusat hiburan, pentas-pentas lakunan dan seumpamanya, mereka layak dihukum.

3. Hukuman bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu kelihatan adil (not only be fair but seen to be fair). Masyarakat akan memandang serong kepada setiap hukuman yang hanya menghukum anak bilis dan membiarkan jerung. Maka, bukan sahaja peminum arak patut dihukum, tetapi taukeh-taukeh atau mereka yang terlibat dalam pengedaran arak dalam kalangan umat Islam patut di bawa ke pengadilan.

Ini termasuk mana-mana individu muslim yang memegang saham-saham arak dalam negara ini. Empunya pusat-pusat hiburan yang menggalakkan aktiviti tidak bermoral ini mestilah dibawa ke pengadilan. Maka pihak berkuasa agama hendaklah jujur dengan rakyat, dan berani membawa empunya, atau pemegang-pemegang saham arak dan judi yang membabit individu muslim sekalipun ‘kelompok yang dianggap kebal’ dalam negara ini.

4. Kecenderungan Islam bukanlah menghukum, tetapi mendidik. Jika terdapat jalan keluar agar mereka tidak dihukum disebabkan maksiat peribadi (zina dan arak), maka itulah yang paling utama. Nabi s.a.w dalam berbagai riwayat menunjuk cuba mengelak dari mengambil kes-kes zina dan memberikan berbagai alasan agar pelakunya tidak dihukum. Kes Maiz bin Malik dan berbagai yang lain menunjukkan baginda Nabi s.a.w tidak mahu kes-kes ini diteruskan ke peringkat hukuman, sebaliknya baginda mementing taubat individu berkenaan.

5. Banyak rakaman-rakaman yang tersiar dalam internet yang menunjukkan bagaimana operasi ‘tangkap khalwat’ begitu kejam dan sengaja mendedahkan keaiban mangsa. Ini seperti diambil gambar mangsa dalam keadaan bogel, disuruh mangsa mempamirkan pakaian dalamnya kepada kamera dan seumpamanya. Pegawai-pegawai yang terbabit dalam operasi yang seperti ini hendaklah diambil tindakan kerana mencemarkan maruah agama yang mulia ini dan maruah orang lain.

6. Hendaklah dielakkan gambaran bahawa negara ini kerap menghukum wanita. Apakah mereka melakukan kesalahan bersendirian? Amat membimbangkan, imej Islam yang sering dikaitkan media Barat dengan Malaysia akan menyebabkan mereka menyangka ini merupakan cara Islam yang selalu menghukum wanita, dan tidak pula menonjolkan hukuman terhadap lelaki yang terbabit. Maka, hukuman terhadap lelaki-lelaki yang terbabit juga hendaklah diumumkan dengan jelas dan media diminta menyiarkannya bersama.

7. Beberapa NGOs yang cuba mengkritik perlaksanaan hukuman ini hendaklah berhati-hati. Jika mereka muslim, mereka hendaklah memastikan dalam diri mereka; apakah mereka membantah hukuman Islam yang asal, atau perlaksanaan semasa? Jika mereka membantah hukuman asal, maka itu memberi implikasi akidah mereka. Jika mereka membantah perlaksanaan semasa, mereka hendaklah tumpukan kepada proses perlaksanaan semasa sahaja, jangan dipertikaikan hukuman Islam asal yang adil yang ada dalam al-Quran dan al-Sunnah. Begitu juga bukan muslim, jangan mereka mempertikaikan al-Quran dan Nabi orang Islam, itu boleh menimbulkan ketegangan dan huru-hara dalam negara yang harmoni ini.

8. Usaha menerapkan unsur-unsur Islam dalam negara ini merupakan satu usaha baik dan disanjung. Namun, dalam konteks negara moden, proses ini hendaklah dibuat dengan teliti dan berhati-hati. Negara beragama adalah tuntutan, tetapi negara autocratic agama amat menakutkan. Beberapa pengalaman Pakistan dan Afghanistan yang lepas patut diteliti. Maka, badan pemantau kepada perkembangan ini yang terdiri dari cendiakawan-cendiakawan muslim yang terbuka dan tidak sifat orthodoxy perlu diwujudkan untuk memberi pandangan balas kepada kerajaan.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin,
Penang, 22 Feb 2010

Advertisements

Angkat Tangan Ketika Takbir Rukuk dan Bangkit

February 23, 2010 at 11:20 pm | Posted in SOAL JAWAB | Leave a comment

SOALAN:

1) Apa hukum angkat tangan sewaktu nak rukuk dan bangun dari rukuk? Macam mana kalo tertinggal

2) Bagaimana pula untuk bangun pada rakaat ke-3 dan ke-4. Wajib ke sunat? Selama ni tau yg bangun dari rakaat ke-3 tu sunat je.Macam mana kalo tertinggal

3) Bagaimana cara utk angkat tangan bangun dari rakaat ke-3. Bangun dan berdiri tegak dulu – tangan ke bawah baru angkat tangan dan selepas jatuhkan mula fatihah? Atau semasa nak bangun tu tangan terus angkat takbir bila dah berdiri?

JAWAPAN:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

1) Dituntut mengangkat kedua-dua tangan ketika (i) takbiratul Ihram, (ii) hendak rukuk (iii) bangun dari rukuk.

Malah, Imam Nawawi menukilkan ijmak bahawa sunat mengangkat tangan pada takbiratul ihram. Kata beliau:

اجمعت الامة على استحباب رفع اليدين عند تكبيرة الاحرام واختلفوا فيما سواها فقال الشافعي واحمد وجمهور العلماء من الصحابة رضي الله عنهم فمن بعدهم يستحب رفعهما ايضا عند الركوع وعند الرفع منه

“Ijmak umat bahawa sunat mengangkat dua tangan ketika takbiratul ihram. Dan mereka khilaf pada selain takbiratul Ihram. Syafie, Ahmad dan majoriti ulama dari kalangan sahabat dan tabien selepas mereka berpendapat sunat mengangkat dua tangan ketika mahu rukuk dan ketika bangkit darinya”. (Syarah Sahih Muslim 4/95).

Walaubagaimana pun, nukilan ijmak bahawa ia sunat dipertikaikan oleh sebahagian ulama. Kerana ada ulama mengatakan wajib. Pun begitu, menurut Ibn Abdil Barr, walaupun ada ulama mengatakan wajib, tetapi tidak ada yang menghukum sesiapa tidak mengangkat tangan batal solatnya, kecuali Al-Humaidy, setengah pengikut Daud dan riwayat dari Auzaie.

Secara kesimpulan, hukumnya di sisi ramai ulama ialah: SUNAT.

2. Hukum mengangkat tangan ketika bangkit dari tasyahhud awal (untuk masuk ke rakaat ke-3) juga adalah sunat. Kerana sabit perbuatan tersebut dalam hadis yang sahih.

Abdullah bin Nafie menceritakan perbuatan Ibn Umar:

وإذا قام من الركعتين رفع يديه ورفع ذلك ابن عمر إلى نبي الله صلى الله عليه و سلم

“Apabila beliau bangkit dari dua rakaat, beliau mengangkat dua tangannya. Dan Ibn Umar menyandarkan hadis ini sebagai marfuk kepada Nabi Sallallahu Alahi Wasallam”. (Sahih Bukhari 706).

3- Mengenai cara mengangkat tangan untuk bangun ke rakaat ke-3, ialah bangkit tegak dahulu barulah mengangkat tangan. Bukan mengangkat ketika duduk. Kerana sabit dalam hadis sahih:

وَلاَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِى شَىْءٍ مِنْ صَلاَتِهِ وَهُوَ قَاعِدٌ

“Dan baginda tidak mengangkat dua tangannya dalam mana-mana bahagian solatnya ketika baginda duduk”.
Direkod oleh Abu Daud (no: 744), Tirmizi (no: 3423). Kata Tirmizi: “hadis hasan sahih”. Disahihkan juga oleh Imam Nawawi dalam Majmuk 3/447.

Wallahu A’lam.

Sumber: Ah-Ahkam.Net

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.