Bolehkah Sertai Jawatan Kuasa Antara Agama?

April 17, 2010 at 5:57 pm | Posted in SOAL JAWAB | Leave a comment

sinar2.jpg

Soalan: Sekarang ini heboh diperkatakan tentang jawatankuasa antara agama. Apakah pandangan al-Fadhil Dr Asri mengenai hal ini? Tidakkah ini bererti kita telah menghina Islam kerana telah meletakkan Islam sama dengan agama-agama lain. Ada juga pihak yang telah mengeluarkan fatwa haram. Ada yang kata boleh. Semuanya memeningkan kepala orang Islam. Harap Dr Asri dapat ulas.

Khalidah, Rembau, Negeri 9.

Jawapan DR MAZA:

Semoga Allah memberikan rahmat kepada saudari atas keprihatinan terhadap isu-isu umat Islam. Jawapan saya di sini bukannya secara khusus mengenai jawatan kuasa yang hendak ditubuhkan oleh Pihak Kerajaan Pusat. Saya belum pasti pendetilan tujuan dan kerangka mereka. Namun berikut beberapa perkara asas yang ingin saya sentuh dalam hal ini;

1. Pada prinsipnya, Islam bukan sahaja membolehkan kita berdiolag dengan penganut agama lain, bahkan memerintahkan kita berdialog, berhujah dengan cara yang baik dan menyeru serta memahamkan mereka hakikat agama Islam ini. Firman Allah (maksudnya):

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).

Kata al-Sa’di (meninggal 1376H):

“Hikmah maksudnya setiap individu diseru berdasarkan keadaan, kefahaman, penerima dan perlaksanaannya..adapun mauizah hasanah (nasihat yang baik) bermaksud dengan ungkapan yang baik yang dapat mengingatkan mereka. Antaranya dengan cara memberi amaran kepada mereka mengenai balasan Allah di akhirat dengan pendekatan yang dapat menginsafkan mereka. Sementara: berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik bermaksud cara yang paling memungkin mereka menerimanya secara akal dan nas ( Al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman, 452, Beirut: Muassasah al-Risalah).

2. Diolag antara muslim dan penganut-penganut agama lain amat diperlukan di zaman kini di mana Islam sering disalahfahamkan oleh Media Barat. Interfaith Diologue atau dalam bahasa Arab al-Hiwar bain al-Adyan (Dialog Antara Agama-Agama) boleh menjadi perantara memahamkan Islam kepada pihak-pihak yang salahfaham terhadap agama yang mulia ini. Walaupun hakikatnya, bukanlah dialog antara agama, tetapi dialog antara penganut agama. Jika ruangan seperti ini tidak diambil, terutama di peringkat antarabangsa, maka salahfaham terhadap Islam akan terus berkembang. Islam akan dituduh agama jumud, fanatik, tiada hujah, dan enggan mendengar isi jantung hati pihak lain. Di samping, dialog antara agama juga boleh menjadi medan untuk membela nasib umat Islam.

3. Dialog dengan penganut agama lain bukan semesti kita menyeru mereka secara langsung untuk menganut Islam. Sebaliknya, kita mungkin sekadar menghapuskan salahfaham, buruk sangka dan maklumat yang salah yang ada dalam kalangan bukan Islam. Itu mungkin membawa mereka kepada bersikap baik dengan umat Islam, bahkan mungkin juga membawa mereka kepada hidayah Islam. Ketika para sahabat Nabi s.a.w ke Habsyah melarikan diri daripada kezaliman Quraish Mekah, pihak Quraish telah menghantar wakil untuk menghasut Raja Habsyah iaitu Najasyi agar menangkap dan menyerah kaum muslimin kepada Quraish.

Kata wakil Quraish: “Wahai Raja! Telah datang ke negaramu budak-budak yang bodoh. Mereka telah memecah belahkan agama kaum mereka dan tidak pula memasuki agamamu. Mereka membawa agama yang mereka ada-adakan yang kami dan engkau tidak kenalinya. Pembesar kaum mereka yang terdiri daripada bapa-bapa mereka, paman-paman mereka dan kaum keluarga mereka telah menghantar kepadamu utusan agar engkau mengembalikan mereka kepada kaum mereka. Mereka semua lebih tahu keburukan mereka itu dan mereka memarahi perbuatan mereka”.

Aduan atau fitnah mereka itu telah memaksa ketua umat Islam di Habsyah berdialog dengan Najasyi. Apabila Najasyi bertanya: “Agama apakah ini yang kerananya kamu telah pecah belahkan kaum kamu dan tidak pulak kamu memasuki agamaku?”. Lantas Jaafar bin Abu Talib pun memberikan jawapan yang sangat terpilih lagi menyentuh perasaan Najasyi yang merupakan seorang Kristian ketika itu. Dalam jawapan tersebut Jaafar tidak pun menyeru Najasyi agar menganut Islam, sebaliknya beliau menceritakan sifat dan keistimewaan Islam.

Kata Ja’far: “Wahai Raja! Kami dahulunya adalah kaum jahiliyyah; kami menyembah berhala, memakan bangkai (binatang yang tidak disembelih), mendatangi perkara-perkara yang keji, memutuskan hubungan kekeluargaan, menyakiti hati jiran. Mereka yang kuat dalam kalangan kami menindas orang yang lemah. Begitulah keadaan kami, sehinggalah Allah menghantarkan kepada kami seorang rasul. Kami kenal akan keturunannya, kami kenal akan benar cakapnya, kami kenal akan amanahnya, kami kenal dia seorang yang memelihara diri dari keburukan. Lalu dia menyeru kami kepada Allah agar kami meng’tauhid’kanNya dan menyembahNya; dia juga meminta agar kami tanggalkan apa yang kami dan keturunan kami sembah selain Allah yang terdiri daripada batu-batu dan berhala-berhala. Dia perintahkan kami supaya bercakap benar, tunaikan amanah dan hubungkan silaturrahim. Dia melarang kami dari membuat perbuatan keji, perkataan dusta, memakan harta anak yatim, menuduh zina wanita-wanita baik. Dia menyuruh kami agar hanya menyembah Allah yang esa, tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu, dia menyuruh kami agar bersolat, berzakat dan berpuasa –lalu Ja’far menyebut beberapa ajaran Islam yang lain lagi-. Lalu kami membenarkannya dan beriman dengannya, serta kami ikut agama Allah yang dia bawa. Maka kami hanya menyembah Allah, tidak mensyirikkanNya, kami haramkan apa yang dia haramkan dan kami halalkan apa yang dia halalkan. Tiba-tiba kaum kami memusuhi kami, mereka menyiksa kami, mengganggu kami dari agama kami. Tujuannya, mereka mahu agar kami kembali menyembah berhala, menghalalkan segala kekejian yang pernah kami halalkan. Apabila mereka memaksa, menzalimi, menekan kami dan menghalang agama kami, lantas kami pun keluar menuju negaramu. Kami memilih engkau, dibandingkan yang lain. Kami ingin mendapatkan perlindungan engkau. Kami harap kami tidak dizalimi di sisi engkau, wahai Raja!”.

Lalu Najasyi bertanya: “Adakah bersamamu apa-apa yang datang daripada Allah?”. Jawab Ja’far: Ya!. Kata Najasyi: “Bacakan kepadaku”. Lalu Ja’far membaca Surah Maryam yang terkandung kisah Maryam dan Nabi ‘Isa a.s.. Bercucuranlah airmata Najasyi, juga para agamawan Kristian yang ada bersamanya. Maka Najasyi pun enggan menyerah orang-orang Islam kepada Quraish dan mempertahankan mereka. Bahkan dalam senyap, Najasyi menganut Islam. (lihat: Al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 97-99, Riyadh: Uli al-Nuha).

4. Dalam negara ini, walaupun bukan muslim hidup dalam kalangan kita, namun hasil dari sikap dan pendekatan umat Islam sendiri, banyak perkara yang mungkin ramai mereka tidak faham tentang Islam. Kita sering berbual atau berbagai perkara; politik, bisnes, makanan dan lain-lain, tetapi kita sering gagal berdialog atau menyampaikan mesej Islam kepada mereka. Justeru itu, dialog dan perbahasan agama secara hormat dan baik samada di peringkat formal atau tidak formal amat dituntut oleh Islam.

5. Setelah muslim membetulkan niat, hendaklah pihak bukan muslim tidak menzahirkan niat yang buruk. Ya, dalam Islam adalah menjadi hak bukan Islam sebagai rakyat untuk memberitahu pegangan agama mereka yang menyentuh tentang perjalanan hidup mereka seharian. Mendengar, cuba memahami keadaan mereka dan berdialog dengan cara yang terhormat tidak menyanggahi syarak. Ini selagi pihak bukan muslim tidak mempunyai niat buruk. Allah menyatakan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu, dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9).

6. Dialog antara Islam dan agama-agama lain bukanlah bererti kita menganggap Islam itu sama dengan agama lain di sudut kebenaran atau wahyu. Sama sekali tidak boleh demikian. Jika ada yang menganggap Islam sama dengan agama lain di sudut kebenaran dan wahyu, maka itu satu kekufuran. Firman Allah (maksudnya):

“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan mereka yang rugi”. (Surah Ali-‘Imran, ayat 85).

7. Sebab itu, wakil di pihak muslim hendaklah mereka yang jelas dan kuat akidahnya. Duduk semeja tidak bererti kita mengiktiraf semuanya sama. Itu penilaian yang songsang. Setiap penganut agama berpegang kepada akidah mereka. Akidah muslim meyakini hanya Islam agama yang diiktiraf Allah. Namun, kita hendaklah akur, sebagai manusia dan rakyat bukan muslim juga mempunyai hak yang patut dihormati. Ya, Islam sentiasa benar, tetapi tindakan orang Islam bukanlah semesti semuanya benar dan adil. Sebab itu dalam sejarah Islam, banyak kali bukan muslim menang di mahkamah Islam dalam menuntut hak mereka terhadap umat Islam. Kes-kes di zaman ‘Umar bin al-Khattab dan ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz disebut oleh sejarah sebagai contoh keadilan Islam terhadap bukan muslim.

8. Mengapakah kita sering bimbang untuk berdialog dengan penganut agama lain, sedang Islam adalah agama hujah dan fakta dan individu muslim pula sepatutnya sentiasa bersedia untuk akur dan tunduk kepada kebenaran sekalipun menyanggahi kepentingannya. Firman Allah (maksudnya) :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: ayat 8).

9. Perubahan politik tempatan dan antarabangsa menjadi sebahagian teori dan andaian politik yang disebutkan dalam sebahagian buku-buku sarjana Islam silam sudah tidak lagi praktikal untuk diamalkan. Bukan kerana prinsipnya, tetapi kerana keadaan yang berbeza menuntut pendekatan yang berbeza. Dialog antara agama juga mungkin perlu dibahaskan dalam kerangka sekarang dan setempat dan kesannya yang berbeza bagi setiap keadaan. Politik adalah kebijaksanaan, keadilan dan kerahmatan untuk semua.

10. Maka,menyertai jawatankuasa dialog antara agama bukan satu kesalahan syarak. Sebaliknya jika niatnya baik untuk menerangkan hakikat Islam dan memberikan keadilan kepada manusia, itu adalah tanggungjawab yang mestikan ditunaikan oleh masyarakat Islam.

sumber: DR MAZA

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: