Mengeluarkan air mani dengan sengaja

July 17, 2011 at 1:28 pm | Posted in SOAL JAWAB | 1 Comment

SOALAN:

Assalamualaikum..

Saya nak tanya sesuatu. Ketika itu tiba-tiba saya menonton video yang membuatkan sedikit air mani saya terkeluar. Selepas itu saya terus mengeluarkan dengan sengaja kerana saya ingin melepaskan hawa nafsu saya dan tidak mahu menonton video tersebut lagi. Saya sedar perbuatan saya itu sangat keji dan saya tidak akan mengulanginya lagi. ::oops: Tetapi adakah saya hanya perlu mengqada’kan puasa?? Atau sebaliknya??

Tolong jelaskan soalan saya ini.

Terima kasih.

JAWAPAN:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والا أما بعد

– Hendaklah disedari bahawa perbuatan tersebut adalah haram, dan lebih dahsyat haramnya pada bulan Ramadhan kerana mencemarkan bulan yang mulia dengan maksiat.

– Maka hendaklah bertaubat daripada dosa tersebut, dan daripada dosa mencemarkan Ramadhan dengan maksiat kepada Allah.

– Dari sudut puasanya, jumhur ulama mengatakan batal puasa dengan perbuatan onani. Iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Maka hendaklah diqadha’kan selepas Ramadhan.

Rujukan:
– Majmuk Fatawa Ibn Taimiyyah 15/267
– Syarh Mumti’ 6/234-235

[sumber: al-ahkam.net]

Jimak di Bulan Puasa

July 17, 2011 at 1:25 pm | Posted in SOAL JAWAB | Leave a comment

SOALAN:

Assalamualaikum w.b.t

Soalan saya:

1) Setahu saya hukum berjimak di bulan puasa adalah berpuasa selama 2 bulan berturut-turut atau memberi makan 40 orang miskin. manakah yang lebih aula? Puasa atau memberi makan orang miskin?

2) Bagaimanakah cara untuk mengganti puasa tersebut bagi wanita jika datang bulan. Adakah dia perlu meneruskan puasa atau berhenti puasa sehingga periodnya berakhir dan sambung puasa kembali?

3) Bagaimanakah kedudukan puasa (dua bulan) jika orang tersebut sakit? Contohnya demam yang memerlukannya makan ubat. Adakah dia perlu mengulangi puasa dua bulan?

4) Adakah perlu ganti 2 bulan dan 1 hari (ganti sebab batal puasa). Dua bulan ini mengikut kalendar islam atau kalendar biasa?

5) Bagaimanakah hendak memberi makan orang miskin di zaman ini (kerana susah nak kumpul 40 orang)? Benarkah boleh membayarnya melalui pajabat zakat?

Jazakallah Khoiral Jaza’. Wassalam

JAWAPAN:

1) Kaffarah jimak bulan puasa ialah seperti berikut:

i- memerdekakan seorang hamba.
ii- Jika tidak ada atau tidak mampu, berpuasa 2 bulan berturut-turut.
iii- Jika tidak mampu, memberi makan 60 orang miskin.

2) Bagi wanita haidh, kedatangan haidhnya tidak menjejaskan 2 bulan berturut-turut. Dia wajib berbuka pada hari-hari haidhnya, dan sambung semula sejurus suci, untuk mencukupi 60 hari. Malahan, ijmak ulama mengatakan haidh tidak membatalkan 2 bulan berturut-turut. (Lihat Bahr al-Mazhab 10/328).

Ini atas pendapat yang mengatakan wanita yang dijimak pada siang Ramadhan diwajibkan membayar kaffarah. Pendapat yang kuat dalam mazhab Syafie ialah ia hanya dikenakan kepada suami sahaja. (Raudhah Talibin 2/374).

3) Berbuka tanpa uzur akan membatalkan 2 bulan berturut-turut, walaupun berbuka hanya satu hari. Maka mesti memulakan semula puasa 2 bulan. Sakit termasuk dalam perkara yang diperselisihkan adakah ia uzur atau tidak.

4) Dua bulan adalah sebagai kaffarah dosa tersebut. Bukannya sebagai ganti satu hari puasa. Bererti, hendaklah digantikan satu hari puasa, dan dibayar kaffarah iaitu salah satu daripada 3 yang tersebut mengikut turutan.

Dua bulan adalah menurut kalendar Islam, yakni mengikut anak bulan. Jika seseorang memulakan puasa pada permulaan bulan, contohnya 1 Muharram, maka jika bulan Muharram itu hanya 29 hari, dan bulan Safar juga 29 hari, maka dua bulan berturut-turut hanyalah sebanyak 58 hari.

Tetapi jika dimulakan pada bukan permulaan bulan, contohnya pada 4 Muharram, maka hendaklah berpuasa sehingga akhir Muharram, kemudian berpuasa penuh bulan Safar samada 30 hari atau 29 hari, kemudian berpuasa pada bulan Rabiul Awwal untuk mencukupkan 30 hari yang pertama tadi (Muharram). (Muhazzab 6/430).

5) Jika pusat zakat menawarkan khidmat tersebut, maka boleh diwakilkan kepada mereka. Perlu dirujuk kepada mereka.

Wallahu A’lam

[sumber: al-ahkam.net]

Batuk, Bersin semasa solat dan puasa

July 17, 2011 at 1:22 pm | Posted in SOAL JAWAB | 1 Comment

SOALAN:

:salam

Semasa batuk dan bersin kita banyak rembeskan air liur ke dalam mulut…

1- Sekiranya batuk/bersin semasa solat perlu ke berhentikan solat untuk berkumur dengan air mutlak sebelum mula solat balik? Takut tertelan air liur yg asalnya bukan dari mulut.

Begitu juga semasa puasa, perlu ke berkumur dengan air mutlak ?

2- Bagaimana sekiranya di dalam solat, sekiranya ada makanan di mulut dan kita ludahkan, boleh ke telan air liur selepas tu, sebab mulut dah berperisa makanan tadi

3- Begitu juga contohnya sebelum solat makan kurma seketul, wajib ke berkumur dengan air mutlak? Atau sekadar minum air kosong segelas dan terus mula solat?
Boleh ke lepas makan kurma terus je solat?

JAWAPAN:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

1. Batuk dan bersin adalah dua aktiviti refleks yang normal bagi tubuh manusia. Ia tidak menjejaskan solat dan tidak perlu berhenti solat untuk berkumur. Begitu juga tertelan air liur dalam solat tidaklah membatalkan solat.

Kata Imam Nawawi, “Jika tertelan sesuatu yang tidak dapat dikawal, contohnya air liur tertelan dengan membawa sisa makanan tanpa sengaja, maka tidak membatalkan sembahyang dengan sepakat”. (Majmuk 4/89-90)

Begitu juga halnya dengan puasa. Ia dimaafkan.

2. Sudah terjawab dalam jawapan no: 1.

3. Sebaik-baiknya selepas makan, hendaklah berkumur-kumur dahulu sebelum masuk sembahyang. Sebagaimana sabit dalam hadis Suwaid bin al-Nukman dalam kisah Peperangan Khaibar, baginda makan di satu tempat bernama al-Sahba’. Lalu sebelum sembahyang baginda berkumur-kumur dan para sahabat juga berkumur-kumur. Lihat Sahih Bukhari (hadis no: 2819)

Wallahu A’lam.

[sumber: al-ahkam.net]

 

Doa Awal Tahun dan Akhir Tahun

December 7, 2010 at 8:14 am | Posted in SOAL JAWAB | 1 Comment

Soal: Apakah pandangan ahli panel tentang bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun.

Jawab:
Oleh
Hj Kamin

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan ini dengan kadar kemampuan yang ada, In Sya Allah.

Tidak dapat dinafikan bahawa orang Islam digalakkan sentiasa memohon kepada Allah swt agar diberikan kebaikkan dan keredhaan bagi diri dan keluarganya. Tidak ada masalah untuk kita berdo’a untuk kebaikkan apabila datangnya awal tahun Hijrah, sebagaimana umum suruhan ibadat berdo’a.

Teguran dan kritikan kepada amalan berdo’a akhir dan awal tahun ini berdasarkan kepada beberapa perkara yang tidak dapat dipastikan kesahihannya :-

a. Kaifiat yang dianjurkan bagaimana mengamalkan do’a ini. misalnya dianjurkan membaca do’a ini 3 kali pada waktu akhir Asar, pada akhir bulan Zulhijjah.

b. Fadhilat kepada si-pembaca doa ini – misalnya fadilat do’a akhir tahun – maka barangsiapa membaca doa ini daripada waktu yang telah tersebut maka berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini maka diampuni Allah Ta’ala sekalian dosanya yang setahun ini.

Fadilat do’a awal tahun – Doa awal tahun iaitu hendaklah dibaca 3 kali setelah solat Maghrib pada malam 1 haribulan Muharram dan barangsiapa membaca ini maka bahawasanya syaitan berkata telah amanlah anak adam ini daripada aku barang yang tinggal dari umurnya pada ini tahun kerana bahawasanya Allah Ta’ala telah mewakilkan dua malaikat memelihara akan dia daripada fitnah syaitan

c. Kedua-dua do’a tidak boleh ditsabitkan kepada Nabi . Ia bukan hadith. Sheikh Jamaluddin al-Qasimi rh menyatakan bahawa do’a ini tidak berasal dari Nabi .

Disebabkan amalan ini tidak pernah dilakukan oleh Nabi , kafiat berdo’a cara ini bukanlah kaifiat yang disyariatkan. Penentuan permulaan bulan hijrah pun adalah pada zaman Umar ra iaitu pada tahun ke 17 hijrah atau selepas 7 tahun kewafatan Nabi .

Yang penting, kita tidak boleh mengaitkan do’a ini kepada Nabi . Berdo’alah dengan apa sahaja permintaan berdasarkan dalil umum galakkan berdo’a adalah dibenarkan, tidak terbatas kepada awal atau akhir tahun!. WA.

Sekian, wassalam

http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=97&t=37445&p=143608

Doa Untuk Bukan Islam Ketika Khutbah & Bersin

August 31, 2010 at 2:42 pm | Posted in SOAL JAWAB | Leave a comment

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

supplication_doa.jpg

Ustaz, apakah hukumnya mendoakan orang bukan Islam dengan hidayah atau biar dia bersifat adil, sejahtera, sihat tubuh dan sebagainya. Bolehkah pula doa sebegitu dibuat ketika khutbah? Harap ustaz dapat mengulas secara ilmiah dan tidak terpengaruh dengan mana-mana parti politik. Selain itu, apakah pula hukum kita menjawab bersin seorang kafir dengan sebutan “blessed you”. Terima kasih

JAWAPAN

InshaAllah, saya akan mengulas tanpa sebarang prejudis terhadap politik kepartian, walau saya sedar soalan saudara tadi telah disensasikan sebagai isu politik di tanahair.

Namun begitu, sebelum mengulas perlu dinyatakan, ulasan saya adalah hanya berkaitan hukum dan panduan umum tanpa merujuk kepada mana-mana kes dan isu di tanahair disebabkan saya tidak punyai sebarang info jelas berkenaannya.

Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada beberapa keadaan dan isi kandungan doa. Secara ringkasnya adalah seperti berikut :-

a. HUKUM HARAM

Para ulama bersepakat bahawa mendoakan orang bukan Islam dengan KEAMPUNAN ALLAH, MENDAPAT SYURGA, DIMUDAHKAN URUSAN AKHIRATNYA DAN APA SAHAJA YANG BERKAITAN DENGAN AKHIRAT adalah DIHARAMKAN.

Imam An-Nawawi menyebut :

وأما الصلاة على الكافر، والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن والإجماع

Ertinya : Adapun mendoakan orang kafir (bukan Islam) untuk mendapat keampunan adalah HARAM dari teks Al-Quran dan ijma’ ulama ( Al-Majmu’)

RINGKASAN DALIL

Terdapat beberapa dalil asas antaranya :-

  • Firman Allah :-

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَن يَسْتَغْفِرُواْ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُواْ أُوْلِي قُرْبَى مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

Ertinya : Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik (kafir & bukan Islam), walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu, adalah penghuni neraka Jahanam. (At-Taubat : 113)

  • Hadis Nabi :

أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عرض الإسلام على عمه أبي طالب وهو يموت، فأبى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْهُ . فَنَزَلَتْ : ( مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ ) وَنَزَلَتْ : ( إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ )

Ertinya : Nabi s.a.w mengajak bapa saudaranya Abu Talib kepada Islam, amun dia meninggal sebelum menyahutnya. Maka berkata nabi : “Aku berdoa keampuanan dari Allah untuknya apa-apa yang dia tidak berdoa (semasa hayatnya). Selapas doa nabi itu dibuat, turun ayat di atas dan turun juga ayat yang beerti ” sesungguhnya engkau tidak mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sukai”

Hadis di atas jelas menunjukkan larangan Allah kepada nabi dari berdoa KEAMPUNAN kepada bapa saudaranya yang TIDAK ISLAM. Imam Ib Hajar Al-Haithami Al-Syafie berkata

حرم الدعاء بأخروي لكافر، وكذا من شك في إسلامه، ولو من والديه

Ertina : haram berdoa berkenaan apa-apa urusan berkaitan akhirat untuk orang bukan Islam, demikian bagi mereka yang terdapat syak pada status Islamnya walau mereka itu ibubapanya ( Rujuk Tuhafatul Muhtaj )

b. HUKUM HARUS

Ulama juga sepakat mendoakan orang bukan Islam (kafir) agar mendapat HIDAYAH adalah HARUS DAN DIBENARKAN. Demikian juga lain-lain kebaikan bersifat dunia seperti umur panjang, kesihatan, lebih adil dan sebagainya, doa dalam hal kedunia itu HARUS selagi mana dia bukan merupakan seorang penentang utama Islam.

Imam Al-Bukhari sehingga memasukkan tajuk dalam kitabnya :

بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ

Ertinya : bab berdoa untuk orang kafir musyrik untuk mendapat hidayah agar dijinakkan hati mereka.

RINGKASAN DALIL

Terdapat beberapa dalil utama dalam hal ini, antaranya :-

  • Hadis nabi : –

فَقَالَ : إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ

Ertinya : Seorang sahabat telah datang kepada Nabi lalu berkata : Sesungguhnya seorang dari Dausan (nama kelaurga) telah derhaka dan enggan (masuk Islam), tolonglah doakan kepada Allah untuknya. Lalu Nabi berdoa : “Ya Allah berikanlah hidayah buat lelaki dari ahli keluarga Dausan itu dan bawakanlah dia kepada kami (Riwayat Al-Bukhari, no 2779 & Muslim)

Doa yang hampir sama juga pernah Nabi lafazkan untuk Ibu Abu Hurairah, ertinya : “Ya Allah berikanlah hidayah untuk Ibu Abu Hurayrah” (dari Riwayat Muslim)

Al-Hafidz Ibn Hajar menyatakan doa nabi itu merupakan satu taqriri dayang jelas berkenaan keharusannya. Ada ketikanya nabi akan mendoakan kehancuran dan laknat buat orang bukan Islam khususnya di ketika kuatnya kejahatan mereka ke atas umat Islam, di kala tenang dan aman, nabi mendoakan pula hidayah buat beberapa dari kalangan mereka. (Fath Al-Bari, 10/604).

  • Hadis nabi :-

كَانَ الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ : يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ ، فَيَقُولُ : يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Ertinya : orang Yahudi sengaja buat-buat bersin di hadapan Nabi serta berharap Nabi akan berkata sebagai balasan : Moga Allah merahmatimu kamu, Namun Nabi hanya menyebut  : Semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperelokkan pemikiranmu ( Riwayat At-Tirimizi& Abu Daud ; sohih menurut Albani)

Doa Nabi untuk mereka mendapat hidayah itu jelas membawa erti keharusan mendoakan hidayah buat mereka. Berdasarkan hadis itu, maka TIDAK HARUS untuk kita menyebut “bless you” kepada orang bukan Islam apabila dia bersin kerana ‘bless you’ tidak membawa makna yang sama dengan “Moga Allah memberi hidayah buatmu”. Justeru, Jika keadaan sesuai (kerana rakan agak rapat & telah ada minat kepada Islam), ucapan selepas mendengar bersin seorang bukan Islam itu boleh ditukar kepada “May Allah guide you” atau apa-apa yang seerti dengannya.  Namun jika situasi itu tidak sesuai, eloklah berdiam diri sahaja atau boleh disebut ‘get well soon’ atau apa-apa ucapan lain bersifat kebaikan dunia.

Syeikh Abu Tib menyatakan tidak boleh kita mendoakan rahmat atau blessing untuk bukan Islam kerana ia lafaz rahmat khas untuk sesama Muslim sahaja. ( ‘Aunu Al-Ma’bud, 13/257)

  • Hadis nabi :

Nabi pernah berdoa :

اللهم اعز الإسلام بأحب العمرين

Ertinya : Ya Allah, tinggikanlah Islam melalui salah seorang dari dua Umar ( Umar Al-Khattab atau Amru Hisham iaitu Abu Jahal)

Para ulama juga menyimpulkan keharusan berdoa untuk bukan Islam yang baik dan TIDAK BERCIRI PENENTANG ISLAM agar mendapat bertambah adil, bertambah baik, dipanjangkan umur, tambah anaknya, sihat tubuhnya dan dari jenis manfaat dunia yang tidak melibatkan akhirat serta rahmat dan keampunan.

Sebagaimana nabi pernah meminta Allah melewatkan dan menangguhkan azab ke atas penduduk Taif yang menghalaunya kerana mereka jahil dan tidak mengetahui.

KESIMPULAN

Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada isi kandungan doanya, sama ada doa itu diucapkan di dalam khutbah atau di luar ia tetap sama dari sudut hukum. Ia bergantung kepada kandungan. Jika ia melibatkan doa berkaitan urusan dunia seperti tubuh sihat atau mendapat hidayah, DISEPAKATI ULAMA ATAS KEHARUSANNYA. Namun jika keampunan, rahmat dan urusan akhirat DISEPAKATI HARAM.

TIDAK DIBENARKAN JUGA berdoa untuknya dengan rahmat selepas mereka bersin, sebaliknya ubahlah ucapan menuju erti moga Allah memberi hidayah kepadanya.

Jangan dilupa juga, doa kebaikan untuk orang zalim yang pasti menurut neraca Al-Quran dan Al-hadis, sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam adalah ditegah. Dalam sebuah athar yang kukuh jalan riwayatannya, disebut :-

من دعا لظالم بالبقاء فقد أحب أن يعصى الله

Ertinya : sesiapa yang mendoakan untuk orang zalim, maka dia sessungguhnya menyukai untuk menderhakai Allah.  (Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman)

Adapun dalam kes masjid Pulau Pinang, sebelum ingin dipastikan tegolong dalam kategori mana dari pembahagian hukum di atas, apa yang paling penting adalah memastikan sama ada ia benar-benar wujud doa atau tidak, dan jika wujud adakah ia merupakan tindakan individu khatib atau merupakan arahan pihak atasan atau arahan Ketua Menteri itu sendiri. Setelah itu, barulah disemak kandungannya. Jika ia menepati yang diharuskan, TIADA sebarang masalah di sisi Islam. Namun dalam hal ini, disebabkan ia telah bercampur dengan usaha meraih milage politik, hal ini perlu dinilai lebih teliti kerana kemasukan kepentingan politik menambah lagi keraguan kata-kata mereka yang berkata, dari kedua-dua pihak.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

13 Ramadan 1431 H

23 Ogos 2010

Solat Ghaib

April 21, 2010 at 5:01 pm | Posted in SOAL JAWAB | Leave a comment

SOALAN:

Assalamu’alaikum warga AAN,

Saya ingin tanya mengenai solat jenazah boleh ke seseorang itu solat jenazah tetapi tiada mayat dihadapan dgn alasan org yg tua dah tak larat dan berada dinegara yg lain.

diharap sudi membantu.

JAWAPAN:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Masalah yang saudara kemukakan dinamakan malasah Solat Ghaib. Iaitu solat jenazah terhadap mayat yang berada di negeri lain yang jauh.

Asal kepada permasalahan ini ialah perbuatan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersembahyang ke atas jenazah Raja Najasyi, Raja Habsyah yang wafat. Dalam hadis Abu Hurairah:

أن رسول الله صلى الله عليه و سلم نعى النجاشي في اليوم الذي مات فيه خرج إلى المصلى فصف بهم وكبر أربعا

“Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengumumkan berita kematian Najasyi pada hari beliau wafat. Baginda keluar ke musolla, membuat saf dengan sahabat, dan bertakbir sebanyak empat kali”. (Direkod oleh Bukhari no: 1188 dan Muslim no: 951).

Sebahagian ulama mengambil hukum dari umum hadis ini, iaitu boleh dilakukan solat jenazah ke atas mayat yang berada jauh seperti di negara lain.

Ada juga ijtihad ulama yang mengkhususkan amalan solat ghaib untuk jenazah pembesar-pembesar sahaja, seperti para ulama atau pemimpin. Sebagaimana Nabi Sallallahu Alahi Wasallam lakukan kepada jenazah Najasyi, tetapi tidak pernah ada riwayat baginda solat jenazah ghaib terhadap sahabat-sahabat baginda yang wafat di negeri lain.

Sebahagian pula mengkhususkan ia hanya khas bagi orang Islam yang mati di tempat lain yang tidak disembahyangkan ke atasnya di negara mereka. Kerana Raja Najasyi wafat di negara Habsyah yang merupakan negara Kristian.

Wallahu A’lam.

oleh: Ustaz Abu Umair (Panel Feqh Al-Ahkam.net)

Menyelamat Pesalah Dengan Hujjah di Mahkamah?

April 17, 2010 at 6:00 pm | Posted in SOAL JAWAB | Leave a comment

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net

fire2.jpg

Baru-baru ini saya menerima sebuah soalan berkaitan kerjaya peguam. Ringkasan soalannya menyebut :

Saya seorang pelajar undang sivil dan syariah  uia. Baru-baru ni saya ikuti satu talk mengenai ‘ “can a muslim lawyer defend a guilty person” dan saya begitu terperanjat penceramah mengatakan bahawa muslim boleh membela semua jenis client yang datang kepada mereka, walaupun mereka mengaku diatas kesalahan mereka, di antara hujahnya:

1) kerana tiada istilah bersalah terhadap seseorang selagi mana dia tidak disabitkan bersalah oleh hakim.

2) si peguam hanya mendengar pengakuan daripada satu pihak sahaja (client) bukan dari kedua-kedua belah pihak.

3) kita tetap tidak akan disoal di akhirat kerana kita menjalankan tugas kita, iaitu menegakkan kebenaran (terhadap klien)

Adakah betul kita boleh membela semua klien yang datang kepada kita walaupun dia membunuh, atau merogol atau sebagainya, terutamanya bagi mereka yang mengaku (kerana penceramah tetap menghalalkannya atas dasar setiap insan ada defence, hujah diatas perbuatan). Jika itu tugasan yang dilakukan, bagaimana pula pendapatannya?.

Bagi saya soalan ini adalah amat baik dan realistik. Menarik untuk dikaji dan dihurai lebih mendalam. Cuma di ruangan ini saya hanya mampu memberikan pandangan ringkas.

Memang benar, ada jenis kesalahan yang perlukan lebih dari pengakuan seseorang, sebagai contoh Nabi s.a.w menolak pengakuan Maiz bin Malik yang mengaku berzina sehingga pengakuan dibuat sebanyak empat kali, barulah baginda memutuskan hukuman ke atasnya.

Begitulah, mungkin benar, pengakuan seseorang masih belum mencukupi untuk kita menyakini dia bersalah dan tidak layak dibantu. Memang benar juga, selepas segala pengakuan beserta bukti-bukti yang terpampang di hadapan kita, semuanya akan menjadi saksi. Di ketika itu seorang peguam mungkin masih boleh membantu dengan mempertahannya di mahkamah selaku klien. Itu benar dan sememangnya tugas menjatuhkan hukuman akan tertanggung di atas bahu hakim.

Namun begitu, di dalam Islam peguam tersebut tidak boleh sama sekali terlibat dalam menyembunyi beberapa fakta dan bukti yang telah kita perolehi ketika bersama klien kita. Fakta dan bukti ini sebahagiannya jika diperolehi oleh pihak pendakwa bakal membawa kepada sabit kesalahan ke atas klien kita.

Jika ia disembunyikan, ia jelas termasuk di dalam perkara  yang haram. Manakala pendapatan hasil pembelaan tersebut juga menjadi haram disebabkan ia termasuk di dalam bantu membantu dalam perkara dosa, maksiat dan permusuhan serta mengagalkan keadilan dari ditemui dan ditegakkan. Sebagaimana Allah mengharamkan seorang saksi enggan menjadi saksi dalam pembelaan keadilan.

وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا

Ertinya : Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil ( Al-Baqarah : 282)

Maka tatkala peguam bela tersebut menjadi saksi kepada pengakuan kliennya walau di luar mahkamah, peguam tersebut sepatutnya menjadi saksi bagi menegakkan keadilan dalam kes terbabit.

Memang benar, keputusan akan dibuat oleh hakim, tapi cuba peguam bela memaklumkan dengan jelas dan terang kepada hakim dan mahkamah, bagaimana pengakuan kliennya di sebalik tabir beserta bukti-bukti yang mungkin peguam tersebut sendiri jumpai. Tatkala itu, seorang peguam yang bertanggungjawab akan sendiri faham dan mengetahui apakah hukuman yang bakal dijatuhkan oleh hakim.

Namun malangnya, selaku PEGUAM BELA yang mewakili pelanggannya, penyembunyian fakta dan data kerap berlaku, ia dibuat bagi mengelakkan pelanggannya didapati bersalah. Jika itu berlaku, jelaslah tugas dan gajinya dalam kes terbabit akan sama ada jatuh syubhat atau lebih jelas lagi menjadi haram.

Bukankah Nabi pernah menjelaskan, sekiranya seseorang peguam itu bijak berbicara sedangkan ia mengetahui kliennya bersalah tetapi tetap menjalankan ‘tugasnya’ membela dengan segala jenis kepintarannnya berhujjah, sehingga akhirnya hakim menyakini kepetahan hujjahnya sehingga menjatuhkan hukuman yang salah, apakah yang akan menimpanya ? Bacalah erti hadis di bawah:-

إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار

Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar,  8/632, no 3920 )

Amat jelas dari hadis ini, tindakan seorang peguam berhujjah membantu si pesalah adalah salah di sisi Islam dan dikira melayakkan dirinya untuk dibakar oleh sepotong api neraka. Jika itu keadaanya, nescaya pendapatan darinya juga pasti haram.

Walaupun hadis kelihatan menyebut perihal mereka yang terlibat di hadapan hakim sahaja (dalam konteks moden iaitu peguam), namun hadis ini membawakan satu prinsip yang jelas buat semua umat Islam, iaitu kita tidak sama sekali boleh menyebelahi mereka yang salah walau atas nama profesion, kaum, satu parti, keluarga dan sebagainya.

Firman Allah :

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ( Al-Maidah : 8).

Rasulullah menegaskan prinsip keadilan tanpa mengira bangsa, kaum dan keluarga apabila baginda menyebutkan dalam sebuah hadis yang cukup popular iaitu :-

إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدّ. وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا

Ertinya : Sesungguhnya kaum sebelum kamu menjadi hancur disebabkan apabila mereka yang berkedudukan mencuri, mereka melepaskannya, tetapi jika orang biasa (lemah kedudukan) mencuri dijatuhkan hukuman ke atasnya, Demi Allah (dalam Islam), sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri, nescaya akan ku potong tangannya ( jatuh hukum sebagaimana yang lain). ( Riwayat Al-Bukhari.

Kesimpulannya, saya TIDAK BERSETUJU dengan jawapan penceramah peguam seperti yang ditanyakan di atas.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

28 Mac 2010

Bolehkah Sertai Jawatan Kuasa Antara Agama?

April 17, 2010 at 5:57 pm | Posted in SOAL JAWAB | Leave a comment

sinar2.jpg

Soalan: Sekarang ini heboh diperkatakan tentang jawatankuasa antara agama. Apakah pandangan al-Fadhil Dr Asri mengenai hal ini? Tidakkah ini bererti kita telah menghina Islam kerana telah meletakkan Islam sama dengan agama-agama lain. Ada juga pihak yang telah mengeluarkan fatwa haram. Ada yang kata boleh. Semuanya memeningkan kepala orang Islam. Harap Dr Asri dapat ulas.

Khalidah, Rembau, Negeri 9.

Jawapan DR MAZA:

Semoga Allah memberikan rahmat kepada saudari atas keprihatinan terhadap isu-isu umat Islam. Jawapan saya di sini bukannya secara khusus mengenai jawatan kuasa yang hendak ditubuhkan oleh Pihak Kerajaan Pusat. Saya belum pasti pendetilan tujuan dan kerangka mereka. Namun berikut beberapa perkara asas yang ingin saya sentuh dalam hal ini;

1. Pada prinsipnya, Islam bukan sahaja membolehkan kita berdiolag dengan penganut agama lain, bahkan memerintahkan kita berdialog, berhujah dengan cara yang baik dan menyeru serta memahamkan mereka hakikat agama Islam ini. Firman Allah (maksudnya):

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).

Kata al-Sa’di (meninggal 1376H):

“Hikmah maksudnya setiap individu diseru berdasarkan keadaan, kefahaman, penerima dan perlaksanaannya..adapun mauizah hasanah (nasihat yang baik) bermaksud dengan ungkapan yang baik yang dapat mengingatkan mereka. Antaranya dengan cara memberi amaran kepada mereka mengenai balasan Allah di akhirat dengan pendekatan yang dapat menginsafkan mereka. Sementara: berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik bermaksud cara yang paling memungkin mereka menerimanya secara akal dan nas ( Al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman, 452, Beirut: Muassasah al-Risalah).

2. Diolag antara muslim dan penganut-penganut agama lain amat diperlukan di zaman kini di mana Islam sering disalahfahamkan oleh Media Barat. Interfaith Diologue atau dalam bahasa Arab al-Hiwar bain al-Adyan (Dialog Antara Agama-Agama) boleh menjadi perantara memahamkan Islam kepada pihak-pihak yang salahfaham terhadap agama yang mulia ini. Walaupun hakikatnya, bukanlah dialog antara agama, tetapi dialog antara penganut agama. Jika ruangan seperti ini tidak diambil, terutama di peringkat antarabangsa, maka salahfaham terhadap Islam akan terus berkembang. Islam akan dituduh agama jumud, fanatik, tiada hujah, dan enggan mendengar isi jantung hati pihak lain. Di samping, dialog antara agama juga boleh menjadi medan untuk membela nasib umat Islam.

3. Dialog dengan penganut agama lain bukan semesti kita menyeru mereka secara langsung untuk menganut Islam. Sebaliknya, kita mungkin sekadar menghapuskan salahfaham, buruk sangka dan maklumat yang salah yang ada dalam kalangan bukan Islam. Itu mungkin membawa mereka kepada bersikap baik dengan umat Islam, bahkan mungkin juga membawa mereka kepada hidayah Islam. Ketika para sahabat Nabi s.a.w ke Habsyah melarikan diri daripada kezaliman Quraish Mekah, pihak Quraish telah menghantar wakil untuk menghasut Raja Habsyah iaitu Najasyi agar menangkap dan menyerah kaum muslimin kepada Quraish.

Kata wakil Quraish: “Wahai Raja! Telah datang ke negaramu budak-budak yang bodoh. Mereka telah memecah belahkan agama kaum mereka dan tidak pula memasuki agamamu. Mereka membawa agama yang mereka ada-adakan yang kami dan engkau tidak kenalinya. Pembesar kaum mereka yang terdiri daripada bapa-bapa mereka, paman-paman mereka dan kaum keluarga mereka telah menghantar kepadamu utusan agar engkau mengembalikan mereka kepada kaum mereka. Mereka semua lebih tahu keburukan mereka itu dan mereka memarahi perbuatan mereka”.

Aduan atau fitnah mereka itu telah memaksa ketua umat Islam di Habsyah berdialog dengan Najasyi. Apabila Najasyi bertanya: “Agama apakah ini yang kerananya kamu telah pecah belahkan kaum kamu dan tidak pulak kamu memasuki agamaku?”. Lantas Jaafar bin Abu Talib pun memberikan jawapan yang sangat terpilih lagi menyentuh perasaan Najasyi yang merupakan seorang Kristian ketika itu. Dalam jawapan tersebut Jaafar tidak pun menyeru Najasyi agar menganut Islam, sebaliknya beliau menceritakan sifat dan keistimewaan Islam.

Kata Ja’far: “Wahai Raja! Kami dahulunya adalah kaum jahiliyyah; kami menyembah berhala, memakan bangkai (binatang yang tidak disembelih), mendatangi perkara-perkara yang keji, memutuskan hubungan kekeluargaan, menyakiti hati jiran. Mereka yang kuat dalam kalangan kami menindas orang yang lemah. Begitulah keadaan kami, sehinggalah Allah menghantarkan kepada kami seorang rasul. Kami kenal akan keturunannya, kami kenal akan benar cakapnya, kami kenal akan amanahnya, kami kenal dia seorang yang memelihara diri dari keburukan. Lalu dia menyeru kami kepada Allah agar kami meng’tauhid’kanNya dan menyembahNya; dia juga meminta agar kami tanggalkan apa yang kami dan keturunan kami sembah selain Allah yang terdiri daripada batu-batu dan berhala-berhala. Dia perintahkan kami supaya bercakap benar, tunaikan amanah dan hubungkan silaturrahim. Dia melarang kami dari membuat perbuatan keji, perkataan dusta, memakan harta anak yatim, menuduh zina wanita-wanita baik. Dia menyuruh kami agar hanya menyembah Allah yang esa, tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu, dia menyuruh kami agar bersolat, berzakat dan berpuasa –lalu Ja’far menyebut beberapa ajaran Islam yang lain lagi-. Lalu kami membenarkannya dan beriman dengannya, serta kami ikut agama Allah yang dia bawa. Maka kami hanya menyembah Allah, tidak mensyirikkanNya, kami haramkan apa yang dia haramkan dan kami halalkan apa yang dia halalkan. Tiba-tiba kaum kami memusuhi kami, mereka menyiksa kami, mengganggu kami dari agama kami. Tujuannya, mereka mahu agar kami kembali menyembah berhala, menghalalkan segala kekejian yang pernah kami halalkan. Apabila mereka memaksa, menzalimi, menekan kami dan menghalang agama kami, lantas kami pun keluar menuju negaramu. Kami memilih engkau, dibandingkan yang lain. Kami ingin mendapatkan perlindungan engkau. Kami harap kami tidak dizalimi di sisi engkau, wahai Raja!”.

Lalu Najasyi bertanya: “Adakah bersamamu apa-apa yang datang daripada Allah?”. Jawab Ja’far: Ya!. Kata Najasyi: “Bacakan kepadaku”. Lalu Ja’far membaca Surah Maryam yang terkandung kisah Maryam dan Nabi ‘Isa a.s.. Bercucuranlah airmata Najasyi, juga para agamawan Kristian yang ada bersamanya. Maka Najasyi pun enggan menyerah orang-orang Islam kepada Quraish dan mempertahankan mereka. Bahkan dalam senyap, Najasyi menganut Islam. (lihat: Al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 97-99, Riyadh: Uli al-Nuha).

4. Dalam negara ini, walaupun bukan muslim hidup dalam kalangan kita, namun hasil dari sikap dan pendekatan umat Islam sendiri, banyak perkara yang mungkin ramai mereka tidak faham tentang Islam. Kita sering berbual atau berbagai perkara; politik, bisnes, makanan dan lain-lain, tetapi kita sering gagal berdialog atau menyampaikan mesej Islam kepada mereka. Justeru itu, dialog dan perbahasan agama secara hormat dan baik samada di peringkat formal atau tidak formal amat dituntut oleh Islam.

5. Setelah muslim membetulkan niat, hendaklah pihak bukan muslim tidak menzahirkan niat yang buruk. Ya, dalam Islam adalah menjadi hak bukan Islam sebagai rakyat untuk memberitahu pegangan agama mereka yang menyentuh tentang perjalanan hidup mereka seharian. Mendengar, cuba memahami keadaan mereka dan berdialog dengan cara yang terhormat tidak menyanggahi syarak. Ini selagi pihak bukan muslim tidak mempunyai niat buruk. Allah menyatakan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu, dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah, ayat 8-9).

6. Dialog antara Islam dan agama-agama lain bukanlah bererti kita menganggap Islam itu sama dengan agama lain di sudut kebenaran atau wahyu. Sama sekali tidak boleh demikian. Jika ada yang menganggap Islam sama dengan agama lain di sudut kebenaran dan wahyu, maka itu satu kekufuran. Firman Allah (maksudnya):

“Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan mereka yang rugi”. (Surah Ali-‘Imran, ayat 85).

7. Sebab itu, wakil di pihak muslim hendaklah mereka yang jelas dan kuat akidahnya. Duduk semeja tidak bererti kita mengiktiraf semuanya sama. Itu penilaian yang songsang. Setiap penganut agama berpegang kepada akidah mereka. Akidah muslim meyakini hanya Islam agama yang diiktiraf Allah. Namun, kita hendaklah akur, sebagai manusia dan rakyat bukan muslim juga mempunyai hak yang patut dihormati. Ya, Islam sentiasa benar, tetapi tindakan orang Islam bukanlah semesti semuanya benar dan adil. Sebab itu dalam sejarah Islam, banyak kali bukan muslim menang di mahkamah Islam dalam menuntut hak mereka terhadap umat Islam. Kes-kes di zaman ‘Umar bin al-Khattab dan ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz disebut oleh sejarah sebagai contoh keadilan Islam terhadap bukan muslim.

8. Mengapakah kita sering bimbang untuk berdialog dengan penganut agama lain, sedang Islam adalah agama hujah dan fakta dan individu muslim pula sepatutnya sentiasa bersedia untuk akur dan tunduk kepada kebenaran sekalipun menyanggahi kepentingannya. Firman Allah (maksudnya) :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: ayat 8).

9. Perubahan politik tempatan dan antarabangsa menjadi sebahagian teori dan andaian politik yang disebutkan dalam sebahagian buku-buku sarjana Islam silam sudah tidak lagi praktikal untuk diamalkan. Bukan kerana prinsipnya, tetapi kerana keadaan yang berbeza menuntut pendekatan yang berbeza. Dialog antara agama juga mungkin perlu dibahaskan dalam kerangka sekarang dan setempat dan kesannya yang berbeza bagi setiap keadaan. Politik adalah kebijaksanaan, keadilan dan kerahmatan untuk semua.

10. Maka,menyertai jawatankuasa dialog antara agama bukan satu kesalahan syarak. Sebaliknya jika niatnya baik untuk menerangkan hakikat Islam dan memberikan keadilan kepada manusia, itu adalah tanggungjawab yang mestikan ditunaikan oleh masyarakat Islam.

sumber: DR MAZA

Next Page »

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.