PKR: Nyawa Anwar dalam bahaya

June 30, 2008 at 3:44 am | Posted in BERITA | Leave a comment

Muda Muhd Noor & Jimadie Shah Othman | Jun 29, 08 2:13pm

Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk ‘menyembunyikan’ Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tempat yang selamat kerana nyawanya dalam bahaya.

Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali berkata, apa yang berlaku bukan sahaja satu cara untuk membunuh politik Anwar tetapi “kalau boleh untuk membunuh beliau sendiri”.

wan azizah pc on anwar sodomy saiful bukhari azlan allegations 290608 03Menurutnya, keputusan untuk meletakkan Anwar di tempat selamat dibuat oleh parti dan bukannya keputusan Anwar sendiri.

Ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan Anwar berlindung di sebuah kedutaan, beliau berkata menegaskan Anwar berada dalam negara.

Katanya, Anwar menafikan dakwaan liwat terhadapnya. Syed Husin menyifatkan dakwaan tersebut sebagai “satu percubaan yang paling jelik dan hina”.

Manakala Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail juga berkata Anwar berada dalam negara dan nyawanya dalam bahaya.

“Kita akan bincang dengan peguam. Apa yang beliau hadapi adalah ancaman kematian. Perkara ini serius. Ini merupakan konspirasi politik yang kedua dalam negara kita.

Buka mata

“Sebelum ini, pada 1998. Apa mereka buat, badan kehakiman, polis. Kami keluar IPCMC, tiada apa yang berlaku. Kami dapati tiada sebab untuk percaya badan kehakiman. Jadi apa pilihan? Kami mesti membuat pilihan ini. Kami mesti melindunginya.

“Ramai rakyat Malaysia mencari pemimpinan Anwar dan kita mesti melindunginya. Bukan sebab dia suami saya dan bapa kepada anak-anak, tetapi dia pemimpin kita semua,” katanya.

Beliau yang juga isteri Anwar berkata, ketua umum PKR itu tidak percaya kepada pihak polis dan badan kehakiman.

“Kali pertama ia membuka mata bahawa kehakiman kita tidak boleh dipercayai dan polis. Bukan semua, saya tidak kata semua sebab sekarang sudah ada hakim macam Ian Chin. Pada masa dahulunya menunjukkan kita tidak boleh percayai sistem kehakiman,” tambahnya.

anwar sodomy saiful bukhari azlan allegations 290608Wan Azizah turut mendedahkan gambar pembantu Anwar, Saiful Bahari dengan pegawai khas Datuk Seri Najib TUn Razak – Khairul Anas Yusof – yang berlatarbelakangkan pejabat timbalan perdana menteri (TPM).

Gambar tersebut diambil dari blog Malaysia Today.

Ditanya sama ada TPM terlibat dalam konspirasi itu, Wan Azizah hanya berkata: “Gambarnya berlatarbelakangkan pejabat TPM.”

http://www.malaysiakini.com/news/85267

MAHASISWA DAN AUKU

June 16, 2008 at 6:50 am | Posted in FIKRAH ajimoni | Leave a comment

Malaysia merupakan antara negara di dunia yang memiliki kemudahan infrastruktur pendidikan terbaik dunia. Segala kemudahan asas pembelajaran secara umumnya dinikmati oleh semua lapisan rakyatnya. Seperti yang umum ketahui, Malaysia mempunyai sejumlah 20 buah Universiti dalam Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ratusan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang memaju pendidikan negara peringkat tertinggi. Jumlah IPT ini mengambarkan keseriusan pihak kerajaan dalam memberikan peluang kepada semua rakyat Malaysia yang layak menikmati suatu sistem pendidikan yang baik. Namun timbul suatu isu yang menarik kebelakangan ini apabila ada pihak yang mempertikaikan kualiti mahasiswa keluaran universiti tempatan apabila mereka dikatakan tidak setaraf dengan mahasiswa keluaran universiti diluar negara. Kedudukan universiti tempatan dalam Times Higher Educational Supplement (THES) seakan membenarkan tuduhan ini. Terdapat juga tuduhan dimana majikan lebih berminat mengutamakan graduan lepasan universiti luar negara daripada graduan tempatan.

Untuk bersifat adil dalam menilai isu ini, kita sewajarnya melihat isu kualiti mahasiswa dari dua sudut perspektif yang berbeza iaitu cemerlang dari sudut akademik dan cemerlang dari sudut aktiviti tidak berteraskan akademik semata. Ramai pasti bersetuju apabila dinyatakan bahawa mahasiswa universiti tempatan rata-rata mencatatkan keputusan yang baik dan setaraf dengan mahasiswa lepasan universiti luar negara, namun yang menjadi pertikaian mungkin dari sudut aktiviti yang tidak berteraskan akademik. Aktiviti yang tidak berteraskan akademik boleh ditafsirkan sebagai aktiviti yang berbentuk kepimpinan, keyakinan diri, kesukanan, kemasyarakatan, dan aktiviti yang membentuk keberanian menyuarakan pendapat dalam bentuk pengucapan awam. Ramai graduan lepasan universiti tempatan gagal dalam temuduga kerja apabila majikan mendapati mereka tidak cemerlang dalam aspek yang bersifat tidak berteraskan akademik. Seorang penganalisis ekonomi yang disegani iaitu Datuk Salleh Majid apabila ditanya pendapatnya mengenai punca kenapa ramai mahasiswa menganggur menjawab bahawa mahasiswa gagal menyakinkan majikan semasa sesi temuduga. Ini kerana kebanyakkan mereka kurang berkeyakinan dan tidak fasih berbahasa inggeris. Apabila melihat situasi yang berlaku ini, dapat dinilai bahawa mahasiswa di Malaysia memerlukan suatu bentuk ajakan paradigma yang mengajak mereka kembali aktif melibatkan diri dalam aktiviti yang berbentuk tidak berteraskan akademik.

Ramai yang melihat punca terjadinya hal ini berkait rapat dengan wujudnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Akta ini dilihat oleh kebanyakkan mahasiswa menyekat kebebasan mereka melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti luar dan aktif dalam persatuan-persatuan tertentu yang bukan dibawah selian kerajaaan. Sejak kewujudan akta ini, sering kali ianya mendapat reaksi yang pelbagai terutamanya daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari setiap universiti awam. Rata-rata daripada mereka mahu pihak kerajaan mengkaji semula pelaksanaan AUKU dan nada yang hampir sama kedengaran setiap kali MPP bertukar pemegang amanahnya. Pelaksanaan AUKU daripada suatu sudut telah memberikan impak yang amat negatif kepada pemikiran mahasiswa. Ini kerana telah wujud satu sindrom “tidak peduli” dikalangan mahaisiswa kepada pelbagai isu semasa yang sedang berlaku. Apabila ada isu-isu semasa yang melibatkan negara dan dunia, mereka dengan cepat akan melabelkan ianya sebagai hal politik dan beranggapan hal politik biarlah orang politik yang membincangkannya. Persepsi ini wujud apabila mereka merasakan ada suatu akta yang telah menghalang penglibatan mereka dalam hal-hal seumpama ini. Hal ini menyebabkan pemikiran mahasiswa lebih dihalakan kepada suatu sudut yang tidak ada sebarang sekatan atau halangan seperti hiburan sehingga mewujudkan suatu budaya baru dikalangan mahasiswa iaitu gilakan hiburan. Kita boleh lihat kebenaran dakwaaan ini apabila melihat situasi semasa apabila sekarang kita ketandusan tokoh-tokah yang hadir daripada kalangan mahasiswa yang mampu melontarkan idea-idea secara terbuka, matang dan bernas. Jika ada pun tokoh-tokoh ini, bilangan mereka boleh dibilang menggunakan jari. Kebajetan pemikiran mahasiswa mengundang kerugian kepada negara kerana mereka merupakan generasi yang akan memikul beban mentadbir negara ini.

Penjelasan daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Hou Kok Chung pada sidang Dewan Negara baru-baru ini sedikit melegakan apabila menyatakan bahawa AUKU tidak menghalang pelajar untuk bergiat dalam kegiatan kostruktif dan menyertai mana-mana pertubuhan dalam negara dengan syarat ianya bukan pertubuhan haram dan tidak menyalahi peraturan. Apabila ada sekatan tertentu terutamanya terhadap penglibatan dalam persatuan luar daripada universiti, ia sedikit sebanyak menjejaskan potensi pelajar. Mahasiswa universiti perlu didedahkan dengan aktiviti luar daripada universiti kerana ia mampu memberikan satu skop kepimpinan dan pengalaman yang lebih meluas kepada pelajar. Aktiviti berpersatuan merupakan sesuatu perkara yang penting dimana ia dapat membentuk sifat kepimpinan dan keyakinan diri yang tinggi dan ini sangat membantu apabila mahasiswa berhadapan dengan dunia sebenar apabila memasuki alam pekerjaaan. Namun hal ini sebenarnya memerlukan penjelasan lanjut daripada pihak kementerian kerana terdapat beberapa perkara yang agak kontra dengan apa yang dikatakan dan dikira masih samar.

Cadangan pihak kerajaan yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri iaitu Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak kepada wakil pelajar dari seluruh universiti awam tentang kerajaan bercadang untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) merupakan satu langkah yang amat dialu-alukan. Keseriusan pihak kerajaan terhadap hal ini terbukti sekali lagi apabila Dato’ Dr Zulkefli A Hassan selaku Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi memberi jaminan bahawa perkara ini akan dibawa ke Parlimen selepas selesai semakan semula terhadap AUKU selesai dijalankan iaitu pada bulan Jun atau Julai. Antara perkara yang dikira wajar diambil perhatian oleh pihak kerajaan adalah memperjelaskan secara terperinci dan komprehensif setiap seksyen yang terdapat didalam AUKU agar ianya lebih difahami dan tidak menimbulkan salah faham terhadap pelaksanaannya. Mahasiswa juga wajar diberikan kelonggaran menyatakan pandangan politik tanpa perlu terikat dengan mana-mana parti politik dan agensi yang bernaung dibawahnya. Ini kerana politik tidak hanya bersifat politik kepartian tetapi ia sewajarnya dinilai dengan sifat politik sejagat seperti politik sains, politik sosial dan politik kemasyarakatan. Seksyen 15D pula wajar disemak semula kerana pertuduhan kepada pelajar terhadap jenayah yang dilakukan diluar, pelajar tidak wajar digantung pengajian sehingga kesnya selesai kerana belum terbukti sama ada pelajar itu bersalah atau tidak. Apabila pengajian pelajar itu digantung, kemudian didapati tidak bersalah, ini menimbulkan kesulitan terhadap pelajar itu kerana kes mahkamah biasanya mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Keperihatinan kerajaan pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam perkara ini menggambarkan keseriusan beliau dalam mengotakan janji-janjinya yang mana ingin mengamalkan kerajaan yang bersikap lebih terbuka dan telus. Semakan terhadap AUKU ini diharapkan mampu memberikan mahasiswa lebih ruang untuk membentuk kecemerlangan dari sudut yang mana selama ini mereka ketandusan untuk melakukannya.  

-ajimoni-

Harga Minyak Naik : Nikmat Dunia Tergugat

June 6, 2008 at 6:44 am | Posted in ARTIKEL | Leave a comment

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

MInyak oh minyak

Kenaikan harga minyak petrol dan diesel bermula 5 Jun 2008 dan tariff elektrik mulai 1 Julai 2008 menyebabkan rakyat Malaysia ramai yang mencarut, memaki dan marah, hal ini dapat dilihat di sana sini.

Ada yang tidak boleh tidur memikirkan cara mengurus belanjawan baru keluarga. Bagi keluarga yang berpendapatan jenis ‘cukup-cukup makan sebulan’ pasti semakin resah dan marah, sedih dan rasa terzalim.

Di Malaysia kita ini, sebenarnya banyak isu selain kenaikkan harga-harga ini, kita ada isu murtad, riba, syirik, bomoh, tangkal, zina, maksiat, culik, sumbang mahram dan pelbagai lagi.

Namun dari banyak-banyak isu, isu kenaikan harga beras dan minyak ini yang paling meriah sambutannya dari masyarakat. Hiruk pikuk dari segenap blog dan media.Kenapa??!!

Inilah realiti masyarakat kita, kehidupan dunia sangat memberi kesan kepada minda dan hati. Berbanding kenaikan pelbagai masalah berkaitan agama yang hanya mendapat sambutan beberapa kerat kumpulan masyarakat sahaja. Malah tidak dipedulikan oleh majoritinya.

Mudahnya, apabila perut sendiri tergugat dan libatkan dunianya yang DIKASIHI barulah ramai mahu bising dan protes. Selagi belum mengenai mereka dan hanya mengugat hal ghaib akhirat sahaja, JARANG DIHIRAUKANNYA.

Kita patut bimbang dengan iman kita sekarang ini, sangat patut bimbang. Kelihatan pengaruh dunia sangat mendalam kesannya dalam jiwa.

Jika sekiranya kedua-dua jenis isu dunia dan akhirat mendapat perhatian anda sejak sekian lama. Tahniah saya ucapkan, teruskan menjaga imanmu tersebut wahai teman.

Sebagai mengulas ringkas isu kenaikan harga ini, berikut beberapa fakta secara ‘adil’ dan ulasan ringkas dan spontan saya (spontan ini menyebabkan mungkin saya ada terlepas pandangan aspek-aspek lain) :-

FAKTA : Harga sebenar petrol ialah RM3, tetapi kerana kerajaan memberi diskaun 30 sen, pengguna hanya membayar RM2.70 seliter.

ULASAN :

Terima kasih namun mengurangkan subsidi dalam sebuah masyarakat yang belum bersedia akan pasti menyakitkan orang awam berpendapatan rendah dan sederhana. Maksud saya ‘bersedia’ antaranya :

1-      Ilmu dan skill . Purata masyarakat Malaysia terutamanya bumiputra masih terkial-kial dan mencari kehidupan dan pendapatan secara sihat. Skim cepat kaya, pelaburan haram interent, perjudian sms, rancangan hiburan masih bersarang dalam minda kebanyakkan mereka. Masyarakat sebegini masih manja dan perlukan perancangan terbaik dari kerajaan dari sudut pendidikan dan kewangan.

2-      Penghapusan Rasuah : Selagi rasuah menggila dalam Negara ia pasti menyekat perkembangan skill dan kemampuan diri rakyat. Maka apabila subsidi dikurangkan, kumpulan kurang pendapatan akan terus tertindas disebabkan rasuah. Malah lebih dahsyat, rasuah akan bertambah pula akibat dari segala kenaikan ini. Lihat sahaja Negara-negara maju, pra syarat mereka adalah mesti minimakan rasuah dahulu.

3-      Gaji minima ; Gaji minima diperlukan bagi membantu masyarakat kurang pendapatan mengharungi kenaikan demi kenaikan ini. Adalah amat dihargai jika gaji miniam dapat dinaikkan sedikit agar rakyat pendapatan rendah boleh menikmatinya sedikit.  Gaji minima di negara-negara yang mengapungkan harga minyak mereka adalah tinggi, ini seimbang dengan harga minyak, adapun Negara kita tidak sedemikian dan kita juga belum mampu untuk menawarkan gaji minima yang tinggi.

4-      Harga kereta belum wajar : Baik juga jika harga kereta sepatutnya di buka mengikut harga pasaran sebenar juga. Menurut faktanya harga kereta di Malaysia adalah antara yang termahal. Biar semua berlumba-lumba menjadi lebih kompetitif seperti Air Asia dan MAS. Mereka berlumba-lumba menawarkan harga rendah. Namun keuntungan mereka masih juga bertambah.

5-      Pengangkutan Awam Belum Sedia : Saya jarang menggunakan pengangkutan awam namun saya sedar akan kurang mampunya pengangkutan awam ini untuk menampung keperluan dan permintaan sekiranya semakin ramai ahli masyarakat ingin beralih dari kenderaan sendiri kepada pengangkutan awam. Ringkasnya, ia masih belum cukup efisyen.

FAKTA : Diskaun 30 sen diberi bagi setiap liter minyak. Jika harga minyak di pasaran dunia turun, penyelarasan akan dibuat sebulan sekali, tetapi kadar diskaun 30 sen itu akan tetap diberikan.

ULASAN :

Wallahu’alam, menurut pandangan saya, ia kelihatan baik dan wajar. Namun dalam konteks realiti yang sudah naik sebegini sukar untuk turun kembali.

FAKTA : Rebat tunai bahan api akan dibayar oleh kerajaan kepada pemilik kenderaan selepas mereka membayar cukai jalan.

ULASAN :

Saya kira ini adalah teknik kerajaan agar memastikan semua pengguna yang berkelayakan membayar cukai jalan, ini mungkin kerana ramai pengguna jalanraya tidak punyai road tax yang sah. Ia serampang dua mata.

Bagaimana pula  bagi keluarag miskin yang tiada kenderaan bermotor langsung?. Walaupun mereka tidak perlu mengisi minyak namun mereka masih perlu membeli barangan yang diangkut menggunakan kenderaan penjual. Sudah tentu si penjual akan menaikkan harga barangnya kelak. Bagaimana dengan rebate bagi kumpulan sasar sebegini?

Apa yang boleh membantu mereka. Kita bimbang mereka akan menjadi semakin miskin dan susah. Moga Allah membantu mereka.

FAKTA :

a- Bayaran tunai RM625 setahun diberikan kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pick up dan jip berkapasiti sehingga 2,500cc. Pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc pula mendapat bayaran tunai RM150 setahun.

b- Cukai jalan dikurangkan sebanyak RM200 kepada pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak tergolong dalam kategori itu.

c- Pemilik motosikal berkapasiti enjin lebih 250cc mendapat pengurangan cukai jalan RM50.

ULASAN

Saya kira ia sebenarnya cuba bertoleransi dengan kumpulan pendapatan sederhana dan cuba mengenakan kenaikan kepada kumpulan sasar kaya sahaja. Dalam hal ini, kerajaan dilihat meletakkan cc kenderaan sebagai kayu ukur, individu itu kaya atau miskin. 2000cc kereta dan 25cc ke atas dikira kaya lalu tidak layak mendapat sebarang subsidi rebate dan petrol (kecuali 30sen sebagaimana di atas).

Persoalannya, betulkah kayu ukur sebegini?

Kerajaan juga cuba toleransi dengan memberikan rebate cukai jalan sebanyak RM200 kepada pemilik kenderaan mewah. Ini bermakna, orang berpendapatan sederhana mendapat RM625 setahun dan orang kaya dapat RM200 setahun. Sebenar jumlah RM625 setahun hanya mungkin cukup untuk ‘cover’ harga beras untuk kegunaan satu-satu keluarga.

FAKTA : Harga gas memasak LPG dan gas asli kenderaan NGV kekal pada harga lama.

ULASAN

Terima kasih. Perlu diteruskan.

FAKTA : Kira-kira 59 peratus isi rumah di Malaysia yang menggunakan elektrik pada kadar 200 kilowat jam atau kurang RM43.60 sebulan tidak akan terjejas dengan struktur baru tarif elektrik.

ULASAN :


Satu tindakan yang mungkin kurang toleransi, adalah lebih wajar jika kenaikan demi kenaikan ini dibuat secara ansuran dan sedikit demi sedikit. Kita baru sahaja menghadapi kenaiakn harga beras sebanyak 80-100%. Kini diikuti minyak dan seterusnya tariff elektrik.

Harga besi dan lain-lain juga baru sahaja naik, yang membawa kesan kenaikan harga rumah dan sudah tentu sewa,

Saya faham, diwartakan penggunaan yang MELEBIHI 200 kilowatt atau RM43.60 sahaja yang AKAN NAIK. Adapun kurang dari itu TIDAK BERUBAH. Ia jelas cuba mengenakan kumpulan sasar orang kaya dan tidak mengenai golongan miskin yang kurang menggunakan elektrik secara puratanya.

Namun demikian, apabila tarif elektrik lebih RM43.60 ini naik, kilang-kilang yang menghasilkan barang makanan dan industri akan menganggung kos tambahan. Pastinya semua barang akan naik lagi. Peniaga juga pastinya menggunakan kenderaan untuk menghantar barangan. Apabila harga minyak naik, sekali lagi peniaga mendapat sebab munasabah untuk menaikkan harga.  Akhirnya sampai juga kesan kenaikan kepada kumpulan miskin yang menggunakan tarif 43.60 sahaja. MAKA SEPATUNYA SABAR-SABARLAH UNTUK MENAIKKAN BEBAN ASASI.

KESIMPULAN RINGKAS

Rakyat miskin yang tiada kenderaan, terabai? Yang punyai kenderaan kurang 2000cc dapatlah RM625 setahun, pemilik kenderaan 2000cc ke atas dapat berjimat RM200 dari cukai jalan? Itu sahaja?.

Bagaimana dengan pertambahan pendapatan kerajaan. Ini yang perlu didedahkan secara telus. Malah ia juga menyebabkan Tun Dr Mahathir membuat kira-kira mudah :-

“Can the Government subsidise? I am the “adviser” to Petronas but I know very little about it beyond what is published in its accounts. What I do know may not be very accurate but should be sufficient for me to draw certain conclusions.

Roughly Malaysia produces 650,000 barrels of crude per day. We consume 400,000 barrels leaving 250,000 barrels to be exported.

Three years ago the selling price of crude was about USD30 per barrel. Today it is USD130 – an increase of USD100. There is hardly any increase in the production cost so that the extra USD100 can be considered as pure profit.

Our 250,000 barrels of export should earn us 250,000 x 100 x 365 x 3 = RM27,375,000,000 (twenty seven billion Ringgit).

But Petronas made a profit of well over RM70 billion, all of which belong to the Government.

By all accounts the Government is flushed with money.

But besides petrol the prices of palm oil, rubber and tin have also increased by about 400 per cent. Plantation companies and banks now earn as much as RM3 billion in profits each. Taxes paid by them must have also increased greatly.

I feel sure that maintaining the subsidy and gradually decreasing it would not hurt the Government finances.”

FAKTA : Kerajaan akan memperoleh penjimatan subsidi sebanyak RM13.7 bilion setahun yang akan digunakan untuk subsidi produk makanan rakyat negara ini.

ULASAN :

Bagus dalam perancangan untuk subsidi makanan, namun subsidi makana diambil dari subsidi minyak. Maka harga makanan akan pasti naik juga. Justeru pusing-pusing semuanya ke satu destinasim, iaitu HARGA NAIK!. Gaji minima untuk kumpulan sasar miskin, masih tidak diperbaiki . Golongan bumiputra yang paling ramai miskin.

Saya juga bimbang, lagi terdesak orang bumiputra kita, lebih mudah mereka ditipu dan diperangkap oleh penyangak Ah-long, skim cepat kaya, MLM piramid, peraduan pelik, peraduan melancong percuma, elaun lumayan  dari khidmat hantar barang (dadah) di keluar negara dan lain-lain. Akhirnaya semakin terdesak. Semuanya kononnya ingin mencari side income selain kerja full time mereka.

PANDANGAN ISLAM

Sukar untuk saya menulis kesemuanya di waktu ini, mudahnya tanggungjawab sebuah kerajaan menurut Islam memang tidak mudah. Pandangan mereka perlu sentiasa lebih hadapan dari pemikiran rakyat biasa. Kerana itulah mereka pimpinan mesti dilantik dari mereka yang berkelayakan.

Mereka perlu bermiskin dahulu berbanding rakyat.  Apa sahaja yang kurang merekalah yang perlu menyalurkan pendapatan mereka demi kebaikan rakyat. Mimpikah kita untuk mendapat pemimpin sebegini?

Demikian sedikit pandangan spontan saya berkenaan isu terkini terhangat. Anda juga bebas menolak dan menerimannya. Cuma dinasihatkan jangalah ada yang memaki dan mencarut di ruangan komentar saya ye. Cukuplah memberi idea dan komentar atau kritik dalam bentuk berhemah. Agar semua dapat manfaat termasuk saya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

5 Jun 2008

Dosa lampau: Mencuri Ketika Remaja

June 6, 2008 at 6:42 am | Posted in SOAL JAWAB | Leave a comment

SOALAN:

assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya ada soalan yg telah lama terbuku di hati. harap ada yg sudi menjawabnya.
semasa sy masih kanak2 berusia 12 tahun, saya seorang yg nakal. kerana saya berasal dr keluarga miskin, saya pernah mencuri wang guru saya utk mbeli makanan. ambil makanan di kantin sekolah tanpa bayar pun ada. sekarang saya berusia 23 tahun dan masih segar dalam ingatan saya akan orang2 yg telah saya curi wangnya. walaupun tidaklah byk dalam tak sampai 10 ringgit kot tapi ia masih menghantui saya. masa tu saya pun tak pasti sama ada saya sudah baligh ataupun belum. soalan saya ialah, apakah saya wajib memohon maaf kepada semua mereka n mintak halal akan segala yg telah saya makan dari sumber yg haram itu. buat masa ini saya masih tak punya kekuatan untuk melakukan demikian. namun begitu, saya akan lakukan n memohon kekuatan dari Allah swt seandainya dosa lampau saya ini boleh menjerumuskan saya dlm jurang neraka yg amat saya takuti.

sekian, jazakallahu khaira

(soklan yg dpt dr emel)

JAWAPAN:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Seorang kanak-kanak yang belum baligh, jika mencuri dia tidak dikenakan apa-apa hukuman. Dan tidak ada dosa baginya kerana Nabi SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الْمَجْنُونِ الْمَغْلُوبِ عَلَى عَقْلِهِ حَتَّى يُفِيقَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الصَّبِىِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ رَ

Maksudnya: Diangkat qalam (tidak dihukum mukallaf) daripada tiga orang; orang gila sehingga dia sedar, orang yang tidur sehingga dia bangun, dan kanak-kanak sehingga dia baligh.
Direkod oleh Abu Daud (no: 4403) dan lain-lain.

Tetapi barangan yang dicuri mestilah dipulangkan balik, samada oleh walinya jika walinya mengetahui, ataupun jika dia sudah baligh maka dia sendiri yang memulangkannya. Kerana ia berkait dengan DHAMAN iaitu menggantikan hak orang lain. Dimaklumi dalam syarak bahawa urusan dhaman tidak disyaratkan seseorang itu mukallaf.

Maka, perasaan ragu-ragu samada ketika dia mencuri adakah dia belum baligh atau sudah baligh tidak memberi apa-apa erti. Kerana, samada baligh atau tidak baligh, dhaman (ganti rugi) hak orang lain tetap wajib.

Wallahu A’lam.

sumber: http://al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=35783

Mufti Perlis Bidas Filem Melayu Hilang Identiti

June 6, 2008 at 6:39 am | Posted in BERITA | Leave a comment

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik karyawan filem Melayu yang dianggapnya tidak mempunyai identiti dan hanya berminat menghasilkan filem mengarut.

Beliau berkata, sehingga kini, karyawan seperti kehilangan arah mencari identiti filem sehingga mereka berlumba-lumba melahirkan filem seram, misteri dan cinta.

“Kita perlu ada identiti sendiri untuk masyarakat dunia mengenali kita. Lihatlah filem Iran yang mempunyai identiti dan mereka dihormati. Malah, filem Bollywood juga mempunyai identiti.

“Kita tidak boleh asyik melahirkan filem yang penuh dengan kekarutan sehingga mempengaruhi minda masyarakat kita,” katanya semalam.

Beliau berkata, hanya seniman agung Allahyarham P Ramlee yang berjaya melahirkan filem yang menunjukkan identiti rakyat Malaysia.

Asri juga mengingatkan karyawan filem supaya tidak menghasilkan filem yang bercanggah dengan agama.

“Walaupun sesuatu filem tidak semestinya mempromosikan agama, tetapi mereka tidak boleh menghasilkan filem yang bercanggah dengan agama. Filem seram boleh dihasilkan, tetapi kesimpulannya mesti menunjukkan bahawa syaitan dan jin tidak mempunyai kuasa,” katanya.

Asri juga mencadangkan supaya diwujudkan satu program antara karyawan filem dengan ulama dan beliau sudah berbincang dengan Finas untuk mengadakan program berkenaan.

sumber: Berita Harian

sumber:

Hukum Peraduan SMS Menang CAMRY

June 4, 2008 at 3:40 am | Posted in ARTIKEL, SOAL JAWAB | Leave a comment

Sebuah berita menyebut :-

——————————————————————————–

KUALA LUMPUR : Celcom ( Malaysia ) Bhd menawarkan 100 unit Toyota Camry 2.0E 1AZ-FE kepada pelanggan pasca bayar dan pra bayarnya menerusi peraduan ‘Celcom 100 Hari 100 Kereta’ bermula hari ini.

i. sebuah kereta akan diberi setiap hari selama 100 hari berturut-turut kepada pemenang peraduan berkenaan.

ii. Pelanggan perkhidmatan Celcom yang berminat menyertai peraduan itu hanya perlu menaip kata kunci CARS dan hantar melalui SMS ke nombor 22222. Promosi itu terbuka kepada pelanggan sedia ada dan baru Celcom.

iii. Pelanggan yang dapat menjawab 10 soalan dengan tepat serta mendapat mata paling banyak akan dipilih sebagai pemenang.

iv. Peserta dengan mata tertinggi juga berpeluang memenangi tambahan sebuah kereta Toyota Camry model sama pada hujung minggu.

v. Setiap SMS yang dihantar dikenakan RM5.

vi. Kempen itu berlangsung selama 100 hari bermula hari ini hingga 9 September ini. Pada masa ini, Celcom mempunyai 1.5 juta pelanggan pasca bayar dan 6.3 juta pelanggan pra bayar.

vii. Beliau berkata, promosi 100 hari itu bertujuan memberi ganjaran kepada pelanggan setia atas sokongan yang diberikan kepada syarikat berkenaan

——————————————————————————–

ULASAN UZAR :

Secara rasmi dan mudahnya, ia adalah peraduan yang haram di sisi Islam kerana perjudian. Ini kerana semua peserta yang menghantar SMS terdedah kepada kerugian RM 50 (kerana mesti menjawab 10 soalan terlebih dahulu, sedangkan satu sms = RM 5) atau berpeluang mendapat untung sebuah kereta. Hanya seratus orang akan berjaya dari berjuta peserta. Syarikat pasti meraih untung yang lebih berbanding peserta.

Ia tidak ubah seperti peraduan “Who Wants To Be A Millionaire” dengan sedikit perbezaan sahaja.

Peserta mungkin berkata

“Alah, apalah sangat dengan RM 5 atau RM 50 .. redha sahaja, kami tidak rasa dizalimi pun”

Namun wajib diingati, pengharaman perjudian adalah hak Allah swt dan sebarang keredhaan dalam perkara yang menjadi hak Allah adalah TERTOLAK. Redha dalam hal dosa seperti ini, adalah redha maksiat. Malah lebih dahsyat dari itu, kerdehaan dalam perilaku dosa yang mencarik hak Allah adalah akan menjadikan ia sebagai satu dosa yang lebih besar.

Mungkin juga ada yang berkata :-

“Tapi ustaz, bukankah ada manfaat untuk kita peraduan sebegini, bukan senang nak dapat peluang ”

Memang benar ada manfaatnya, namun keburukannya jauh lebih besar, sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah swt sendiri :-

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
Ertinya : Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi Katakanlah: “”Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya ( Al-Baqarah : 219 )

Saya teringat pernah menonton “National Geographic” yang mendokumentasikan perihal pusat perjudian di Macau. Saya masih ingat kata-kata pengusaha dan pemain judi dalam interview dengan wartawan dokumentasi itu,

“dari 10 kali main, biasnya hanya sekali menang dan 9 kali kalah”.

Berikut pula info yang amat jelas dari seorang yang telah menyertai peraduan ini, saya petik dari ruangan komen di bawah. Ia sangat membuktikan ia judi yang amat menindas dan zalim.

Pada 2 Jun (iaitu tarikh bermula peraduan tersebut) saya mula hantar SMS jam 8.30 mlm. Sehingga pukul 1 pagi, keseluruhan SMS yang saya terima daripada syarikat tersebut lebih kurang 200 SMS. yang di caj RM5 ialah lebih kurang 60 SMS. Dengan harapan yang menggunung untuk memperolehi kereta tersebut, saya telah melabur sebanyak RM300.

terus terang saya katakan,saya turut menunaikan solat hajat untuk memenangi pertandingan ini. Hajat saya jika menang ialah dapatlah saya ringakan beban saya membayar hutang kereta yang sedia ada, selain dapat menggunakannya untuk buat ibadat (pergi kerja, berteduh, masjid)– adakah tindakan saya betul ustaz??

Setiap SMS yang diterima sangat teruja dan membuatkan pelanggan akan sentiasa ingin ber SMS dan menjawab soalan. Maka, saya telah terperangkap dalam permainan ini.

Itulah sifat judi, pengusaha akan sentiasa lebih mendapat manfaat dan keuntungan. Ia sememangnya sebuah permainan yang amat buruk.

Jauhilah darinya, apatah lagi solat hajat dalam berjudi. Segeralah sampaikan kepada adik beradik, rakan-rakan dan taulan. Jangan sampai sebuah kereta Camry menyebabkan penyesalan tak sudah di alam barzakh dan akhirat kelak.

Akhirnya firman Allah s.w.t tentang pengharaman judi yang disamakan dengan najis dan kerja Syaitan:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90 )

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net
3 Jun 2008

Pro kontra mufti sekat karya seni

June 4, 2008 at 3:35 am | Posted in BERITA | Leave a comment

Jimadie Shah Othman | Jun 3, 08 7:34pm
Penggiat seni berbelah bagi berhubung kecenderungan campur tangan mufti dalam kegiatan seni budaya, termasuk membantah karya sastera dan melarang penyanyi.

Persatuan Penulis Nasional berkata keputusan mufti mengawal ruang seni budaya adalah “wajar” kerana mereka golongan bertanggungjawab dalam bidang agama.

“Beliau (mufti Perlis) melihat daripada pandangan yang beliau pegang, berpunca daripada fahaman yang beliau pegang. Itulah bidang autoriti beliau, kita mesti terima.

“(Autoritinya) bukan saja dalam bidang agama, (tetapi) termasuk juga politik dan lain-lain. Yang haram tetap haram. Kalau beliau menghukum saya sendiri, saya setuju dan akan kembali ke pangkal jalan,” kata setiausaha agungnya SM Zakir kepada Malaysiakini.

Beliau mengulas tindakan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang membantah penerbitan karya penulis terkenal Faisal Tehrani dengan alasan ia “menggunakan hadis palsu” dan “mengagungkan perayaan Syiah.”

April lalu, Dr Mohd Asri menyekat penyanyi Faizal Tahir daripada mengadakan persembahan di konsert Jom Heboh di Perlis anjuran TV3 atas alasan membawa imej negatif.

Majlis mufti pula mengharamkan program dua hari itu pada 30 Julai 2004.

Majlis itu – melalui mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria – mengeluarkan kenyataan bahawa konsert itu haram kerana “melalaikan dan menggalakkan maksiat”.

Sementara itu pengkritik seni Hasmi Hashim membantah campur tangan mufti dalam kegiatan seni budaya.

“Mana-mana institusi pun tidak patut kawal karyawan,” katanya ketika dihubungi berhubung tindakan Dr Mohd Asri menulis surat kepada Harian Metro membantah siri novel Faisal.

Bercakap kepada Malaysiakini minggu lepas, mufti itu turut menyifatkan ‘Bubur Ratapan Asyura’ dalam siri novel Ketupat Cinta sebagai “pembohongan” dan mendorongnya membantah penerbitan tersebut Februari lalu.

Salinan surat kepada ketua pengarang akhbar itu dikirimkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Surat tersebut mula beredar di internet mulai awal bulan lepas.

Bagaimanapun, tambah Hasmi, jika terdapat tuduhan serius seperti mempromosikan perkauman, seseorang penggiat seni boleh didakwa di mahkahmah.

“Sekiranya melampaui batas kepentingan sosial secara jelas seperti perkauman, ia harus melalui proses dan lunas undang-undang dan dibawa ke mahkamah.

“Tetapi dengan cara menuduh (seseorang penulis sebagai) Syiah, (tuduhan) itu usaha untuk mengekang seniman. (Tindakan mufti) itu tidak seharusnya berlaku dalam usaha kesedaran masyarakat (sekarang) yang mahukan demokrasi yang lebih baik,” katanya.

Mengulas tanggapan tindakan mufti Perlis bertentangan dengan ruang demokrasi, Zakir berkata demokrasi mempunyai hadnya dan hal-hal agama tidak boleh dipertikaikan.

“Demokrasi ada hadnya. Seni budaya ada hadnya. Ia (demokrasi dan seni) di bawah agama. Soal perbuatan, amalan (agama) tidak perlu dipertikaikan. Mungkin pendekatannya (mufti Perlis) keras.

“(Tetapi) hukum syariat tidak boleh anggap antikebebasan. Demokrasi, politik, seni di bawah agama. Agama yang paling atas.”

Bagaimanapun Hasmi, yang juga ketua bahagian PKR Parit Sulong, pula menyifatkan tindakan mufti itu bertentangan dengan ruang demokrasi.

Beliau sebaliknya mencadangkan langkah berdialog untuk mengatasi ketegangan antara pihak berkuasa agama dengan penggiat seni.

“Cara terbaik adalah berdiolog dengan seniman yang dianggap ‘bermasalah’ dengan institusi agama. Kalau Faisal bohong (dalam karyanya), dialog mesti wujud dahulu dan tidak boleh ada usaha menyisih (Faisal) mengguna kekuasaan.

“Hak Faisal untuk menulis mesti dijamin. Soal bohong atau tidak, (tuduhan) mesti dibuktikan,” kata bekas pelajar bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jika berterusan campur tangan institusi agama, tambahnya, ia akan menyebabkan proses “balas dendam” yang tiada kesudahan.

“Kesan daripada tindakan ini, akan merebak ke dalam institusi-institusi lain. Suatu masa nanti apabila ada pihak lain menguasai institusi itu, ia akan mewujudkan tindakan balas dendam.

“Yang Syiah akan membalas dendam dengan Sunni. Yang Sunni balas dendam dengan Syiah. Tidak akan selesai masalah sosial,” katanya lagi.
sumber: http://www.malaysiakini.com/news/83890

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.