Menerima hadiah sempena Halloween

October 31, 2008 at 8:04 pm | Posted in SOAL JAWAB | Leave a comment

SOALAN:

Assalamu’alaykum ahli panel yang ana hormati,

Hari ini ana ada terima beberapa bungkusan berisi coklat di depan rumah dan ana tahu hadiah itu diberi sempena Halloween yg disambut di sini. Ana tak pasti sama ada boleh diterima hadiah itu atau harus dibuang sahaja kerana jelas hadiah itu diberi untuk menyambut satu perayaan yg bertentangan dengan Islam. Harap dapat penjelasan dr ahli panel. Jazakallahukhayran katheera

JAWAPAN:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

– Halloween adalah tradisi perayaan malam 31 Oktober, yang dikatakan berasal dari orang Celt di Ireland, Britain dan Perancis sebagai tradisi paganisme perayaan musim tuai. Ia biasanya dikaitkan dengan syaitan, ahli sihir, hantu, Goblin dan makhluk-makhluk mitos dan menyeramkan lain dari kebudayaan Barat. Halloween disambut dengan menghiasi rumah dan pusat membeli-belah dengan simbol-simbol Halloween tersebut.

– Oleh kerana dalam Islam, tidak ada perayaan tahunan melainkan Eid Fitri dan Eid Adha, dan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang para sahabat menyambut perayaan selainnya, maka menyambut perayaan Halloween juga adalah tidak dibenarkan. Kerana ia adalah perayaan orang Kristian.

– Memberi hadiah. Memberi hadiah kepada orang kafir sempena dengan hari perayaan mereka juga tidak dibenarkan. Malahan ada ulama menghukum perbuatan itu sebagai kufur. (Tabyin Haqaiq 6/228, Iqtidha Sirat al-Mustaqim 1/227).

– Menerima hadiah. Adapun menerima hadiah mereka pada hari perayaan mereka, maka ia bukan satu kesalahan. Kerana ia tidak menunjukkan kita bersetuju dengan perayaan mereka. Malah menerimanya adalah satu cara berbuat baik dengan non Muslim, dan sebagai satu peluang dakwah kepada mereka.

Allah Taala berfirman:

لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Mumtahinah: 8)

Kata Ibn Taimiyyah, “Manakala menerima hadiah daripada mereka pada hari perayaan mereka, kami telah bawakan atsar daripada Ali bin Abi Talib bahawa beliau diberikan satu hadiah sempena Nairuz, lalu beliau menerimanya”.

Wallahu A’lam.

Sumber: http://al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=37106

Mahkamah bebaskan Razak Baginda

October 31, 2008 at 6:14 am | Posted in BERITA | Leave a comment

Oct 31, 08 10:12am

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan penganalisa politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.

Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.

Pihak pendakwa dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Abdul Razak itu.

Razak diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong. Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar manakala Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.

Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh pula bertindak peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.

Pihak mendakwa selesai berhujah pada 23 Jun lalu selepas mahkamah mendengar keterangan daripada 84 saksi selam 151 hari.

Abdul Razak yang jelas kelihatan gembira dengan keputusan tersebut, meninggalkan mahkamah dengan ditemani isteri dan anak perempuannya pada kira-kira jam 10.10 pagi.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan yang menunggunya, dan hanya berkata: “Saya mahu pulang ke rumah”.

sumber: http://www.malaysiakini.com/news/92193

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.